Thursday, July 1, 2010

IKRAM sedia bantu bangunkan sistem pentaksiran pelajar

a

SERI KEMBANGAN - Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), IKRAM atau nama penuhnya Pertubuhan IKRAM Malaysia menawarkan diri untuk membantu kerajaan membangunkan sistem pentaksiran pelajar yang lebih bersepadu dan menyeluruh. Perkara tersebut terkandung dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Presiden pertubuhan itu, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad semalam.

IKRAM adalah sebuah NGO Islam yang menaungi rangkaian 34 buah sekolah menengah dan rendah yang mengambil pendekatan pendidikan secara holistik, bersepadu dan berteraskan akidah Islam. Sekolah-sekolah ini telah beroperasi sejak tahun 1985 dan pada tahun 2000 disejajarkan di bawah Pusat Pendidikan SRI SMI Berhad (MUSLEH). MUSLEH kini bergabung dengan/di bawah IKRAM menjadikan IKRAM kini menaungi lebih 14,000 orang murid, 1,100 orang pendidik dan 20,000 orang ibu bapa di seluruh negara. Matlamat Pendidikan IKRAM, adalah untuk “memperkasa pendidikan Islam ke arah menjana generasi rabbani (yang diredhai Allah)”.

MUSLEH telah membina satu sistem pentaksiran yang holistik dan bersepadu bagi menilai dan meningkatkan pencapaian prestasi pelajar secara berterusan di sekolah secara lebih menyeluruh dan seimbang. Sistem tersebut dinamakan Sistem Pentaksiran Pelajar MUSLEH (SPPM).

IKRAM mengambil maklum akan cadangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR dan mengalu-alukan hasrat Kementerian untuk mendapatkan maklum balas daripada semua pihak.

IKRAM bersetuju agar semua bentuk penilaian dan pengukuran pencapaian pelajar, sama ada di peringkat pusat mahupun penilaian berasaskan sekolah, termasuk UPSR, PMR dan SPM hendaklah dikaji semula dan diubahsuai, agar semuanya menuju ke arah pencapaian hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Sehubungan dengan perkara ini, IKRAM menyarankan agar:

1. KPM kembali meneliti dan bertindak dengan lebih bersungguh-sungguh untuk mencapai hasrat murni FPK ke arah: “Memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”

2. Sebarang perubahan kepada sistem pentaksiran sedia ada hendaklah dilakukan hanya setelah kajian terperinci dilakukan. Pengalaman yang lalu di mana perubahan-perubahan yang dilakukan secara tergesa-gesa dan tanpa kajian terperinci telah membawa kesan yang amat buruk kepada sistem pendidikan negara.

3. Segala keperluan asas dan infrastruktur hendaklah disiapkan dengan sempurna sebelum sebarang perubahan kepada sistem pentaksiran dilakukan.

IKRAM bersedia bekerjasama dengan pihak KPM khususnya pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) untuk menggubal satu sistem pentaksiran kebangsaan yang boleh digunapakai untuk mencapai hasrat murni ke arah melahirkan insan seimbang dan harmonis (JERI) seperti yang termaktub dalam FPK.

Menurut Dr Parid lagi, IKRAM juga bersedia untuk:

1. Menjelaskan kepada pihak KPM, khususnya pihak LPM mengenai konsep, falsafah, instrumen dan prosedur SPPM dan membuat kajian untuk mencari suatu mekanisme perlaksanaan yang lebih meluas di sekolah-sekolah kerajaan.

2. Menjalankan penyelidikan lebih mendalam setelah mendapat maklumbalas daripada perbincangan dengan LPM untuk memurnikan lagi SPPM agar ia dapat disesuaikan dengan hasrat dan kehendak KPM untuk pelaksanaan pada skala yang lebih besar di seluruh negara.

IKRAM percaya jika konsep di atas diterima, segala bentuk latihan kepengetuaan dan perguruan, kursus dalam perkhidmatan dan usaha memberi kesedaran awam perlulah dilaksanakan. Dalam hal ini, IKRAM bersedia untuk menyumbang tenaga kepakaran. IKRAM turut berharap agar isu pendidikan tidak dipolitikkan kerana ia melibatkan masa depan anak-anak dan negara.

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc