Thursday, October 15, 2009

Brunei adalah benteng umat dalam Sejarah - Sedutan dari Jejak Risalah di Nusantara Jilid 2


Assalamualaikum,
Saya telah menyiapkan satu bab dalam Jejak Risalah di Nusantara Jilid 2 yang berjudul 'Brunei berhadapan dengan Portugis dan Sepanyol'. Jika Melaka dapat ditaklukkan dalam tempoh 2 minggu tetapi Brunei terus bertahan dan tetap merdeka pabila berdepan dengan dua kuasa maritim Eropah iaitu Sepanyol dan Portugis. Semuga legasi ini menempatkan Brunei kembali sebagai benteng umat Islam di nusantara kini.
Saya kongsikan sedutan dari bab tersebut:
......Jika Portugis melihat Brunei lebih dari sudut kepentingan perniagaannya, Sepanyol pula melihat Brunei sebagai satu ancaman kepada jajahan takluknya di Filipina khususnya di Luzon. Ini ditambah lagi dengan hubungan kekeluargaan yang wujud di antara Keluarga di Raja Brunei dan kesultanan Manila. Solidariti ini semakin kukoh atas dasar agama Islam. Oleh kerana Sepanyol yang sudah menguasai Manila dan Pulau Luzon berhasrat untuk menyebarluaskan agama Kristian maka Brunei sebagai pusat dakwah Islam perlu ditundukkan.
Sepanyol mendapat peluang untuk melaksanakan perancangan jahatnya apabila tercetus perselisihan di antara Sultan Saiful Rijal (anak kepada Sultan Abdul Kahar) dengan Pengiran Seri Lela dan Pengiran Seri Ratna. Pangeran Seri Lela dan Pangeran Seri Ratna pernah mengadap gabenor Sepanyol di Manila berjanji untuk memberi pertolongan kepada Sepanyol jika mereka menyerang Brunei. Setelah mendapat pengakuan dan keyakinan dari kedua Pangeran, Dr. Francisco de Sande, Kapten-Jeneral Sepanyol di Manila telah bertolak ke Brunei dengan 40 buah kapal perang.[1] Pada 13 April 1578, setelah sampai di sebuah pulau berhampiran perairan Brunei, de Sande telah menghantar surat melalui dua orang utusan. Di antara lain isi kandungan surat de Sande adalah seperti berikut;
”Telah terdengar khabar-khabar angin mengatakan Duli Tuanku telah dan sedang mencuba untuk mengganggu dan menyerang kami; Duli Tuanku telah cuba memujuk dan menghasut penduduk Luzon dan daerah-daerah lain supaya memberontak dan menderhaka terhadap pihak patik; Duli Tuanku telah menghantar penyuluh (pengintip) ke Cebu dan daerah-daerah lain; Duli Tuanku telah meninggalkan negara Duli Tuanku dengan kapal-kapal perang semata-mata bertujuan memerangi pihak patik. Semua ini Duli Tuanku tidak faham mengapakah Duli Tuanku bertindak demikian, sedangkan hasrat patik untuk berbaik-baik dengan sesiapa sahaja tanpa mengandung maksud jahat. Oleh kerana patik hendak datang membuat perundingan secara ikhlas dan berterus terang dengan Duli Tuanku, patik tegaskan di sini kedatangan patik bukanlah untuk merompak dan menganiaya Duli Tuanku, bahkan adalah untuk berbakti kepada Duli Tuanku; kerana Raja patik memerintahkan berbuat demikian dan oleh itu patik sukacita menyatakan kepada Duli Tuanku bahawa patik akan mengadap Duli Tuanku. Raja patik, Raja Kastila, melalui patik-patik rakyat baginda, telah membelanjakan wangnya menghantar patik-patik ke seluruh bahagian dunia dengan tujuan menyebarkan ajaran-ajaran Tuhan yang sebenar. Dengan tujuan itulah patik datang kemari dan sekarang patik ingin berbicara dengan Duli Tuanku, terutamanya agar Duli Tuanku dapat mengenal Tuhan dan Pencipta, dan untuk mengajar Duli Tuanku ajaran yang sebenar.
Perkara yang seharusnya Duli Tuanku lakukan ialah menerima paderi-paderi Kristian ke negeri Duli Tuanku serta memberi jaminan keselamatan sepenuhnya kepada mereka menyebarkan ajaran Kristian; dan begitu juga sesiapa sahaja di antara rakyat Duli Tuanku hendaklah diberi kebebasan dan kebenaran menghadiri syarahan-syarahan ajaran Kristian, dan sesiapa juga berhasrat memeluk agama Kristian bolehlah berbuat demikian tanpa sebarang gangguan ke atasnya.
Seterusnya patik menghendaki supaya Duli Tuanku jangan menghantar mubaligh-mubaligh ajaran Mahoma (Muhammad) ke mana-mana bahagian kepulauan ini atau kepada orang Tingues (orang bukit), yang masih jahiliah itu, bahkan lebih-lebih lagi tidak juga akan menghantar ke kawasan-kawasan pulau Duli Tuanku sendiri – kerana ajaran Mahoma (Muhammad) itu adalah palsu dan mengandungi ajaran syaitan (astaghfirullah-ul-azim, pen.), sedangkan ugama Kristian sahajalah yang benar, suci dan baik.
Begitu juga Duli Tuanku mestilah melarang rakyat Duli Tuanku memungut ufti di pulau-pulau ini oleh kerana pihak patik sendiri memungut ufti daripada mereka, kerana itu adalah hak Raja patik.. Oleh sebab patik-patik datang melalui jalan laut dan menhendaki bekalan makanan, Duli Tuanku mestilah menghantar makanan untuk patik-patik seperti yang dikehendaki oleh utusan-utusan patik yang akan dibayar dengan wang tunai. Ini akan dibayar kepada Duli Tuanku, mengikut yang Duli Tuanku kehendaki; dan untuk tujuan itu patik-patik ada membawa emas dan perak. Patik dengan sukacita mengharapkan balasan dari Duli Tuanku dan membuat perundingan dengan Duli tuanku. Berilah patik jawapan seberapa segera. Semuga Tuhan memancarkan cahaya kebenaran kepada Duli Tuanku dan sentiasa dalam sihat wal’afiat.”[2]
Surat berbahasa Sepanyol yang dibawa oleh utusan dikoyakkan dan hanya surat yang diterjemahkan ke bahasa melayu yang dipersembahkan. Baginda Sultan Saiful Rijal telah bertitah dengan penuh murka.
... Jadi begini caranya orang-orang kamu menulis kepada beta, seorang Raja; sedangkan orang-orang Kastila (Sepanyol) adalah kafir, ... orang-orang yang tidak mempunyai ruh, yang akan disambar oleh api neraka apabila mereka mati, dan juga kerana mereka memakan daging babi...[3]
Isi kandungan surat yang penuh penghinaan kepada Rasulullah SAW dan kepada agama Islam telah menutup sebarang peluang untuk berunding dengan pihak Sepanyol. Dr de Sande amat angkuh apabila meminta Sultan menghentikan usaha dakwah di pulau-pulau Filipina bahkan di pulau-pulau di dalam jajahan takluk Kerajaan Brunei tetapi membenarkan pula paderi-paderi Kristian berkeliling negeri menyampaikan ajaran Kristian dengan mendapat perlindungan penuh dari Sultan. Di samping itu Sultan juga dilarang memungut ufti (cukai) yang menjadi hak mutlak Sultan. Semua tuntutan yang penuh penghinaan ini tidak membawa maksud lain selain dari mengundang perseturuan.
Surat yang dikirim oleh Dr. de Sande adalah satu lagi contoh provokasi yang sengaja dirancang oleh penjajah yang berniat buruk. Mereka bukan mencari peluang perniagaan dengan menggunakan pendekatan diplomasi. Mereka sengaja mencari titik permusuhan untuk mewajarkan tindakan kekerasan di pihak penjajah Sepanyol. Hasrat mereka bukan untuk membina hubungan dagang tetapi untuk menjarah, merampok dan memaksakan agama dan cara hidup mereka kepada negeri yang menjadi sasaran penjelajahan mereka. Hasrat mereka dinyatakan secara terang-terangan dan bertulis seperti yang terkandung di dalam surat yang diutus oleh Dr de Sande. Cara biadap dan tidak bertamaddun ini amat jauh berbeza dengan pendekatan Admiral Muhammad Cheng Ho @ Zheng He yang menggunakan pendekatan diplomasi bagi mengukuhkan setiakawan dan kemakmuran bersama dengan negara-negara yang diziarahinya.
Pada 14 April, de Sande mengistiharkan perang dan menembak kapal-kapal Brunei.[4] Angkatan laut Brunei terpaksa berundur kerana kekuatan senjata Sepanyol yang lebih hebat. Meriam-meriam angkatan laut Brunei tidak setanding dengan meriam Sepanyol yang dapat menembak sasaran pada jarak yang lebih jauh. Penduduk kampung air dan darat meninggalkan Bandar Brunei dan berlindung di hutan-hutan kecuali pasukan Pengiran Bendahara Sakam berkubu di Pulau Ambok. Sultan Abdul Kahar dan Sultan Saiful Rijal berangkat ke Meragang dan dari sana ke Jerudong. Setelah angkatan laut Brunei menyingkir maka pada 16 April de Sande dan askar-askarnya mendarat dan menggeledah Istana Begawan Sultan Abdul Kahar. Mereka turut menggeledah rumah pembesar serta merampas barang-barang berharga. Pada 20 April de Sande mengistiharkan penaklukan Brunei oleh Sepanyol dan seluruh tanah jajahannya. De Sande mengangkat Pengiran Maharaja Diraja (Pangeran Seri Ratna) sebagai Gabenor Sepanyol di Brunei. De Sande menjadikan istana Sultan sebagai pengkalan dan kubu-kubu pertahanan mula dibina oleh askar Sepanyol.
Pengunduran angkatan Brunei sebenarnya hanyalah satu taktik bagi mengimbangi kekuatan angkatan Sepanyol. Ternyata selama dua bulan iaitu dari 25 April sehingga 25 Jun, pasukan de Sande menghadapi serangan ala gerila yang disusun oleh Pengiran Bendahara Sakam. Mungkin sebagai tindakan balas, de Sande telah mengarahkan askar-askarnya membakar Masjid Jame’ Brunei pada 23 Jun 1578. Masjid terbakar habis sepanjang malam tanpa meninggalkan apa-apa bekas. Kemudian dengan cara yang tergesa-gesa de Sande meninggalkan Brunei setelah diusir oleh Pengiran Bendahara Sakam ke Nausang (Sabah). Kemudian Pengiran Bendahara Sakam menjunjung Sultan Saiful Rijal balik ke Brunei dan mengejar serta membunuh Pengiran Maharaja Diraja (Pangiran Seri Ratna) di Bukit Jambu dan Pangiran Seri Lela di Belait yang telah berkhianat. Sementara itu Sultan Saiful Rijal menitahkan seluruh rakyat membina kubu, mengumpul senjata dan makanan bagi menghadapi kemungkinan di serang Sepanyol lagi.
Ada dua perkara yang perlu diulas mengenai perang Brunei dan Sepanyol yang disebut dalam sejarah sebagai perang Kastela (Castille). Pertama ialah tindakan de Sande membakar masjid Jame’ Brunei. Seperti yang menjadi modus operandi penakluk-penakluk Portugis dan Sepanyol di serata dunia, mereka akan merampok rumah-rumah ibadat samada temple atau masjid serta mencemarinya termasuk membakarnya seperti di Melaka dan Kalikat. Tetapi dalam peristiwa penyerangan di Brunei, de Sande menunggu sehingga dua bulan selepas menduduki Brunei sebelum bertindak membakar masjid Jame’. Tindakan ini boleh ditafsirkan sebagai strategi sementara untuk membina pakatan dengan Pangiran Maharaja Diraja yang belot dan khianat kepada Sultan.[5] Tetapi serangan ala gerila yang disusun oleh Pangiran Bendahara Sakam berkemungkinan telah menimbulkan kemarahan yang mendalam ke atas angkatah Sepanyol yang telah mengalami penderitaan dan kerugian yang besar. Masjid dibakar sebagai tanda kemarahan kepada umat Islam, apatah lagi tujuan Sepanyol bukan sekadar menakluk Brunei tetapi didasari dengan rasa benci yang meluap-luap terhadap Islam.
Perlu juga diamati, sebaik sahaja masjid dibakar, de Sande meninggalkan Brunei dengan seluruh askarnya. Alasan yang dikemukakan ialah askar-askar Sepanyol ditimpa oleh penyakit sehingga mereka tidak berupaya untuk berperang. Ini dinyatakan oleh de Sande kepada Raja Felipe II dalam laporannya yang bertarikh 20 Julai 1578.
Selepas ini, apabila saya telah menawan lebih kurang 4,000 atau 5,000 orang Moro (Islam) yang menetap di sana – di antara mereka ialah ayah saudara Sultan, dan seorang saudara sepupu yang dilantik menjadi kapten-jeneral perang, Raja Brunei berterusan bersembunyi di kawasan bukit dan lurah di serata pulau tersebut – dan apabila saya mengumpulkan dan memanggil orang-orang saya, Tuhan telah mentakdirkan kesemua askar-askar saya jatuh sakit. Saya terpaksa belayar balik demi menyelamatkan mereka, sebagaimana yang akan Kebawah Duli Yang Maha Mulia terima melalui perhubungan yang saya hantar kepada Majlis Mesyuarat Diraja di Indies.[6]
Apa yang berlaku kepada angkatan Sepanyol? InsyaAllah ini akan diulas sepenuh di dalam buku tersebut. Nantikan penerbitannya....
Dr Hafidzi Mohd Noor
------------------------------------------------------------------------
Nota kaki
[1] Ibid., hlm. 32. Angkatan ini terdiri dari 300 – 400 orang askar Sepanyol, 300 orang muslim dan 1,500 orang Kristian dari Filipina. Menurut D. Leake, Jr., De Sande lebih dahulu menghantar utusan ke Brunei pada tahun 1576 dengan ugutan supaya Sultan Brunei menghentikan aktiviti dakwah Islam di Luzon dan Sulu. Sultan menolak mentah-mentah dan membunuh salah seorang utusan Sepanyol dan memenjarakan yang lain bersama enam orang pengiring muslim bersama mereka. Ibid., hlm. 17. Setelah misi ini gagal, De Sande sendiri mengetuai angkatan perang ke Brunei pada 3 Mac, 1578. Setibanya di Brunei, dua orang berbangsa muslim diutus kepada Sultan Brunei dengan mengulangi tuntutan yang serupa. Kedua utusan ini bernama Martin atau Magat (Megat) dan Magat China dari Balayan, Luzon. Sultan bertindak membunuh Martin dan memenjarakan seorang lagi utusan. Setelah dua hari De Sande tidak menerima berita dari utusan-utusannya, maka serangan ke Muara diatur. Ruj. J. S. Carroll, Francisco De Sande’s Invasion of Brunei in 1578; An Anonymous Spanish Account. In BMJ. 1986, Vol. 6(2): 47 – 71. Juga rujuk D. E. Brown, Spanish Accounts of Their Expeditions Against Brunei in 1578-79, In BMJ, 1974, Vol. 3(2): 180 – 221.
[2] Blair, E. H. & Robertson, J. A. (ed.), The Philippine Islands, Vol. IV, hlm. 152. Surat ini sebenarnya ditujukan kepada Sultan Saiful Rijal tetapi telah dihadapkan kepada Begawan Sultan Abdul Kahar (Raja Tua) menunjukkan orang Sepanyol lebih mengenali Begawan Sultan Abdul Kahar. Dirujuk dari Sanib Said, Perang Kastila T.M. 1578, Suatu Penilitian Semula, hlm. 123 – 138, (dlm.) Brunei di tengah-tengah Nusantara, (Kumpulan Kertas Kerja Seminar Sejarah Brunei) disunting oleh Awang Hj Muhammad Abd. Latif et. al. Jab. Pusat sejarah, Kem. Kebudayaan Belia dan Sukan, Bandar Seri Begawan, 1994; Teks surat ini dalam bahasa Inggeris dan terjemahan boleh dirujuk dalam Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr Hj. Awang Mohd Jamil Al-Sufri, Latar Belakang Sejaran Brunei, Pusat Sejarah Brunei, Kem. Kebudayaan, Belia dan Sukan, Bandar Seri Begawan, 2000, hlm. 28 – 30; dan lampiran B, hlm. 75 – 77.
[3] Nicholl, R, op. cit., hlm. 47 – 48; dirujuk oleh Pengiran Dr Karim bin Pengiran Haji Osman, op. cit.,hlm. 42 – 87. (terjemahan dalam bahasa melayu oleh pen.)
[4] Kronologi Perang Kastila ini disusun oleh sanib Said dari pelbagai sumber barat , Ruj. Sanib Said, op. cit., hlm. 135 – 136.
[5] Sebenarnya Pangiran Maharaja Diraja atau Pangiran Seri Lela dan Pangiran Seri Ratna tidak senang dengan perbuatan Pangiran Bendahara Sakam. Pangiran Bendahara Sakam mempunyai tabiat mengambil isteri dan anak gadis pembesar-pembesar untuk dijadikan isteri dan gundiknya. Kemuncaknya ialah apabila dia melarikan anak Pangiran Seri Lela yang sedang bersanding dengan anak Pangiran Seri Ratna. Mereka tidak berpuas hati apabila Sultan memaafkan Pangiran Bendahara Sakam dan sebaliknya Pangiran Seri Lela dihukum buang negeri ke jajahan Kimanis. Oleh kerana ini Pangiran Seri Lela telah belot kepada Sepanyol dan berjanji akan membantu Manila menaklukkan Brunei. Pakatan yang terbentuk di antara Pangiran Seri Lela dan Sepanyol diperkuat apabila anak perempuan Pangiran Seri Lela dikahwinkan dengan Don Augustine, Ketua Sepanyol di Tondo, Manila. Ibid., hlm. 125 – 127. (pen. Sukar untuk menilai tindakan Pangiran Bendahara Sakam yang merampas isteri orang dan di masa yang sama, Pangiran Seri Lela pula mengahwinkan anak perempuannya dengan orang Sepanyol. Tindakan Pangiran Bendahara Sakam jelas merupakan satu kezaliman yang sepatutnya ditentang oleh Sultan. Di satu segi Pangeran Seri Lela berhak merasa marah dan tercabar, tetapi tindakannya memihak kepada Sepanyol, bahkan mengahwinkan anaknya dengan ketua Sepanyol juga adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima)
[6] Teks dalam bahasa Inggeris boleh dirujuk dalam Blair & Robertson (ed.), The Philippine Islands, Vol. IV, op. cit., hlm. 126. Terjemahan bahasa melayu dikutip dari Sanib Said, Perang Kastila, op. cit., hlm. 131.

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc