Tuesday, June 10, 2008

Israel cuba Ubah demografi BaitulMaqdis - Pandangan Pengarah PACE - Utusan Malaysia 11 Jun 2008

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL(wartawan utusan)

SELEPAS beberapa ketika agak sepi daripada sebarang isu yang menarik perhatian dunia, konflik di Asia Barat kembali tegang pada sambutan ulang tahun penyatuan Baitulmaqdis timur dan barat yang ke-41, 1 Jun lalu. Ia tercetus apabila Menteri Perumahan Israel, Zeev Boim mengumumkan kepada kabinet Israel dalam mesyuarat mingguannya untuk membina 884 buah apartmen bagi penduduk Yahudi. Penempatan baru itu bakal dibuka masing-masing 763 buah rumah di Pisgat Zeev, manakala 121 buah lagi di Har Homa yang merupakan penempatan pendatang Yahudi sejak Batulmaqdis timur ditawan pada Jun 1967.

Baitulmaqdis timur adalah wilayah yang diduduki Israel dan merupakan salah satu daripada tuntutan asasi Palestin ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis timur sebagai ibu negara. Perkembangan terbaru itu pastinya memberi implikasi yang besar kepada usaha rundingan damai yang sedang diatur sejak berlangsungnya Konferens Annapolis pada 27 November tahun lalu.

Lebih daripada itu, seperti yang dijelaskan oleh Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (Pace), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor, tindakan Israel tersebut adalah satu strategi terancang untuk menggagalkan usaha Palestin menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara, sekali gus menafikan pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat. ''Pembinaan penempatan itu juga dilakukan oleh Israel selepas mereka bersetuju untuk menghentikan pembangunan di kawasan tersebut dalam sekian banyak perjanjian damai dan resolusi yang dipersetujui secara bersama. Ini memberikan pengajaran yang penting kepada dunia bahawa Israel sebenarnya tidak boleh dipercayai dan akan melanggar apa jua syarat dan komitmen yang mereka pada mulanya persetujui," ujar beliau.

Menurut Hafidzi, dengan pembinaan lebih banyak unit apartmen di Baitulmaqdis timur, Israel secara sedar cuba untuk menggagalkan siri-siri perundingan damai yang telah dicapai sejak perjanjian Oslo 1993, Perjanjian Damai (Road Map) 2003 dan Konferens Annapolis (2007).
Dalam Perjanjian Damai 2003 misalnya, Israel bersetuju untuk membekukan semua projek pembinaan kediaman penduduk Yahudi di kawasan yang diduduki, namun mengecualikan Baitulmaqdis timur daripada perjanjian tersebut. Tindakan itu kerana Israel telah pun mengisytiharkan Baitulmaqdis timur sebagai ibu negara mereka yang disatukan bersama Baitulmaqdis barat dan dianggap abadi oleh negara Yahudi berkenaan.

Menilai perkembangan terbaru itu, Hafidzi menjelaskan, adalah penting untuk dunia mengetahui kedudukan Baitulmaqdis dalam konteks negara haram Israel yang diisytiharkan pada 1948 dan Tebing Barat yang dikuasai pada 1967. Kefahaman itu bagi memberi gambaran yang jelas dalam konflik terbaru yang tercetus kini seterusnya mempertahankan hak rakyat Palestin dan umat Islam ke atas tanah suci tersebut. Setelah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi 181 pada 1947, penduduk Yahudi berusaha untuk mengambil alih Baitulmaqdis meskipun kota itu diletakkan di bawah pentadbiran antarabangsa di bawah resolusi yang sama.
Namun, garisan The Rhodes Armistice yang diwujudkan oleh PBB pada tahun 1949 berjaya menghalang kemaraan Yahudi yang terhad hanya di sempadan Kota Lama (Old City) iaitu kawasan yang turut menempatkan Masjid al-Aqsa.

''Penaklukan Israel setahun kemudiannya membahagikan Baitulmaqdis barat yang dikuasai Israel dan Baitulmaqdis timur yang masih berada dalam wilayah Arab, manakala Kota Lama yang menempatkan Haram al-Sharif berada di antara kedua-dua Baitulmaqdis barat dan timur," katanya. Pada Jun 1967, Baitulmaqdis timur dan Kota Lama diduduki Israel, termasuklah keseluruhan Tebing Barat sehingga sempadan Jordan, Semenanjung Gaza yang bersebelahan dengan Mesir, Semenanjung Sinai dan Tanah Tinggi Golan (wilayah Syria).

Apabila Kerajaan Kebangsaan Palestin (PNA) menuntut hak ke atas Baitulmaqdis, yang dirujuk dalam tuntutan itu hanyalah Baitulmaqdis timur dan Kota Lama yang termasuk dalam lingkungannya. Ini bermakna apabila Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Yasser Arafat memperakui Resolusi 181 dan mengiktiraf Israel, rakyat Palestin akan kehilangan Baitulmaqdis barat dan tiada sebarang tuntutan lagi boleh dikemukakan ke atasnya.
Contoh yang paling ketara ialah Kedutaan AS yang dipindahkan dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis barat. Kedutaan tersebut dibina di atas tanah milik 19 keluarga Arab Muslim dan Kristian dengan tanah yang diwakafkan pada 1724 merupakan bahagian terbesar. Rekod daripada kerajaan mandat British menunjukkan, tanah tersebut disewa untuk di bina penempatan tentera dan hari ini, tanah yang sama disewa kepada AS oleh Israel. ''Apakah hak Israel menyewakan tanah yang telah dicuri daripada pemilik yang sebenar dan bagaimana pula kedudukan AS yang menyewa di atas tanah yang dicuri? "Dalam masa yang sama, waris tanah tersebut yang kini berjumlah 1,000 orang juga tidak mendapat apa-apa sewaan, apatah lagi pampasan dan keadaan ini secara terang- terangan menunjukkan Perjanjian Oslo yang diterima oleh Arafat adalah suatu pengkhianatan ke atas rakyat Palestin," jelasnya.

Seperkara yang wajar dilihat juga jelas Hafidzi, adakah dengan melepaskan tuntutan ke atas Baitulmaqdis barat, menjamin tuntutan Palestin ke atas Baitulmaqdis timur, Kota Lama dan Haram Al-Sharif? Jika ini merupakan syarat penerimaan, kemungkinan tawaran tersebut boleh dipertimbangkan walaupun ia tetap merupakan satu pengkhianatan. Namun, kenyataannya ujar beliau, Israel sama sekali tidak akan melepaskan Baitulmaqdis timur yang ditawan pada 1967, malah melaksanakan agenda bagi mengyahudikan Baitulmaqdis timur dengan membina perumahan Yahudi. Hari ini, Baitulmaqdis timur dikelilingi kawasan penempatan Yahudi dengan tembok keselamatan di dalamnya dibina bagi memisahkan Kota Lama dari Tebing Barat yang bakal diisytiharkan sebagai negara Palestin 'yang merdeka'.

Agenda jahat Zionis yang disokong oleh AS terbongkar apabila mereka bersetuju untuk menyerahkan lebih 95 peratus wilayah Tebing Barat kepada Palestin dengan baki kedudukan lima peratus wilayah lagi tidak dinyatakan. Bancian pada tahun 2005 menunjukkan penduduk Arab di Baitulmaqdis adalah kira-kira 250,000 orang berbanding 180,000 penduduk Yahudi

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc