Sunday, April 27, 2008

Majlis kesyukuran untuk 'kulaan' - 19 April 2008

Keluarga sedang berkumpul mendengar tazkeerah

Mengaminkan doa yang dibaca oleh Bang Mat

Bang Long, Syapiq dan Ain

Khusyu' mengaminkan doa - semuga Allah makbulkan


Kak Endon, Nani, Rozi dan Kak Yah sedang menjamu selera
Kak Jun dan Fuza dah makan lebih awal kut?
Arin dan Mama sempat datang sebelah malam - terima kasih pada pasangan muda ini yang meluangkan waktu


Assalamualaikum,



Pada hari Sabtu 19 April yang lepas kami telah meraikan bang Mat/Kak Yah yang datang untuk hadir majlis konvokesyen anak bongsu mereka Ila. Ila telah bergraduat dalam bidang penyiaran dari Universiti Lim Kok Wing. Tahniah kepada Ila. Semuga memberi manfaat kepada diri sendiri, keluarga dan Islam. Bidang penyiaran adalah satu bidang yang cukup penting di mana ia mampu untuk memberikan gambaran yang betul dan positif terhadap Islam dan umatya di saat Islam diserang dengan pelbagai tohmahan dan fitnah melalui media massa dan penyiaran.

Bang Mat/Kak Yah ditemani oleh anak beliau Ami yang membawa salah seorang anaknya Ain. Untuk meraikan kejayaan Ila, kami telah mengambil peluang untuk mengumpulkan 'kulaan' (saudara-mara) dengan majlis kesyukuran. Yang sempat hadir ialah Kak Jun, Azuan dan Aishah serta anak-anak (bang long, dik na dan syapik), Fuza dan Wan Azizan, Kak Endon dan Abang Hassan serta Nani; Ijat dan Rozi dan orang baru (cucunda Fadua), A'an dan Mazlan dan anak-anak mereka (Ipin, Yani, Omar, Safwam dan Nurin Najwa). Ninie anak Pak Andak (abg Ya'ai) yang sedang belajar di Unisel juga bersama kerana sedang bercuti. Mama dan Arin (kira pengantin baru) sempat juga datang pada sebelah malam kerana bertugas pada siang hari.

Kalau ikut perancangannya kami nak buat slides presentation tentang keluarga. Tetapi 'sutradara'nya (abang Qayyim) demam pula balik dari Lahad Datu. Jadi terpaksa ditunda pada kesempatan lain. Setelah menjamu selera, kami berbesar hati kerana Bang Mat sudi untuk membaca doa kesyukuran. Semuga Allah merahmati kejayaan anak cucu dan menyampaikan hajat-hajat mereka. Selepas itu abi mengambil kesempatan untuk memberi sedikit pesanan (tazkeerah. Semuga pertemuan-pertemuan kekeluargaan seperti ini di isi dengan pesan-pesan yang membawa kebaikan. Kita dianjurkan oleh Al Quran 'Berilah peringatan, kerana peringatan berguna untuk orang-orang yang beriman'

Abi membuka bicara dengan menyebut sebuah hadis 'Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, dan kamu tidak akan beriman sehinggalah kamu berkasih-sayang.'. Semuga pertemuan kita pada hari itu merapatkan lagi silatur rahim dan mengukuhkan ukhuwah di kalangan ahli keluarga.

Walaupun sudah biasa memberi ceramah, namun hendak berbicara kepada ahli keluarga merasa kekok kerana tidak biasa. Mudah-mudahan ia akan menjadi budaya di kalangan ahli keluarga supaya 'berpesan-pesan dengan kebenaran, berpesan-pesan dengan kesabaran' seperti yang dianjurkan dalam surah al-Asr. Abi mula dengan menybut 'sebelum paksu mengahwini mak su zurai, pak su hanya kenal orang banjar ni dengan parang panjangnya. Tetapi setelah berkahwin dengan maksu dan mengenali keluarga maksu dengan lebih dekat maka paksu dapati orang banjar ini halus budi bahasa dan tinggi adab pergaulan mereka. Oleh kerana paksu minat dengan sejarah, maka paksu cuba melihat di manakah segi-segi kekuatan masyarakat banjar ini. Setelah diamat-amati nampaklah di mana sumber kekuatan budi orang-orang banjar. Tak lain dan tak bukan kekuatan dan kehebatan itu berpunca dari Islam itu sendiri. Kalau kita lihat dari sudut bahasa, orang banjar 'bersurah' banjar. Orang lain menggunakan 'berkata', 'berbtutur', berbicara tetapi orang banjar 'bersurah' dan perkataan surah ini diambil dari al-Quran. Suku Banjarlah satu-satunya suku melayu yang mengira dalam bahasa Arab, 'Senaian' (Isnin - dua), Arba' (empat). Ini semua menunjukkan dekatnya kebudayaan Banjar dengan Islam itu sendiri.

(Selepas tazkeerah Maksu juga mengingatkan tentang nama-nama orang Banjar; yang ini lupa paksu nak sampaikan kerana 'gugup' agaknya. Kalau kita perhatikan nama orang-orang Banjar memang nama-nama Arab bahkan nama-nama yang diambil dari Quran dan nama-nama Nabi, orang salih dan sahabat umpamanya. Lihatlah nama-nama ahli keluarga seperti Kak Jun - Asma' (anak Abu Baqar As-siddiq) nama arwah bunda- Bahinah - sebenarnya 'Bayyinah' yang bermaksud Al-Quran yang jelas maksudnya, nama arwah abah -'Kornain' yang diambil sempena Zulkarnian, nama Kak Nab - Rokiah - dari Ruqaiyyah (putera Rasulullah SAW), abang kak Jun -Ali, sepupu -Abdul Quddus (nama Allah), arwah abang Abdul Syukur (nama timangannya arwah pula 'Khair' yang bermaksud kebaikan), Hendon - nama sahabiah yang masuk Islam dan diampunkan oleh Rasulullah SAW.; jelaslah pada nama tergambar betapa dekatnya jiwa orang banjar dengan keagungan dan sejarah Islam)


Masa Paksu dan Maksu ke Mekah menunaikan Haji pada tahun 1996 dahulu, kami sempat berjumpa dengan arwah Nenek Amnah, nenek saudara yang mengikut arwah bapanya ke Mekah dan terus menetap di sana. Arwah Nenek Amnah meninggal dunia tak lama selepas kami menziarahi beliau (kesah ini kami abadikan dalam buku tulisan pak su dan mak su - Lambaian Ka'abah terbitan JIMedia). Kami dapati komuniti Banjar adalah di antara komuniti melayu yang ramai di sana sebagaimana juga komuniti melayu Pattani. Ini juga menunjukkan betapa dekatnya masyarakat Banjar kepada Islam dan tanah suci. Sebab itu Kalimantan selatan khususnya Banjarmasin juga diberi penghormatan sebagai serambi mekkah (di samping Aceh, Kelantan dan Pattani).

Masyarakat Banjar juga melahirkan begitu ramai ulama dan pejuang. Salah seorang dari mereka yang amat terkenal di seluruh nusantara ialah Syeikh Arsyad Banjar..

Apa yang ingin paksu katakan di sini ialah wajarlah tradisi berpegang kepada Islam ini terus dipertahankan oleh kita generasi pada hari ini. Yang paling penting dalam menjaga agama ialah memelihara solat. Marilah kita pesan kepada ahli keluarga, anak-anak dan cucu-cucu supaya tetap teguh mendirikan solat dan tidak meninggalkan solat walau dalam keadaan apa sekalipun. Rasulullah SAW mengingatkan kita 'suruhlah anak kamu mengerjakan solat apabila mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun'. Ini menunjukkan kepada kita betapa pentingnya solat dalam kehidupan 'kerana solat itu tiangnya kehidupan'. 'Din' bukan agama tetapi kehidupan.

Semuga tazkeerah rengkas hari itu menjadi bekal yang berguna kepada anak cucu. Semuga Allah merahmati pertemuan kami pada hari itu dan mengumpulkan semula kami di hari akhirat di bawah lembayung arash Allah SWT. Ameen Ya Rabb.

Selang dua hari kami terima sms dari Kak Endon seperti ini

"Bukan kejar sebarang kejar

Kejar sampai ke Semarang

Bukan Banjar sebarang banjar

Banjar cerdik kadak (tidak) berparang"

Jawabnya begini

"Berjalan ke pekan Semarang

Menghilir sungai ke mudik

Kerana ayahmu dulu berparang (pertahan Islam)

Maka lahirlah yang cerdik"


Pak su (Dr Hafidzi Mohd Noor)
Mak su (Hjh Zuraidah Kornain)
Anakanda Mohd Qayyim
Anakanda Muhammad Mawardi
Anakanda Amin Husaini

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc