Wednesday, June 8, 2011

Kiai Hj Ahmad dahlan mengubah kiblat - dituduh kafir kerana menggunakan alat-alat (kompas dan peta) barat






Dipetik dari hlm 51 - 53 Jejal Risalah di Nusantara Jilid VI

Meskipun Kiai Hj Ahmad Dahlan seorang yang dihormati kerana ketinggian ilmunya, namun pembaharuan yang ingin dibawa di tengah masyarakat muslim dalam soal melurus dan meluaskan kefahaman dan urusan ibadah menimbulkan keresahan dan ketegangan. Beliau dituduh menyebarkan pemahaman Islam yang aneh yang belum diketahui oleh masyarakat setempat. Kepada anak-anak muridnya, beliau bukan sahaja mengajar kitab-kitab klasik mazhab Imam as Syafii dan kitab tasauf al Ghazali tetapi juga kitab-kitab terkini karangan Syeikh Muhammad Abduh seperti Risalah Tauhid, Tafseer Juzu’ Amma dan al Islam wal Nasraniyah dan karangan Ibnu Taimiyah seperti Fi al Bid’ah dan al Tawasul wal Wasilah.[1] Ini adalah kerana seperti semua ulama yang kembali dari Mekah dan Mesir pada awal kurun ke 20, KHAD juga terdedah kepada fikrah pembaharu Islam Syeikh Muhammad Abduh, Sayyid Jamaluddin al Afghani dan Sayyid Rashid Redha. Meskipun mereka berguru dengan imam-imam bermazhab Syafi’i seperti Syeikh Ahmad Khatib dari Minangkabau di Mekah, namun guru-guru ini mempamerkan sikap keterbukaan terhadap pelbagai mazhab fiqah dan aliran pemikiran Islam moden. Pendedahan dan keterbukaan ini boleh dilihat dari produk ulama-ulama yang kembali ke tanah air pada pada zaman itu seperti Hj. Agus Salim yang mendapat personal coaching dari Syeikh Ahmad Khatib, ulama-ulama yang disebut sebagai ‘kaum muda’ seperti Syeikh Abdul Karim Amrullah, Syeikh Jamil Jambek, Syeikh Abbas Abdullah, Sayyid Syeikh al Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin, ulama yang mempelopori jihad melawan penjajah seperti Teungku Muhammad Saman @ Teungku Cik di Tiro (Aceh) dan Hj. Mat Hassan bin Panglima Munas @ Tuk Janggut (Pasir Puteh, Kelantan). Mereka ini adalah ulama pembaharu atau reformis yang tidak mengikat diri kepada mazhab yang tertentu, mementingkan ilmu moden yang dikuasai oleh barat, memerangi bid’ah dan semua amalan yang tiada asasnya dalam syariat, menolak taqlid dan menggalakkan ijtihad dalam isu-isu terkini yang dihadapi umat Islam.

Bukan sahaja KHAD dilihat mengajar dari kitab-kitab yang asing bahkan beliau menggunakan pelbagai pendekatan termasuk berkelah, bersukan, menyanyi dan bermain muzik untuk meluaskan pandangan anak-anak muridnya. Alat-alat muzik yang digunakan pula tidak terbatas kepada percussion (gendang dan seumpamanya) tetapi juga alat-alat muzik moden seperti accordian. Lebih fleksibel lagi KHAD telah mengubah lagu-lagu gereja kepada nasyid dengan memberikan nafas Islam. Keadaan ini adakalanya menimbulkan ketegangan sehingga kepada tahap cercaan dan langgar tempat KHAD mengajar sering menjadi sasaran lemparan mercun. Beliau dituduh sebagai kiai palsu, kiai rosak dan Kristian alus (secara halus), Seringkali beliau dihadang di tengah jalan dan dilempari dengan pelbagai cercaan dan ejekan oleh para santri dari langgar-langgar yang berjiran.[2]

Namun kontroversi terbesar yang ditimbulkan oleh KHAD ialah berkaitan perubahan kiblat. Berdasarkan ilmu matematik/falak yang dipelajarinya di Mekah dari Kiai Jambek, arah kiblat sepatutnya condong ke utara sebanyak 24.5 darjah. Sejak dari awal umat Islam di Pulau Jawa mengadap kiblat lurus ke sebelah barat kerana kedudukan Mekah di sebalah barat Jawa. Menurut KHAD arah kiblat tersebut perlu diperbetulkan kerana ia mempunyai kaitan rapat dengan kesempurnaan ibadat solat. Untuk mengemukakan pandangan ini, beliau telah mengundang para ulama dalam sebuah pertemuan pada tahun 1898 khusus untuk membincangkan persoalan kiblat.[3] Meskipun tidak ada kesepakatan yang dicapai dalam pertemuan tersebut KHAD dihitung berjaya memaparkan isu kedudukan kiblat untuk pertimbangan ulama di sekitar Yogyakarta. Tetapi anak-anak muda secara reaksionari telah mengubah kiblat di langgar Kidul dengan melukiskan garis-garis saf yang baru dengan menggunakan kapur. Sewaktu langgar di Kidul dibesarkan, saf solat diubah arahnya sehingga menjadi satu-satunya tempat ibadat di Yogyakarta yang berbeza kiblatnya. Kontroversi ini berlanjutan apabila murid-muridnya membuat pula garis-garis saf baru di Mesjid Agung. Ini menimbulkan kemarahan kepada Kanjeng penghulu Kholil Kamaludiningrat yang menganggap KHAD telah menganggu kerukunan beribadat dan menimbulkan keresahan. KHAD dijatuhkan tiga kesalahan. Pertama mesjid Agung adalah wewenangan kanjeng penghulu yang dilantik Sultan. Jadi tindakan mengubah kiblat tanpa pengetahuan penghulu adalah jelas melanggar birokrasi pentadbiran Kesultanan. Kedua KHAD sendiri sebagai sebagai abdidalem juga bertanggungjawab kepada Sultan dan tindakannya itu jelas melanggar kedaulatan kesultanan. Ketiga tindakan mengubah kiblat ini dilihat melanggar tradisi dan adat istiadat. Langkah seterusnya ialah merobohkan langgar kidul di bawah pengawasan polis Belanda. Keadaan ini hampir mencetuskan pergaduhan, tetapi oleh kerana ketika itu bulan puasa, maka KHAD dan anak-anak murid menahan diri dari pergaduhan.[4]



[1] Usman Yatim dan Almisar Hamid, op. cit., hlm. 22.

[2] Ibid., hlm. 23.

[3] Mt Arifin, op. cit., hlm. 87.

[4] Usman Yatim dan Almisar Hamid, op. cit., hlm. 25.

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc