Wednesday, July 23, 2008

Kuliah Isra' Mikraj di Pusat Latihan RHB pada 22 Julai 2008

Masjid Al-Aqsa, tempat transit Nabi SAW dalam Isra' Mikraj



Assalamualaikum,

Ini adalah jemputan yang kedua ke Pusat Latihan RHB Bank di Bandar Baru Bangi. Kali yang pertama dahulu ialah pada tahun lepas dalam bulan Ramadhan. kebetulan isteri anak saudara (Dod-Hasnul Hadi), Adib bekerja di sana.

Pada hari Rabu waktu rehat tengah hari yang lalu saya dijemput untuk memberi kuliah di surau Pusat latihan RHB mengenai Isra' dan Mikraj bersempena dengan bulan Rajab di mana berlakunya peristiwa yang cukup siginifikan ini.

Saya terangkan terlalu banyak hikmah, iktibar dan implikasi yang boleh digarap dari peristiwa besar ini. Ia boleh dilihat dari sudut aqidah, syariat, feqh, sejarah, dakwah, jihad, siasah, pergolakan dan isu semasa perjuangan umat Islam. Dalam tempoh yang sengkat sebelum masuk waktu zuhur dapatlah saya gariskan beberapa sudut pandang pengajaran.

Pertamanya saya jelaskan tentang beberapa perkara fundamental tentang isra' dan mikraj untuk memadamkan sebarang kekeliruan dan kecelaruan yang beredar di kalangan umat Islam. sejak dari dulu hingga kini ada yang mempertahankan bahawa Rasulullah SAW melalui perjalanan Isra' mikraj ini dengan ruh. Pendapat seperti ini ditolak kerana jika itulah hakikatnya maka tiada apa-apa yang menakjubkan tentang peristiwa ini sehingga ada orang islam yang murtad kerana apa yang diceritakan tidak dapat diterima oleh akal logik. Jelaslah Rasulullah SAW melalui peristiwa isra' dan mikraj ini dengan jasad dan ruh seutuhnya. Hal ini hanya boleh terjadi hanya apabila hukum alam dan hukum adat tercarek. Sebagai manusia di hidup di alam nyata kita tertakluk kepada hukum alam, the law of gravity. Nabi SAW tidak terbelenggu oleh hukum gravity sehingga baginda menerobos ke langit tertinggi (sidratul muntaha) tanpa ada sebarang alat seperti yang dicipta oleh kemajuan sains dan teknologi hari ini. Begitu juga Nabi SAW tidak terikat oleh keterbatasan bekalan Oksigen yang semkain menipis pada altititude (paras) yang tinggi, bahkan tanpa oksigen apabila melepasi lapisan atmosfera. Semua ini tidak mustahil kerana Rasulullah SAW tidak melakukannya dengan kudrat (kuasa) dan iradat (kemahuan) sendiri, tetapi dengan Kudrat dan Iradah Allah SWT. Apabila Allah SWT menghendaki tiada yang mustahil. Sesuatu itu hanya mustahil apabila ia cuba dirungkai dengan akal logik yang amat terbatas ruang lingkup kognitif (pemikiran)nya. Dalam Surah al-Isra' atau Bani Israel ayat yang pertama di mana peristiwa ini dirakam, Allah SWT dengan jelas berfirman yang bermaksud 'Maha Suci Allah yang memperjalankan hambanya...'. Allah SWT yang memperjalankan hambanya, bukan hambanya (Rasulullah SAW) melakukankan dengan kehendak sendiri.

Aspek kedua yang saya jelaskan pada permulaan kuliah ialah kedudukan hadis di dalam Islam. Peristiwa ini adalah bukti bahawa pendirian golongan anti hadis di tolak. Al Quran hanya menyebut tentang bahagian pertama dari peristiwa ini iaitu Isra'. Isra' adalah perjalanan yang ditempuh Nabi pada waktu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al Aqsa. Sedang bahagian kedua iaitu mikraj (perjalanan naik ke langit dari satu tahap ke satu tahap) hanya boleh ditemui di dalam hadis-hadis sahih. Apa yang hendak ditegaskan ialah peristiwa ini menunjukkan betapa Al-Quran dan Hadis adalah dua sumber yang tidak boleh dipisahkan. Ia sama-sekali tidak menunjukkan akan kekurangan al-Quran bahkan Al-Quran sudah lengkap dan hadis pula mengesahkan kesempurnaan Al-Quran. Nabi SAW dalam peristiwa hijjatul wida' (haji perpisahan di Jabal Rahmah di Padang Arafah) telah menegaskan bahawa baginda meninggalkan dua perkara jika umat Islam berpegang teguh dengannya maka mereka tidak akan sesat selamanya. Dua perkara itu ialah Al- Quran dan sunnah Nabi. Sunnah ini boleh dipecahkan kepada tiga bahagian iaitu perbuatan, perkataan (hadis yang dirakamkan) dan 'approval' (persetujuan t anpa lisan - ertinya Rasulullah SAW tidak membantah dengan hanya mendiamkan diri). Jelaslah peristiwa isra' dan mikraj adalah satu contoh insiden yang jelas menolak kedangkalan hujah golongan anti hadis yang menamakan diri mereka 'Jamaah al Quran'. Golongan yang menolak hadis dengan sendirinya menolak al Quran.

Kemudian saya kupas beberapa pokok pengajaran yang boleh diraih dari peristiwa besar ini. Pertama peristiwa Isra dan Mikraj adalah timbangan iman. Iman membawa maksud percaya (tasdiq) atau menetapkan di hati apa-apa jua khabar ghaib yang disampaikan oleh Rasulullah SAW dan yang diwahyukan di dalam al Quran. Inilah ujian dan ukuran tentang benar atau tidaknya iman seseorang iaitu menerima tanpa sebarang soal bicara tentang perkara ghaib dan tanpa ragu-ragu. Buktinya apabila peristiwa di ketahui oleh masyarakat Makkah, orang Islam yang tidak mantap keimanan mereka menjadi goyah bahkan ada yang murtad dan keluar dari islam. Di satu pihak pula golongan musrikin menggunakan isu ini untuk mempermainkan Rasulullah SAW. Abu Jahal meminta Nabi SAW mengangkat kedua kakinya ke atas (untuk membuktikan bahawa Nabi tidak dapat menentang hukum alam - gravity) dan dakwaannya adalah pembohongan semata. Maka peristiwa ini menjadikan orang kafir semakin dalam kekafiran mereka. Sebaliknya kita perhatikan golongan yang benar-benar beriman semakin dalam keimanan mereka kepada Rasulullah SAW. Apabila Abu Jahal mempersendakan Nabi di hadapan Sy Abu Baqar R.A. dengan katanya 'Kawan kamu ini mendakwa pergi ke Baitul Maqdis dan pulang dalam masa semalam (sedangkan perjalanan ketika itu dari Mekah ke Baitul Maqdis memakan masa sebulan pergi sebulan pulang). Jawab Sy Abu Baqar RA tanpa rag--ragu ialah 'bahkan jika lebih jauh dari itu (mikraj) aku tetap beriman dengannya'. Ekoran dari persitiwa ini Sy Abu Baqar diberi gelaran as-Siddiq (yang membenarkan tanpa ragu-ragu). Apakah pengajarannya pada hari ini untuk umat Islam?

Peristiwa Isra dan Mikraj menuntut umat Islam untuk menerima semua yang terkandung di dalam al Quran dan hadis Nabi SAW sepenuhnya. Sikap umat Islam yang meragukan peruntukan yang terdapat di dalam al-Quran samada yang berkaitan dengan syariah dan perundangan pada hari ini (termasuklah meragukan kemampuan perlaksanaan hukum-hukum Islam) samalah seperti mereka yang goyah ketika peristiwa Isra' dan Mikraj ini disampaikan oleh Nabi SAW pada zamannya. Berapa ramai umat Islam yang menentang perkara yang telah qat'i putus dalam al Quran seperti hukum pewarisan, hukum poligami, hukum keadilan dan jenayah dalam Islam. Ada yang tergamak mahu mengharamkan poligami. Kelemahan umat Islam dalam melaksanakan tuntutan hidup poligami tidak ada kena mengena dengan hukum poligami itu sendiri. Bagitu juga ada yang sewenang-wenangnya mempertikai dengan hukum hudud dengan tuduhan ia ketinggalan zaman, tidak sesuai di zaman yang progresif dan tidak sesuai dilaksanakan dalam masyarakat majmuk.

Seterusnya saya sentuh tentang solat dan apa yang Rasulullah SAW saksi dalam perjalanannya. Bahagian yang penting tentang kedudukan Baitul Maqdis saya simpulkan sebagai implikasi paling besar umat Islam dalam menghayati peristiwa Isra' Mikraj hari ini. Huraiannya insyaAllah akan saya kongsikan dalam kesempatan yang lain.

Undangan untuk kuliah Isra' dan Mikraj seterusnya ialah di sebuah surau di Gombak pada 31 Julai 2008.

Hafidzi Mohd Noor

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc