Thursday, July 1, 2010

JIM disebut tapi bukan Jamaah Islah Malaysia - Pertemuan dgn Ust Zamihan

Dari Malaysiaharmoni

JIM disebut tapi bukan Jamaah Islah Malaysia

a

BANDAR BARU BANGI - Kontroversi yang timbul ekoran dakwaan bahawa Penolong Pengarah Pusat al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin mengaitkan beberapa tokoh agama, ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan dengan fahaman Wahabi dan terorisme sedikit terlerai apabila enam wakil Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) mengadakan pertemuan dengan Zamihan di pejabatnya petang tadi.

"JIM ada disebut (dalam taklimat keselamatan Polis Diraja Malaysia mengenai ancaman Jemaah Islamiah (JI) di Institut Pengajian Tinggi) tetapi (ia merujuk kepada) Jemaah Islamiah Malaysia, bukan (Pertubuhan) Jamaah Islah Malaysia," jelas Zamihan.

Jemaah Islamiah Malaysia, menurutnya, adalah rangkaian JI yang beroperasi di Malaysia. Menurutnya lagi, dakwaan bahawa beliau mengaitkan JIM (Jamaah Islah Malaysia) dan Presiden PAS, Datuk Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan Wahabi dan keganasan adalah tindakan pihak tertentu untuk melaga-lagakan beliau dengan ahli-ahli JIM, PAS dan sebagainya.

a

"Sekarang ini banyak pihak marah kepada saya; orang PAS marah, orang politik marah, orang agama berfikiran Wahabi marah dan NGO pun marah. Keadaannya seolah-olah empat lawan satu, dan saya tersepit," katanya.

Zamihan (gambar) kesal dengan tuduhan-tuduhan dusta yang dilemparkan kepadanya sedangkan beliau tidak menyebut pun nama-nama Datuk Seri Shahidan Kasim (bekas Menteri Besar Perlis), Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis) dan Tuan Guru Abdul Hadi dalam taklimatnya.

"Apa hak saya untuk mengatakan Tok Guru Haji Hadi pengganas sedangkan keganasan itu isu keselamatan? Saya hanya bercakap (isu) pemikiran, (dan saya) memang tak sebut pun nama Tok Guru Haji Hadi, Shahidan Kasim atau Juanda," tegasnya lagi.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan ada menyebut nama Asri; itu pun atas tujuan menganalisis pemikiran beliau (Asri) yang banyak menimbulkan isu bidaah, sesat dan syirik dalam hal-hal furu' (cabang agama).

Menurut Zamihan lagi, beliau berani berdepan dengan mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengannya kerana taklimat beliau itu disaksikan oleh 140 orang daripada golongan intelek. Kalau ada yang 'tidak kena' dengan penyampaiannya, sudah pasti golongan ini dahulu yang akan menyanggahnya, kata beliau.

Taklimat yang disampaikan oleh Zamihan kepada ketua-ketua keselamatan dan Timbalan-timbalan Naib Cancelor universiti seluruh negara Isnin lalu adalah atas jemputan Timbalan Ketua Polis Negara dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Zamihan membuat pembentangan berkaitan 'Fahaman Ekstremis Agama dan Penyebarannya di IPT' dari sudut pemikiran, manakala pihak polis menyampaikannya dari sudut keselamatan.

aZamihan turut hairan bagaimana taklimat yang dikategorikan sulit dan tertutup itu boleh 'bocor' keluar sehingga disiarkan oleh pihak media. Sehubungan dengan perkara tersebut, beliau membuat laporan di balai polis Bandar Baru Bangi pada lewat petang tadi.

Beliau mengalu-alukan tindakan JIM yang sudi bertemu beliau untuk mendengar penerangan daripada mulut beliau sendiri. Wakil JIM tersebut termasuk beberapa ahli jawatankuasa pusatnya yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Muhammad Nicholas Sylvester Abdullah (gambar).

Zamihan mengakui beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan JIM malahan pernah beberapa kali bekerjasama dengan pertubuhan itu dan berbincang dengan presidennya, Zaid Kamaruddin sebelum ini. Beliau juga ada menjemput wakil JIM untuk membentangkan penyampaian berkenaan perbandingan antara agama pada tahun lepas.

Pada akhir pertemuan yang berlangsung dalam suasana ukhuwah itu, Zamihan menyatakan kesediaannya untuk terus bekerjasama dengan JIM dalam usaha-usaha dakwah. Beliau juga bersetuju untuk membuat kenyataan akhbar bersama bagi membuktikan nama Jamaah Islah Malaysia memang tidak disebut dalam taklimat keselamatan tertutup itu.

a

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc