Thursday, November 25, 2010

jaulah ke bumi Urdun siri 6 - Maqam Abu Ubaydah Amir Ar-Jarrah

Masjid di mana letaknya maqam Abu Ubaydah Amer Al-Jarrah




Ruang legar di tengah perkarangan masjid

Pokok limau (Purtukal) menghiasi perkarangan masjid
Juga terdapat banyak pokok selasih

Bergambar ramai di depan maqam


Kenangan di dekat Maqam Abu Ubaydah Amer Al-Jarrah

Assalamualaikum

Seorang sahabat lagi yang maqam nya kami sempat ziarahi dengan izin Allah SWT ialah Abu Ubaydah Amir Ar-Jarrah RA. Jika hendak ditulis kehebatan sahabat ini pastilah ruang yang terhad ini tidak akan mungkin mencukupi. Bahkan ruangan yang rengkas ini menzalimi sumbangan beliau yang tidak ternilai kepada umat ini.

Sebesar sumbangannya begitulah juga besarnya ujian Allah terhadap beliau. Pengalaman beliau yang pasti menghantui sesiapa jua yang berhadapan dengan keadaan tersebut ialah semasa perang Badar. Abu Ubaidah Amer Al-Jarrah terpaksa melarikan diri dari seorang musuh yang sentiasa mengejarnya. Walaupun beliau cuba untuk mengelak namun lelaki itu terus memburu dan memburu sehingga Abu Ubaydah terperangkap dan tidak dapat mengelak. Dengan hati yang rawan Abu Ubaydah lalu menetak pedang ditangannya sehingga mengenai kepala lelaki tersebut. Musuh itu terkulai dan tamatlah riwayatnya disitu juga. Orang yang mati di tangan Abu Ubaydah ialah ayahnya sendiri - Amer al-Jarrah. Abu Ubaydah tidak akan mungkin membunuh ayahnya. Tetapi ayahnya tetap memburu beliau. maka yang dibunuh oleh Abu Ubaydah ialah kekufuran yang menjelma dalam batang tubuh ayahnya yang kafir dan musyrik kepada Allah.


لَّا تَجِدُ قَوۡمً۬ا يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ يُوَآدُّونَ مَنۡ حَآدَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥ وَلَوۡ ڪَانُوٓاْ ءَابَآءَهُمۡ أَوۡ أَبۡنَآءَهُمۡ أَوۡ إِخۡوَٲنَهُمۡ أَوۡ عَشِيرَتَہُمۡ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ڪَتَبَ فِى قُلُوبِہِمُ ٱلۡإِيمَـٰنَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٍ۬ مِّنۡهُ‌ۖ وَيُدۡخِلُهُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَا‌ۚ رَضِىَ ٱللَّهُ عَنۡہُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ حِزۡبُ ٱللَّهِ‌ۚ أَلَآ إِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

Al-Mujadila
Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya. / (22)


Itulah sahabat yang maqamnya sempat kami ziarahi dalam jaulah kami di bumi Urdun...

Siapa jua yang menyintai Rasulullah SAW, ambillah sedikit ruang untuk mengenali sahabat besar ini dengan lebih dekat lagi. Orang kata tak kenal maka tak cinta. Carilah ruang waktu dalam sela-sela masa ditengah urusan hidup yang sentiasa menyibukkan kita untuk membaca hayat sahabat. Mereka bukan orang-orang besar yang disanjung kerana harta, kedudukan dan pangkatnya. Mereka adalah orang-orang hebat yang mewakili fitrah insan yang mendapat sentuhan tarbiyah langsung dari rasulullah SAW dan mendapat celupan (sibghah) Allah SWT.

Ketika Abu Bakar RA menerima dakwah Rasulullah SAW. Pada keesokannya beliau bawa bersama 4 orang lagi menemui Rasulullah SAW mengucap syahadah dan menyatakan kesaksian terhadap Allah sebagai Rabb dan Ilah dan Rasulullah SAW sebagai hamba dan rasulNya. Salah seorang dari mereka ialah Abu Ubaidah Amer Al-Jarrah. Beliau bersama Abu Bakar dan Utsman bin Affan adalah tiga sahabat yang paling unggul dari sudut tingginya hemah dan keperibadian yang lembut.

Rasulullah SAW pernah menyebut beliau sebagai 'Aminul ummah' - orang kepercayaan umat ini. Inilah alasan yang digunakan oleh Umar al-Khattab untuk memberi bai'ah kepada Abu Ubaydah selepas wafatnya Rasulullah SAW dan seterusnya mengangkat beliau sebagai khalifah pengganti Rasulullah SAW. Sebaliknya Abu Ubaydah menolak dan memberi bai'ah kepada Abu Bakar As-siddiq dengan ujarnya apakah aku wajar menerima amanah itu sedang Abu Baqar adalah orang yang menggantikan Rasulullah SAW sebagai imam saat baginda gering?

Dalam satu insiden datanglah beberapa orang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang satu perbalahan yang perlu dileraikan. Rasulullah SAW berjanji untuk menghantar seseorang yang amanah dan adil untuk memutuskan perkara mereka. Apabila datang waktu solat Umar hadir dengan harapan orang yang dimaksudkan itu ialah beliau. Selesai memberi salam Rasulullah SAW lalu menoleh ke kiri dan ke kanan, meskipun Umar mendongak untuk mencuri perhatian Nabi, tetapi justeru Abu Ubaydah yang dicari oleh Rasulullah SAW, 'orang kepercayaan umat ini"

Abu Ubaydah dengan hikmah dan hemahnya tidak menghalang beliau untuk terjun ke medan tempur sebagai seorang rijal yang tangkas. Bahkan Abu Ubaydah mengambil posisi pemimpin dalam banyak pertempuran dengan Kerajaan Rum Byzantin. Beliaulah di antara komandan yang terlibat dalam perang Yarmouk yang dahsyat itu. Bahkan beliaulah yang dilantik sebagai komander di Syria.

Sewaktu bumi Syam dilanda wabak taun, Abu Ubaydah dipanggil oleh Umar al-Khattab untuk kembali ke Madinah. Surat Umar dijawab oleh Abu Ubaydah, apakah engkau menyuruh aku lari dari taqdir dan meninggalkan tentera muslimin di perbatasan. (menjauhkan diri dari kawasan yang dilanda wabak taun). Umar yang merasa tersentak dengan jawapan ini akur dengan keputusan Abu Ubaydah dan berkata 'kalau lah bukan Abu Ubaydah yang memberi jawapan pastilah aku akan katakan 'larilah dari satu taqdir Allah kepada satu taqdir Allah yang lain". Se olah-olah Umar terbaca bahawa sudah tiba saat akan perginya Abu Ubaydah, beliau bertanya kepada sahabat 'apakah Abu Ubaydah sudah meninggal dunia?' Maka dijawab oleh sahabat 'waktunya sudah terhampir'. Tidak lama selepas itu berangkatlah beliau menemui Tuhannya dengan penyakit taun sebagai musababnya pada tahun 640M.

Nabi SAW bersabda 'berilah salam kepada mereka (para sahabat) kerana sesungguhnya jiwaku di dalam tangan Tuhanku - Sesiapa yang memberi salam kepada mereka, pasti mereka akan menjawabnya..

Hati ini menangis mengenangnya jauh dan kotor nya hati ini berbanding manusia-manusia hebat bernama sahabat. Apakah mungkin kita menemui mereka di tempat-tempat rehat mereka di syurga Jannatun Naim. Aku teringin mendengar sendiri dari mulut-mulut mereka ketika mereka berjuang di medan dakwah, di medan jihad, di medan qital di samping Rasulullah SAW.. Dari tempat yang jauhpun jadilah, walaupun hanya mendengar suara mereka pun jadilah...kerana tempat aku hanya layak di barisan belakang... beruntungnya aku jika aku dapat berada di barisan belakang itu, jadilah Ya Allah.. jadilah Ya Allah...

Asal engkau jangan campak aku ke neraka MU.. Ya Rabbana Faghfirlana Zunubana Wakaffir Anna Sayyia tina watawafana Ma'al Abrar

Hafidzi/Zuraidah

Wednesday, November 24, 2010

jaulah ke bumi Urdun siri 5 - Laut mati (Bahr mayyit)

Warna keputehan pada pinggir laut mati
adalah tumpukan garam

Beginilah bentuk muka bumi tanah tinggi
di sekeliling laut mati

Satu lagi pemandangan tanah tinggi di laut mati

Bergambar ramai di laut mati

Spt yg disebut dlm posting Laut Tibaria - laut mati
juga mengalami keadaan surut (petanda akhir zaman
yg dijanjikan dlm hadis Nabi SAW)

Laut mati yang panjangnya 67 km panjang
dan lebar 18 km. Di seberang sana ialah Palestin (Tebing Barat)
yang dijajah Israel. Pada sebelah malam kawasan di sebelah 'Israel (negara haram)
terang benderang kerana memang menjadi tempat peranginan dan
pesta, sedang di sebelah Jordan gelap gulita.

Assalamualaikum,

Laut Mati atau dalam Bahasa Arabnya 'Bahr Mayyit' adalah destinasi yang mesti dikunjungi oleh sesiapa yang mahu mengambil iktibar dari peristiwa yang menimpa umat-umat terdahulu. Di namakan 'Bahr Mayyit' kerana laut ini tidak mungkin menampung sebarang kehidupan. Ini adalah kerana kandungan garamnya sekitar 38% - kadar kandungan garam yang tertinggi bagi tasek air masin di dunia.

Kedudukan Tasek (atau laut kerana saiznya yang besar) adalah berada pada paras terendah di bawah paras laut iaitu sekitar 400 m di bawah paras laut (tasek air masin yang berada pada paras terendah di dunia). Tempat yang paling dalam adalah sekitar 378m dalam.

Tasek ini berada pada rekahan 'Jordan rift valley' dan oleh kerana itu berada pada zon gempa.

Apabila kami berada di Laut mati sudah tentu hati dan perasaan kami tertumpa pada zaman Nabi Lut AS. Di sinilah tempat di mana Allah SWT menurunkan azab kepada kaum penduduk Sodom yang dilanda oleh tabiat buruk iaitu kelakuan yang pada hari ini disebut sebagai 'homoseksual' (perhubungan sejenis; lelaki sama lekaki (istilah semasa 'gay', dan kini juga berlaku di antara sesama perempuan istilah semasa 'lesbian).

Al-Quran menceritakan tabiat buruk kaum Nabi Lut spt berikut:

Dan (ingatah peristiwa) Nabi Lut tatkala ia berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu. “Patutkah kamu mendatangi orang lelaki (untuk memuaskan nafsu syahwat kamu)? Dan kamu memotong jalan lalu –lalang (untuk tujuan jahat kamu)? Dan Kamu pula melakukan perbuatan yang mungkar di tempat-tempat perkumpulan tetamu” ? Maka kaumnya tidak menjawab selain daripada berkata (secara mengejek-ejek): “ Datangkanlah kepada kami azab dari Allah (yang engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang-orang yang benar.”
(Surah Al-Ankabut: 28-29)

Allah SWT uji mereka apabila dihantar dua orang utusan (malaikat) menjelma menjadi lelaki yang kacak. Mereka ini diganggu oleh lelaki-lelaki bejat laum Lut. Sedangkan mereka adalah utusan Allah yang ditugaskan untuk menimpakan bencana kepada mereka

“Wahai Lut! Sesungguhnya kami (adalah malaikat) utusan Tuhanmu. Kaum engkau yang jahat itu tidak sekali-kali akan dapat melakukan kepadamu (sebarang bencana). Oleh itu, pergilah berundur dari sini bersama-sama dengan keluargamu pada tengah malam, dan janganlah seorangpun di antara kamu menoleh ke belakang. Kecuali isiterimu, sesungguhnya masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada mereka ialah waktu subuh; bukankah waktu subuh itu sudah dekat?” (Surah Hud: 81)

Akhirnya mereka dibinasakan dengan bumi ditunggang terbalikkan...

Akhirnya mereka pun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit. Maka Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang balik (tertimbus segala yang ada di muka buminya), dan Kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar. Sesungguhnya balasan azab yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda bagi orang yang kenalkan sesuatu serta memerhati dan memikirkannya. Dan sesungguhnya , negeri kaum Lut yang dibinasakan itu, terletak di jalan yang tetap (dilalui) orang). (Surah Al-Hijr: 73-76).

Sewaktu Rasulullah SAW bersama sahabat melalui tempat di mana kaum Tsamud (yang diutuskan kepada mereka Nabi Allah Saleh Alaihis Salam) dibinasakan dalam perjalanan menuju medan Tabuk. Rasulullah SAW telah mengingatkan sahabat agar segera meninggalkan tempat tersebut. Baginda memberi peringatan bahawa janganlah kita melewati tempat seperti itu melainkan dalam keadaan menangis dan menginsafi apa yang telah berlaku. Jika bukan atas tujuan untuk mengambil iktibar segeralah beredar daripadanya

Baginda bersabda, "Aku khuatir kalau kamu akan ditimpa azab seperti yang pernah menimpa kaum Tsamud. Oleh itu janganlah kamu masuk ke wilayah mereka".

Baginda juga bersabda, "Jangan kamu menjejakkan kaki ke tempat orang-orang yang pernah diseksa, kecuali kamu menangis. Sekiranya kamu tidak boleh menangis, jangan sekali-kali kamu menjejakkan kaki ke sana jika tidak ingin ditimpa bencana seperti yang mereka alami".

Semuga kita mengambil iktibar dari peristiwa ini. Jika ada kesempatan menziarahi laut mati ingatlah akan pesan Nabi. Pergi ke sana bukan untuk berseronok tetapi mengingati peristiwa besar yang menimpa kaum Nabi Lut. Kini manusia kembali melakukan perbuatan terkutuk ini secara berleluasa. Seharusnya kita berlindung diri daripada azab Allah yang boleh berulang pada zaman ini.

Hafdzi/Zuraidah

Friday, November 19, 2010

Jaulah ke bumi Urdun siri 4 - Ma'rakat Yarmouk (the Battle of Yarmouk)

Papan tanda menuju tapak Ma'rakat (peperangan) Yarmouk.

Di sini lah Khalid Ibnu Walid berdepan dengan General Heraclius.
(kawasan yang ditandakan dengan sederet pokok itu ialah laluan Sungai
Yarmouk. Darinya terbit dua anak sungai Ruqqad dan Allan. Lembah
di antara dua anak sungai inilah yang menyaksikan pertempuran di antara
kuasa dunia ketika itu. Dalam gambar ditandakan oleh lembah
di antara dua tanah tinggi. Di hujung sebelah sana ialah tanah
tinggi Golan (Syria) yang ditawan Israel

Pandangan di sebelah kiri medan pertempuran (deretan pokok
menandakan Sungai Yarmouk di mana 80,000 tentera
Byzantin lemas dan terbunuh diburu oleh tentera muslimin). Kawasan
di hujung sebelah atas dalam gambar ini ialah Palestin
yang dijajah Israel

Gambar yang lebih jelas menunjukkan tapak pertempuran
(lembah berwarna hijau)

Sungai Yarmouk yg ditandai dgn deretan pokok zaitun

Palestin yang dirindui berada nun di seberang sana. Hatiku
merinduimu. Kali ini kami hanya mampu melihatmu
dari jauh. Semuga Allah memberi kekuatan kepada kita semua
untuk membebaskanmu satu hari nanti

Bangunan puteh dihujung sana adalah pos kawalan
tentera Israel (laknatullah)

Heraklius menerima kekalahan dan berkata
'Selamat tinggal kepada Syria untuk kali yang terakhir'

Maklumat tentang Ma'rakat Yarmouk

Anakanda Nubhan Bin Alias (pelajar dentistry Jordan Univ of
Science and Technology) memberi tazkeeran tentang peperanagn Yarmouk
dan kehebatan Khalid Ibnu Walid yang sanggup diturunkan pangkat
kemudian berjuang sebagai tentera biasa (atas arahan Umar al-Khattab kerana
tentera muslimin sudah mula terpesona dengan kehebatan Khalid sehingga
dirasakan perlu Khalid di'relieve' dari tugas Commander demi
menjaga keyakinan umat kepada Allah SWT)


Kami bergambar dengan anakanda Mawardi (kini sedang
menuntut dalam bidang Syariah di Universiti Yarmouk, Irbid)
Ayahanda dan bonda mewakafkan anak-anak untuk Islam.
Di bumi jihad Yarmouk mari kita sematkan di hati kesungguhan untuk menjulang
panji-panji deen sehingga kita dijemput Allah nanti.

Bergambar kenangan (Mawardi, umi, abi, nubhan, Irfan,
Umar Muttaqi, Syafiq dan farouk) tiada dalam gambar Hafiz (jurufoto)

Assalamualaikum,

Tempat yang pertama kami tuju dalam siri jaulah kami di Urdun ialah tempat di mana berlakunya peperangan Yarmouk. Peperangan yang berlaku pada tahun 636 M. Pertempuran ini adalah yang paling dahsyat yang pernah berlaku di antara tentera muslimin dan Empayar Rum Byzantin.

Ibnu Jarir at-Tabiri menggambarkan peperangan Yarmouk dengan ungkapan 'Tidak ada peperangan seumpama Yarmouk". Tidak syak lagi peperangan Yarmouk yang memberi pukulan maut kepada Empayar Byzantin sehingga mereka tidak bangkit lagi. Bahkan siri-siri peperangan di antara umat Islam dan kerajaan Byzantin yang diakhiri dengan pertempuran Yarmouk ini yang mengubah lanskap agama bumi Syams. Jika tidak kerana jihad yang dilancarkan di bawah kepimpinan Rasulullah SAW dan disambung oleh Sy Umar al-Khattab nescaya bumi Syams (The levant) yang terdiri dari negara Palestin (yang terjajah), Jordan, Syria dan Lubnan pada hari ini menjadi sebahagian dari dunia Kristian...

Peperangan ini jugalah peperangan yang membuka laluan kepada pembukaan Baitul Maqdis pada tahun berikutnya iaitu pada tahun 637M, lima tahun selepas wafatnya Rasulullah SAW. Sesungguhnya ekspidisi yang dikirim oleh Rasulullah SAW sejurus sebelum baginda wafat iaitu yang dipimpin oleh Usamah Bin Zaid RA (berusia sekitar 17 tahun menurut setengah riwayat) membuka laluan kepada pembebasan bumi Syams dan pembukaan baitul Maqdis (di mana terletaknya masjid al-Aqsa).

Tentera muslimin dipimpin oleh Khalid Ibnu Walid. Ramai sahabat-sahabat besar junjungan menjadi pemimpin-pemimpin ketumbukan termasuklah Abu Ubaydah Amir Jarrah dan Sharahabil Bin Hassan (kedua maqam sahabat ini sempat kami ziarah juga). Dalam pertempuran ini juga Ikrimah bin Abi Jahal mendapat syahid. Abu Sufyan bin Harb buta sebelah matanya kerana terkena panahan musuh.

Sebagaimana seperti semua peperangan lain bilangan kekuatan tidak seimbang. Tentera muslimin berjumlah sekitar 40,000 dan mereka menghadapi tentera Byzantin seramai 125,000 orang. Namun iman dan taqwa adalah asas kekuatan dalam perjuangan. Peperangan Yarmouk menyaksikan kemusnahan tidak tergambarkan kepada kerajaan Byzantin apabila 80,000 tenteranya terbunuh dalam peperangan ini. Walhal tentera islam yang syahid hanya sekitar 4,000. Meskipun nisbah tentera muslimin adalah 1 nisbah 3 namun kebijaksanaan dan keberanian Khalid Ibnu Walid telah berjaya menggempur kedudukan tentera Byzantin sehingga mereka terpecah kepada dua. Dalam keadaan cuba melarikan diri dan terkepung mereka terjun ke dalam Sungai Yarmouk yang berlumpur sehingga sungai merah dengan darah tentera Byzantin.

Bila kami berada di tempat berlakunya Ma'rakat Yarmouk, kami menjadi insaf. Selama ini apa yang tergambar dalam fikiran amat jauh dari realiti sebenar. Pertempuran ini berlaku bukan di tanah datar atau padang pasir yang sering digambarkan dalam filem-filem perang. Sebaliknya ia berlaku di kawasan yang 'rugged', berbatu-batu, di kelilingi bukit dan cerun yang curam. Subhanallah! Sungguh agama ini memerlukan rijal-rijal (lelaki-lelaki sejati) yang tangkas untuk membela agamanya. Ini juga memberi isyarat bahawa pendidikan hari ini wajib menekankan erti kelelakian dan keberanian.

Sebab itu Sy. Umar al-khattab pernah berpesan, "didik anak-anak lelaki kamu berenang sebelum kamu ajar mereka menulis. Sebabnya jika mereka tidak pandai menulis, ada orang yang boleh menulis untuknya, sedang jika dia tidak pandai berenang, tidak ada orang yang boleh membantunya." Pada kata-kata ini terselit satu pesanan, bahawa umat ini harus melahirkan generasi rijal yang bersedia untuk beraksi di medan demi mempertahankan Islam. Islam memerlukan pejuang dalam semua medan kerana Islam hari ini diasak juga dari segenap penjuru..

Peperangan Yarmouk berlaku pada 15 Rajab/15 Ogos dan berakhir sekitar 15 September 636M

"Ya Allah. Engkau telah memberi peluang kepada kami untuk berada di sana, menyaksikan sendiri tempat di mana berlakunya ma'rakat Yarmouk. Ya Allah, kami semakin kagum kepada sahabat yang ditarbiyah (dididik) langsung oleh Rasulullah SAW. Ya Allah, Engkau kurniakanlah sekelumit dari kehebatan mereka dalam diri kami Ya Allah, agar kami juga bersedia untuk menjulang panji-panji Deen-ul-Islam yang sedang diasak hebat oleh musuh-musuh mu. Ya Allah! Berilah kami hikmah dan kekuatan untuk kami mendidik generasi anak-anak kami agar mereka dihiasi dengan iman yang mantap, kekuatan dan keberanian untuk mengangkat kembali islam ini ke mercu kegemilangannya - sebagaimana yang Engkau janjikan ya Allah. Ameen Ya Rabbal A'lamin

Dr Hafidzi/Hjh Zuraidah

Thursday, November 18, 2010

Jaulah ke bumi Urdun siri 3 - di laut Tibaria (yg disebut dalam hadis Nabi SAW)

Laut Tiberia (Galilee) di sebelah kanan di kejauhan - berlatar belakangkan bumi Palestin
yang terjajah jelas kelihatan terbentang

Laut Mati (bahr Mayyit) yang jelas menunjukkan tanda surut
(warna puteh itu adalah bekas garam yg menunjukkan paras yg semakin surut)
petanda bahawa Laut tiberia juga semakin surut

Laut Galilee atau Laut Tiberia berada nun di sebelah kanan
(hujung kiri ialah Palestin yg di jajah)

Tanah Tinggi Golan yang ditawan israel tahun 1967
jelas kelihatan di sebelah kanan gambar

Bumi Palestin yg dirindui (so near and yet so far)

Kawasan hijua subur itu adalah Jordan Valley yang mendapat
bekalan air dari Laut Tiberia (di seberang sana ialah
bumi Palestin yang terjajah)

Jordan Valley

Bunker (kubu) yang digunakan askar Jordan
dalam perang 1967

Bergambar ramai di sudut kejauhan dari Laut Tiberia

Assalamualaikum

Salah satu tempat yang kami hampiri ialah Laut Tiberia (Tibariah) atau Laut Galilee. Ia sebenarnya adalah tasek air tawar yang paling rendah parasnya di dunia (sekitar 200m di bawah paras laut). Laut Mati (Bahr Mayyit) yang terletak di selatan (yang akan disentuh dalam siri akan datang) adalah tasek air masin paling rendah parasnya di muka bumi (lebih kurang 400m di bawah paras laut).

Kami hanya bolih menghampiri laut Tiberia ini kerana ia adalah sebahagian dari wilayah Jordan dan Syria (Tanah tinggi Golan) yang kini dikuasai Israel (negara haram) dalam perang 1967.

Di namakan laut Tiberia sempena sebuah bandar tua yang bernama Tiberia di pinggir laut Galilee (diasaskan sejak tahun 20 Masehi). Laut (tasek besar) ini kami ziarahi kerana ia disebut oleh Rasulullah SAW di dalam hadisnya yang ada kaitan dengan masa hadapan.

Maksud hadis yang dari Ummu Qais di mana Rasulullah SAW memanggil orang ramai untuk mendengar pengalaman seorang sahabat yang bernama Tamim ad-Dari. Tamim sebelumnya beragama Kristian dan melarikan diri dari Rasulullah SAW bersama beberapa orang lain. Mereka melayari sebuah kapal dan terdampar di sebuah pulau. Di sana mereka menemui satu makhluk yang hodoh yang memperkenalkan dirinay sebagai Jasasyah (agen). Bila ditanya oleh Tamim siapa ketuanya, maka di suruh naik ke sebuah tanah ketinggian. Di sana Tamim menemui makhluk yang besar, berbulu dan lebih hodoh lagi. Dengan tangan terikat makhluk itu memperkenalkan dirinya sebagai ad-Dajjal. Lalu Dajjal menanyakan beberapa soalan. Antaranya ialah 'apakah air di laut tiberia masih ada?" di jawab oleh Tamim ad-Dari "Ya masih ada". Dajjal kemudiannya menyebut "apabila laut tiberia surut maka itulah masa aku (keluarnya Dajjal)" - Riwayat Muslim.

Diriwayatkan
oleh Abu Hurairah

Kiamat tidak akan berlaku sehingga (1) dua kelompok akan berperang sehingga menyebabkan korban yang besar sedangkan keduanya merupakan penganut ajaran agama yang serupa (2) kemunculan 30 orang dajjal, setiap seorang mengaku sebagai utusan Tuhan (3) ilmu akan diangkat dengan kematian ulama (4) gempa bumi semakin kerap (5) masa akan berlalu dengan pantas (6) fitnah berleluasa (7) pembunuhan berleluasa (8) harta bertimbun-timbun (9) manusia berlumba membuat bangunan tinggi (10) seorang melalui kuburan dan berkata alangkah baiknya aku yang berada di tempatnya (11) apabila matahari terbit dari sebelah barat..

Perhatikan fakta-fakta ini yang saya petik dari buku Dr Danial Zainal Abidin - Al-Quran dan Sains

Laporan Reuters 14 Ogos 2001 “kekeringan air laut Galilee di Israel memerlukan mukjizat untuk pulih
Air laut Galilee (Tiberia) sedang berada di paras yang terendah dalam sejarah iaitu 214.04 m, lebih rendah daripada paras bahaya yg ditetapkan.

Lantaran itu kita disarankan untuk menghadapi akhir zaman dan kemunculan dajjal dengan pesan Rasulullah SAW seperti berikut

Sabda Rasulullah SAW “Sesiapa yang menghafaz sepuluh ayat terawal daripada surah al-Kahfi, akan terpelihara dari Dajjal” (Riwayat Muslim, Tirmidzi, Abu Daud dan An-Nasa’I).
Sabda Nabi lagiSesiapa yang membaca sepuluh ayat terakhir daripada surah al-Kahfi, akan terselamat dari fitnah Dajjal” (Riwayat Muslim, Tirmidzi dan Nasa’I)

Tanda-tanda akhir zaman telah nyata di depan mata. Mari kita mempersiapkan diri untuk menghadapi dajjal yang mungkin telah muncul dengan pelbagai watak dan fenomena yang terbit dalam pelbagai bentuk kesesatan dan penyelewengan akidah, ibadah dan syariat pada hari ini

Dr Hafidzi/Hjh Zuraidah

Jaulah ke bumi Urdun siri 2 - menziarahi maqam Muadz bin Jabal RA

Masjid di mana letaknya maqam Muadz bin Jabal RA

Kata-kata Muadz bin Jabal RA yang terjemahan ada
dihujung antri ini

Pada kain penutup makam ini tertera ayat dari surah al-Ahzab ayat 23
Rasulullah SAW berkata "wahai Muadz demi Allah aku sungguh sayang
kepada mu. Maka ucapkanlah selepas solat "Ya Allah! Bantulah daku
untuk selalu ingat dan syukur serta beribadat dengan ikhlas kepadaMu

Bergambar ramai (dari kiri - Irfan, Mawardi, umi zuraidah,
Dr Hafidzi, Hafiz, Nubhan Alias, Umar Muttaqi Abd Aziz,
Furqan - pelajar Irbid dan Amman)


Bergambar kenangan di samping maqam Muadz. Muga
kita semua menjadi pencinta ilmu dan dikurniakan hikmah
oleh Allah SWT

Assalamualaikum,



Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. (23) - Surah al-Ahzab

Itulah ayat al-Quran yang tertera pada kain yang menutupi pusara sahabat besar Rasulullah SAW iaitu Muadz bin Jabal R.A. Beliau adalah di antara sahabat yang mengambil bai'ah dari Rasulullah SAW dalam bai'atul Aqabah ke 2 (Baitul harb - kerana di dalamnya ada janji setia untuk mempertahankan Nabi mengatasi diri, keluarga dan harta - janji untuk perang).

Muadz adalah terkenal sebagai ulama di kalangan sahabat. Nabi SAW pernah bersabda 'Muadz bin jabal adalah pemimpin golongan ulama di hari qimat". Lantaran itu ketika Umar akan menghembuskan nafas yang terakhir beliau pernah berkata "Seandainya Muadz bin Jabal masih hidup tentu saya angkat dia sebagai khalifah".

Rasulullah SAW telah menghantar Muadz RA ke Yemen untuk mengajarkan deen. Baginda bertanya kepada Muadz "Apa yang menjadi pedomanmu dalam mengadili sesuatu hai Muadz? Kitabullah, jawab Muadz. "bagaimana jika kamu tidak menjumpainya dalam Kitabullah?" Saya putuskan dengan Sunnah Nabi, ujar Muadz. "Jika kamu tidak temuinya dalam sunnah Nabi? Saya pergunakan fikiranku untuk berijtihad, dan saya tak akan berlaku sia-sia" Maka berseri-serilah wajah Rasulullah SAW, sabdanya "Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufiq kepada utusan Rasulullah SAW sebagai yang diredhai oleh Rasulullah SAW"

Maqam Muadz bin Jabal adalah salah satu dari 3 sahabat yang sempat kami ziarahi dalam jaulah kami di bumi Urdun. Sungguh kehebatan para sahabat seumpama Muadz adalah ibarat bintang-bintang di langit. Barangsiapa yang mengikuti salah seorang dari mereka tentulah mereka tidak akan tersesat. (maksud hadis Nabi SAW).

Muadzbin Jabal RA sering mengingatkan kita pada setiap waktu dengan kata-katanya 'Marilah kita duduk sebentar meresapi iman" (Dari al-Aswad bin Hilal)

Pada dinding di kamar di mana letaknya maqam Muadz bin Jabal dan anaknya dihiasi dengan kata-kata Muadz yang tidak ternilai harganya

"tuntulah ilmu kerana mereka yang menuntut ilmu adalah mereka yang takut pada ALLAH, dan ianya adalah satu ibadah,dan pengajiannya adalah tasbih, dan berbahath mengenainya adalah satu kesungguhan, dan mengajarkan pada yg x mengetahui adlah sedeqah, dan menyebar kan pada mereka yang terdekat adalah satu kebahagiaan, dan ianya adalah sebagai penjaga ketika keseorangan, dan rakan ketika ber seorangan, dan hujjah keatas agama(islam), sebagai penyabar ketika kita terlalu gembira @ terlalu sedih, dan ianya sebagai penjaga (pembantu) ketika berlaku keatasmu penafian dan juga penjaga ketika kamu dihampirkan dengan sesuatu yang asing dan juga sebagai penanda bagi sesetengah daripada kita sebagai penerang jalan ke syurga" (terjemahan dibantu oleh Muhammad mawardi)

Dr Hafidzi/Hjh Zuraidah

Wednesday, November 17, 2010

Jaulah ke bumi Urdun siri 1 - Pemuda al-Kahfi

Tulang pemuda al-Kahfi diletakkan pada satu kubur

Salah satu dari bekas kubur pemuda al-Kahfi

Tiga dari bekas kubur al-Kahfi

Odi berdiri pada tetingkap di mana masuknya cahaya matahari yg disebut dalam ayat ke 17 surah al-kahfi Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah, maka dialah yang berjaya mencapai kebahagiaan dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.


Surah al-Kahfi ayat 13 - Demikian kami ceritakan kepada mu (wahai Muhammad)
kesah mereka dengan sebenarnya. Mereka itu adalah pemuda
yang beriman lalu kami tambahkan untuk mereka petunjuk

Bergambar di depan gua al-Kahfi


Odi dan umi di depan pintu gua
(yg disebut dalam al-Quran - dibina bangunan
padanya)

Bergambar di depan masjid di tapak gua al-Kahfi

Peralatan termasuk bekas minuman yg digunakan
oleh pemuda al-Kahfi

Bergambar tiga beranak di depan 4 dari kubur al-Kahfi

Bergambar ramai (abi, umi, odi, nubhan, syafiq, furqan, hafiz dan umar Mutaqqi rakan
rakan odi dari Univ Yarmouk dan JUST, Irbid, Jordan)

Di luar gua al-Kahfi
Assalamualaikum,

Lama juga tak update blog. Banyak perkembangan sejak dari bulan Ramadhan lepas tidak diupdate. Kini cuba menghidupkan semula blog keluarga ini. Mudah-mudahan ada manfaatnya bagi kami dan pengunjung.

Baru-baru ini sewaktu menghadiri konferens Akademik di Kaherah dari 1 - 3 Nov sempat singgah ke Amman Jordan dari 4 hingga 7 Nov menziarahi anakanda Mawardi. Kami berdua sempat menziarahi beberapa tempat bersejarah. Antaranya ialah Bahr mayyit (Laut mati). Laut Tibaria (yg disebut di dalam hadis Nabi SAW) dan Gua pemuda al-Kahfi (yang disebut di dalam surah al-Kahfi). Dalam beberapa siri pendek akan dikongsikan beberapa entri tentang catatan perjalanan ke tempat-tempat tersebut.

Untuk kali ini kami akan kongsi pengalaman kami melawat gua al-Kahfi. Kesah pemuda al-Kahfi ini disebut di dalam al-Quran dalam surah alKahfi dari ayat 9 - 26. Dalam tafseer al-Maudoodi (meaning of the Quran) yang merujuk kepada tafseer Maulana Abdul Kalam Azad, kesah pemuda yang tertidur dalam gua (al-Kahfi) dirakamkan oleh sejarawan islam ulung Ibnu Jarir at-Tabari. Mengikut catatan sejarah yang ditulis oleh seorang paderi Kristian, Yaakub dari Sarug, peristiwa ini berlaku pada zaman pemerintahan Maharaja Rum yang bernama Decius (245 - 251 Masehi; iaitu kira-kira 400 tahun sebelum lahirnya Nabi Muhammad SAW , 630 Masehi). Tempat di mana peristiwa ini berlaku ialah di kota Ephesus. Di manakah letaknya kota Ephesus ini; jika sumber tulisan Yaakub ini boleh dipegang bererti ia hampir dengan kota Amman, Jordan pada hari ini.

Maharaja Decius berlaku zalim kepada pengikut Nabi Isa AS dan memaksa sesiapa sahaja yang beriman supaya kembali kufur dan menyembah berhala 'Diana' (dewa sembahan [penduduk kota Ephesus). Tujuh orang pemuda ini diketahui beriman dengan risalah Tauhid lalu dipaksa supaya kembali kepada agama nenek moyang mereka. Pemuda-pemuda ini melarikan diri lalu bersembunyi di dalam sebuah gua. Mereka tertidur dan dibangkitkan oleh Allah SWT sekitar 447 Masehi (iaitu selama 197 tahun jika mengikut sumber bertulis ini - namun hanya Allah SWT yang maha mengetahui) dan mereka dapati penduduk Ephesus telah menganut agama Kristian.

Yaakub dari Sarug sendiri lahir pada tahun 452 Masehi dan beliau menulis tentang kesah pemuda al-Kahfi ini pada tahun 474 Masehi. Ini bermakna jika berdasarkan kepada sumber sejarah bertulis ini maka kesah ini ditulis 30 tahun selepasnya. Al-Quran tidak menyatakan tarikh atau tempat di mana peristiwa ini berlaku. Kerana yang penting dari peristiwa ini bukannya tarikh dan tempat tetapi iktibar dan pengajaran yang perlu dimanfaatkan dari peristiwa ini. Bahkan al-Quran membongkar beberapa penyelewengan dan kekufuran yang terus menyelubungi manusia di sekitar kesah ini. Mereka yang hidup dan menyaksikan peristiwa ini bukan sahaja tidak mendapat petunjuk bahkan terheret semakin jauh ke dalam kesesatan. Keadaan mereka adalah sama dengan orang-orang Quraish yang cuba untuk menggagalkan misi dakwah Rasulullah SAW dengan menguji pengetahuan Nabi tentang kesah pemuda al-Kahfi. Mereka telah mengunjungi paderi-paderi Kristian di Syam dan meminta pandangan mereka apakah soalan-soalan yang boleh diajukan kepada Muhammad SAW bagi mendustakan baginda. Tiga soalan mereka tanyakan iaitu tentang pemuda al-Kahfi, kesah Iskandar Zulkarnain dan persoalan tentang ruh. Dua persoalan yang pertama di jawab dalam surah al-Kahfi sedang soalan tentang ruh di jawab dalam surah yang lain. Sebaik sahaja Nabi diajukan soalan tersebut, Nabi lalu berkata - "aku akan berikan jawapannya esok". Allah SWT menegur Rasulullah SAW dalam ayat ini

Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti. (23)
Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): Insya Allah dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa dan katakanlah: Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini. (24)
Selama hampir sebulan wahyu tidak diturunkan sehingga orang-orang Quraish menyangka behawa mereka telah berjaya mendustakan Rasulullah SAW. Di sinilah Allah SWT menempelak mereka dengan ayat

Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah "Ashaabul Kahfi" dan "Ar-Raqiim" itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? (9) (Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami. (10) Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya. (11) Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu). (12)

Sebenarnya sikap orang-orang Quraish yang menolak Kerasulan Nabi Muhammad SAW itu lebih menakjubkan lagi, sebagaimana sikap dan perbuatan orang-orang yang hidup pada zaman pemuda al-Kahfi itu. Peristiwa ini bukan menambah keimanan mereka bahkan mereka menjadi semakin jauh dari petunjuk Allah. Mereka disibukkan dengan berbalah sesama sendiri berapa bilangan mereka dan berapa lamakah pemuda-pemuda itu tertidur di dalam gua. Lalu Allah SWT menmempelak mereka dengan menegaskan bahawa hanya Allah yang mengetahui berapakah bilangan mereka dan berapa lama mereka tertidur di dalamnya.

Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka. orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka. (21)

Inilah pengajaran sebenar dari kesah al-Kahfi. Peristiwa ini membuktikan bahawa kehidupan akhirat adalah pasti dan amat mudah bagi Allah menghidupkan orang yang sudah mati. Peristiwa ini berlaku pada saat pengikut Nabi isa as sudah mula terpengaruh dengan kepercayaan kaum Pagan (Greek) pada zaman itu bahawa tidak ada kehidupan selepas mati. Mereka gagal mengambil iktibar dari peristiwa ini sebaliknya mengkultuskan pemuda-pemuda al-Kahfi dengan membina bangunan dan tempat ibadah di atasnya.

Al-Quran mendedahkan peristiwa ini dan membongkar penyakit-penyakit hati yang ada pada golongan yang kufur. Sekiranya Allah SWT tidak menceritakan peristiwa ini nescaya kesah pemuda al-Kahfi akan terus diselubungi oleh persoalan-persoalan yang tidak menjurus kepada pemupukan tauhid dan keimanan kepada Yaumul akhirat. Mereka akan dipuja sebagai 'keramat-keramat' yang dikultuskan oleh orang-orang yang jahil.

Ziarah kami di Gua al-Kahfi benar-benar menjadi bekal dalam kehidupan ini. Surah yang sering dibaca pada hari Jumaat ini kini memberi kesan yang mendalam setiap kali ia dihayati selepas ini.

نَّحۡنُ نَقُصُّ عَلَيۡكَ نَبَأَهُم بِٱلۡحَقِّ‌ۚ إِنَّہُمۡ فِتۡيَةٌ ءَامَنُواْ بِرَبِّهِمۡ وَزِدۡنَـٰهُمۡ هُدً۬ى

Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka

Dr Hafidzi Mohd Noor
 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc