Monday, June 15, 2009

Sumbangan Tabung Palestin dari PERTIS

Bergambar bersama Yg BHg KP JAKIM (kiri) dan Presiden PERTIS dalam
majlis penyerahan Tabung Palestin.
Cikgu Zakaria, Presiden PERTIS menyampaikan sumbangan Palestin
bagi pihak ahli-ahli PERTIS. Dr Hafidzi dari PACE menerima bagi pihak JIM/PACE.

Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PERTIS oleh
Yg Bhg KP JAKIM Dato' Wan Muhammad Bin Dato' Sheikh Abdul Aziz.



Assalamualaikum,

Pada 13 Jun 2009, saya telah mewakili Hj Zairul Syahfuddin Zainal Abidin selaku Pengerusi JK Perhubungan Antarabangsa JIM bagi menerima sumbangan tabung Palestin dari PERTIS (Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia) di ILIM (Inst Latihan Islam Malaysia), Bangi. Sumbangan ini telah disampaikan oleh Ketua Pengarah JAKIM Yg Bhg. Dato Wan Mohammad bin Dato' Sheikh Abd Aziz. Sumbangan yang diterima dari pihak PERTIS ialah berjumlah RM640.00. Sumbangan ini amat besar maknanya dan jelas ia menggambarkan sokongan umat Islam dari kalangan mereka yang kekurangan dari sudut fizikalnya, tetapi tetap prihatin dan tidak mahu ketinggalan menyata solidariti bersama umat Islam Palestin. Pengorbanan mereka semakin menginsafkan kerana sebahagian besar dari ahli-ahli PERTIS sendiri menghadapi pelbagai kesulitan termasuklah dalam hal mendapatkan pekerjaan tetap. Ini didedahkan sendiri oleh Penasihat PERTIS di mana meskipun kerajaan telah memperuntukkan 1% dari kakitangan awam adalah dari kalangan OKU (Orang Kurang Upaya) atau 10,000 jawatan dari lebih kurang 1 juta kakitangan awam, namun hakikatnya hanya 500 sahaja yang diterima mengisi jawatan dalam perkhidmatan awam.

Penyerahan ini dibuat di dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PERTIS yang ke 14. Dalam ucapan alu-aluannya, Presiden PERTIS, Cikgu Zakaria juga berkongsi beberapa kejayaan yang dicapai oleh PERTIS. Ini termasuklah kejayaan menerbitkan Al-Quran Braille berdasarkan kod Braille yang diterima di peringkat antarabangsa. Di dalam Majlis ini juga beberapa naskhah Al-Quran Braille diserahkan kepada wakil-wakil PERTIS di peringkat negeri. Yg Bhg KP JAKIM juga memaklumkan tentang penerimaan beberapa orang anak-anak cacat penglihatan untuk diterima belajar di Darul Quran, sebuah Institusi berprestij yang melahirkan graduan hafiz Quran dari kalangan mereka yang cemerlang dari sudut akademik.

Alhamdulillah, peluang untuk mengenali PERTIS membuka ruang kerjasama di antara PERTIS dan JIM/PACE dalam isu membela rakyat Palestin dan juga kerjasama lain yang boleh dirintis selepas ini.

Dr Hafidzi Mohd Noor

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc