Monday, January 25, 2010

Perkongsian semasa di ICU - Persoalan solat (6)

Assalamualaikum,

Bhg 6.

Kini saya hendak sentuh tentang kiblat pula. Kiblat juga boleh jadi isu sehingga menyukarkan seseorang untuk mengerjakan solat.

Apabila seseorang itu berada di satu tempat dan dia tidak mempunyai sebarang pedoman yang boleh digunakan untuk menentukan arah kiblat, maka secara umumnya dia boleh melihat kepada tempat terbitnya matahari. Oleh kerana matahari terbit di sebelah timur maka berdasarkan kedudukan kita di Malaysia, Makkah berkedudukan di sebelah barat (arah matahari tenggelam), maka kiblat adalah sebelah barat condong ke utara sedikit iaitu arah barat barat laut (condong sekadar ~ 20 darjah). Tetapi jika kita berada di sebelah barat Makkah, contohnya di Benua Eropah atau di Afrika maka Mekah berkedudukan sebelah timur. Pedoman kita pada kedudukan ini ialah pada arah matahari terbit iaitu ke arah timur dengan sudut-sudut condong tertentu berdasarkan di negara mana kita berada.

Kalau kita berada di luar yang ada pokok-pokok di negara kita dan tidak pasti di manakah kedudukan matahari, maka kita boleh berpandu kepada kewujudan 'lichen'. Lichen adalah sejenis simbiont (dua hidupan yang saling bergantung satu sama lain) iaitu kulat dan sejenis tumbuhan 'photobiont' seperti alga hijau. Lichen tidak boleh hidup di bawah sinaran matahari yang kuat. Oleh kerana itu ia biasa hidup pada permukaan batang pokok atau batu ke arah utara atau selatan. Dengan ini kita boleh menentukan secara kasar kedudukan timur dan barat untuk membantu kita menetapkan arah kiblat.

Panduan ini wajar dimasukkan dalam 'buku survival kit' kita jika kita tersesat di dalam hutan atau ketiadaan kompas.

Apa yang saya gariskan di atas ialah apabila kita bebas bergerak dan tidak terhalang untuk mengadap mana-mana arah kiblat sekalipun. Persoalan yang saya hendak kemukakan di sini ialah bagaimana seorang yang sakit dan tak boleh bergerak hendak solat mengadap kiblat sedangkan dia tahu di mana kedudukan kiblat tetapi tidak mampu memusingkan badannya untuk mengadap ke arah kiblat tersebut. Ini juga boleh menjadi alasan untuk seseorang meninggalkan solat kerana salah satu dari syarat sahnya solat tidak dapat dipenuhi iaitu mengadap kiblat.

Yang pertama, kita hendaklah mengetahui, syarat-syarat sah solat itu ialah dalam keadaan biasa. Dalam keadaan tidak biasa maka di sana ada pengecualian-pengecualian. Saya kongsikan pengalaman ketika menjalani rawatan haemodyalisis. Rawatan haemodyalisis adalah selama 4 jam setiap sesi. Meskipun jadual haemodyalisis bermula jam 3 petang untuk sesi ke tga (ada tiga sesi iaitu pukul 7, pukul 11 dan pukul 3). Bagi yang menjalani sesi ke 3 bererti dia harus mengerjakan solat asar ketika rawatan haemodyalisis. Kedududkan kerusi dan mesin haemodyalisis sudah ditentukan dan tidak boleh di alih. Jika kedudukan tadi bertentangan dengan kiblat bagaimanakah seseorang itu hendak mendirikan solat dalam keadaan tidak mengadap kiblat bahkan membelakangkan kiblat. Ada orang mengambil sikap tangguh atau qada' solat ke waktu lain sesudah rawatan. (soal wajar tidaknya qada' telah kita bicarakan sebelum ini). Sebenarnya ketiadaan pengetahuan menyebabkan umat Islam meninggalkan solat ketika rawatan dialysis sedangkan di sana ada kemudahan-kemudahan yang membolehkan kita menyempurnakan solat dalam situasi tersebut. Malah ada beberapa kekeliruan yang saya berpandangan wajar diperbetulkan terutama oleh pihak Jabatan agama. Ada yang menganggap oleh kerana darah belum kering (meskipun tempat di mana jarum dicucuk untuk cuci darah ditampal dengan plaster) maka tidak sah solat. Ada yang sampai mengumpulkan 4 waktu solat dan mengerjakannya sekali gus pada sebelah malam atau keesokkan harinya semata-mata kerana menunggu darah tadi kering.

Dalam keadaan di luar kemampuan kita untuk mengadap kiblat, maka solatnya sah insyaAllah di manapun arah kita mengadap. Kita tidak perlu pula menyuruh misi tukar kedudukan mesin dan kerusi yang mana ini sudah tentu menimbulkan masalah. Niatlah seperti biasa dan solatlah dalam keadaan duduk. Sebaiknya bersedialah dengan wudhu sebelum memulakan rawatan dialysis. Namun jika wudhu terbatal sementara menunggu masuknya waktu solat, sebaiknya disediakan air sekadar secawan untuk membasahkan anggota wudhu. belajarlah mengambil wudhu dengan air yang sedikit (janganlah kita terlalu terikat dengan hukum feqah yang kita belajar iaitu mesti dengan air sekurang-kurangnya dua kolah). Islam tidak pernah menyulitkan umatnya. Yang penting air yang digunakan itu dipastikan bersih dari unsur-unsur yang mengandung najis.

Apabila saya berada di ICU ketika fasa pemulihan, maka saya solat dalam keadaan berbaring. Di mana kaki saya mengadap maka di situlah arah kiblat saya. Saya sendiri tidak pasti di mana arah kiblat sebenarnya (kerana terlupa membawa kompas). Namun jika saya tahupun arah kiblat dan kedudukan katil hospital tidak mengadap ke arah kiblat, apakah saya perlu menyuruh misi supaya tukar kedudukan katil? Ini namanya mencari masalah dan mencari nahas... Sudahlah kita berada di negara bukan Islam kemudian mendesak mereka pula menukar kedudukan katil untuk mendirikan solat. Makin menebal lah prejudis mereka kepada umat Islam yang tidak tahu membawa diri dan memaksakan kehendak kita untuk mempraktikkan tuntutan agama kita. (Bahkan kalau kita berada di hospital di Malaysiapun, kebetulan katil hospital tidak mengikut arah kiblat, kita tidak perlu menyusah diri kita dan pihak hospital meminta mereka mengubah kedudakan semata-mata untuk mengadap kiblat? Solatlah pada arah manapun, insyaAllah akan terima dan solat kita sah insyaAllah.

Ini adalah berdasarkan kepada ayat Quran yang semua orang sedia maklum "Kepunyaan Allah-lah timur dan barat; maka kemanapun kamu menghadapkan wajahmu, di sanalah Wajah Allah. Sesungguhnya Allah adalah Maha Meliputi dan Maha Tahu". (QS. al-Baqarah/2:115).

Di sini saya nak sentuh juga solat di dalam kapalterbang. Hari ini hampir semua kapalterbang (negara-negara Islam) ada screen yang menunjukkan arah kiblat ketika pesawat berada di udara. Jika kita berada dalam kapalterbang negara umat Islam seperti Saudia dan Qatar airways dan seumpamanya, maka jika ada ruang bolehlah kita bentangkan sejadah dan solat mengadap arah kibliat yang ditunjukkan. Saya pernah berada di dalam penerbangan di mana ramai umat Islam solat secara bergilir-gilir pada tempat lapang di dalam plane - terutama di ruang sebelah pintu. Tetapi jika kita berada di dalam kapalterbang British Airways, atau Qantas, Cathay Pacific, JAL, PanAm maka jika kita merasa tidak selesa dan tidak selamat sebaiknya kita solatlah di tempat duduk kita - ini untuk mengelak dari menarik perhatian dan menimbulkan keresahan terutama di dalam suasana islamofobia begitu mencengkam minda masyarakat barat. Bagi sebahagian masyarakat barat mereka yang solat, menyimpan janggut, memakai tudung sering dikaitkan dengan keganasan dan ekstrimis. Solatlah seperti biasa sebagaimana solat yang kita lakukan dalam keadaan duduk. Soal kiblat sekali lagi tidak timbul dalam situasi sedemikian.

Pendekkata, Hendak seribu daya, tak hendak tak payah...

Dr Hafidzi Mohd Noor

3 comments:

aK said...

Assalamualikum dr. Terima kasih kerana berkongsi pengalaman.

Nurul Hidayah Mohamed Nor said...

Sangat baik perkongsian ini Dr. Jzkallah

andi said...

Sangat berguna doc

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc