Friday, September 26, 2008

Interview dgn Pengarah PACE - Rintangan Rundingan Damai di akhbar Utusan Malaysia - 27 September 2008


Rintangan rundingan damai


SEBARANG rundingan damai di Palestin tidak boleh menafikan kewujudan kumpulan Hamas yang mendapat sokongan majoriti rakyat Palestin meskipun tidak diiktiraf oleh AS dan Israel. 
- AP


SEJAK Liga Arab terutamanya Mesir merintis rundingan damai di antara kumpulan pejuang Palestin yang bertelagah termasuk Hamas dan Fatah beberapa bulan lalu, usaha itu sehingga kini mendapat reaksi positif daripada kebanyakan pihak yang mengharapkan perdamaian di bumi bergolak itu.

Sepanjang bulan Ramadan ini, Mesir yang diketuai oleh Ketua Perisikannya, Omar Soleiman telah menemui lebih daripada 12 kumpulan pejuang Palestin dengan hasil yang dirumuskan beliau 'bakal adanya perdamaian meskipun masih jauh'.

Pertemuan itu bakal disambung pada 8 Oktober ini sebelum semua pihak dijadualkan berbincang dalam pertemuan penting di Mesir pada November akan datang.

Rundingan damai itu antara lain bertujuan membentuk sebuah kerajaan baru menerusi pilihan raya legislatif memandangkan mandat Presiden Mahmoud Abbas akan berakhir pada Januari tahun depan.

Bagaimanapun, pilihan raya itu mencetus tanda tanya besar apakah bakal menerima nasib sama dengan pilihan raya pada 2006 apabila Hamas yang dipilih oleh rakyat Palestin dinafikan kemenangan.

Sekiranya situasi itu berulang, kemelut politik dalaman Palestin dilihat tidak akan banyak berubah memandangkan Amerika Syarikat (AS), Israel serta negara-negara Liga Arab sendiri tidak akan mengiktiraf kerajaan yang dipilih oleh rakyat Palestin.

''Jika sistem demokrasi di Palestin pada 2006 dinafikan oleh kuasa-kuasa yang mempengaruhi kedamaian di Asia Barat, apakah yang akan menyebabkan mereka menukar pendirian jika keputusan yang sama tetap menyebelahi Hamas dalam pilihan raya akan datang?," demikian seperti yang dijelaskan oleh Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (Pace), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor ketika diajukan persoalan tentang usaha rundingan damai tersebut.

Kemelut

Meskipun meletakkan harapan untuk melihat rundingan damai itu berjaya mengakhiri kemelut politik dalaman di Palestin, namun Hafidzi berkata, ia tidak dapat mengelak daripada berdepan dengan beberapa isu yang boleh merencatkan kejayaannya.

Isu utama jelas beliau, ialah pendirian Liga Arab sendiri yang tidak memihak kepada Mahmoud Abbas sekali gus menjadi penghalang utama kepada tercapainya sebarang kemajuan dalam usaha penyatuan Palestin.

Berdasarkan perjanjian Mekah 2007, dokumen persetujuan kebangsaan Palestin dan persidangan San'a di Yemen antara delegasi Hamas dan Fatah baru-baru ini, Hamas sangat komited kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan Palestin.

Namun apa jua persetujuan ke arah merealisasikan kerajaan perpaduan itu tidak seharusnya mengorbankan beberapa prinsip asas antaranya menolak pengiktirafan Israel dan tidak meneruskan usaha perdamaian tajaan AS yang akan mengorbankan hak rakyat Palestin khususnya yang berkaitan dengan tuntutan Baitulmaqdis dan hak pelarian untuk pulang ke tanah air.

Isu kedua mengapa usaha damai itu dilihat penuh ranjau jelas Hafidzi, ialah dasar dan tindakan yang diambil oleh kerajaan Mahmoud Abbas di Tebing Barat.

Mahmoud Abbas yang tunduk kepada tekanan AS atas nama membendung 'keganasan' telah mengharamkan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kebajikan antarabangsa untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan di Tebing Barat.

Hakikatnya, NGO dan agensi kebajikan itu merupakan tempat pergantungan sebahagian besar rakyat Palestin yang hidup tertindas akibat polisi Israel yang sengaja melumpuhkan ekonomi Palestin.

Isu lain yang dilihat bakal merumitkan usaha perdamaian itu juga menurut Hafidzi, ialah kepungan ke atas Gaza yang kini mencetuskan tragedi kemanusiaan yang terbesar abad ini.

Sehingga kini, Agensi Pekerjaan dan Pemulihan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UN- WRA) membekalkan 80 peratus dari keperluan makanan asas kepada rakyat Palestin di Gaza.

Namun, pelbagai bentuk sekatan termasuk bekalan bahan api, tenaga elektrik dan kemudahan asas lain menyebabkan agensi bantuan antarabangsa itu menghadapi pelbagai masalah logistik untuk terus membantu rakyat Palestin.

''Kepungan yang masih tidak menunjukkan sebarang petanda untuk dihentikan itu menyebabkan hampir 98 peratus kilang terpaksa ditutup sekali gus menjerumuskan Gaza ke arah pertumbuhan ekonomi yang negatif," ujar beliau.

Ketika ditanya sejauh mana kemungkinan Tzipi Livni dilantik sebagai Perdana Menteri Israel yang baru mempengaruhi usaha damai Hamas-Fatah, Hafidzi menjelaskan, kedudukan Israel selepas era Ehud Olmert tidak akan menjanjikan apa-apa perkembangan positif ke arah pembebasan Palestin.

Malah jelas beliau, gabungan di antara Livni dan Ehud Barak dari parti Buruh hanya akan mengukuhkan lagi cengkaman Israel ke atas Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Sejarah kepimpinan Israel sama ada ketika era Yitzhak Rabin, Netanyahu, Ariel Sharon, Barak atau Olmert ujar Hafidzi, mengetengahkan polisi-polisi yang secara jelas menindas dan menafikan hak rakyat Palestin terutamanya di Tebing Barat yang masih kekal sehingga kini.

Ketegangan

Diskriminasi dan pencabulan hak seperti projek mengYahudikan Baitulmaqdis, pelbagai sekatan perjalanan ke atas rakyat Palestin termasuk menafikan penduduk Baitulmaqdis untuk bersolat di Masjid al- Aqsa misalnya, meninggalkan ketegangan yang panjang di antara warga Palestin dan Yahudi.

''Justeru, sesiapa pun yang menjadi Perdana Menteri Israel atau sama ada parti Kadima, Likud atau Buruh yang berkuasa, akan tetap meneruskan dasar mengYahudikan Baitulmaqdis, mengekalkan status Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan meneruskan pendudukan Israel ke atas Tebing Barat," katanya.

Menyingkap reaksi dingin AS dalam perundingan damai Hamas-Fatah itu pula, Hafidzi menjelaskan, ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana kuasa besar itu masih melihat Hamas sebagai kumpulan pengganas, justeru tidak akan sesekali melibatkan Hamas dalam perjanjian damai Palestin.

Ini menjelaskan mengapa AS memandang sepi persetujuan Mekah yang dicapai di antara Fatah dan Hamas pada 2007 yang seharusnya membuka laluan kepada penubuhan kerajaan perpaduan Nasional Palestin.

Pendirian AS terhadap usaha damai terbaru itu juga menggambarkan bahawa negara itu tidak akan memberi sokongan, malah akan cuba menggagalkan usaha ke arah penyatuan Palestin yang disertai oleh Hamas.

Berbeza dengan Rusia yang berulang kali menyuarakan harapan yang tinggi terhadap perundingan damai itu, Hafidzi menjelaskan, negara itu cuba melahirkan keseimbangan kuasa di Asia Barat seterusnya mengharapkan sesuatu yang positif daripada inisiatif Liga Arab tersebut.

Sokongan Rusia yang lebih tertumpu kepada Palestin dalam krisis di Asia Barat itu ternyata tidak menggembirakan AS dan Israel yang melihat negara itu sebagai penghalang kepada usaha memusnahkan kekuatan ketenteraan Iran seterusnya mengukuhkan hemegoni mereka di Asia Barat.

Ini juga menjelaskan mengapa Rusia secara tiba-tiba berdepan dengan isu membabitkan Osetia Selatan dan pertelagahan dengan Georgia yang secara jelas memperlihatkan campur tangan secara langsung AS dan Israel dalam mengekang kekuatan negara tersebut.

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc