Tuesday, October 20, 2009

Mohon Doa dari semua

Bergambar sekeluarga sempena MAN 09

Assalamualaikum,

Saya memaklumkan bahawa saya dan isteri akan bertolak ke Guong chou, China untuk menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang esok hari Khamis 22 Okt. Kami mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada kaum keluarga, jiran-jiran, sahabat handai dan sesiapa juga yang mengenali kami atas sebarang kesilapan. Sudilah kiranya memanjatkan doa agar pembedahan ini berjaya dan saya kembali dengan kesihatan yang lebih baik dari kini. Ilaliqa' (semuga bertemu kembali)

Dr Hafidzi Mohd Noor/Hjh Zuraidah Kornain

-------------------------------------------------

Di bawah ini ialah coretamn penghargaan kepada sahabat-sahabat yang telah banyak berkorban dan menyumbang untuk perbelanjaan perubatan saya.

Assalamualaikum wrt bth.

Ana menulis bagi pehak keluarga kami (kak zu dan anak-anak Mohd Qayyim, Muhammad Mawardi dan Amin Husaini). Pada penghujung Ramadhan ini kami menadah tangan memohon ampun kepada Allah SWT atas segala kelemahan, kebodohan dan kealpaan kami. Kami juga dengan rendah hati mengucapkan jazakumullahu khairan kathira atas budi baik antum semua kepada kami. Budi baik antum itu tidak dapat kami balas melainkan kami titipkan doa dalam sujud-sujud kami, agar Allah memberikan ganjaran yang terbaik kepada antum di dunia sampai akhirat. Dan kami amat bersyukur kerana Allah memberi kami merasai lazatnya ukhuwah di atas jalan dakwah ini. Semuga kami dapat mencontohi antum semua.

Bagaimanalah kami hendak ungkapkan apa yang ada di hati? Saudara-saudara baru bersama akh Cikgu Kamaruzaman menyumbang jumlah yang besar sedang mereka sendiri amat berhajat! Ust Zulfikri dari Aceh menyumbang sebanyak USD 100 sedangkan beliau sendiri memerlukan belanja besar untuk merawat anaknya yang mengidap kanser jauh di negeri orang! Sumbangan dari sahabat-sahabat kami ketika mula melangkah di jalan dakwah ini (antara akhi Amran Sakir, akhi Soofie Mohd Taib, Akhi Wan Johari, akhi Syed Zakaria @ abah1963) menyebabkan air mata ini mengalir deras mengenangkan saat-saat kita muda remaja bertatih mendekati dakwah ini di rantau orang, dalam sejuknya salju ketika kita sama-sama berjemaah di rumah Allah, meredah lebuh raya dalam ribut salji untuk mencari bekal di jalan dakwah... Mengenali antum adalah nikmat yang cukup besar di sisi Allah.

Ana juga amat terharu dengan ikhwah yang datang ziarah. Akh Muhammad adalah antara yang awal bertandang ke rumah kami. Inilah sahabat yang banyak menolong kami ketika pulang ke tanah air di Serdang dahulu. Beliau bersama arwah Wan Abdul Razak adalah antara sahabat yang mula-mula menyantuni kami sehingga kami dapat meneruskan tarbiyyah kami di sini. Sehingga kini ana tak dapat melupakan arwah Wan Razak yang mengirimkan smsnya terakhir kepada ana 'Ana sayang pada anta, dan harap anta sembuh untuk meneruskan kerja-kerja ini' Ungkapan 'sayang' inilah yang ana terima dari ramai sahabat 'Ana sayang pada anta dan ana menulis sms ini dengan linangan air mata..." Ya Allah, Engkau menjadi saksi atas kasih-sayang yang saudara-saudara kami luahkan kepada kami. Ya Allah, Engkau kurniakanlah segala kebaikan dari kurniaMu kepada sahabat-sahabat kami."

Kami juga mengambil peluang ini utk mengucapkan jazakumullahukhairan pd Presiden dan seluruh barisan JKP yang melancarkan Tabung ukhuwwah untuk belanja perubatan ana. Izinkan ana menyebut di sini JK yang dibentuk oleh JKP yang dipengerusi oleh Prof Dr Sahrim dan Ir Dr Hj Selamat dan Dato Mustafa Kamal juga ukhti Roha telah menggerakkan usaha ini dengan kesungguhan yang tidak dapat dihargai hanya dengan kata-kata. Prof Sahrim bertungkus lumus mengatur pertemuan dgn agen yg mengurus rawatan akh Jusri di Cina, menghubungi Dr Latiff untuk pemeriksaan jantung dan mengurus temu janji dgn Dr Azizah di IMR untuk ujian darah. Apabila ana kongsikan dengan Kak zu, dengan linangan air mata dia mengatakan 'ikhwah sayang pada abang..' Sekali lagi kami tidak dapat menafsirkan kesungguhan ini selain dari kerana 'sayang'.

Kasih-sayang anak-anak muda juga tidak dapat kami gambarkan di sini. Mereka mengirim sms dengan kata-kata yang bersulam doa dan pengharapan yang baik kepada Allah SWT. Mereka ungkapkan kasih sayang ini dalam blog-blog mereka, menyebut itu dan ini terhadap seorang insan daif dan kerdil di sisi Allah ini. Dari anak-anak KARISMA, anak-anak sekolah memanjatkan doa kesembuhan dari jauh dan dekat, bertandang dan bertanya khabar sehinggalah kepada anak-anak kecil. Cucunda Wildan, anak kepada seorang akhawat (sebelum ini di dalam usrah kak zu) yang belum sampai usia 5 tahun yang rapat dengan ana apabila dapat tahu 'atok' (panggilan mesranya pada ana) nya sakit, telah membacakan fatihah untuk 'atuk'. Anakanda Nuha dalam darjah 2(anak akhi Dr Norkhair - Johor) yang juga rapat dengan kami menangis teresak-esak dan tak putus-putus berdoa untuk pakcik Hafidzi dalam bulan Ramadhan. Terima kaseh pada anakanda dan cucunda semua, doa kalian yang merupakan rijal-rijal dan serikandi-serikandi di jalan Allah.

Kami juga amat terharu dengan apabila diberitahu oleh Pak Azhar, anak-anak di Dayah Darul Hijrah, Sekolah al-fityan (anak-anak Darul Aitam, Pagar Air), Aceh mengadakan solat hajat dan mendoakan kesembuhan untuk ana. Mereka semua adalah anak-anak yang antum semua santuni sejak dari musibah tsunami 4 tahun lalu. Ia telah membuahkan rasa ukhuwah yang bertaut kekal di dalam jiwa-jiwa kita.

Untuk sahabat-sahabat ana, sumber kekuatan ana dalam menangani qadhiah Palestin. Antum semua adalah mujahid-mujahidah yang berjihad untuk bumi ribat al-Quds. Akhi Pak Selamat, akhi zun arif, akh Dr Roslan Hashim, akh Dr Abdul Rahim Mohd Yusuf, ukthi Norazian dan pasangan anak muda akh Abdullah Mujahid-ukth Nihlah, dan ramai yang lain semuga Allah terus memberikan antum kekuatan berterusan sehingga ke akhirnya - sehingga al-Quds dan umat Islam seluruh dunia dapat solat di dalamnya. Tak dapatlah ana sebut di sini betapa syahdunya apabila diberitahu Syeikh Abu Bakar al-Awawida ulama Palestin dari Syria yang buta matanya kerana keluar-masuk penjara Israel sebanyak 13 kali, sebaik tiba di KLIA bertanya tentang ana dan mengatakan pada Ust Idham (akh dari Indonesia yg mengiringi mereka) adalah wajib untuk menziarahi Dr Hafidzi. Mereka ulang sekali lagi dalam perjumpaan di Pej HALUAN tempoh hari. Hanya air mata yang mampu menyambut kata-kata ini dari seorang yang dimuliakan oleh Allah dalam jihad ini. Kata-kata itu adalah untuk antum semua yang lebih banyak beramal untuk qadhiah Palestin.

Ana juga terpanggil untuk ucap tahniah pada Cikgu Laila, Tn Hj Syed Ibrahim, akhuna Bat Latif dan ukthi Nashita dan semua yang lain. Jihad antum telah membuahkan hasil. Mabruk pada Cikgu Laila, sdr Matsah dan anakanda Suhaib. Maafkan saya kerana tidak dapat bersama di barisan depan. Ketika masih sehat dulu, demonstrasi adalah aktiviti yang dinantikan. Tetapi kini lebih banyak berdoa dan meletakkan pengharapan yang baik pada Allah agar keluarga Mat Sah dan semua tahanan ISA mendapat ganjaran yang besar akibat di zalimi di dunia ini.

Kini sasaran yang antum semua letakkan telah melepasi sasaran rm250k. Langkah berikutnya ialah membuat persediaan untuk menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang. Doktor pakar yang merawat ana di Serdang menjelaskan bahawa kejayaan pemindahan buah pinggang mencapai 90% dalam tempuh setahun (ini bererti 10% akan mengalami kegagalan dlm tempoh setahun dan kembali menjalani dialysis). Dalam tempoh 3 tahun pula 30% mengalami fungsi kegagalan buah pinggang semula. Inilah realitinya termasuklah berhadapan dengan risiko kematian semasa pembedahan. Jadi kami meminta ikhwah-akhawat menghalalkan semuanya apa jua natijahnya. Seperti yang dipesan oleh akh Jusri dan ukth kak Fauza, mesti mempunyai tawakkal sungguh-sungguh pada Allah dan bersedia berserah kepadaNya untuk menghadapi apa jua kemungkinan. Ini juga merupakan satu lagi latihan kpd kami untuk bermuraqabah dan membina hubungan yang kuat dengan Allah.

Malam ini selepas berbuka dan solat isya', jika esok di istiharkan Eid, kami akan berkumpul seperti biasa berpesan-pesan anak beranak untuk memohon ampun pada Allah dan berdoa agar Allah terima amalan kita di bulan Ramadhan. Malam ini ana akan titipkan pesanan yang khusus pada anak-anak iaitu berbuat baiklah pada pakcik dan makcik dan sahabat-sahabat yang telah menunjukkan kasih sayang pada kita semua. Muliakan mereka dan berbaktilah kepada mereka. Jika mereka sakit ziarahilah mereka, jika mereka ditimpa musibah bantulah mereka dan bila mereka dijemput pergi, iringilah mereka dan panjatlah keampunan untuk mereka. Sesungguhnya mereka telah berbuat baik dan berbakti kepada abi kamu semua...

Jika ada kelapangan jemputlah datang ke rumah sempena Hari Raya. Kami akan sambut dengan kasih-sayang illallah.

Dr Hafidzi Mohd Noor
Hjh Zuraidah Kornain
anakanda Mohd Qayyim
anakanda Muhammad Mawardi
anakanda Amin Husaini

29 Ramadhan 1430/19 Sept 2009


1 comments:

HambaAllah Yang Memakmurkan said...

semoga Allah permudahkan segalanya buat Pakcik & makcik..

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc