Sunday, August 28, 2011

Perutusan Eid Fitr Aqsa Syarif 1432H


Perutusan Eid Fitr Aqsa Syarif

Sambutan Hari Raya sangat besar maknanya di Bumi Palestin

Assalamualaikum wrt bth

Taqaballahu minna waminkum.

Sempena kedatangan 1 shawal ini Pengerusi, ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Syarif Bhd, warga kerja dan seluruh aktivis di seluruh pelusuk tanah air mengucapkan ‘Taqaballahu Minna Wa Minkum’ kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Aqsa Syarif ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kaseh kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia atas sokongan yang padu kepada semua kempen yang dijalankan oleh Aqsa Syarif untuk membantu rakyat Palestin di dalam perjuangan yang penuh baroqah dan sentiasa memperoleh nusrah (pertolongan) dari Allah SWT.

Kita yang baru sahaja menyambut kepulangan misi Aqsa2Gaza2 (Misi Aqsa Syarif ke Gaza untuk siri ke 2) pada 28 Ogos (bersempena 28 Ramadhan) amat bersyukur kepada Allah SWT kerana telah memudahkan segala urusan penyerahan sumbangan rakyat Malaysia sejumlah RM1.5 juta kepada rakyat Palestin di Gaza. Sumbangan yang disalurkan ini akan memperkasa rakyat Palestin dari sudut kebajikan, sosioekonomi, pendidikan dan kesihatan. Kita juga amat bersyukur kerana Allah SWT telah memelihara anggota misi yang dipimpin oleh Prof Madya Dr Mohd Zin Kandar di sepanjang waktu mereka bertugas memastikan setiap sen dari sumbangan rakyat Malaysia sampai ke sasarannya dengan selamat. Mereka telah kembali dengan selamat di pangkuan keluarga yang telah merelakan pemergian mereka melaksanakan amanah yang cukup berat itu. Maka sekalung penghargaan untuk seluruh anggota keluarga, sahabat-handai, rakan taulan dan seluruh rakyat Malaysia yang telah mendoakan keselamatan mereka dan kejayaan misi ini. Tidaklah ada yang lebih menggembirakan rakyat Palestin daripada pesan-pesan ukhuwah dan kasih saying yang dititipkan oleh rakyat Malaysia kepada saudara-saudaranya di Palestin, melebihi dari bantuan yang diserahkan kepada mereka. Sesungguhnya yang mereka paling hargai ialah kunjungan misi A2G2 yang mewakili seluruh rakyat Malaysia yang prihatin dengan perjuangan membela tanah suci dan Masjid al-Aqsa. Sebagaimana yang disampaikan oleh salah seorang anggota misi A2G2, rakyat Palestin menyampaikan pesan supaya umat Islam di Malaysia ditenteramkan dengan apa yang berlaku di Gaza dan Palestin. Ini adalah satu bukti bahawa mereka bukanlah satu bangsa yang menagih simpati atau bergantung kepada ehsan dunia, sebaliknya mereka adalah bangsa yang diberikan amanah untuk menjaga kepentingan umat Islam dan tanah suci mereka. Mereka yang diserang dan dizalimi pula yang mengharapkan agar kita di Malaysia dan di seluruh dunia Islam merasa aman dan tenteram kerana mereka sekali-kali tidak akan mengkhianati amanah yang dipikulkan ke atas pundak mereka untuk mempertahankan tanah suci dan masjid al-Aqsa. Jelaslah kepada kita bahawa yang memerlukan bantuan dan dokongan agar kita tetap tsabat (teguh) di atas jalan juang ini ialah kita. Kita yang sebenarnya memerlukan bantuan dan sokongan dari rakyat Palestin. Kita yang sebenarnya yang berada dalam keadaan bahaya dan rakyat Palestinlah yang melindungi kita. Kita yang sebenarnya menagih simpati dari mereka sedang bagi mereka cukuplah Allah dan RasulNya. Keyakinan mereka tentang hakikat perjuangan ini tidak pernah goyah seperti yang disebut oleh Nabi SAW di dalam hadisnya.

Rasulullah SAW bersabda berhubung dengan penduduk tanah suci al-Quds, “Mereka dan isteri-isteri mereka, anak-anak dan hamba sahaya mereka berada dalam ribat (kubu) di jalan Allah”

Al-Tabarani.

Masjid al-Aqsa pasti akan dibebaskan. Sama ada umat Islam peduli atau tidak tentang keadaan masjid al-Aqsa yang terkepung pada hari ini. Hakikatnya mereka yang berjihad untuk melindungi dan mempertahankan tanah suci akan dimuliakan oleh Allah dan mereka akan dijanjikan kemenangan. Sedang mereka yang tidak mengambil bahagian di dalam jihad yang merupakan kewajipan setiap umat Islam ini pastilah akan rugi dengan kerugian yang tak mungkin dapat ditaksir di dunia dan di akhirat. Semuga Allah membuka hati kita dan memilih kita untuk berada di dalam saf umat Islam yang berjihad untuk membebaskan masjid al-Aqsa.

Muawiyah bin Abu Sufyan menyampaikan Rasulullah SAW bersabda, “Aka ada di kalangan umatku yang akan terus berada di atas jalan kebenaran. Tiada sesiapa yang menentang mereka dapat menyakiti mereka sehingga tiba hari kiamat”, Para sahabat bertanya, “Di mana mereka ya Rasulullah?” Rasulullah SAW jawab, “Mereka berada di baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis.”

Pada 1 Shawal nanti akan bergema takbir Eid diserata pelusuk dunia seperti berikut

ALlah Maha Besar, ALlah Maha Besar, ALlah Maha Besar!

ALlah Maha Besar dengan penuh kebesaran,

Segala pujian bagi ALlah sebanyak-banyaknya

Dan Maha Suci ALlah pagi-pagi dan petang-petang,

Tiada tuhan (yang disembah) melainkan ALlah

dan tidak kami sembah melainkan kepada-Nya

Memperikhlaskan buat-Nya agama ini

walaupun dibenci orang-orang kafir.

Tiada tuhan (yang disembah) melainkan ALlah yang tunggal

Benar janji-Nya

dan Ia menolong hamba-Nya

dan Ia memberikan kekuatan kepada tentera-Nya

dan Ia mengusir (tentera-tentera kuffar) al-Ahzab bersendirian.

Tiada tuhan (yang disembah) melainkan ALlah dan ALlah Maha Besar

ALlah Maha Besar dan hanya bagi-Nyalah puji-pujian.

Pastinya takbir yang syahdu ini disambut dengan air mata kesyukuran dan kemenangan oleh umat Islam di Palestin. Takbir Eid adalah lambang kepada kekuatan yang dimiliki oleh rakyat Palestin yang bersumberkan kepada kekuatan yang dibekalkan oelh Allah SWT. Allah SWT akan mengalahkan musuh-musuhNya bersendirian, Maha Suci Allah yang akan membantu hamba-hambanya dan akan member kekuatan kepada tentera-tenteranya di Al-Quds.

Semuga Allah memenangkan umat ini dalam jihadnya mempertahankan tanah suci al-quds dan membebaskan Masjid al-Aqsa.

Memperkasa Ummah,

Membebaskan al-Aqsa

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor

Pengerusi Aqsa Syarif Bhd

1 Shawal 1432H


0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc