Thursday, March 31, 2011

Cdgn Teks khutbah - Bahaya Ghibah dan Buhtan

Assalamualaikum,

Dikongsikan cdgn teks khutbah yang disediakan oleh unit teks khutbah IKRAM Selangor. Di antara rujukan teks khutbah ini ialah pandangan Dr Asri Zainal Abidin (Dr MAZA) terhadap isu fitnah yang berleluasa diperkatakan oleh media dan masyarakat hari ini.

Teks khutbah ini akan disampaikan di Surau Jumaat al-Kauthar, Bdr Baru Bangi, Selangor;
insyaAllah hari ini Jumaat 1 April 2011

Dr Hafidzi Mohd Noor
JK Pembangunan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Negeri Selangor
--------------------------------------------------------------------------------


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Sidang Jumaat yang dirahmati sekalian
Firman Allah dalam ayat 25 surah al-Anfal :

وَٱتَّقُواْ فِتۡنَةً۬ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمۡ خَآصَّةً۬‌ۖ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ


Maksudnya :

Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.

Sidang Jumaat yang dirahmati sekelian.

Firman Allah Ta’ala:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ

“Telah berlaku kerusakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia.” (QS. Ar-Rum: 41)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Rasulullah menjelaskan, tatkala ditanya oleh seorang sahabat, "Wahai Rasulullah, apakah itu ghibah?" Lalu jawab Baginda, "Menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu di belakangnya!" Kemudian Baginda ditanya lagi, "Bagaimana sekiranya apa yang disebutkan ltu benar?" jawab Baginda, "Kalau sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika sekiranya perkara itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (pembohongan besar)."

(Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tarmizi).

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Hari ini umat Islam dihidangkan dengan berita-berita yang mengaibkan peribadi seseorang. Ia terpampang di dada-dada akhbar dan dijadikan berita muka hadapan. Umat Islam pula secara terbuka membicarakan berita-berita yang mengaibkan itu tanpa sedikitpun terdetik dihati bahawa apa yang diperkatakan mendatangkan dosa yang besar dan kemurkaan Allah SWT. Hadis yang dibacakan dengan jelas menegaskan bahawa yang menjadi soal bukan samada berita yang dihebah dan dihebohkan itu benar ataupun tidak. Peringatan penting dari hadis itu ialah perbuatan menghebah dan menyebarkan berita yang menjatuhkan maruah dan mengaibkan seseorang adalah dosa besar meskipun ianya benar. Kalaulah berita benar sekalipun sudah dihukum berdoasa apatah lagi jika berita yang dihebahkan itu cerita bohong maka dosanya jauh lebih besar lagi.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Kita diberi amaran yang sangat keras dari Allah SWT tentang membicarakan sesuatu yang tidak ada kepastian sebagaimana yang disampaikan oleh Rasulullah SAW

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Seseorang hamba yang membicarakan sesuatu yang belum jelas baginya (hakikat dan akibatnya), akan dilempar ke neraka sejauh antara timur dan barat."

(Riwayat Muslim)

Firman Allah dalam Surah al-hujerat

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرً۬ا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٌ۬‌ۖ وَلَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًا‌ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُڪُمۡ أَن يَأۡڪُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتً۬ا فَكَرِهۡتُمُوهُ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌ۬ رَّحِيمٌ۬

"Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi maha Pengasihani".

Al-Hujurat 12

Inilah perkara asas dalam agama kita yang perlu diperhatikan dengan serius kerana perbuatan mendedahkan keaiban seseorang sangat besar kesannya di dalam masyarakat. Ia bolih menjejaskan nama baik dan maruah diri dan keluarganya, menimbulkan tanggapan negatif, menghilangkan kepercayaan bahkan mencetuskan permusuhan dan huru hara. Kita diharamkan mendedahkan keaiban seseorang meskipun ia benar. Bagaimana pula jika yang disebarkan itu fitnah atau ‘buhtan’ yaitu cerita bohong…

Daripada Abdullah bin ’Amar r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang Islam yang sebenarnya ialah orang yang mana orang-orang Islam yang lain terpelihara daripada gangguan lidah dan tangannya dan orang yang sebenarnya berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah”. Ini adalah lafaz Imam Bukhari. Dalam riwayat Imam Muslim perawi (Abdullah bin ‘Amar) r.a. berkata: “Sesungguhnya ada seorang bertanya Nabi s.a.w. katanya: “Orang Islam manakah yang lebih baik”? Nabi s.a.w. menjawab: “Orang yang mana orang-orang Islam yang lain terpelihara daripada gangguan lidah dan tangannya”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Kita bukan sahaja dilarang menghebahkan keaiban seseorang bahkan mencari-cari kesalahan seseorang yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi juga dilarang. Dari satu riwayat yang mahsyur 'Umar RA telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah 'Umar dan berkata: Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakai-Nya pada tiga perkara. 'Umar bertanya: Apa dia? Dia berkata: Allah Ta'ala telah berfirman (maksudnya): Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain. Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman (maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya. Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya): Janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka 'Umar pun meninggalkannya... Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut." (Al-Ghazali, Ihya 'Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).

Imam al-Ghazali dalam kitabnya ‘Ihya Ulumuddin’ dalam bab Hisbah menyatakan suruhan Amar Makruf hanya berlaku apabila ia ditinggalkan secara terang-terangan dan nahi mungkar hanya berlaku apabila maksiat nyata dilakukan secara terang-terangan. Ini bererti umat Islam diharamkan dari mengintip dan mencari kesalahan seseorang, sedangkan dia sendiri melakukannya secara sembunyi kerana tidak mahu aibnya diketahui masyarakat.

Sabda Rasulullah SAW

"Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Lantaran itu Prof Dr yusuf Qardhawi mengatakan tidak ada peruntukan undang-undang bagi menjatuhkan hukuman ke atas orang yang melakukan maksiat secara bersembunyi

Al-Qardhawi: Min fiq ad-daulah fil Islam

Kata Dr Yusuf Al-Qardhawi

"Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemungkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis 'barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya...."

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Perkara ini semakin serius apabila ia melibatkan qazaf iaitu menuduh seseorang melakukan jinayah zina tanpa mengemukakan empat orang saksi dan tidak melalui proses atau saluran undang-undang.

َٱلَّذِينَ يَرۡمُونَ ٱلۡمُحۡصَنَـٰتِ ثُمَّ لَمۡ يَأۡتُواْ بِأَرۡبَعَةِ شُہَدَآءَ فَٱجۡلِدُوهُمۡ ثَمَـٰنِينَ جَلۡدَةً۬ وَلَا تَقۡبَلُواْ لَهُمۡ شَہَـٰدَةً أَبَدً۬ا‌ۚ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ

Firman Allah (maksudnya): "Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. (Surah al-Nur: Ayat 4).

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Tindakan mendedahkan aib peribadi adalah sesuatu yang diharamkan oleh Allah. Namun Islam adalah agama yang memelihara kemaslahatan umum dan tidak akan melindungi perbuatan zalim yang dilakukan oleh mana-mana pihak. Jika perbuatan itu melibatkan kezaliman ke atas seseorang seperti jenayah pembunuhan, rogol, rompak dan sebagainya maka maka menjadi kewajipan untuk perbuatan ini didedahkan supaya orang yang dizalimi mendapat pembelaan dan orang lain terpelihara dari menjadi mangsa seterusnya.

Firman Allah SWT.

لَّا يُحِبُّ ٱللَّهُ ٱلۡجَهۡرَ بِٱلسُّوٓءِ مِنَ ٱلۡقَوۡلِ إِلَّا مَن ظُلِمَ‌ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ سَمِيعًا عَلِيمًا

إِن تُبۡدُواْ خَيۡرًا أَوۡ تُخۡفُوهُ أَوۡ تَعۡفُواْ عَن سُوٓءٍ۬ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَفُوًّ۬ا قَدِيرًا

Firman Allah (maksudnya): "Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa". (Surah al-Nisa: Ayat 148-149).


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc