Friday, September 18, 2009

Ulasan Pengarah PACE dlm Utusan Malaysia 16 September 2009

Perjanjian damai Israel-Palestin terburu-buru
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

AKHBAR harian utama Israel, Haaretz awal bulan ini mendakwa berjaya menghidu usaha menghidupkan semula perjanjian damai di Asia Barat yang ditaja oleh Amerika Syarikat (AS). Menurut akhbar itu, perjanjian damai itu berteraskan tiga kesepakatan utama.

Pertama, ia berlandaskan peta perdamaian (Road Map) 2003. Keduanya, tempoh rundingan yang ditetapkan ialah selama dua tahun iaitu bermula pada akhir September ini. Ketiga, AS sendiri akan menyertai dan memainkan peranan aktif dalam perjanjian damai itu bahkan akan duduk semeja dalam pasukan perunding Palestin dan Israel.
Lebih lanjut, Haaretz juga mendakwa kerajaan Israel merancang untuk mengadakan pertemuan penting antara ketiga-tiga pemimpin negara iaitu Presiden AS, Barack Obama; Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Pertemuan itu dijangka diadakan dalam sela masa ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dijadual berlangsung di New York pada 23 September ini. Dibuat secara terburu-buru, perjanjian damai itu tidak sukar untuk ditelah sebagai permainan Israel untuk memperlihatkan kepada dunia kedegilan Palestin yang menolak sebarang usaha perdamaian.

Israel sangat menyedari tanpa memasukkan persetujuan menghentikan perluasan pemukiman Yahudi terutamanya di Tebing Barat dan Baitulmaqdis, mana-mana perjanjian damai yang cuba dihidupkan tidak mungkin akan berjaya.

Bagi Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor, perjanjian damai ini adalah contoh terbaru Israel menggunakan pendekatan provokasi untuk tidak memenuhi tuntutan rakyat Palestin.

Israel mengugut Pihak Berkuasa Palestin (PNA) supaya membendung intifada, tetapi pada masa yang sama meneruskan agenda merampas tanah Arab, merobohkan rumahrumah mereka dan membangunkan penempatan Yahudi.

Apabila rakyat Palestin bertindak balas, PNA dituduh gagal menangani keganasan. Akhirnya, pelan damai itu menjadi satu lagi inisiatif yang tidak mungkin dapat dilaksanakan. Sesuatu yang menimbulkan tanda tanya ialah pendirian PNA/Fatah yang menerima rancangan pelan damai itu.

Bukan sahaja mustahil bagi PNA mempertahankan status quo, malah melalui pelan damai, PNA ditekan untuk menerima syarat-syarat bertulis serta tidak bertulis yang menggadai masa depan rakyat Palestin.

Pihak Israel mengugut PNA supaya menggugurkan tuntutan Resolusi 194 yang menjamin hak pelarian untuk pulang ke kampung halaman. Selain itu, PNA juga didesak mengiktiraf Israel sebagai 'negara Yahudi'.

Ini adalah agenda jangka panjang Zionis untuk menutup peluang pelarian Palestin pulang ke kampung asal mereka. Pengiktirafan ini juga akan memberi justifikasi kepada Israel untuk melaksanakan polisi berteraskan perkauman bagi memastikan Yahudi tetap dominan di Israel.

''Kesimpulannya, pelan damai yang dikemukakan oleh Israel hanya bertujuan menekan dan mengharamkan perjuangan rakyat Palestin dan hak mereka untuk mempertahankan diri daripada pencabulan hak asasi yang berterusan," ujar Hafidzi.
Usaha damai terkini yang sedang diusahakan oleh AS ini juga boleh dinilai berdasarkan kepada Pelan Damai 2003 yang terbukti gagal. Berdasarkan pelan damai itu, negara Palestin merdeka dalam konteks 'Two State Solution' atau Penyelesaian Dua Negara sepatutnya sudah tercapai pada tahun 2005.

Namun fasa I yang mana tempoh pelaksanaannya adalah sehingga Mei 2003 menemui kegagalan. PNA dinilai gagal untuk membendung Hamas dan semua gerakan pembebasan Palestin daripada meneruskan agenda penentangan mereka.
Kegagalan PNA/Fatah dijadikan sebagai alasan untuk Israel meneruskan agenda pendudukan dan pembinaan penempatan di wilayah yang diduduki khususnya Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat.

Bahkan semua perjanjian atau rundingan selepas Pelan Damai termasuklah terakhir pada 2007 iaitu Konferens Annapolis menyaksikan Israel terus bertindak menggagalkan usaha damai di Palestin.

Tanpa mempedulikan bantahan masyarakat antarabangsa bahkan 'teguran' Obama sendiri, Israel meneruskan projek pembinaan rumah dan apartmen di Tebing Barat dan kawasan penduduk Arab di Baitulmaqdis.

Antaranya projek pembinaan 455 buah unit penempatan baru di Tebing Barat serta 480 unit apartmen di sekitar Baitulmaqdis. Projek yang diluluskan oleh Netanyahu itu adalah sebahagian daripada lebih 2,500 buah rumah yang dalam pembinaan.

Hafidzi menambah, persoalan mengapa inisiatif perjanjian damai ini ingin dicapai sebelum Perhimpunan Agung PBB pada akhir September ini, bertujuan memulihkan imej Israel yang tercalar akibat tindakan biadab menyerang Gaza awal tahun ini.

Pandangan umum masyarakat antarabangsa tidak lagi memihak kepada Israel. Seruan untuk memulau barangan Israel dan memulau syarikat yang melabur di Israel juga mendapat momentum yang memberangsangkan di peringkat antarabangsa.

Israel mesti melakukan sesuatu untuk meyakinkan antarabangsa bahawa negara itu masih berminat untuk mencapai perdamaian dengan Palestin dan mempunyai komitmen untuk menjayakan penyelesaian dua negara.

''Israel mengharapkan inisiatif ini mendapat dokongan moral pada sidang PBB dan imejnya dapat dipulihkan. Walhal dunia kini menyedari komitmen Israel tidak lebih daripada retorik semata-mata," jelas beliau.

Untuk Asia Barat mencapai perdamaian yang tulen, Tel Aviv dan Washington tidak perlu berdolak-dalik. Apa yang perlu dilakukan ialah AS mendesak Israel supaya akur kepada Resolusi PBB khususnya 149 (1949), 242 (1967) dan 267 (1969) iaitu Hak Pelarian Palestin untuk pulang.

Israel juga mesti berundur ke Garis Hijau 1967 dan membatalkan pengisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibu negara mereka. Ini adalah ketetapan antarabangsa dan bukan tuntutan rakyat Palestin semata-mata.

Jelas Hafidzi, jika AS mempertingkatkan usaha menguatkuasakan resolusi tersebut ke atas Israel, maka jalan untuk mencipta perdamaian terbentang luas.

''Namun jika AS dan Israel tetap berdegil mencabar ketetapan PBB dan undang-undang antarabangsa maka usaha damai tetap akan menemui jalan buntu,'' ujar beliau.

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc