Sunday, August 31, 2008

Special Talks di Pusat Komuniti JIM (PKJ) - Jejak Risalah di nusantara I

Serangan Belanda yang kedua pada tahun 1874 di bawah Gen Van Sweiten

Tawanan pahlawan Aceh

Assalamualaikum,

Pada 29 Ogos yang lalu seperti yang telah dijadualkan 'Special Talks' dalam siri Jejak Risalah di nusantara telah diadakan di Pusat Komuniti JIM (PKJ). Program yang pada awalnya 'oversubscribed' - 48 orang hanya dihadiri oleh sekitar 25 orang (yang lain ada aral melintang pada saat akhir).

Siri pertama berjudul -'Scouck Hurgronje @ Abdul Ghaffur al Hulandi' Siapa beliau? Dalam siri pertama ini saya telah menggariskan beberapa noktah penting yang perlu disematkan dalam fikiran peserta kursus tentang sejarah. Lima noktah utama telah digariskan.

1. Sejarah adalah 'sunnatullah' - sesuatu yang tidak akan lari dari ketentuan hukum alam. Sebagaimana alam fizikal tertakluk kepada hukum alam, begitu juga sejarah. Rengkasnya perilaku manusia akan melahirkan natijah yang secocok. Jika manusia berlaku zalim maka hujungnya ialah kemusnahan. Jika manusia berlaku adil maka natijahnya ialah rahmat Allah dan kejayaan dunia dan akhirat.

2. Sejarah berasal dari Bahasa Arab (Istilah Al Quran) 'Syajarah' yang bererti pokok. sebagaimana pokok yang hidup dan terus membesar begitu jugalah sejarah - ia sesuatu yang hidup dan berterusan. Dalam ertikata yang lain sejarah bukan bicara tentang sesuatu yang silam tetapi apakah kesan dan peristiwa silam pada hari ini dan akan datang. Jika ranting sebuah pokok rosak (perumpamaan satu generasi yang bobrok) maka ia adalah hasil dari 'pentarbiyahan bobrok' generasi sebelumnya'

3. Sejarah sifatnya universal atau 'alami'. Ini sangat cocok dengan umat Islam yang tidak pernah melakarkan batas-batas sempadan politik antarabangsa selama mana konsep umat dipertahankan. Hari ini umat Islam tidak lagi melihat sejarah dalam perspektif yang 'alami' ini kerana konsep umat telah diganti dengan konsep negara bangsa (nation states). Implikasi membicarakan sejarah Melaka dalam konteks yang golbal amat jauh bezanya apabila sejarah melaka dibicarakan dalam konteks kebangsaan (negara Malaysia) yang sempit.

4. Sejarah sifatnya 'holistic'. Apabila ada kecenderungan untuk mengenepikan mana-mana pelaku sejarah kerana mendukung aspirasi nasional yang sempit dan artifisial maka nilai sejarah terhadap sesuatu peristiwa penting (contohnya kemerdekaan) akan hilang. Ia ibarat melihat bulan dari dekat berbanding melihat bulan dari jauh. Apabila mana-mana bahagian bulan difokuskan berbanding sebuah bulan dalam perspektif yang menyeluruh yang tampak ialah kawah-kawah yang huduh. Tetapi jika bulan diperhatikan dalam perspektif keseluruhan maka ia tampak cantik dan mempesonakan - sehingga 'pungguk merinduinya...'

5. Tidak 'selective' dalam menilai sejarah. Sejarah Islam menghidangkan semuanya tanpa ada usaha untuk menyembunyikan mana-mana 'episod hitam' secara sedar. Ini adalah kerana tujuan belajar sejarah adalah untuk mengambil 'ibrah' (peringatan) bukan untuk mendewa-dewakan personaliti tertentu atau ide-ide tertentu yang dipaparkan tanpa sebarang cacat-cela.

Saya mengajak untuk merombak kerangka berfikir tentang sejarah. Istilah yang diberikan oleh akh Mohd Kamal Radhi adalah sangat tepat. Kita perlu 'unlearb' dan 'relearn' sejarah.

Dengan 5 noktah penting itu saya mengupas siri yang pertama berjudul 'Snouck Hurgronje' Siapa beliau? Presentasi yang mengandungi 85 slides dan mengambil masa 1 jam 45 minit ini diharapkan dapat memberikan satu kefahaman yang komprehensif tentang pendekatan yang digunakan untuk memporak perandakan umat Islam Islam di Hindia Timur Belanda (nama lama bagi Indonesia sebelum kemerdekaan) khususnya di Aceh. Pendekatan ini turut dilaksanakan oleh penjajah-penjajah lain dalam menangani umat Islam yang dijajahnya termasuk British di Tanah Melayu.

Secara rengkasnya pendekatan Snouck Hurgronje boleh dirumuskan seperti berikut.

1. Dapatkan 'first hand' information dengan hidup di kalangan masyarakat, hatta dengan memeluk Islam dan berkahwin dengan anak tempatan dan hidup sebagai keluarga muslim.

2. Bezakan di antara Islam yang 'ritual' sifatnya dengan Islam yang 'radicle' (istilah yang digunakan oleh Snouck ialah Pan Islamism).

3. Beri laluan kepada penghayatan Islam dalam bentuk ritual (termasuk mengerjakan ibadah haji) tetapi banteras habis-habisan 'Islam Politiek' (yang bicara tentang jihad)

4. Dekati golongan pemimpin bangsawan dan ketepikan golongan kiyai (ulama) sehingga mereka tidak lagi menjadi 'rallying point'

5. Laksanakan operasi ketenteraan untuk menghapuskan ulama yang memimpin masyarakat kampung/pesantren (Massacre dan polisi 'bumi hangus')

6. Melaksanakan program 'politik asosiasi' iaitu mendekati dan menjadikan golongan bangswan dan golongan adat sebagai sekutu, dilantik untuk mengetuai jabatan-jabatan bagi pihak penjajah dan melaga-lagakan mereka dengan pemimpin agama.

7. Menghidupan adat setempat seperti kejawen untuk mengenepikan Islam yang 'universal' sifatnya. apabila adat dan kepercayaan sebelum Islam dihidupkan maka umat Islam tidak lagi bersatu dan menjadi lemah.

8. Tonjolkan aspek kebudayaan dan warisan hindu buddha (sebelum Islam) melalui kerja-kerja arkeologi membaik pulih tapak-tapak candi dan kuil, menggaji golongan akademia untuk membuat kajian dan membentang wacana tentang kebudayaan pra-Islam demi memutuskan umat Islam dari urat nadi warisan mereka yang sebenar.

Demikianlah beberapa garis kasar pendekatan yang digunakan oleh Snouck Hurgronje untuk menangguhkan proses tajdid di nusantara.

Terima kaseh kepada Akh Wan Muhammad dari JIMedia yang menyusun siri 'Special Talks' ini. Mungkin satu module boleh dikemukakan sebagai satu package lengkap untuk public.

Siri special talks nusantara ini melibatkan 5 tajuk.

1. Siapa Snouck Hurgronje?

2. Apa yang diwariskan Islam kepada nusantara?

3. Sejarah Melaka dalam konteks yang global

4. Tuk Janggut dan khilafah Uthmaniyah

5. Ulama nusantara di Tanjung Pengharapan (Afrika Selatan)

Dr Hafidzi Mohd Noor

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc