Thursday, June 9, 2011

Hubungan di antara adat dan syarak - Dari jejak Risalah Nusantara jilid v

Assalamualaikum,

Menyangkut persoalan yang dibangkitkan dalam sebuah forum antara hubungan adat dan syara' maka saya kongsikan salah satu Bab yang saya tulis dalam buku Jejak Risalah di Nusantara jilid V dengan judul

Minangkabau menjelang kurun ke 20

Alam Minangkabau adalah daerah kebudayaan yang unik kerana ia adalah satu bentuk kebudayaan yang mengamalkan sistem matrilineal (nasab dan pewarisan dari sebelah ibu). Dari sudut geografi wilayah lingkungan alam Minangkabau terletak di sebelah barat Sumatra tengah di antara Tapanuli di sebelah utara, Bengkulu dan Jambi di sebelah selatan dan Riau di sebelah timur. Alam Minangkabau dibahagikan kepada darek dan rantau. Darek yang merupakan pusat Alam Minangkabau terdiri dari tiga luhak iaitu Luhak Agam, Luhak Tanah Datar dan Luhak Lima Puloh Kota. Rantau pula ialah kawasan pinggiran yang menghubungkan Alam Minangkabau dengan dunia luar.

Alam Minangkabau terdiri dari luhak nan tigo; Agam, Tanah Datar dan Limapoluh Kota; dan rantau yang terdiri dari pasisir pantai dan daerah di sekeliling alam Minangkabau. Rantau yang menjadi tumpuan penduduk adalah pesisir pantai dari Air Bangis hingga Bengkulu dan lembah gelincir yang terbentuk di tengah-tengah Banjaran Barisan menganjur dari utara iaitu Pasaman (di sebelah utara luhak nan tigo) sehingga Singkarak dan Muara Labuh di selatan.

Daerah pentadbiran Belanda di daerah Alam Minangkabau menjelang tahun 1918.

Bahagian ini juga mempunyai hubungan sejarah dan kebudayaan yang sangat kuat dengan Semenanjung Tanah Melayu terutama Negeri Sembilan. Leluhur Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan adalah dari Pagar Ruyung, dalam luhak Tanah Datar, Minangkabau, di mana Rajanya yang pertama bersemayam di Sri Menanti ialah Raja Melewar yang dijemput dari sana.[1] Malah penduduk Negeri Sembilan dan Alor Gajah, Melaka (Daerah adat; Naning) sebahagian besarnya berketurunan Minangkabau ataupun campuran dengan penduduk tempatan dari suku Biduanda (terdapat 12 suku adat Perpatih di Negeri Sembilan dan Alor Gajah; sebahagiannya merujuk kepada beberapa tempat di Sumatera Barat seperti Tanah Datar, Paya Kumbuh, Tiga Batu, Tiga Nenek dan Sarilamak) masih mengamalkan sistem pewarisan adat Perpatih. (sama seperti adat Minangkabau).

Minangkabau juga merupakan pusat penentangan bersenjata terhadap pendudukan Belanda selain Aceh di sebelah utara pada kurun ke 19. Sebuah gerakan yang dijoloki dengan nama ‘Gerakan Paderi’ pernah mencetuskan pergolakan dalam masyarakat yang akhirnya mengundang campurtangan Belanda (Perang paderi, 1821 – 1833).[2] Pemimpinnya yang terunggul ialah Tuangku Imam Bonjol (1772 – 1864; Bonjol merujuk kepada tempat kelahiran beliau), yang kini diiktiraf sebagai salah seorang Pahlawan Nasional Indonesia. Seorang lagi yang bernama Tuangku Tambusai diburu oleh Belanda dan berhijrah ke Negeri Sembilan.[3] Makamnya bolih diziarahi jika kita melalui jalan Seremban-Rembau.

Itulah serba sedikit latar belakang sejarah Sumatera Barat menjelang kurun ke 20. Tidak hairanlah ia juga merupakan daerah yang subur dengan gerakan dakwah dan ramai melahirkan tokoh-tokoh pemikir Islam. Salah seorang darinya ialah Almarhum Prof HAMKA yang selain sebagai ulama juga diiktiraf sebagai pujangga, ahli falsafah, tokoh sejarah dan sasterawan unggul Nusantara. Dua faktor mungkin mempengaruhi kelahiran tokoh-tokoh pemikir dan penulis dari daerah ini iaitu alamnya yang cantik (Danau Maninjau yang dikelilingi oleh Banjaran Barisan) dan juga susunan adat yang menyebabkan kaum lelakinya ‘merantau’ meninggalkan kampong halaman, membawa diri mencuba nasib di tempat orang.[4]

Seringkali pemudanya melantunkan rasa jiwa yang gundah gulana dalam alunan pantun yang terkenal ini;[5]

Keratau madang di hulu

Berbuah berbunga belum

Merantau bujang dahulu

Di rumah berguna belum

Ke pekan sekali ini

Entah membeli entah tidak,

Entah membeli limau kapas

Berjalan sekali ini

Entah kembali entah tidak

Entah menghadang lautan lepas

Tangsi Curup Muara Aman

Lebung dibuka Masakapai

Bunda kandung teguhkan iman

Melepas anak dagang sansai*

Tradisi ‘merantau’ memperhalus jiwa dan menajam minda. Bila melihat alam yang cantik terbentang, keluarlah ungkapan ini;

Yang setetes jadikan laut

Yang segenggam jadikan gunung

Alam terkembang jadikan guru’.

Bila tersisih kerana tidak berharta terbitlah pantun ini;

Kalau tak ranggas di tanjung

Cumanak hampaian kain

Kalau tak emas yang dikandung

Dunsanak rang lain”

Meskipun beberapa aspek dari adat perpatih bertentangan dengan hukum syarak (terutama dalam aspek perkahwinan sesuku yang dilarang) namun Islam dan adat saling menguatkan;

‘Adat basandi (bersendi) syarak

Syarak basandi adat’

Perbilangan ini telah diubah oleh Gerakan Paderi melalui ikrar yang diwartakan pada tahun 1837 supaya Islam menjadi penentu kepada peraturan adat;

‘Adat basandi syarak

Syarak basandi hukum

Hukum basandi Kitabullah’.

Syarak Mengato Adat Mamakai

Camin nan tidak kabuah

Palito nan tidak padam. [6]

Gantang di bodi Caniago

Cupak dijadikan kasukatan

Adat memakai syarak mengato

Ujuik satu balain jalan.[7]

(Gantang di bodi Caniago

Cupak dijadikan kesukatan

Adat memakai syarak mengata

Ujud satu, jalan berbeda)

Dasar adat perpatih itu sendiri memungkin ianya dirombak seperti yang tergambar pada perbilangan berikut;

‘Adat babuhue (ikatan) sintak (mudah dilonggarkan)

Syarak babuhue mati’ [8]

Penegasan kedudukan syarak dalam susunan masyarakat Minangkabau menguatkan lagi falsafah yang terkandung dalam adat Minangkabau sejak mula Islam berkembang di Sumatera Barat. Sememangnya Islam tidak boleh dipisahkan dari orang Minangkabau sehingga ia menjadi ciri yang wajib bagi mereka. Ertinya bukan orang Minang kalau tidak ada Islam.

Si muncak mati terambau

Ka ladang mambo

Lukolah pao kaduonyo.

Adat jo syarak di Minangkabau

Ibarat Auh dengan tabiang

Sanda-manyanda kaduonyo.’[9]

(Si muncak mati terjatuh

Ke ladang membawa parang

Lukalah paha keduanya

Adat dan syarak di Minangkabau

Umpama aur dengan tebing

Sandar-menyandar keduanya).

Periangan manjadi tampuak tangkai

Pagaruyung pusek tanah Data

Tigo Luhak rang mengatokan

Adat jo syarak kok bacarai

Bakeh bagantuang nan lah sakah

Tampek pabijak nan lah tabang.[10]

(Periangan menjadi tampuk tangkai

Pagaruyung pusat Tanah Datar

Tiga Luhak orang mengatakan,

Adat dan syarak kalau bercerai

Tempat bergantung telah serkah,

Tempat berpijak telah terbang.)

’Tasindong jajak manurun

Tatukiak jajak mandaki

Adat jo syarak kok tasusun

Bumi sanang padi menjadi.’[11]

(Terdorong jajak menurun

Tertukik jejak mendaki

Adat dan syarak kalau tersusun

Bumi senang padi menjadi).

Alam Minangkabau juga terkenal dengan Gerakan kaum muda yang progresif. Ini adalah kerana mereka terdedah kepada gerakan Islah yang berpusat di timur tengah. Melalui pendidikan yang diterima oleh anak negeri di Makkah, ide untuk mengislahkan masyarakat disemarakkan. Pada permulaan kurun ke 20 tradisi pembaharuan terus melanda Sumatera Barat. Ulama-ulama yang pulang dari Mekah terkesan pula dengan pemikiran-pemikiran progresif Syeikh Muhammad Abduh dan Syeikh Jamaluddin Al-Afghani. Ide-ide pembaharuan menjadi dasar kepada pendekatan Islam kelompok kaum muda. Di antara tokoh yang terkenal dari Sumatera Barat ialah Hj Rasul atau Hj Abdul Karim Amrullah (bapa kpd Almarhum Prof HAMKA).

Sumatera Barat bergolak lagi pada akhir kurun ke 19 dan permulaan kurun ke 20. Keadaan ini dicetuskan oleh beberapa perubahan dasar ekonomi dan politik yang dilaksanakan oleh penjajah Belanda. Sistem Tanaman atau (Cultuurstelsel) yang dilaksanakan sejak 1837 dipinda kepada sistem percukaian yang melibatkan wang tunai.[12] Di bawah Sistem Tanaman (juga dikenali dengan sistem Tanam Paksa kerana pendekatan yang menindas golongan petani), petani-petani di Sumatera Barat dikehendaki menanam kopi dan menjualnya kepada kerajaan Belanda pada harga yang rendah. Sistem ini kemudiannya mengalami kerugian apabila hasil pendapatan tidak mencukupi untuk pentadbiran wilayah. Keadaan ini semakin parah apabila beras impot diperolehi pada harga yang jauh lebih murah, menyebabkan petani kehilangan pendapatan dari hasil tanaman padi. Kesemua ini adalah natijah langsung dari pembangunan yang dibawa oleh Belanda seperti pembinaan rangkaian jalanraya dan keretapi. Sistem percukaian ini diperkira akan menggantikan sistem tanam paksa, namun ianya tetap ditentang kerana rakyat tidak mempunyai wang untuk perbelanjaan barang-barang keperluan apatah lagi untuk membayar cukai. Di setengah tempat seperti di Pariaman dan Painan tidak terlibat dengan sistem tanam paksa. Ini bermakna pungutan cukai akan menjadi beban baru bagi mereka.[13]

Pada mulanya pungutan cukai hendak dilaksanakan pada tahun 1897. Namun ianya dibatalkan pada saat akhir apabila penjajah mendapat tahu tentang persediaan besar-besaran penduduk untuk melakukan perlawanan fizikal. Ada beberapa faktor yang menyebabkan penjajah membatalkan rancangan mereka. Antara faktor utama ialah pihak penjajah sedang berhadapan dengan perjuangan rakyat Aceh. Pihak penjajah tidak mampu membuka satu lagi medan di Sumatera Barat yang sudah tentu akan menguatkan tentangan rakyat Aceh dan melibatkan kos yang besar.

Pada tahun 1904, Gabenor general Van Huetsz mula mengambil alih setelah perang Aceh semakin reda. Beliau telah menggantikan gabenor Sumatera Barat dan yakin ‘politik Aceh’ boleh dilaksanakan di Sumatera Barat. Tanpa mengambil kira sensitiviti penduduk, jadual taksiran dan pungutan cukai ditetapkan pada tahun 1908. Pada peringkat awal, penentangan diterajui oleh ketua-ketua adat. Walaubagaimanapun ia dengan mudah diatasi oleh penjajah dengan siri-siri tangkapan yang dibuat ke atas mana-mana penghulu yang menentang. Setelah siri-siri bantahan yang diketuai oleh ketua-ketua adat gagal, penentangan berpusat pula pada guru-guru tareqat (Syattariah) yang melancarkan serangan bersenjata ke atas infrastruktur penjajah dan konvoi tentera. Penjajah sekali lagi menggunakan unit Marsose yang berjaya menumpaskan rakyat Aceh untuk berdepan dengan pemberontakan anti cukai di Sumatera barat. Oleh kerana senjata yang tidak seimbang, ramai dari pihak umat Islam terbunuh. Insiden ini berterusan sehingga tahun 1915. Penentangan sengit berlaku di Kamang, Batipuh, Pariaman, Pauh dan Manggopoh.[14] Siri-siri kebangkitan rakyat di Sumatera Barat ini terkenal dalam sejarah sebagai ‘perang belasting.’ Belasting membawa maksud bayaran paksa yang dikenakan ke atas rakyat samada dalam bentuk hasil tanaman (rodi) atau wang tunai.

Menurut M.D. Mansoer, belasting ini bukan punca utama kepada kebangkitan rakyat. Ia hanya satu reaksi fizikal sebagai jawaban Minangkabau terhadap arus pembaharuan yang dibawa oleh Barat. Arus pembaharuan atau ‘modernisasi’ mengikut acuan Barat inilah yang telah melemahkan sendi-sendi nagari dan masyarakat Minangkabau. Perang belasting adalah manifestasi dari pertembungan dua sistem hidup iaitu faham konservatif (tradisional) yang mengatur keseimbangan hidup dalam masyarakat Minang dengan arus modernisme yang mengancam untuk merombak aturan tersebut. Meskipun perlaksanaan sistem cukai ini wujud hasil dari politiek ethis (dasar Politik beretika) untuk menggantikan sistem tanam paksa yang represif namun perlaksanaannya tetap merupakan satu bentuk penindasan imperialis Belanda.[15] Oleh kerana Islam adalah dasar hidup yang menolak sebarang bentuk imperialisme dan penindasan maka kita dapati para ulama dan semangat Islamlah yang telah mendorong penduduk kampung untuk melakukan perlawanan meskipun hanya bersenjatakan parang dan pedang dan berdepan dengan tentera Belanda yang bersenjata carbine (senapang).

Pandangan M.D.Mansoer ini disepakati oleh apa yang dicatatkan oleh Buya HAMKA dalam bukunya Ayahku. Menurut beliau, Belanda telah memusnahkan kerukunan hidup masyarakat Minangkabau. Tradisi gotong-royong telah diganti dengan rodi dan cukai sehingga terbitlah pantun ini;

‘Dahulu rebab nan bertangkai

Sekarang langgandi nan berbunga

Dahulu adat nan terpakai

Sekarang rodi nan berguna.[16]

Cukai yang dikenakan tidak seberapa iaitu satu rupiah dua puluh sen setahun atau sepuluh sen sebulan. Tetapi pokok perkaranya bukan jumlah cukai tetapi mereka telah kehilangan kemerdekaan sehingga dipaksa menyewa di atas tanah sendiri. Inilah yang menyebabkan kekecewaan di kalangan penduduk sehingga ramai yang mahu berpindah ke Tanah Melayu (istilah yang digunakan ketika itu ialah ’Pindah ke Kelang’). Ini diceritakan oleh Syeikh Abbas Abdullah, seangkatan dengan Hj Abdul Karim Amrullah, bapa HAMKA,

’Setelah terdengar maksud pemerintah Belanda, hendak melakukan cukai itu, sangatlah timbul kegelisahan rakyat. Laras-laras telah dipujuk supaya menerima peraturan itu. Terdengar desas-desus bahawa orang akan memberontak. Pada masa itu kami bertiga, Tuan Rasul (Hj. Abdul Karim Amrullah), Ammi Daud dan saya, membicarakan juga soal ini agak mendalam. Pada hemat kami pemberontakan tidaklah akan membawa hasil, sebab alat kelengkapan senjata tidak seimbang. Lagi pula laras-laras dan penghulu-penghulu sudah banyak yang termakan budi dari Belanda. Sebab itu yang akan mematahkan perjuangan bukanlah orang Belanda, melainkan bangsa sendiri yang bernama ‘Belanda hitam’. Dalam satu pertemuan di antara kami timbullah kesatuan pendapat, lebih baik kita pindah sahaja ke ‘Kelang’ (Tanah Melayu). Di sanapun telah banyak orang awak yang telah berharta benda, berkebun dan berladang getah, aman sentosa melakukan agamanya di bawah naungan sultan-sultan yang adil menjalankan syariat Islam. Kemudian kamipun mendengar berita yang pasti bahawa Angku Jambek (Syeikh Jamil Jambek) pun telah berniat hendak pindah ke Melaya pula.’[17]

Berakhirnya perang belasting tidak bermakna rakyat Minangkabau terus tunduk kepada kekuasaan penjajah. Protes terhadap politiek ethis ini terus membara dan kembali memuncak pada tahun 1926 dalam perang Silungkang. Meskipun ada pihak yang mengaitkan perang Silungkang dengan PKI (Parti Komunis Indonesia) namun sebahagian besar masyarakat Minangkabau menolak ia dikaitkan dengan PKI. Waris-waris para pejuang menegaskan ahli keluarga mereka bukan komunis tetapi mereka adalah pejuang kemerdekaan yang taat pada suruhan agama.[18]



[1] Raja Melewar menurut satu sumber adalah putera kepada Sultan Abdul Jalil di Minangkabau yang bernama Raja Mahmud. Sumber yang lebih diyakini ialah beliau adalah putera kepada Raja Alam Muning Syah. Raja Melewar memerentah Sri Menanti dari tahun 1773 hingga 1795, meskipun tarikh kedatangan baginda lebih awal. Lihat Abdul Samad Idris, Takhta Kerajaan Negeri Sembilan, Utusan Printcorp, t.t., hlm. 5.

[2] Istilah Paderi berasal dari Pedir atau Pidie, sebuah bandar pelabuhan di Aceh di mana kebanyakkan jamaah haji dari Minangkabau berlepas ke Mekah. Jadi ’Paderi; bermaksud orang-orang ’haji’ dari Pidie. Gerakan Paderi bermula dengan kepulangan Haji Sumanik (asal Tanah Datar), Haji Piobang (asal Lima Puluh Kota) dan Haji Miskin (asal Agam) dari Kota Mekah ketika bermula revolusi pembersihan amalan bidaah dan khurafat oleh gerakan yang diasaskan oleh Imam Muhammad Abdul Wahab (1703 – 1792) atau yang disebut-sebut sebagai ’Gerakan Wahabbi’ di tanah suci. Mereka pulang pada tahun 1803 dan mula melancarkan gerakan membersihkan masyarakat dari pelbagai bentuk maksiat, kebatilan dan amalan yang dianggap bid’ah dan khurafat. Ini akhirnya membawa kepada pertikaian dengan golongan adat dan ulama dari kaum tua. Menurut Amir M.S. pertikaian ini berlaku di antara golongan pembaharu yang mengikut aliran mazhab Hambali (gerakan Wahabbi juga adalah pengikut mazhab Hambali) dengan ulama-ulama tua dari aliran Syiah yang telah bertapak di Minangkabau sejak pertengahan kurun ke 16, tetapi tidak berwibawa sehingga gagal membendung masyarakat dari amalan yang bertentangan dengan Islam. Lihat Amir M.S., “Adat Basandi Syarak; Syarak Basandi Kitabullah”, Adat Minangkabau: Pola dan Tujuan Hidup orang Minang, PT Mutiara Sumber Widya, 1997, hlm. 119-124. Gerakan Paderi mendapat tempat kerana masyarakat ketika itu sudah jauh dari penghayatan Islam; umpamanya mengadakan sabung ayam pada waktu solat jumaat bersebelahan dengan mesjid; disamping berleluasanya aktiviti rompakan dan jenayah. Penjajah Belanda telah menangguk di air keruh dengan menghasut kaum adat supaya menentang golongan ulama yang dilihat cuba merosakkan budaya setempat. Ketegangan yang timbul di antara dua kelompok ini akhirnya mengundang campur tangan Belanda dan tercetusnya perang Paderi. Lihat Gerakan Paderi menjadi sebuah pertubuhan yang melampau di bawah kepimpinan Tuanku Nan Rinceh, pengikut Haji Miskin di Bukit Kamang. Tuanku Nan Rinceh bersama tujuh malim (guru agama) bergabung memerangi mana-mana kampung yang tidak sehaluan dengan prinsip-prinsip mereka. Mereka dipanggil dengan gelaran Harimau Nan delapan. Tuanku Nan Riceh sanggup membunuh ibu saudaranya sendiri kerana kesalahan menghisap tembakau. Lihat Christine Dobbin, Islamic Revivalism in a Changing Peasant Economy, Central Sumatera, 1784 – 1847, Curzon Press, 1983, hlm. 128-141.

[3]

[4] Amir M.S.,1997, Sistem Kekerabatan, Adat Minangkabau: Pola dan Tujuan Hidup orang Minang, PT Mutiara Sumber Widya, hlm. 21 - 44.Kedudukan orang laki-laki dalam masyarakat Minang apabila sudah berumahtangga adalah ibarat ‘abu di atas tunggul’. Sebagai Urang sumando (menumpang) di dalam lingkungan kerabat isteri, kedudukannya lemah dan mudah disingkirkan. Sebaik berkahwin sahaja pengantin lelaki akan ‘dihantar’ ke rumah isteri seperti perbilangan berikut;

Sigai mencari anau (Tangga mencari enau)

Anau tatap sigai baranjak (Enau tetap tangga berpindah)

Datang dek bajapuik (Datang kerana berjemput)

Pai jo baanta (Pergi dengan dihantar)

Ayam putieh tabang siang (Ayam putih terbang siang)

Basuluah matoari (Bersuluh matahari)

Bagalanggang mato rang banyak (Disaksikan mata orang ramai)

Apabila isteri meninggal dunia maka suami akan dihantar semula ke kampung halamannya. Hakikatnya rumah adalah milik isteri dan akan diwariskan kepada anak-anak perempuan atau kerabat perempuan jika tidak mempunyai anak perempuan. Anak laki-laki hanya menumpang dan tempat tidurnya disurau, menjaga kampung. Keadaan ini sangat menyedihkan, namun inilah yang menjadi sebab kenapa orang laki-laki Minang terkenal dengan tradisi merantaunya. Walaubagaimanapun orang perempuan juga tidak terlepas dari kongkongan adat. Yang memberi kataputus dalam soal jodoh ialah nenek-mamak (bapa saudara tua), bukan ibu-bapa dan anak kemenakannya (anak saudara) yang perempuan tidak boleh membantah. Gambaran tekanan hidup ini dipaparkan lewat novel Apa Dayaku Kerana Aku Perempuan oleh Nur Sutan Iskandar yang menggunakan nama pena Nursinah Iskandar, Pustaka Melayu Baru, Kuala Lumpur, 1964, 88 hlm. Menurut HAMKA ada lagi amalan yang sudah menjadi adat iaitu kahwin-cerai berulang-ulang dan berpoligami menjadi kemegahan baik oleh pemuka-pemuka adat atau orang-orang agama. Menurutnya lagi ’Perkahwinan di tanah adat, bukanlah semata-mata perhubungan laki-isteri; tetapi yang lebih utama, hubungan di antara dua suku. Walaupun engkau berkasih sayang dengan isterimu, janganlah itu terlalu engkau pegang teguh. Yang penting ialah: adakah kaum kerabat dalam persukuanmu, saudara mu yang laki-laki dan perempuan, penghulu-penghulu dan mamakmu suka kepada perempuan itu? Padahal engkau kahwin ke sana atas lepasan mereka? Dilema dan keadaan serba salah yang dihadapi oleh pasangan suami-isteri di tanah adat digambarkan oleh HAMKA apabila mengimbau tentang kesah perceraian ayah dan ibunya dalam HAMKA, Kenang-kenangan Hidup. op. cit., hlm. 32 – 38. 1967,

[5] Ibid., hlm. 61 – 62.

[6] Amir M.S., 1997, Adat Basandi Syarak; Syarak Basandi Kitabullah dalam Adat Minangkabau: Pola dan Tujuan Hidup Orang Minang, hlm.119 – 124; H. Idrus Hakimy Dt. Rajo Penghulu, Rangkaian Mustika Adat Basandi Syarak di Minangkabau, Penerbit Remaja Rosdakarya, Bandung, 1994, hlm. 30.

[7] Ibid., hlm. 30.

[8] Amir M.S., op. cit., hlm. 73 – 75. Adat minang boleh dibahagikan kepada empat ketegori iaitu; Adat nan sabana Adat (Adat yang sebenar Adat), Adat yang diadatkan, Adat yang teradat, dan Adat Istiadat. Adat nan sabana Adat adalah hiraki adat minangkabau yang tertinggi yang tidak boleh dirombak. Jika Adat ini diubah maka seluruh bangunan adat tadi akan runtuh. Ini termasuklah peraturan menasabkan seseorang dari garis sebelah ibu (matrilinial); menegah perkahwinan sesuku dan suami bertempat tinggal dalam lingkungan kerabat isteri (matrilocal) sebagai urang Sumando atau pendatang; harta pusaka (tanah dan rumah adat) diperturunkan kepada anak perempuan dan menjadi milik sajurai (ahli keluarga dari kalangan perempuan) yang tidak boleh diperjual-beli; dan falsafah alam terkembang dijadikan guru sebagai landasan pendidikan. Inilah yang disebut di dalam kata perbilangan;

Nan tidak lakang dek panah (yang tidak lekang dek panas)

Nan tidak lapuik dek hujan (yang tidak lapuk dek hujan)

Paling-paling balumuik dek cindawan (paling-paling berlumut dek cendawan),

Berdasarkan ini terdapat pertentangan yang jelas di antara aturan adat dan hukum syarak. Untuk mencari titik pertemuan di antara kedua adat dan hukum syarak seperti yang diwartakan oleh ulama-ulama zaman paderi iaitu meletakkan kitabullah sebagai asas kepada adat hampir mustahil (pen.). Adat Minangkabau telah mula menjadi aturan masyarakat jauh sebelum masuknya Islam. Menurut Prof. M. Nasroen, sebahagian besar dari adat terjelma dari penelitian masyarakat terhadap ‘ayat-ayat’ atau tanda-tanda penciptaan Allah SWT dalam alam yang nyata. Oleh kerana itu adat Minangkabau adalah berdasarkan apa yang dapat difikirkan dan dirasai oleh jiwa terhadap alam yang zahir. Namun apabila datangnya Islam ia menguatkan dan mengukuhkan lagi falsafah adat dengan menimbulkan keyakinan terhadap apa yang ghaib dan ketentuan pada hari akhirat. Sebab itu menurut beliau adat hanya sanggup menggambarkan hukuman yang zahir tanpa mengaitkan hukuman yang bakal dihadapi di hari akhirat, apabila berlaku pelanggaran terhadap aturan hidup seperti kata perbilangan;

‘kateh indak baputjuak

Kabawah indak baurek

Ditangah-tangah dilariak kumbang.’

(Ke atas tidak berpucuk

Ke bawah tidak berurat

Di tengah-tengah dilobang kumbang).

Lihat M. Nasroen, Dasar Falsafah Adat Minangkabau, Penerbit Bulan Bintang, Jakarta, 1957, hlm. 26 – 27.

[9] Hj. Idris Hakimy Dt. Rajo Penghulu, op. cit., hlm. 29

[10] Ibid., hlm. 62.

[11] Ibid., hlm. 63.

[12] Di Minangkabau, Cultuurstesel dilaksanakan pada tahun 1837 setelah Bonjol ditaklukkan dan Imam Bonjol, pemimpin Paderi dibuang negeri. Sistem ini telah menyebabkan tercetusnya ‘pemberontakan Batipuh’ pada tahun 1842. Pemerintah Hindia Belanda meringkankan sedikit tekanan tetapi meluaskan sistem ini ke beberapa daerah Minangkabau yang baru ditakluk seperti Kubung XIII dan Muara Labuh. Di daerah Tapanuli Selatan dan Bangkahulu ianya dilaksanakan sehingga 1915. Sistem ini berjalan baik kerana ancaman penggunaan senjata dan hukuman berat bagi yang engkar, termasuklah didera dengan rotan dan digantung dengan kepala di bawah. Lihat M.D. Mansoer, Amrin Imran, Mardanas Safwan, Asmanizar Z. Idris dan Sidi I. Buchari, Sejarah Minangkabau, Bhratara, Jakarta, 1970, hlm. 159.

[13] Ibid., hlm. 175. Ini ada kaitannya dengan dasar etika ethische politiek hasil dari ucapan raja Belanda Ratu Wilhemina ketika menggariskan halatuju baru ‘de nieuwe koers ‘ dasar tanah jajahan Belanda pada tahun 1901. Latarbelakang kepada dasar baru ini ialah perdebatan intelektual yang sengit di antara kelompok konservatif yang menyokong dasar tanam paksa dengan golongan liberal yang cenderung kepada pasaran modal dan perniagaan yang bebas dari monopoli kerajaan Belanda. Hujah kelompok liberal ialah perusahaan dan pengeluaran akan meningkat dengan suntikan modal swasta dan ini akan menambahkan pendapatan per kapita rakyat. Peningkatan taraf hidup di kalangan rakyat akan menjana ekonomi dan membuka Hindia Belanda sebagai pasaran bagi barang-barang industri Belanda seperti tekstil (kain/tenunan) terutama dari Twente. Apa yang berlaku ialah rakyat kebanyakkan semakin dihimpit kesempitan hidup. Mereka terpaksa membayar cukai atas semua hasil jualan di pasar, dalam bentuk rodi (bekerja di ladang-ladang kopi) atau wang tunai. Perusahaan tenunan penduduk kampung lumpuh tidak dapat bersaing dengan tekstil dari Belanda.

[14] Bantahan cukai bermula dalam laras Kamang dan laras yang berhampiran iaitu Tilatang, Magat, Salo dan Baso dan dipimpin oleh Haji Abdul Manan dari Tangah. Hj Abdul Manan terbunuh dalam pertembungan yang berlaku di antara penduduk kampung dan askar Belanda pada 16 Jun 1908. Di Batipuh pula pemimpin yang menonjol ialah seorang ulama bergelar Tuangku Limapuluh dan Si Pakir galar Labai Ibadat. Tuangku Limapuluh tertangkap pada 20 Jun 1908. Labai Ibadat meneruskan perjuangannya di Pariaman. Salah satu dari insiden yang sehingga hari ini dikenang oleh masyarakat Minangkabau ialah Perang Manggopoh kerana peranan yang dimainkan oleh seorang pemimpin wanita bernama Srikandi Siti or Uniang Siti. Beliau bersama 15 orang pejuang telah menyerang hendap pasukan Belanda pada 10 Julai, membunuh komandan dan lapan askar Belanda. Uniang Siti tertangkap dan semua anggota pasukannya syahid dalam serangan pada malam berikutnya. Penentangan di Bonjol dipimpin oleh Tuangku Syeikh di Beringin yang tumpas di Pelambayan pada 24 Jun. Serangan di Tanah Datar dipimpin oleh Angku Kali pada 24 Jun yang menyerang Bua tetapi menyerah diri. Kelemahan paling menonjol dalam siri-siri penentangan ini ialah tiadanya koordinasi di antara mereka. Masing-masing bertindak sendirian, samada dipimpin oleh ketua-ketua adat atau ulama. Oleh kerana itu pemberontakan dapat dipadamkan menjelang Jun 1908. Walaubagaimanapun insiden-insiden serangan masih berlaku pada tahun 1909 di Padang dan Pariaman (berhampiran makam Syeikh Burhanuddin Ulakan) dipimpin oleh Datuk Budin dan Sidi Jamadi; di Batu Sangkar dalam daerah Tanah Datar pada tahun 1912 dipimpin oleh Tuangku Batuah dan di Padang Panjang pada tahun 1915. Pada tahun 1922 apabila cukai individu diganti dengan cukai tanah, penduduk kembali bangkit tetapi mula menyalurkan penentangan mereka melalui organisasi politik. Di sinilah berdirinya cawangan PKI (Parti Komunis Indonesia) yang pertama pada April 1923 untuk memobilisasi massa menentang cukai tanah. Pada masa yang sama SI (Sarekat Islam) juga sangat berpengaruh sehingga memaksa kerajaan Belanda membatalkan perlaksanaan cukai tanah tersebut. Lihat Ken Young, Islamic Peasants and the State: The 1908 Anti-Tax Rebellion in West Sumatera, Yale Centre for International and Area Studies, hlm 68 – 82.

[15] M.D. Mansoer et. al., Sejarah Minangkabau, op. cit., hlm. 176.

[16] Hamka, Ayahku, op. cit., hlm. 123.

[17] Ibid., hlm. 124

[18] Ken Young, op. cit., hlm. 296 – 297.

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc