Saturday, February 6, 2010

Perkongsian di ICU - Persoalan solat (7)

Assalamualaikum,
Perkongsian di ICU – Persoalan Solat (7)
Bhg 7.

Sakit adalah musibah. Tetapi musibah bagi seorang muslim membawa maknanya yang tersendiri. Bagi orang yang tidak beriman, sakit adalah satu penderitaan dan satu penyeksaan. Bagi seorang sakit juga adalah satu penderitaan dan penyeksaan. Namun di sebalik kesakitan itu bagi seorang muslim terkandung kebaikan dan anugerah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud ‘Ajaib seorang muslim. Jika di mandapat nikmat dia bersyukur, jika dia ditimpa musibah dia bersabar. Kedua-duanya adalah baik bagi dirinya.

Katakunci dari pesan Rasulullah SAW ini ialah ‘syukur’ dan ‘sabar’. Kedua kata kunci inilah penentu kepada kebaikan dalam kedua-dua keadaan sihat dan sakit. Sebagaimana sukarnya untuk bersyukur sebegitu jugalah sukarnya untuk bersabar. Ia tidak semudah yang diucapkan sebagaimana yang disangka oleh ramai orang. Syukur dan sabar bukan sekadar dimulut, tetapi dibuktikan dengan amal. Di sinilah kadang-kadang perkataan syukur dan sabar terlalu mudah diungkapkan namun hakikatnya ia amat berat, seberat solat yang Nampak mudah tetapi amat berat pada hakikatnya. Sebab itulah Allah berfirman ‘Carilah pertolongan Allah dengan solat dan sabar, dan itu amat berat melainkan bagi orang-orang yang kyushu’. Kyushu di sini membawa maksud merendah diri dan meletakkan Allah SWT sebagai matlamat tujuan dalam hidup. Ia bukan sekadar memusatkan perhatian kepada Allah dalam solat, bahkan lebih penting lagi pemusatan itu melimpah di luar solat.pendek kata pada setiap saat dalam kehidupan.
Jika Allah SWT menyatukan solat dan sabar, bagaimana mungkin saabar dapat dijana tanpa solat? Inilah persoalan yang saya hendak bawa dalam pemnulisan kali ini. Sedangkan senjata paling utama yang perlu ada pada seseorang yang ditimpa sakit ialah solat. Bagaimana mungkin seseorang itu dapat bersabar jika solat tidak menjadi pakaian hidupnya. Dia berusaha untuk memujuk dirinya untuk bersabar, namun dia tidak mungkin dapat melakukannya kerana prasyarat untuk bersabar ialah solat. Alangkan dengan mendirikan solatpun kadang-kadang seseorang itu hilang kesabaran dalam menanggung rasa sakit, apatah lagi bagi seseorang yang tidak menitik beratkan solat.

Mungkin dari segi faktanya ramai orang menyedari bahawa sakit adalah kifarah atau penebus dosa-dosa yang kita lakukan. Sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, ‘tidak ada kesakitan yang menimpa seorang muslim, hatta terkena duri, melainkan Allah akan menghapuskan dosa-dosanya’. Nah! Bagaimana agaknya sakit tadi boleh menjadi penebus dosa dan kesalahan jika solat yang menjadi prasyarat kepada terhapusnya dosa itu tidak diendahkan. Alangkah besarnya kerugian yang ditanggung oleh orang yang diberi kesempatan untuk mendapat keampunan Allah, namun dia terlepas dari peluang tersebut kerana dia tidak mendirikan solat ketika sihatnya, apatah lagi ketika sakitnya.

Hari ini kita melihat manusia akan menggunakan alasan-alasan remeh temeh untuk tidak mendirikan solat. Cuba kita perhatikan gelagat manusia di dalam mencari kehidupan. Perkara ini amat jelas di pasar malam contohnya. Sebelum maghrib lagi pengusaha pasar malam telah memulakan perniagaan dan mereka terus disibukkan dengan perniagaan sehingga jauh malam. Sedangkan tidak ada yang menghalang mereka untuk mendirikan solat di tapak pasar malam itu sendiri. Mereka boleh sahaja membentangkan sejadah di belakang gerai dan mendirikan kewajipan solat yang tidak mengambil masa lebih dari tiga minit pun. Apa yang menghalang mereka untuk mendirikan solat? Tempat dan pakaian tidak bersih, bau ikan? Bau daging? Walaupun kita tidak merasa selesa dengan pakaian dan tempat, namun ia bukan najis dan ia tidak membatalkan wudhu dan solat tetap sah didirikan dalam keadaan sedemikian. Tidakkah kita pernah melihat di tanah suci, Makkah di mana kita melihat para peniaga akan mendirikan solat di kedai-kedai mereka setiap kali azan berkumandang. Apa yang menghalang kita untuk melakukan yang sama. Kita begitu berpegang dengan hadis Nabi ‘sembilan persepuluh rezeki datangnya dari perniagaan’. Ya mungkin kita akan mendapat rezeki yang melimpah-ruah dari urusan perniagaan kita’. Persoalan yang lebih penting bagi seorang mulsim, bukannya banyak atau sedikit, tetapi berkat atau tidak..

Kadang saya merasa amat sedih melihat ada orang membuka gerai menjual nasi lemak di tepi jalan berhampiran dengan surau. Ketika azan subuh berkumandang, dia masih disitu dan berniaga ketika para jemaah mendirikan solat subuh. Inilah satu contoh kita tidak yakin dengan Allah SWT, pemberi rezeki. Kita sanggup meninggalkan solat, persoalan yang lebih besar dari hidup dan mati, hanya kerana keuntungan dunia yang amat sedikit.
Jika beginilah keutamaan kita dalam hidup bagaimana agaknya kita boleh bersabar dalam menghadapi saat-saat getir dalam hidup kita. Sedangkan kita tahu sabar itu adalah kekuatan yang datang dari Allah, yang dianugerahkan kepada hamba-hambanya yang taat. Jika Allah tidak memenuhkan dada kita dengan kesabaran maka kita tidak mungkin dapat bersabar meski orang
memujuk kita supaya bersabar dengan sakit atau musibah yang menimpa kita.
Marilah kita bersyukur di saat Allah mengurniakan kita pelbagai nikmat dan anugerah. Bersyukur yang kita maksudkan ialah mendirikan solat tanpa meninggalkan walau satu waktu dalam hidup kita. Inilah hakikat syukur yang sebenarnya. Dia bukan syukur yang hanya terbit dalam bentuk ucapan ‘Alhamdulillah.. tetapi tidak pernah tergambar dalam kehidupan. Ia adalah ibarat seorang artis wanita yang jelas melanggar perintah syariat dengan mendedahkan aurat dan menari melenggang lenggok dengan gerak tari yang menggiurkan. Kemudian apabila diumumkan sebagai pemenang anugerah muzik, maka ungkapan pertama yang keluar dari bibirnya ialah ‘Alhamdulillah! Allah telah memakbulkan doa saya..!

Apabila Allah diingati dan semasa kita senang, maka Dia akan memandang kepada kita disaat kita ditimpa musibah. Walaupun kita menanggung rasa sakit, menyedari bahawa Allah mendengar keluhan hambanya adalah ubat yang paling mujarab.. Ia sudah cukup untuk mengurangkan rasa sakit yang ditanggung.

Dr Hafidzi Mohd Noor

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc