Thursday, June 30, 2011

Cdgn teks Khutbah Aqsa Syarif sempena Isra Mikraj

Cadangan Teks Khutbah sempena Isra Mikraj: Membebaskan Baitul Maqdis


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Memperingati peristiwa Isra’ Mikraj bererti memperingati perjuangan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW diutus untuk menyempurnakan satu misi yang mengambil masa selama 23 tahun. Seerah ataupun perjalanan hidup Rasulullah SAW ini merupakan khazanah yang tidak ternilai kepada umat Islam yang melaksanakan misi yang telah diwariskan kepada umat yang datang kemudian. Ini ditegaskan di dalam khutbah wida' (haji perpisahan) ketika Nabi berpesan 'hendaklah mereka yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir agar yang tidak hadir lebih memahami. Mereka yang tidak hadir itu ialah umat Islam yang datang silih berganti dari satu generasi kepada satu generasi dan mereka semua dituntut untuk memahami tugas yang diamanahkan kepada mereka iaitu menyeru kepada al-khair (Islam), menyuruh kepada ma'ruf dan menghalang dari kemungkaran. Inilah misi besar yang ditaklifkan ke atas umat Islam sepanjang zaman.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Untuk meneruskan misi ini kita berhajat kepada panduan yang terdapat di dalam seerah. Seerah mengandung prinsip-prinsip perjuangan yang memandu umat Islam untuk memikul tugas yang maha berat ini. Seerah adalah gambaran terhadap apa yang bakal dilalui oleh mereka yang mahu meneruskan perjuangan Nabi SAW.

Peristiwa Isra’ Mikraj pastinya berkait rapat dengan tanah suci al-Quds di Palestin. Sudah tentu peristiwa besar yang dialami Rasulullah SAW ini sangat relevan di dalam memahami tuntutan perjuangan membebaskan Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa yang merupakan tempat singgahnya Nabi dalam perjalanan Isra’ Mikraj yang penuh baroqah. Dalam konteks ini kita dapati banyak persamaan di antara peristiwa yang berlaku pada hari ini dengan apa yang dilalui oleh Rasulullah SAW sendiri. Rakyat Palestin pada hari ini ditindas dan dizalimi oleh zionis Israel. Mereka dikenakan sekatan perjalanan, penyingkiran dari tanah-tanah milik
mereka, kepungan oleh tembok-tembok pemisah dan terakhir sekatan ekonomi dan penutupan laluan darat, udara dan laut di Gaza. Semua bentuk kezaliman dan penindasan ini pernah ditimpakan ke atas Rasulullah SAW dan komuniti mukmin oleh orang-orang
Quraish. Bahkan seluruh Bani Hasyim dan Bani Abu Talib yang mempunyai hubungan keluarga dengan Rasulullah SAW diboikot samada mereka muslim atau sebalinya. Ini bererti sesiapa juag yang menyokong atau melindungi Rasulullah SAW walaupun mereka bukan dari kalangan umat Islam turut menerima akibat dan dipulau sama.

Seluruh penduduk Mekah membuat perjanjian untuk memboikot, memulau, tidak bersilaturrahim, tidak berjual beli, tidak berkahwin dengan mereka. Selama tiga tahun lamanya mereka dipinggirkan di Shiib (lembah) Abi Talib. Keadaan menjadi begitu genting sehingga anak-anak menangis kelaparan pada waktu malam dan mereka terpaksa mengalas perut dengan kulit unta dan kulit-kulit kayu. Rasulullah SAW dikhianati dan dianiaya oleh penduduk Mekah termasuk bapa saudara Nabi sendiri iaitu Abu Lahab. Apabila kita bandingkan dengan apa yang berlaku pada hari ini maka kita akan dilihat persamaan yang amat ketara. Bukan sahaja rakyat Palestin dikepung dan dipulau oleh masyarakat antarabangsa yang didalangi oleh Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Rusia dan PBB bahkan mereka dikhianati oleh pemimpin-pemimpin Arab. Dalam keadaan rakyat Gaza diserang bertalu-talu oleh zionis Israel, pemimpin-pemimpin Arab bersekongkol menyokong serangan ini dan menghalang bantuan dari menyeberang masuk ke Gaza. Semua drama yang pahit ini telah kita saksikan di Gaza. Anak-anak merintih kelaparan pada waktu malam sehingga ibu-ibu mengutip rumput di jalanan untuk direbus dan mengalas perut anak-anak mereka. Ini jugalah yang dialami oleh Rasulullah SAW. Dek kerana tidak tertahan mendengar rintihan anak-anak maka ada di kalangan orang-orang Quraish yang tidak sampai hati dan menyusup pada waktu malam untuk menghantar makanan. Kini rakyat Gaza merintih tetapi bantuan dihalang memasuki Gaza.

Kita perhatikan sikap pemimpin-pemimpin Arab yang serupa dengan sikap pemimpin Quraish termasuk Abu Lahab yang merupakan keluarga Rasulullah SAW sendiri. Kita telah melihat bagaimana Hosni Mubarak, pemerintah Arab Saudi, Raja Jordan bahkan
Presiden Mahmud Abbas (Pihak Berkuasa Palestin) sendiri merestui serangan ke atas Gaza, melantik kontraktor Mesir untuk membekalkan makanan kepada askar Israel dan mengenakan pelbagai syarat tidak menasabah sehingga menghalang bantuan untuk menyeberang ke Gaza.

Namun seerah menunjukkan pemulauan ke atas Rasulullah SAW adalah merupakan siri-siri awal kepada kemenangan yang bakal ditempa oleh umat Islam. Boikot ini berakhir setelah tiga tahun dan diikuti pula dengan pelbagai bentuk penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh Rasulullah SAW. Ini termasuklah kematian Abu Talib dan isteri tercinta, Sy Khadijah RA yang merupakan tonggak utama kepada Rasulullah SAW. Ini disusuli dengan peristiwa menyayat hati apabila Rasulullah diusir dari Taif dan dilontar dengan batu. Dalam saat-saat yang amat menekan inilah Rasulullah SAW dikurniakan mukjizat yang amat besar iaitu peristiwa Isra' dan Mikraj. Dalam peristiwa bersejarah ini Nabi singgah di Masjid Al-Aqsa sebelum meneruskan mikraj ke Sidratul Muntaha.

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

سُبۡحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَيۡلاً۬ مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكۡنَا حَوۡلَهُ ۥ لِنُرِيَهُ ۥ مِنۡ ءَايَـٰتِنَآ‌ۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِيرُ

Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Al-Isra’ 1

Sidangh Jumaat yang dirahmati Allah,

Perjalanan ini punya makna yang sangat simbolik dalam perjuangan Palestin pada hari ini. Selepas peristiwa Isra' dan Mikraj bermulalah pertemuan dengan penduduk Yathrib yang membawa kepada perjanjian Aqabah I dan II yang disusuli dengan hijrah dan pemasyuran Yathrib sebagai Kota Madinatul Nabi. Bermula dari saat itu kemenangan demi kemenangan ditempa sehingga cahaya Islam memancar ke seluruh ufuk timur dan barat. Kesemua ini menunjukkan kepada kita bahawa kemanangan bakal datang setelah pelbagai ujian dan mehnah dilalui oleh umat Islam di palestin.

Peristiwa Isra’ dan Mikraj juga mengingatkan kita kepada gambaran-gambaran akhir
zaman yang telahpun dinyatakan oleh Rasulullah SAW. Beriman denganmRasul bererti beriman dan meyakini dengan berita-berita ghaib yang disampaikan oleh baginda, samada menyangkut tentang peristiwa masa depan apatah lagi tentang hari Qiamat. Berkaitan tentang peristiwa masa depan yang bersangkutan dengan Palestin, terdapat begitu banyak
perkhabaran-perkhabaran yang disampaikan oleh Nabi. Sepatutnya perkhabaran-perkhabaran ini menguatkan azam dan keyakinan umat Islam tentang jihad yang sedang berlaku di palestin. Malangnya umat Islam pada hari hilang punca apabila berhadapan dengan isu Palestin. Sebabnya ialah kita tidak lagi menggunakan neraca iman dalam menilai perjuangan Palestin. Sebaliknya kita menggunakan penilaian kebendaan dan seringkali menyalahkan rakyat Palestin tanpa melakukan apa-apa untuk membantu mereka. Walhal apa yang saksikan pada hari ini telahpun digambarkan oleh Rasulullah SAW.

Nahik Ibn Suraym al-Sakuni r.a. menyampaikan dari Rasulullah SAW, baginda bersabda “kamu akan memerangi golongan kafir sehingga yang tinggal akan berperang di Sungai Jordan, kamu berada di sebelah timur (Jordan pada hari ini) dan mereka berada di sebelah baratnya (Tebing Barat – Palestin yang dijajah Israel).”

Ibnu Hajar al-Asqalani.

Rasulullah SAW bersabda berhubung dengan penduduk tanah suci al-Quds, “Mereka dan isteri-isteri mereka, anak-anak dan hamba sahaya mereka berada dalam ribat (kubu) di jalan Allah”

Al-Tabarani.

Masjid al-Aqsa pasti akan dibebaskan. Sama ada umat Islam peduli atau tidak tentang keadaan masjid al-Aqsa yang terkepung pada hari ini. Hakikatnya mereka yang berjihad untuk melindungi dan mempertahankan tanah suci akan dimuliakan oleh Allah dan mereka akan dijanjikan kemenangan. Sedang mereka yang tidak mengambil bahagian di dalam jihad yang merupakan kewajipan setiap umat Islam ini pastilah akan rugi dengan kerugian yang tak mungkin dapat ditaksir di dunia dan di akhirat. Semuga Allah membuka hati kita dan memilih kita untuk berada di dalam saf umat Islam yang berjihad untuk membebaskan masjid al-Aqsa.

Muawiyah bin Abu Sufyan menyampaikan Rasulullah SAW bersabda, “Akan ada di kalangan umatku yang akan terus berada di atas jalan kebenaran. Tiada sesiapa yang menentang mereka dapat menyakiti mereka sehingga tiba hari kiamat”, Para sahabat bertanya, “Di mana mereka ya Rasulullah?” Rasulullah SAW jawab, “Mereka berada di baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis.”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Hari ini kita menyaksikan cahaya kemenangan sudah mulai kelihatan. Amat benarlah janji Allah. Kepalsuan tidak dapat dipertahan dan pasti musnah. Hakikat ini sedang kita saksikan pada hari ini. Regim-regim Arab yang melindungi Israel ditumbangkan satu demi satu. Masyarakat antarabangsa terutama dari barat kini berada di barisan hadapan membela rakyat Palestin bahkan bersedia untuk berkorban apa sahaja untuk membantu rakyat Gaza yang terkepung. Semua ini adalah bukti bahawa perjuangan untuk pembebasan Tanah suci pastinya akan mendapat pembelaan berterusan dari Allah sehingga kejayaan di capai sepenuhnya.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor

Pengerusi Aqsa Syarif

1 Julai 2011

ceramah Isra mikraj di Masjid al-Mustaqimah - Cheras Indah


Salam Ikhwah wa Akhawat,
InsyaAllah program : Kami Bersamamu Palestin... Aqsa Syarif Ampang Jaya & Masjid Al Mustaqimah.
Tajuk: BUMI ISRAK WAL MIKRAJ
Dimana?
Masjid Al Mustaqimah Cheras Indah (dari MRR 2, ambil Persimpangan Shamelin Perkasa, simpang ke 2, belok kiri, Persiaran Pandan 1....simpang ke 4, masuk Jalan Indah 15, simpang ke 2,masuk jalan Indah 12..Masjid )
Penceramah :Prof.Dr.Hafidzi Mohd Noor Pengerusi Aqsa Syarif Berhad.
30 Jun 2011(Khamis mlm)
7.45-9.00mlm (selepas solat maghrib)
Pameran & jualan Palestin(selepas Asar -selepas Isyak)
AJK Masjid menjemput seluruh warga IKRAM!, beramai-ramai menghadiri Majlis ilmu ini ( Mafhum hadis : Sekali ke majlis ilmu pahalanya seperti 1,000X solat sunat ).
InsyaAllah ,semoga Allah memberikan kita kelapangan waktu & dorongan.
Penggorbanan antum meraikan kariah Masjid & masyarakat setempat dengan keikhlasan hati demi kasih sayang kerana Allah & Islam, amatlah diharapkan...Jumpa disana.....
Wassalamu alaikum.
AJK Aqsa Syarif Ampang Jaya.

Wednesday, June 29, 2011

Dr Hafidzi dalam Analisis- Astro Awani - Flotilla 2 dan gugatan Israel

Assalamualaikum,

Pengerusi Aqsa Syarif Berhad, Prof. Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dalam Analisis Awani , di siaran Astro Awani 5.00 petang, pada 23 Jun 2011

Tajuk utama perbincangan kali ini ialah Flotilla 2 dan pendirian Zionis Israel. Ikuti kupasan menarik dalam program ini.




Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi
Aqsa Syarif

Saturday, June 25, 2011

Perkongsian - Perasmian Sekolah Al-Amin Kerteh oleh Pengerusi Aqsa Syarif


Diambil dari laman web Pertubuhan IKRAM Malaysia -http://ikram.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=426%3Aperasmian-bersejarah-sri-al-amin-kerteh-&catid=54%3Autama&Itemid=52



PDF Cetak E-mail  Share on MySpace

KERTEH - SRI Al Amin Kerteh (SRIAAK) pada Sabtu 18 Jun lalu mencipta satu lagi sejarah apabila telah dirasmikan oleh Profesor Madya Dr. Hafidzi bin Mohd Noor, ahli Dewan Perwakilan Nasional IKRAM dan juga Pengerusi Aqsa Syarif Berhad dalam satu majlis yang meriah dan sederhana di SRIAAK.

Majlis perasmian sekolah turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan untuk masyarakat sekitar Kg Baru, Kerteh. Antaranya ialah acara Beach Soccer for Teens untuk remaja, program explorace untuk kanak kanak,dan lain lain. Gerai-gerai jualan juga turut dibuka dan pameran kesedaran juga turut diadakan oleh pihak polis, bomba dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).



SRIAAK yang mula beroperasi sejak tahun 2001 adalah salah satu sekolah yang bernaung di bawah IKRAM-MUSLEH dan menawarkan sistem pendidikan yang bersepadu dan holistik. Bermula dengan 52 orang pelajar dan 6 orang guru, kini SRIAAK semakin berkembang maju dengan statistik 369 orang murid, 31 orang guru, 2 kakitangan pentadbiran dan 3 orang pembantu am.

SRIAAK pernah mengalami tragedi kebakaran pada 15 September 2006 yang telah memusnahkan bangunan asal sekolah ini yang dibina dari kayu. Namun, dengan semangat tidak berputus asa pihak sekolah dan bantuan dari orang ramai, bangunan baru telah berjaya didirikan dan digunakan dalam sesi persekolahan tahun 2007.

Guru Besar SRIAAK, Puan Hjh Norsalwati Abd Manan berkata, pihak sekolah akan terus memacu kehadapan, dan dengan adanya bangunan baru ini, ianya dapat memenuhi kemasukan ke SRIAAK yang bertambah setiap tahun. Koperasi Sri Al-Amin Kerteh (KOSERI) turut memeriahkan program pada hari tersebut dengan mengadakan mesyuarat agung tahunannya kali ke-2.



Majlis turut dihadiri oleh Yang Dipertua (YDP) IKRAM Terengganu, Ustaz Hj Mohamad Lokman bin Dato’ Awang, YDP IKRAM Kemaman, Hj Zameran Jusoh, wakil dari sekolah sekolah berhampiran, ketua balai polis Kerteh dan pemimpin masyarakat setempat.

Pada sebelah malamnya pula, diadakan forum pendidikan yang bertajuk ‘Tarbiyah dalam pendidikan : dari lahir sehingga ke liang lahad’ yang disampaikan oleh ahli panel iaitu Prof madya Dr Hafidzi dan Ustaz Mahmud Mat. Forum dipengerusikan oleh YDP IKRAM Terengganu, Ustaz Hj Mohamad Lokman.


Thursday, June 23, 2011

Perkongsian - Rakaman Astro Awani:Sudut Pandang (Dr Hafidzi Mohd Noor dan Flotilla 2)

Assalamualaikum

Ikuti ulasan dan pandangan Pengerusi Aqsa Syarif ke atas misi Flotilla 2.



Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi Aqsa Syarif

Wednesday, June 15, 2011

STANDPOINT Aqsa Syarif: Syarat Penyelesaian 2 negara yang lestari


STANDPOINT

Berikut adalah Penjelasan Aqsa Syarif terhadap ‘Penyelesaian 2 negara’ (Two-State Solution) yang lestari.

Bagi pengamat isu Palestin, seringkali penyelesaian dua Negara diketengahkan sebagai jalan keluar kepada konflik di antara Palestin dan negara haram Israel. Apakah asas kepada penyelesaian 2 negara ini?


Fakta-fakta sejarah yang berkaitan perlu diketahui untuk memahami tuntutan beberapa pihak dalam mengusulkan penyelesaian tersebut. Ia bermula pada tahun 1947 apabila PBB meluluskan Resolusi 181 yang membahagikan negara mandat Palestin (Mandated Palestine di bawah pentadbiran British) kepada wilayah Arab sebanyak 45% dan wilayah Yahudi sebanyak 55%. Pembahagian ini diusulkan oleh UNSCOP – Jawatankuasa Khas PBB untuk Palestin di bawah Pelan Pemisahan (partition plan). Sebagaimana yang dijangka umat Arab menolak ketetapan ini dan mencetuskan perang Arab-Israel yang pertama sebaik sahaja negara haram Israel diistiharkan pada 15 Mei 1948 berdasarkan Resolusi 181. Perang ini berkesudahan dengan kemenangan di pihak Israel yang menduduki beberapa wilayah yang diperuntukkan kepada penduduk Arab berdasarkan Pelan pemisahan 1947. Siri-siri rundiungan di antara Israel dengan Mesir, Jordan, Lubnan dan Syria melakarkan semula sempadan di antara Israel dan jiran-jiran negara Arabnya pada tahun 1949. Siri-siri rundingan ini dinamakan The Rhodes armistice (Perjanjian Damai Rhodes).

Sempadan di antara Israel dan Jordan yang mengambil alih pentadbiran Tebing Barat di namakan garisan hijau (The Green line).


Apabila Israel melancarkan serangan mengejut ke atas negara-negara Arab di Sinai, Baitul Maqdis Timur, Tebing Barat, Tanah Tinggi Golan dan Selatan Lubnan di antara 5 hingga 10 Jun 1967 (Perang 6 hari), seluruh wilayah Palestin (Mandated Palestine semasa pentadbiran British 1917 – 1948) di kuasai sepenuhnya oleh Israel. Wilayah yang dirujuk tersebut ialah Genting Gaza dan Tebing Barat (termasuk Baitul Maqdis timur) yang masing-masing diambil alih oleh Mesir dan Jordan pada tahun 1948. Serangan yang dirujuk sebagai Perang 6 hari ini telah mengakibatkan kekalahan besar kepada negara-negara Arab terutamanya Mesir, Syria dan Jordan. Dalam serangan tersebut Masjid al-Aqsa yang terletak di Baitul Maqdis timur ditawan dan penguasaan ini berlanjutan sehingga hari ini (sudah menjangkau 44 tahun pada tahun 2011). PBB telah bersidang pada bulan November 1967 dan mengusulkan resolusi 242 iaitu Israel wajib berundur semula ke sempadan yang ditetapkan oleh perjanjian Rhodes (yang dirujuk sebagai Green Line bagi sempadan di antara Israel dan Jordan di Baitul Maqdis timur dan Tebing Barat). Namun atas desakan Israel ketetapan 242 menegaskan Israel perlu berundur dari wilayah yang diduduki (Occupied territories) dan bukannya wilayah yang diduduki dalam serangan tahun 1967 (The Occupied Territories). Article ‘The’ menjadi titik tolak kepada pertikaian di antara negara-negara Arab dan Israel di mana Israel tidak menyatakan secara khusus manakah wilayah yang diduduki apabila article ‘The’ digugurkan. Ini bermakna resolusi 242 memberi kebebasan kepada Israel untuk menafsirkan manakah wilayah yang dikatakan diduduki ini. Ini juga bermakna Israel bolih mencabar tuntutan mana-mana pihak untuk berundur dari wilayah yang didudukinya pada tahun 1967.


Apabila penyelesaian 2 negara dibangkitkan berdasarkan resolusi 242, maka ia menjadi suatu yang kabur dan tidak dapat dilaksanakan kerana Israel mempunyai wewenangan untuk menentukan manakah yang akan diwartakan sebagai negara Palestin dan di manakah sempadan negara Israel sekiranya negara Palestin yang berdaulat wujud bersempadanan dengan Israel. Atas perkiraan inilah maka penyelesaian dua negara tidak mungkin memberi jalan keluar kepada penyelesaian konflik Palestin-Israel. Israel akan menggunakan semua alasan-alasan teknikal untuk mempertahankan pendirian tidak akan berundur semula ke sempadan 1967 (The Green Line berdasarkan perjanjian Rhodes).


HAMAS menuntut tiga perkara sebagai syarat untuk melaksanakan gencatan senjata dengan Israel iaitu berundur dari semua wilayah yang diduduki pada tahun 1967 (“The” Occupied Territories), pengishtiharan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin yang berdaulat dan hak pelarian Palestin untuk pulang ke negara mereka (ini juga adalah berdasarkan ketetapan PBB – Resolusi 194(III)). Ini bermakna HAMAS pada dasarnya menuntut Israel keluar dari semua wilayah yang ditaklukinya dalam perang 6 hari tanpa perlu merujuk kepada Resolusi 242. Meskipun Resolusi 242 memperuntukkan tuntutan yang serupa namun tuntutan tersebut adalah kabur dan memberi ruang yang luas kepada Israel membuat tafsiran berdasarkan kepentingannya. Ini jugalah yang menjadi asas kepada tindakan Israel dan Amerika Syarikat untuk merujuk kepada wilayah yang diduduki sebagai wilayah yang dipertikaikan (oleh kedua pihak Palestin dan Israel – ‘The disputed territories’) meskipun PBB merujuk kepada wilayah tersebut sebagai wilayah yang diduduki (Israel) ‘The Occupied Territories. Sekiranya Israel bersedia untuk memenuhi tuntutan HAMAS maka ia perlu mengosongkan semua penempatan haram pendatang yahudi di seluruh tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur (termasuk di sekitar dan kejiranan Masjid al-Aqsa) dan berundur semula ke sempadan yang telah ditetapkan dalam perjanjian Rhodes pada tahun 1949 (Inilah yang dirujuk sebagai sempadan 1967 atau lebih tepat lagi pra-1967). Dengan ini gencatan senjata jangka panjang atau ‘hudna’ bolih dilaksanakan di antara negara Palestin yang berdaulat dan negara haram Israel. Oleh kerana status ‘Negara haram’ Israel kekal meskipun gencatan senjata disepakati maka tidak ada keperluan bahkan tidak ada pihak yang bolih memaksa Palestin untuk mengiktiraf Israel. Israel pada dasarnya didirikan di atas negeri palestin yang mereka rampas pada tahun 1948. Ini juga bermakna perjuangan pembebasan bumi Palestin secara keseluruhan akan berterusan sehinggalah setiap inci negara Palestin (termasuklah 78% dari wilayah Palestin yang diiktiraf sebagai wilayah Israel oleh Rhodes Armistice pada tahun 1949) dibebaskan.


Maka dengan berundurnya Israel ke sempadan pra-1967 lengkaplah fasa pertama dari dua fasa perjuangan pembebasan Palestin. Jika Fasa pertama dapat dilaksanakan dengan jayanya maka Fasa kedua akan menyusul.


Prof madya Dr hafidzi Mohd Noor

Pengerusi

Aqsa Syarif Bhd

Friday, June 10, 2011

Ulasan Movie Sang Pencerah - Latarbelakang ingkungan masyarakat kauman yang dihadapi oelh Kiai Hj Ahmad dahlan

Assalamualaikum,

Menonton filem Sang Pencerah lebih berkesan sekirananya kita memahami latarbelakang masyarakat di mana Kiai Hj Ahmad Dahlan dibesarkan. Kedudukan Raja sebagai jelmaan Tuhan mengikut agama sinkrits (campur aduk Islam, Hindu dan Kejawen - kepercayaan setempat), kedudukan golongan priyayi (bangsawan) yang dilantik oleh penjajah bagi mewakili kepentingan kolonial Belanda, dan penindasan penjajah Belanda itu sendiri. Maka dengan ini saya kongsikan ulasan klip awal filem ini dengan membentangkan beberapa sedutan dari buku Jejak Risalah di nusantara jilid VI di bawah tajuk 'Kiai Hj Ahmad Dahlan - pendiri Muhammadiyah' (Bab 7) dan 'Pemberontakan Tjuke (cukai) di Pulau Jawa (Bab 8)

video

Sedutan 1

video

Sedutan 2

Ulasan kpd Sedutan 1

Pada bahagian intro dinyatakan mengenai amalan khurafat dan syirik yang berleluasa adi kauman (komuniti Islam di Yogyakarta) kibat dari pengaruh kejawen (gomo jowo) yang menggabungkan kepercayaan Hindu di dalam Islam (natijah dari ajaran Syeikh Siti Jenar - salah seorang wali songo yang menyeleweng dari ajaran Islam yg murni). Raja adalah jelmaan Tuhan dan perentahnya tidak bolih dibantah.

Diperlihatkan bagaimana masyarakat setempat melakukan amalan syirik dengan menghidang sesajen. Kiai Hj Ahmad Dahlan (nama kelahirannya Ahmad Darwis) sejak dari mudanya lagi amat tidak selesa dengan amalan syirik masyarakat Jawa. Beliau mengambil hidangan yang dipersembahkan kepada semangat pokok (penunggu) dan mengagihkan kepada orang miskin.

Latarbelakang kepada gomo jowo (atau Kejawen) di Jawa Tengah dan Timur khususnya diterangkan dalam Jejak Risalah di nusantara jilid VI di bawah tajuk

Kiyai Hj Ahmad Dahlan – Pendiri Muhammadiyah.(hlm 47-50)

Pada tahun 1998 tatkala gelombang reformasi dipacu oleh gerakan mahasiswa di Indonesia, muncul seorang pemimpin yang dengan lantang mencabar Suharto supaya melepaskan jawatannya. Kalimah ‘undur Suharto’ yang julung-julung kali didengari oleh diktator Suharto dalam tempoh 30 tahun pemerintahannya benar-benar menggoyahkan istana Presiden. Beliau itu tak lain dari Dr Amein Rais, iaitu pemimpin sebuah Gerakan Dakwah yang terkemuka iaitu Muhammadiyah.

Kehadiran Muhammadiyah di persada Indonesia telah menyaksikan episod-episod penting dan turut mewarnai perjalanan sejarah baik dari zaman Kompeni (VOC) pada permulaan kurun ke 20, zaman pendudukan Jepun, Zaman Perang Kemerdekaan, Zaman Order lama Sukarno, order baru Suharto sehingga zaman pasca reformasi. Muhammadiyah didirikan pada tahun 1912 oleh Kiyai Hj Ahmad Dahlan (KHAD) dengan satu hasrat iaitu untuk memurnikan penghayatan Islam di kalangan umat dan mengeluarkan mereka dari belenggu kejahilan, ikatan adat yang jumud serta bid’ah, takhyul dan khurafat. Umum mengetahui umat Islam Indonesia masih tenggelam dalam amalan-amalan yang diwarisi dari ajaran sinkretisme Hindu-Buddha dan kepercayaan Jawa lama (Kejawen), sehingga umat Islam dibahagikan kepada dua kelompok iaitu ‘abangan’ iaitu mereka yang hanya pada luarannya sahaja beragama Islam tetapi masih mengamalkan adat-istiadat setempat yang bercanggah dengan syariat Islam; dan Islam ‘putehan’ atau golongan santri (para ulama dan pengikutnya yang berusaha menegakkan cara hidup Islam). Di kalangan para santri sekalipun, Islam masih dipegang sebagai satu doktrin yang jumud dan ditafsir secara tradisional sehingga tidak mampu membawa perubahan baik dari sudut sosial, ekonomi dan politik. Gambaran ini dapat dilihat dengan jelas ketika KHAD pulang dari Mekah pada tahun 1903 dan memulakan usaha tajdidnya dalam lingkungan masyarakat kauman* di Yogyakarta, di mana beliau dilahirkan dengan diberi nama Muhammad Darwis.[1]

Kauman Yogyakarta mempunyai kedudukan yang unik dalam sejarah Jawa. Ini adalah kerana Yogyakarta adalah pusat kepada kerajaan Mataram, kerajaan Hindu yang terakhir di Pulau Jawa. Apabila berdirinya kerajaan Islam Demak di Jawa Timur dan Banten di Jawa Barat pada kurun ke 15, kerajaan Mataram menjadi semakin lemah akibat dari pergolakan dalaman dan secara tidak langsung dari pengaruh Islam yang semakin tersebar. Menurut Alfian, pada saat-saat Mataram menghadapi masa depan politik yang suram inilah Raja Mataram mengambil keputusan untuk memeluk Islam. Ternyata tindakan ini merupakan satu langkah strategik untuk menyelamatkan dinasti Mataram dan menjamin kelangsungan warisan Majapahit yang berakhir dengan berdirinya Kerajaan Islam Demak. Langkah seterusnya ialah menundukkan semua kerajaan-kerajaan Islam persisiran pantai di bawah takluk Mataram dan memindahkan pusat kerajaan Islam ke Mataram. Tindakan ini bukan sahaja ditafsirkan sebagai menyelamatkan dinasti Mataram bahkan menyelamatkan warisan Syiwa-Buddha, agama sikretisme Hindu warisan Majapahit. Dalam ertikata yang lain masuknya Islam raja Mataram adalah langkah politik semata-mata sedangkan kepercayaan dan nilai-nilai agama Hindu masih dipandang tinggi.[2] (Kedudukan Kerajaan Mataram dalam sejarah Nusantara akan dibincang dengan lebih terperinci dalam Jejak Risalah di Nusantara Jilid III).

Keadaan ini telah melahirkan satu masyarakat yang masih tebal dengan agama warisan yang dinamakan sebagai kejawen atau gomo jowo. Jika adapun pengaruh Islam ia lahir dalam bentuk sinkretisme atau memesrakan hari-hari besar Islam dengan tradisi agama Jawa seperti perayaan Maulud yang diberi nama Sekaten atau Grebeg Maulud, Hari Raya Idil Fitri yang disambut bersama dengan upacara Grebeg pasa dan Hari Raya Qurban dengan upacara Grebeg Besar. Upacara Grebeg dalam Kesultanan Yogyakarta melibatkan upacara keagamaan Jawa yang wajib dilakukan untuk mengelak kemurkaan dewa leluhur Kanjeng Ratu Kidul, pelindung gunung-gunung berapi serta alat-alat kebesaran kerajaan. Jika upacara Grebeg ini diabaikan ia dipercayai boleh mengundang bencana kepada kerajaan dan rakyatnya. Di samping itu, sebelum berlangsungnya upacara Grebeg diadakan upacara Nyadran iaitu pemujaan kepada dewa Siwa serta penghormatan kepada ruh nenek-moyang.[3]

Itulah gambaran penghayatan agama dalam kraton dan masyarakat awam di Yogyakarta. Perkampungan kauman Yogyakarta di sekitar masjid Agung yang bersambungan dengan kraton pula didiami sepenuhnya oleh golongan santri. Kraton pula melantik para khatib yang diberi wewenangan untuk mengurus masjid dan juga langgar (surau) yang ada di sekitar kauman. Oleh kerana kedekatan (proximity) kauman yang bersambungan dengan kraton, di samping tertakluk pula kepada Sultan yang mempunyai kedaulatan mutlak maka penghayatan agama di kalangan para kiai dan santri juga sudah bercampur aduk di antara ibadah yang murni dan adat istiadat kejawen. Pencemaran akidah dan ibadah ini diselimuti pula oleh taksub melulu kepada mazhab dan penyelewengan ilmu tasauf Imam al Ghazali kepada ajaran mistik kejawen. Dalam paradoks yang sedemikianlah Muhammad Darwis dibesarkan. Gambaran tentang lingkungan kraton dan kauman Yogyakarta ini penting untuk menghargai pendekatan yang digunakan oleh Muhammad Darwis @ Kiai Hj. Ahmad Dahlan dalam membawa pengislahan dalam masyarakat.


* kauman merujuk kepada mukim atau komuniti yang berjiran dengan masjid besar di beberapa kota di Jawa

[1] Kauman di Yogyakarta adalah unik kerana amat dekat dengan pusat Kraton (istana) Yogyakarta, baik dari segi jarak mahupun pengaruh. Di kauman inilah Kiai Hj. Ahmad Dahlan dibesarkan, mengajar dan kemudian mendirikan Muhammadiyah. Ruj. Usman Yatim dan Almisar Hamid (ed.), Muhammadiyah Dalam Sorotan, PT Bina Rena Pariwara, Jakarta, 1993, hlm. 21.

[2] Alfian, Muhammadiyah – The Political Behaviour of a Muslim Modernist Organization Under Dutch Colonialism, Gadjah Mada University Press, Yogyakarta, 1989, hlm. 137 - 140

[3] Mt Arifin, Gagasan Pembaharuan Muhammadiyah Dalam Pendidikan, PT. Pustaka Jaya, Jakarta, 1987, hlm. 93 – 94.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sedutan 2

Dalam sedutan 2 pula diperlihatkan bagaimana rakyat awam diperlakukan sebagai hamba, sehingga jika ada orang Belanda yang sedang melalui suatu tempat, rakyat miskin akan diusir. Bangsa Indonesia amat rendah di mata bangsa penjajah Belanda. Dalam suasana penindasan dan perbodohan ini lah rakyat bawah dibelenggu pula dengan konsep Raja sebagai wakil Tuhan (Tuhan menyatu ke dalam jasad raja) dan golongan agama pula mempertahankan sistem feudal warisan Hindu Majapahit-Mataram.

Ini digambarkan dengan jelas bagaimana penghulu Kamaludiningrat dihormati secara berlebih-lebihan oleh para kiai dan orang awam (tertunduk-tunduk menyembah penghulu di dalam masjid). Namun Kiai Hj Ahmad Dahlan memprotes amalan ini dengan tidak 'menunjukkan rasa hormat' melampau yang menjadi amalan masyarakat setempat.

Untuk memahami struktur perhambaan bangsa Indonesia di tangan kolonial Belanda dan golongan priyayi (bangsawan) yang diangkat oleh Belanda sebagai wakil-wakil untuk menindas bangsa sendiri sila rujuk kepada sedutan dari buku Jejak Risalah di nusantara jilid VI di bawah tajuk Pemberontakan Tjuke di Pulau Jawa (Bab 8) hlm 64 - 67

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Meskipun Kerajaan Islam Demak bertapak di Jawa Barat dan Jayakarta dibangunkankan oleh Fathillah (salah seorang dari Wali Songo) pada tahun 1522 menggantikan Sunda Kelapa yang merupakan pusat Kerajaan Hindu, namun agama Hindu dan tradisi lokal masih menjadi pegangan masyarakat. Tradisi lokal ini terus mendapat tempat di zaman Kerajaan Mataram lanjutan Kerajaan Islam Demak dan Pajang. Malahan kurun ke 17 menyaksikan Kerajaan Mataram memberi laluan kepada Belanda untuk bertapak di Jawa Barat. Belanda mempunyai peranan mencetuskan pertembungan di antara ulama dan kraton (istana) sehingga ribuan ulama menjadi mangsa pembantaian. Tragedi sedih ini berulang lagi pada kurun ke 18 apabila Belanda sekali lagi menjadi punca kepada peperangan di antara Sultan Ageng Tirtayarsa yang disokong ulama dengan anaknya sendiri yang didokong oleh Belanda. Peranan ulama tidak meluas di dalam masyarakat Jawa sebagaimana di Aceh. Lantaran itu kebangkitan rakyat tidak berlaku di Jawa sebagaimana di Aceh di mana ulama menjadi ‘rallying point’ umat Islam ketika itu. Jadi di Aceh apabila istana berjaya dikuasai Belanda, para ulamanya mengambil alih kepimpinan kerana mendapat sokongan padu rakyat di belakangnya.

Menjelang kurun ke 19 apabila Belanda melancarkan operasi ketenteraannya di Aceh, seluruh Pulau Jawa sudah menjadi sebahagian dari jajahan Hindia Belanda. Malah penjajahan Belanda di Jawa lebih menepati ciri perbudakan dan penindasan terang-terangan ke atas rakyat pribumi kesan dari luputnya jihad dari jiwa umat Islam ketika itu. Mereka seakan pasrah dengan hakikat dikuasai oleh penjajah malah dengan rela hidup di bawah sistem yang amat ketara merendahkan martabat insan. Kemungkinan ianya adalah natijah dari kefahaman rakyat marhaen yang sudah sebati dengan sistem kasta yang diwarisi dari pandangan hidup Hindu. Mereka sudah terbiasa menjadi rakyat yang duduk di strata (lapisan) yang paling bawah, di mana fungsi mereka hanya berbakti kepada golongan Brahmin (yang diwakili oleh Amangkurat – raja) dan kesatria (pembesar-pembesar istana yang diwakili golongan priyayi – bangsawan dan wakil raja). Apabila Belanda datang, ketaatan itu kini berpindah pula kepada bangsa asing yang lebih berkuasa.

Pada kurun ke 19 sebahagian besar dari penduduk Jawa hidup di atas tanah yang dimiliki oleh tuan-tuan tanah (Particuliere Landerijien – Privately owned land) yang terdiri dari pegawai Belanda, syarikat-syarikat pelaburan, orang-orang Cina, orang asing atau golongan priyayi (bangsawan) yang dilantik sebagai tuan-tuan tanah. Tuan-tanah ini amat berkuasa ke atas penyewa yang bilangannya mencecah puluhan ribu. Malah ada tuan tanah yang menguasai sehingga 175,000 penyewa. Setiap keluarga diberikan sebidang tanah seluas 1 bau (0.8 hektar).[1] Mereka dikenakan cukai sebanyak seperlima dari hasil panen (tuaian). Jika benih dibekalkan oleh tuan tanah mereka dicukai lagi sebanyak sepertiga lagi dari bahagian penyewa. Penyewa yang mengusahakan tanaman kopi perlu menyerahkan hasil biji kopi dari 250 pokok kopi. Ada pula yang menggunakan sistem pajak di mana jumlah hasil untuk tempoh masa yang tertentu telah ditetapkan. Tuan tanah akan mengambil bahagiannya tanpa mengira hasil tanaman yang diperolehi untuk sesuatu musim. Di samping itu setiap penyewa dan keluarga dikehendaki melaksanakan ‘Kompenien’ iaitu bekerja untuk tuan tanah selama beberapa hari dalam sebulan. Perintah Kompenien ini turut melibatkan wanita dan kanak-kanak. Meskipun mereka menyewa, namun syarat-syarat yang ditetapkan langsung tidak mengambil kira kebajikan penyewa. Mereka diperlakukan seperti buruh paksaan. Ada tuan tanah yang tidak mengizinkan penyewa bercuti dan tidak membenarkan orang lain mengganti. Jika ada penyewa yang gagal menjelaskan cukai, tindakan undang-undang akan dikenakan. Haiwan ternakan dirampas dan penyewa diusir keluar dari rumah. Sebaliknya penyewa amat sukar menuntut keadilan di mahkamah jika mereka dianiaya oleh tuan tanah.[2]

Rakyat tidak mempunyai sebarang saluran untuk menuntut keadilan. Dalam keadaan dizalimi mereka tidak ada pilihan selain dari mengharap kepada peribadi tertentu yang dianggap berpengaruh dan mempunyai kuasa sakti yang tertentu. Biasanya mereka ini terdiri dari dukun-dukun atau pengamal-pengamal tarekat yang amalan mereka amat meragukan. Mereka mendakwa mempunyai ‘djemat’ (azimat) dan ‘ngelmu’ (ilmu) yang bolih melindungi pengikut-pengikut mereka. Atas keyakinan ini mereka mengumpul penduduk kampong untuk melakukan penyerangan ke atas tuan-tuan tanah dan agen-agen mereka. Ada yang mendakwa sebagai ‘ratu adil’ atau imam mahdi yang akan mengusir orang asing dan mengembalikan Jawa ke zaman kagungannya. Pengikut yang fanatik sering menganggap mereka mempunyai kuasa sakti yang bolih memberi perlindungan. Akibatnya ramai yang terbunuh di tangan pasukan keselamatan Belanda. Kebangkitan kecil-kecilan ini sering terjadi, namun ia tidak berpanjangan apabila ketuanya terbunuh atau tertangkap[3].


[1] Bahan-bahan rujukan asal tentang Particuliere Landerijen antara lain boleh didapati dari T. Faes, Geschiedenis van het particuliere landbezit op West Java, Batavia, 1893; E. van Dalden, De Particuliere Landerijen op Java, Leiden, 1911; P.H. van der Kemp, Java’a Landelijik, ‘s-Gravenhage, 1916. Rujukan-rujukan ini dikutip dari Sartono Kartodirjo, Protest Movement in Rural Java; A study of Agrarian Unrest in the Nineteenth and Early Twentieth Centuries, Oxford Univ. Press, 1973, hlm. 21.

[2] Ibid., hlm. 23-24. Pelbagai jenis cukai, bayaran sewa dan pajak yang dikenakan oleh tuan tanah disenaraikan oleh P.H. van der Kemp, Java’s Landelijk Stelsel, ‘s-Gravenhage, 1916, hlm. 314-30; juga boleh didapati dari C.C.J. Maasen dan A.P.G. Hens, Agrarische Regelingen voor het gouvernements gebied van Java en Madoera, Batavia, 1934, Jld. I, 2, hlm. 677-720.

[3] Ibid., hlm. 26-63. Di antara pemberontakan dan kebangkitan yang dicetuskan oleh penindasan tuan-tuan tanah ini ialah pemberontakan di Tjiomas pada 19 Mei 1886 yang dipimpin oleh Mohamed Idris. Peristiwa ini berakhir dengan 41 orang terbunuh dan 70 cedera; siri-siri pemberontakan rakyat di Tjampa pada tahun 1913; pemberontakan rakyat yang enggan membayar cukai dan melakukan kerja-kerja Kompenian kepada tuan tanah di Surabaya pada tahun 1915 yang dipimpin oleh seorang yang bernama Sadikin; pemberontakan yang berlaku di Tanjung Oost (Tanjung Timur) di bawah pimpinan Entong Gendut pada tahun 1916; Pemberontakan di Tangerang pada tahun 1924 di bawah pimpinan Kaiin Bapa Kajah dan Sairin Bapa Tjungok yang dipanggil pengikutnya sebagai Embah Tjawang.

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc