Monday, December 3, 2007

Sidang akhbar PACE dalam Berita Minggu 2 Dis 2007 ms 15



Sidang akhbar PACE membantah konferens Annapolis telah dilaporkan dalam Beita Minggu edisi 2 Disember 2007. Terima kasih kepada wartawan dari Berita Harian yang hadir membuat liputan.

'Kaji muslihat sidang damai Asia Barat'

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mengkaji secara teliti hasil rundingan persidangan keamanan Asia Barat yang diadakan di Annapolis, Maryland, Amerika Syarikat (AS) bagi mengelakkan laluan dibuka kepada hubungan diplomatik dengan Israel. Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE), Dr Hafidzi Mohd Noor, berkata perkara itu perlu dielakkan kerana kelicikan rejim itu melalui Perjanjian Oslo 1993 menyebabkan 30 negara luar mula mengiktiraf negara itu. Katanya, Malaysia harus berpendirian tegas dan meneliti hasil rundingan secara terperinci bagi mengelakkan daripada mengiktiraf Israel kerana sejak dulu lagi tiada peruntukan bagi tujuan itu.
"Kami bimbang Israel yang terkenal dengan tipu helah akan menggunakan kesempatan persidangan itu untuk mengenakan pelbagai syarat merumitkan termasuk menjalin hubungan diplomasi. "Ini akan meletakkan keadaan beberapa negara terutama negara Islam kerana sudah menjadi dasar untuk tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Israel. "Bagaimanapun, jika tidak diterima, rundingan damai antara Palestin-Israel pasti akan terjejas," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Sidang akhbar itu diadakan bagi mengulas persidangan keamanan Asia Barat yang ditaja AS dan disertai 44 negara bagi membincangkan penyediaan proses keamanan untuk merealisasikan Palestin sebagai sebuah negara merdeka. Melalui perundingan itu, dua pihak bertelagah iaitu Palestin-Israel bersetuju untuk memulakan semula rundingan bagi memeterai perjanjian damai menjelang akhir tahun depan. Rundingan pertama akan bermula pada 12 Disember dengan Presiden George W Bush yang akan menamatkan tugasnya dalam tempoh 14 bulan memberi komitmen penuh untuk mewujudkan negara Palestin merdeka. Sementara itu, mengulas rundingan semula yang bakal dijalankan, Dr Hafidzi berkata, pihaknya menyambut baik perkembangan baru itu, tetapi mahu supaya pihak lebih amanah menjadi orang tengah.
"Jika ia masih lagi diuruskan seperti dulu (tanpa orang lebih amanah), perkembangan positif diharapkan tidak akan dicapai. Malah, ia akan menjadi lebih buruk," katanya.

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc