Thursday, June 2, 2011

Perutusan Aqsa Syarif sempena Ulangtahun ke 44 tragedi an-Naksah


Tentera Zionis memasuki Masjid al-Aqsa
dan menghina umat Islam
7 Jun 1967

Perutusan Sempena Ulangtahun an-Naksah ke 44

Assalamualaikum wrt bth

Dengan nama Allah maha pemurah lagi maha pengasihani

Bagi umat Islam khususnya, tarikh 5 – 10 Jun 1967 menandakan tahap yang paling rendah dalam sejarah kerana Masjid al-Aqsa kembali terjajah setelah ianya dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayubbi kira-kira seribu tahun yang silam.

Aqsa Syarif mengajak rakyat Malaysia dan umat Islam khususnya untuk memperingati satu lagi insiden dalam siri tragedi bertimpa yang dilalui oleh rakyat Palestin. Sembilan belas tahun selepas peristiwa Nakbah, rakyat Palestin melalui satu lagi peristiwa pahit yang dikenali sebagai an-Naksah atau ‘hari kekalahan’. Peristiwa an-Naksah merujuk kepada Perang enam hari yang berlangsung dari 5 hingga 10 Jun 1967 di antara Negara-negara Arab dan Israel. Dalam tempoh sesingkat enam hari 3 negara Arab iaitu Mesir, Syria dan Jordan kehilangan wilayah dan mengalami kemusnahan yang besar dari sudut ketenteraan. Bahkan dalam tempoh tersebutlah Masjid al-Aqsa ditawan oleh tentera Israel dan terus terjajah sehingga hari ini.

Pada 8 Jun Mesir kehilangan seluruh Semenanjung Sinai yang merupakan satu kekalahan yang besar dan memberi kelebihan strategik kepada Israel untuk terus menguasai Selat Tiran yang mengawal laluan ke Laut Merah. Jalur Gaza yang dikuasai oleh Mesir sejak tahun 1948 juga jatuh ke tangan musuh.Tentera Israel juga memasuki Kota lama Baitul Maqdis dan menduduki Masjid al-Aqsa pada 7 Jun, seterusnya mara ke Sungai Jordan dan menguasai seluruh Tebing Barat yang ditadbir oleh Jordan. Apabila Mesir dan Jordan bersetuju dengan gencatan senjata yang diputuskan oleh PBB pada 8 Jun, seluruh Baitul Maqdis timur dan Tebing Barat sudah diduduki oleh tentera Israel. Syria juga memilih untuk patuh dengan gencatan senjata pada 9 Jun, namun Israel terus menceroboh wilayah Syria dan menduduki Tanah Tinggi Golan sehingga kini. Menjelang 10 Jun, Israel menguasai wilayah yang keluasannya ialah dua kali ganda dari Negara haram Israel yang didirikan ke atas wilayah Palestin pada tahun 1948. Wilayah tersebut meliputi Baitul Maqdis timur, Tebing Barat, Jalur Gaza, Semenanjung Sinai dan Tanah Tinggi Golan.

Bagi umat Islam, 7 Jun adalah tarikh yang amat memilukan kerana pada tarikh tersebutlah Masjid al-Aqsa kembali terjajah. Tentera Israel memasuki masjid al-Aqsa yang mulia dan mencemarinya dengan pelbagai perbuatan biadap. Mereka bersorak menghina umat Islam dengan melaungkan Khaibar! Khaibar! Mereka menganggap pada hari tersebut penghinaan yang ditimpakan ke atas mereka oleh umat Islam di Madinah pada zaman Rasulullah SAW ditebus dengan jatuhnya Masjid al-Aqsa ditangan Yahudi. Mereka menghina Rasulullah SAW dengan melaungkan ‘Agama Muhammad sudah mati dan hanya meninggalkan wanita-wanita; merujuk kepada Negara-negara Arab yang mengalami kekalahan teruk dalam Perang 6 hari tersebut. Mereka turut memusnahkan laluan (pintu) Maghriba dan merobohkan semua rumah-rumah rakyat Palestin yang mengadap Tembok Buraq (Western Wall) dan menukarnya menjadi satu perkarangan lapang bagi upacara keagamaan Yahudi. Tembokj Buraq mereka kuasai dan menamakannya sebagai ‘Kottel’ atau ‘Wailing wall’, satu tindakan yang jelas merampas hak umat Islam yang diperakui oleh Liga Bangsa-Bangsa sebagai warisan Islam. Israel seterusnya mengistiharkan penggabungan Baitul Maqdis barat (bahagian Baitul Maqdis yang ditawan pada tahun 1948) dan Baitul Maqdis timur (yang mereka tawan dalam Perang 6 hari) dan menamakan Baitul Maqdis (Jerusalem) sebagai ibu Negara abadi Israel yang tidak boleh dirunding buat selama-lamanya pada 26 Jun 1967.

PBB bertindak meluluskan Resolusi 242 pada bulan 2 November 1967 yang memutuskan Israel perlu berundur semula ke sempadan sebelum 1967 dan mengembalikan ‘sebahagian dari wilayah yang ditawannya’. Namun Israel telah menggunakan wilayah yang didudukinya sebagai bahan tawar-menawar (bargaining chip) untuk menciptakan perdamaian palsu melalui apa yang disebut sebagai pertukaran wilayah (land swap). Hakikatnya Israel tidak pernah berniat untuk melepaskan mana-mana wilayah di Tebing Barat dan Baitul Maqdis timur yang ditawannya. Ini adalah berdasarkan tindakan Israel yang terus menerus membina penempatan-penempatan haram di seluruh Tebing Barat bahkan di sekeliling Kota lama yang menempatkan Masjid al-Aqsa. Apabila perjanjian damai Oslo ditanda tangani pada tahun 1993, Israel meningkatkan lagi aktiviti pembinaan penempatan haram tersebut. Keadaan ini berterusan setelah persetujuan dicapai dalam Annapolis Konferens pada tahun 2007 sehingga kini. Israel terus berdolak dalih dan berselindung di sebalik pelbagai istilah perdamaian bermula dari Madrid (1991) sehinggalah Deklarasi Prinsip-prinsip Clinton (DOP – Declaration of Principles – 2001) dan Pelan Damai atau ‘Road Map’ (2003). Mereka turut membina tembok pemisah (Separation or ‘Aparthied’ wall) sepanjang 800 km dari utara ke selatan jauh ke dalam Tebing Barat untuk mengepung rakyat Palestin, membataskan pergerakan mereka dan menafikan pelbagai kemudahan asas termasuklah sumber air bersih untuk minuman dan mengairi ladang, perkhidmatan dan hak rawatan di hospital bahkan untuk mendapatkan pendidikan untuk anak-anak Palestin. Apabila HAMAS memenangi pilihanraya legislatif yang pertama dan membentuk kerajaan pilihan rakyat yang sah, Israel mengenakan sekatan dan akhirnya kepungan menyeluruh ke atas Gaza bermula pada tahun 2007 sehingga kini.

Hari ini kita menyaksikan pelbagai perkembangan positif dengan perubahan lanskap politik di timur tengah khususnya di Mesir. Perkembangan ini merupakan gugatan kepada Israel yang semakin merasa terdesak dengan kehilangan sekutu kuatnya Mesir apabila tumbangnya regim Hosni Mubarak yang merupakan boneka Amerika dan orang suruhan regim Zionis. Presiden Obama turut merasakan tekanan sehingga terpaksa membuat ucapan dasar (policy speech) bagi meredakan tuntutan rakyat Mesir bahkan penduduk negara-negara Arab yang menuntut pembebasan negara Palestin. Obama turut menyarankan agar Israel berundur ke sempadan tahun 1967 sebagai syarat penting untuk mencipta perdamaian di timur tengah. Namun ucapan dasar Obama ternyata omong kosong apabila Netanyahu bergegas ke Washington DC dan menuntut penjelasan dari saranan Presiden Obama tersebut. Netanyahu berucap di hadapan Kongres dan Presiden Obama kemudian menukar nadanya supaya selari dengan kehendak Israel. Obama kemudiannya menegaskan bahawa Israel akan terus kebal (iron-clad protection) di bawah perlindungan Amerika. Obama turut member jaminan bahawa Amerika Syarikat akan terus menghalang PBB dari memberi pengiktirafan kepada negara Palestin yang berdaulat.

Aqsa Syarif menegaskan bahawa jalan untuk menuju perdamaian di Timur Tengah dan di Palestin hanyalah satu iaitu Israel wajib berundur ke sempadan 1967 dan melepaskan semua wilayah yang didudukinya dalam perang 6 hari, berdirinya sebuah negara Palestin berdasarkan sempadan 1967 tersebut dengan Baitul Maqdis sebagai ibu Negara Palestin yang tidak bolih dipertikaikan oleh mana-mana pihak dan hak rakyat Palestin untuk pulang ke nagara mereka wajib dihormati sepenuhnya tanpa syarat. Aqsa Syarif mengulangi pendirian negara dan rakyat Malaysia yang berdiri teguh bersama rakyat Palestin untuk tidak mengiktiraf negara Israel. Aqsa Syarif akan terus berjuang bagi mengembalikan hak rakyat Palestin, berdirinya sebuah negara Palestin yang merdeka dan pembebasan Masjid al-Aqsa sepenuhnya dari cengkaman Zionis Israel.

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor

Pengerusi

Aqsa Syarif

Klip video Kiai Hj Ahmad dahlan mengajar di sekolah Belanda



Assalamualaikum,

inilah sedutan dari clip movie Kiai Hj ahmad Dahlan mengajar di sekolah Belanda.

Dipetik dari Buku Jejak risalah di nusantara jilid VI di bawah bab: Kiyai Hj Ahmad dahlan - Pendiri Muhammadiyah. hlm 59 - 62

Pengarang: Dr Hafidzi Mohd Noor
Penerbit: JIM Media dan NICE (Nusantara Centre of Excellence)
tahun 2007
-------------------------------------------------------------------------------------

Kiai Hj Ahmad Dahlan (KHAD) tidak sahaja menerangkan secara teori pendekatan yang beliau sandarkan untuk merubah masyarakat tetapi menterjemah sikap beliau secara amali. Umpamanya dalam sikap keterbukaan dan kesediaan untuk berdiskusi untuk mencari kebenaran dan sosiolisasi ide, KHAD berinteraksi secara meluas dengan pelbagai pihak termasuk pastur secara terbuka dan di depan umum.[1] Beliau juga menjadi anggota beberapa organisasi massa iaitu Budi Utomo, Jami’atul Khair dan Sarekat Islam.

Penglibatan KHAD dalam Budi Utomo perlu dicatat sebagai penterjemahan seruan beliau ke arah penyatuan masyarakat. Beliau mempunyai matlamat yang khusus menyertai Budi Utomo iaitu dalam rangka untuk memasukkan pengajaran agama Islam ke sekolah model Gubernemen (sekolah Kerajaan penjajah Belanda) dan juga kepada anggota Budi Utomo yang merupakan pegawai lulusan sistem pendidikan Belanda seperti OSVIA dan STOVIA. Gagasan KHAD dipersetujui oleh pengurus Budi Utomo sehingga diberi tugas mengajar dalam setiap pertemuan anggota dan dilantik sebagai pengajar agama Islam di Kweek school, Jetis, Yogyakarta dan di OSVIA, Magelang pada tahun 1910. Pelajaran agama dimasukkan sebagai aktiviti ekstrakurikulum pada setiap Sabtu petang dan pagi Ahad. Ini adalah merupakan kejayaan pertama pelajaran agama Islam diajar di sekolah kerajaan meski hanya sebagai aktiviti hujung minggu. Ini adalah satu contoh di mana keterbukaan KHAD dan kesediaan untuk berdiskusi telah berjaya menghasilkan satu bentuk pembaharuan yang besar dalam masyarakat meski melalui kerjasama dengan Budi Utomo yang lebih berteraskan semangat nasionalisme Jawa.[2]

KHAD tidak berpuas hati dengan pencapaian ini kerana beliau bercita-cita untuk menggabungkan pendidikan Islam dan pendidikan akademik di pasentren mengikut sistem pendidikan modern. Beliau meletakkan objektif untuk melahirkan ulama yang mempunyai pengetahuan yang luas dan golongan yang bergraduat dalam aliran lain mempunyai sikap hidup muslim yang menyatukan wawasan keilmuan dengan Islam. Ini bererti KHAD telah meletakkan asas untuk mengintegrasikan lembaga pendidikan model barat dengan ruh syariat Islam dan memasukkan gagasan barat dalam sistem pendidikan Islam yang sebelumnya bersifat tradisional dan anti barat. Model pendidikan yang bersepadu ini begitu menarik sehingga dua orang anggota Budi Utomo menggesa KHAD supaya menyegerakan perlaksanaan sistem pendidikan tersebut. Atas sokongan padu dari Budi Utomo, sekolah agama yang menggunakan kaedah pendidikan barat pertama kali didirikan di kampung kauman pada tahun 1911.[3] Ini adalah merupakan sekolah agama secara formal yang dinamakan Madrasah Ibtidaiyah Diniyah Islamiah (setingkat Sekolah Dasar/sekolah rendah) yang dijalankan di rumah KHAD sendiri di ruang tamunya yang berukuran 2.5 x 6m.[4] Dengan ini sistem pendidikan yang menggabungkan pendidikan Islam dan akademik yang semakin popular terutama pada era kebangkitan Islam sejak akhir 1970’an di Malaysia dan Indonesia sebenarnya mulai dirintis oleh KHAD sejak 100 tahun yang lalu.

KHAD melihat sistem pendidikan tradisional tidak mampu membawa perubahan kepada masyarakat. Contohnya HAMKA dalam bukunya ‘Kenang-kenangan’, beliau mengkritik kaedah belajar di pondok-pondok pesantren yang tidak relevan dengan masalah semasa yang dihadapi oleh umat. Pelajarnya disuruh menghafal nahu dan syaraf yang tidak ada kaitan dengan persoalan hidup. Dalam pelajaran tafsir yang ditekankan ialah kemampuan untuk membaca teks tafsir dengan betul; sedang aspek aplikasinya tidak diberi penekanan. Kadang-kala timbul isu fiqh yang tidak berjejak di alam nyata seperti apa hukumnya wanita berjanggut mengambil wudu’; perlukah diratakan air pada janggutnya?[5]

KHAD melihat sistem pendidikan perlu dirombak dan disusun mengikut kaedah pendidikan terkini. Maka beliau telah berijtihad dan mendirikan institusi pendidikan bermodelkan pendidikan Belanda. Untuk pendidikan sekolah rendah atau SD (sekolah dasar) disusun mengikut sekolah HIS (Holland Indisch School). Aspek pendidikan agama seperti yang terdapat pada ‘HIS met de bijbel’ ditukar kepada ‘HIS met de Quran’. Sekolah latihan guru ‘kweekschool’ turut dibangunkan.[6] Pada tahun 1922, setahun sebelum KHAD meninggal dunia lapan jenis sekolah telah berjaya dibangunkan oleh Muhammadiyah iaitu Opleiding School (Magelang), Kweeck School (Magelang dan Purworeja), Normaal School (Blitar), NBS (Bandung), Algemeene Midelbare School (Surabaya), TS (Yogyakarta), Sekolah guru (Kotagede) dan Hoogere Kweeck School (Purworeja) dengan bilangan guru seramai 73 orang dan 1,019 siswa.[7]

Dengan membangun sistem pendidikan yang moden, Muhammadiyah mula melebarkan pengaruhnya ke luar pulau Jawa. Di beberapa tempat di Kalimantan seperti di Banjarmasin dan Amuntai didirikan sekolah-sekolah Muhammadiyah. Kemudian gerakan ini berkembang pula ke Sumatera. Di samping sekolah dan lembaga-lembaga pendidikan, Muhammadiyah juga menyusun setiap lapisan dan anggota masyarakat dalam unit-unit yang berotonomi. Golongan wanitanya bergerak dalam Aisyiah dan puteri bergerak dalam Nasyiatul Aisyiah. Malah golongan seni juga mempunyai lembaga mereka yang tersendiri. Selain membangun system pendidikan, Muhammadiyah juga membangun khidmat kesihatan modern. Di saat masyarakat masih takut untuk berjumpa doctor, Muhammadiyah telah membina poliklinik di Yogyakarta, Surakarta, Surabaya dan Malang. Pada tahun 1929, tercatat seramai 81,000 orang sudah mendapat rawatan di poliklinik Muhammadiyah.[8]



[1] KHAD pernah berdiskusi dengan pastur Van Lith dan Domine Baker di kampong Jetis, Yogyakarta, bersama seorang pastur dari Amerika Syarikat dan Dr. Laberton. Lihat Mt. Arifin, op. cit., hlm. 110.

[2] Ibid., hlm. 113.

[3] Ibid., hlm. 114.

[4] Abdul Munir Mulkham, op. cit., hlm. 19. Sekolah tersebut dikelolakan secara modern dengan menggunakan kaedah dan kurikulum baru.

[5] HAMKA, Kenang-kenangan Hidup, op. cit., hlm. 53.

[6] Ahmad Mansur Suryanegara, op. cit., hlm. 221.

[7] Abdul Munir Mulkham, op. cit., hlm. 23 – 24.

[8] Ahmad Mansur Suryanegara, op. cit., hlm. 221.



Sedutan dari movie Sang Pencerah - tanggapan penjajah terhadap islam dan guru agama

Assalamualaikum,

Siapa yang menonton movie Sang pencerah akan dihidangkan dengan satu scene di mana Kiai Hj Ahmad Dahlan mengajar di sekolah Belanda 'European Largesse Skool. Salah seorang murid berkata (sebelum Kiai masuk mengajar buat pertama kali) 'kaki mereka lebar-lebar kerana tidak memakai sepatu,... dan bau lagi! (busuk). Bila Kiai Hj Ahmad Dahlan masuk ternyata dia memakai sepatu. Lalu seorang budak lagi berkata 'Mana ada? kan pakai sepatu! wangi lagi!. Murid yang berdailog itu adalah anak-anak tempatan yang ayahnya pegawai kerajaan kolonial Belanda. Mereka ini kebelanda-belandaan dan memandang rendah pada Islam.

Apa yang dipertontonkan dalam movie itu tepat seperti yang digambarkan oleh Buya HAMKA. Situasi kelas yang menunjukkan anak-anak Belanda duduk baris depan dan anak-anak negeri kebelanda-belandaan duduk di belakang.

Saya perturunkan sedutan dari Buku Jejak Risalah di nusantara jilid VI di bawah Bab 'Pendidikan mencetus kebangkitan umat' hlm. 46.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sebenarnya sikap pemerintah Belanda yang melihat mereka sebagai cabang atas (superior) memperdalam jurang di antara masyarakat pribumi dan pemerintah. Sikap ini tergambar di kalangan anak-anak yang mendapat pendidikan di sekolah-sekolah Belanda. Sekolah-sekolah ini, European Largese School hanya terbuka kepada anak-anak Belanda dan anak-anak pribumi yang berkhidmat sebagai askar Kompeni (askar Belanda). Jika bertemu di tengah jalan, anak-anak sekolah swasta; ‘guberneman’ atau pondok pesantren dengan sendirinya akan menyisih dan memberi laluan kepada anak-anak Belanda dan anak pribumi yang bersikap kebelanda-belandaan. Mereka ini pantang ditegur seperti yang dirakamkan oleh Almarhum Prof HAMKA yang bersekolah ‘guberneman’ dalam bukunya berjudul ‘Kenang-kenangan’.[1] Seorang anak pribumi bangsa Ambon yang bertugas sebagai askar Kompeni telah didisiplinkan oleh gurunya kerana merosakkan harta sekolah. Ayahnya dan rakan-rakan telah menyerang guru tersebut dengan kata-kata seperti ini ‘Kowe jangan berani ganggu anak Kompeni! Kowe mengerti siapa saya’. Anaknya pula menambah ‘ini sekolah kami punya! Kami anak Kompeni! (Orang-orang Ambon memang ramai yang berkhidmat sebagai askar Kompeni dan terlibat dalam banyak peperangan dengan umat Islam seperti di Aceh; tidak hairanlah mereka dijanjikan kemerdekaan oleh Belanda. Janji yang tidak tertunai ini menyebabkan mereka menyimpan dendam kepada umat Islam sehingga terjadinya pembunuhan beramai-ramai di Ambon-Maluku pada tahun 1999-2000).

Sebagai kesimpulan penjajah ingin melahirkan cetaknya dari kalangan anak-anak pribumi. Namun natijahnya ialah memperdalam jurang di antara anak didiknya dengan masyarakat umum. Di satu sudut pula umat Islam memanfaatkan pendidikan moden sehingga lahir golongan intelek yang mampu berdepan dengan pemerentah. Sistem pendidikan pesantren juga mengalami transformasi sehingga melahirkan golongan ulama yang progresif. Umat Islam Indonesia kini sudah bersedia untuk mencabar penjajah Belanda, bukan lagi dengan bamboo runcing dan rencong tetapi dengan otak yang terasah.



[1] HAMKA, Kenang-kenangan hidup,op. cit., hlm. 19 – 21.

Wednesday, June 1, 2011

Kelahiran 'Kaum Muda' dan latarbelakang sejarah awal

Assalamualaikum,

(penjelasan khusus tentang siapa itu kaum muda - bagi menjelaskan satu kekeliruan yang ditimbulkan)

Dipetik dari buku Jejak Risalah di nusantara jilid VI: Gerakan Islam-Penggerak Kemerdekaan Indonesia
Pengarang:Dr Hafidzi Mohd Noor
Penerbit: JIMedia & NICE (Nusantara Centre of Excellence)
Tahun: 2009

1. Pendahuluan – Kebangkitan Islam moden menjelang abad 20.

Bagaimana kebangkitan Islam moden berkembang di Indonesia bahkan di seluruh nusantara? Bibitnya boleh dijejaki sejak dari kejatuhan kerajaan thalassocracy (Kerajaan yang berkembang dari perdagangan laut/pelabuhan seperti Melaka, Maluku, dan Makassar) sehingga beralih kepada tamadun agrarian (Pusat-pusat penduduk yang berkembang di sekitar aktiviti pertanian seperti Sumatera Barat dan Jawa Tengah dan Timur). Penjajah barat khususnya Portugis dan kemudian Belanda telah memonopoli aktiviti perdagangan antarabangsa sehingga membunuh kelestarian kerajaan-kerajaan Islam pesisiran pantai yang selama ini berkembang seiring dengan aktiviti ekonomi. Menurut Ahmad Mansur Suryanegara, penjajahan Belanda ke atas Indonesia tertangguh selama dua abad lamanya sejak pertengahan abad ke 17 kerana penentangan yang sengit dari umat Islam. Kerajaan-kerajaan laut menghabiskan begitu banyak sumber dan terlibat dengan peperangan yang kerap dengan Portugis dan kemudian Belanda untuk menghalang perluasan kuasa-kuasa imperialis tersebut. Keadaan ini sedikit sebanyak melemahkan kekuasaan politik dan ekonomi kerajaan pesisiran pantai dan membuka laluan kepada penjajahan Belanda di beberapa bahagian kepulauan Indonesia pada kurun ke 19.[1]

Maka tidak sukar untuk mengaitkan kepesatan pengembangan Islam dengan kerajaan-kerajaan laut yang sentiasa terdedah kepada dakwah/tabligh Islam yang ‘alami (universal) sifatnya. Namun proses pengembangan Islam ini tidak terbantut meskipun pelabuhan-pelabuhan penting dan laluan perdagangan laut yang utama dikuasai oleh penjajah barat. Sebaliknya arus dakwah Islam ini berkembang pula dari kawasan pesisir ke kawasan pendalaman dengan dinamikanya yang tersendiri. Bahkan kita boleh menyimpulkan bahawa proses penjajahan ke atas kerajaan Islam pesisiran inilah yang telah mempercepatkan proses pengislaman ke kawasan pendalaman (hinterlands).[2]

Pertumbuhan tamadun agrarian susulan dari kejatuhan kuasa politik kerajaan laut ini telah melahirkan institusi pengajian Islam yang terpusat iaitu pesantren atau disebut dengan pelbagai nama seperti pondok dan dayah di bawah kepimpinan dan ketokohan ulama setempat. Institusi Pendidikan yang bersifat lokal ini bukan sahaja menjadi benteng akidah umat Islam dari asakan program pengkristianan penjajah tetapi terus mendapat input yang segar berupa suntikan-suntikan pembaharuan atau islah dari pusat-pusat pengajian Islam di Timur Tengah. Apabila para santri (pelajar dan guru) pesantren menyambung pengajian di Mekah mereka dikaitkan dengan ide atau gagasan yang disebut oleh barat sebagai pan Islam[3] (seluruh umat Islam bernaung di bawah Khalifah Islam di Turki dan mereka wajib berjihad membebaskan semua negara umat Islam dari penjajah barat yang kafir). Mereka juga membawa semangat revival atau pembaharuan untuk membersihkan amalan agama dari pelbagai penyelewengan, bid’ah, takhyul dan khurafat seperti yang dipelopori oleh Syeikh Muhammad Abdul Wahab yang kemudiannya terjelma sebagai aliran Wahabbi di tanah Arab.[4] Akhir kurun ke 19 dan 20 juga menyaksikan kemunculan tiga tokoh besar dunia Islam iaitu Syeikh Jamaluddin al Afghani, Syeikh Muhammad Abduh dan Syeikh Muhammad Rashid Rida’ yang menyeru supaya umat Islam bangkit dari kejumudan dan kelesuan yang menyebabkan tanah air mereka dijajah oleh musuh-musuh Islam.[5] Mereka juga menggesa umat Islam supaya menguasai ilmu pengetahuan yang dikembangkan oleh dunia barat kerana ia seiring dengan tuntutan Islam untuk berhadapan dengan cabaran semasa.

Penyuburan fikrah Islami yang ‘alami (universal) sifatnya ini juga ada kaitan dengan pembukaan terusan Suez pada pertengahan kurun ke 19 yang menatijahkan pergerakan umat Islam yang lebih bebas termasuk mengerjakan haji dan pertukaran ide pengislahan (perubahan) yang lebih lancar. Senario global ini menjadikan pesantren sebagai pusat umat Islam untuk membangun akidah, melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan mempelopori jihad menentang penjajahan barat. Kedudukannya dalam lingkungan pertanian atau jauh dari bandar pelabuhan yang maju dan pesat tidak menghalang ia menjadi pusat mengumpul kekuatan umat Islam (rallying point). Tidak hairanlah kurun ke 19 yang menyaksikan usaha penjajah Belanda untuk menundukkan kawasan pendalaman kepulauan Hindia dijawab dengan jihad. Tiga kebangkitan besar yang dipelopori dari pesantren dalam menentang penjajah Belanda pada abad yang ke 19 ialah Perang Padri di Sumatera Barat (1825 - 1837), Perang Diponogoro di Jawa Tengah (1825 - 1830) dan Perang Aceh (1873 - 1905). Clifford Geertz menyebut siri-siri kebangkitan ini sebagai 'santri insurrections'.[6]



[1] Ahmad Mansur Suryanegara, Menemukan Sejarah: Wacana Pergerakan Islam di Indonesia, Penerbit Mizan, Bandung, 1995, hlm. 129.

[2] Alfred Thayer Mahan dalam bukunya The Influence of Sea Power upon History membentuk sebuah hipoteis iaitu ‘ada tidaknya sejarah tergantung kepada kekuatan lautnya’. Hipotesis ini mungkin dapat dipertahankan jika yang menjadi ukuran ialah kekuatan ekonomi dan politik semata-mata, sedangkan sejarah jatuh-bangun sesebuah bangsa ditentukan oleh nilai-nilai yang lebih tinggi seperti akhlak dan kemanusiaan. Ternyata sejarah umat Islam tidak terbantut di nusantara dengan penguasaan ekonomi dan politik oleh penjajah barat bahkan semakin berkembang. (pen.) Lihat Alfred Thayer Mahan, The Influence of Sea Power Upon History, 1660 – 1783, Boston, Little, Brown and Co., 1918, 557 hlm.

[3] Istilah Pan-Islam digunakan oleh kuasa-kuasa barat dalam konteks apa yang dikatakan sebagai pendekatan politik Kerajaan Turki Uthmaniah yang semakin lemah untuk mengkosolidasi kedudukan wilayah Islam yang terancam oleh pengluasan kuasa-kuasa Eropah khususnya Peranchis, British dan Rusia menjelang abad ke 20. Kaedah perlaksanaannya adalah dengan menghidupkan kembali jihad di tanah air umat Islam. Dasar politik ini dikaitkan dengan Sultan Abdul Hamid II, khalifah Uthmaniyah yang terakhir. Lihat Kemal H. Karpat, Ifta and Kaza: The Ilmiye State and Modernism in Turkey, 1820 – 1960, hlm. 25 – 42, dalam Colin Imber & Keiko Kiyotaki (eds.), Frontiers of Ottoman Studies, Vol. 1, I.B. Tauris, London – New York, 2005. 294 hlm. Pengertian Pan-Islam secara klasik adalah penyatuan seluruh dunia Islam di bawah satu kekuasaan politik yang dikepalai oleh seorang khalifah. Apabila sebahagian besar negara Islam terjajah, maka pengertian Pan-Islam itu merangkumi ikatan setia atau ukhuwah islamiah di antara umat Islam seantero dunia. Pengertian yang longgar ini juga dilihat sebagai satu ancaman oleh penjajah kerana umat Islam akan bangkit membela saudaranya yang dijajah atau ditindas di mana-mana negara sekalipun. Kekhuatiran bangsa Eropah terhadap Pan-Islam ada asasnya kerana apabila pecah perang dunia pertama, Turki memehak kepada Jerman untuk memerangi kuasa bersekutu British dan Peranchis. Khilafah di Istanbul telah mengeluarkan seruan Fatwa Jihad-i-akbar Fardh Ain di mana di negara-negara Islam perlu dibentuk gerakan suci (jihad), baik bersifat rahsia ataupun secara terang-terangan. (Pengumuman ini dikeluarkan oleh Jawatankuasa Nasional Pembelaan Khalifah yang ditujukan kepada seluruh umat Islam pada tahun 1333H/1914M). Lihat Husnul Aqib Suminto, Politik Islam Hindia Belanda, Lembaga Penelitian Pendidikan dan Penerangan Ekonomi dan Sosial, Jakarta, 1985, hlm. 80 – 81.

[4] Syeikh Muhammad Abdul Wahab dilahirkan pada 1703 di Nejd, Jazirah Arab. Beliau hidup di zaman umat Islam terlibat dengan amalan syirik dan khurafat seperti meminta dari kubur orang-orang alim termasuk kubur para sahabat Nabi r.a. Penyewengan akidah dan keruntuhan akhlak berlaku di dunia Islam termasuk di Mekah dan Madinah. Umat Islam juga berpegang dengan ajaran tasauf yang menyimpang. Syeikh Muhammad Abdul Wahab telah dibantu oleh Amir Muhammad Ibnu Saud untuk memurnikan semula amalan keagamaan umat Islam dengan membanteras pelbagai amalan khurafat dan syirik. Syeikh Muhammad Abdul wahab dituduh mereka-reka mazhab baru oleh musuh-musuhnya. Beliau difitnah dengan hebat dan musuh-musuhnya menamakan pengikutnya sebagai Wahabbiyah. Pergolakan politik yang berlaku selepas kematian Amir Abdul Aziz mencetuskan permusuhan dengan kerajaan Turki Uthmaniyah. Perpecahan di kalangan umat Islam dan persekongkolan di antara raja Ibnu Saud dengan musuh-musuh Islam sehingga didakwa menjadi punca kepada kejatuhan Khilafah Uthmaniyah menimbulkan kebencian kepada pengikut Wahabbiyah. Lihat Maryam Jameelah, Suka-Duka Gerakan Islam Dunia Arab, Penerbitan Gedung Ummah, Terengganu, 1984, hlm. 2 – 8; Aliran islah Syeikh Muhammad Abdul Wahab berkembang subur di Sumatera Barat pada kurun ke 19. Lihat nota 57.

[5] Apabila umat Islam semakin lemah dari sudut politik dan sosioekonomi sehingga berakhir dengan kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyah pada tahun 1924, kemahuan untuk mengukuhkan kembali jatidiri umat Islam telah melahirkan beberapa aliran intelektual untuk berhadapan dengan kemajuan tamaddun barat. Aliran-aliran intelektual ini boleh dibahagikan kepada tiga aliran besar. Yang pertama ialah aliran ortodoks terdiri dari Wahabbiyah, Mahdiyah dan Sanussiyah yang menolak kemajuan barat dan mempertahankan ajaran Islam dalam bentuk yang tradisional. Aliran yang kedua mewakili pemikiran sekular yang menolak ajaran tradisi Islam dan menggesa supaya meniru model tamaddun barat yang moden. Aliran yang ketiga ialah aliran pengislahan (reform atau Islamic revivalism) yang dipelopori oleh Syeikh Jamaluddin al Afghani, Syeikh Muhammad Abduh dan Syeikh Muhammad Rashid Rida’ yang melihat kekuatan Islam dengan menggabungkan prinsip akidah dan syariat Islam bersama dengan kemajuan ilmu pengetahuan barat. Lihat Syeikh Jameil Ali, Sayyid Jamal Al Din Al Afghani and the West, Adam Publishers and Distributors, New Delhi, India, 2002, 127 hlm, juga lihat Emad Eldin Shahin, Through Muslim Eyes: M. Rashid Rida’ and the West, International Islamic Publishing House and The International Institute of Islamic Thought, Herndon, Virginia, USA, 1991, 102 hlm. Riwayat hidup dan perjuangan Syeikh Jamaluddin al Afghani boleh dirujuk dalam Umar Hasyim, Mencari Ulama Pewaris Nabi: Selayang Pandang Sejarah Para Ulama, Penerbit Pustaka Nasional (Singapura), 1980, hlm. 125 – 133.; HAMKA, Said Djamaluddin al Afghani, Penerbit Bulan Bintang, Jakarta, 1970, 176 hlm.; Untuk maklumat tentang Syeikh Muhammad Abduh lihat Khairul Anam Che Mantri ‘Ammar Gazali, al-Ustadh al-imam Muhammad ‘Abduh: Riwayat Hidup dan Pemikiran, Middle-Eastern Graduate Centre Sdn. Bhd. (MEGC), 2006, 129 hlm. Untuk maklumat tentang pengaruh Jamaluddin al Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Rida di nusantara khususnya di Sumatera Barat lihat HAMKA, Ayahku, Penerbit Jayamurni, Jakarta, 1967, hlm. 90 – 105; rujukan tentang pelbagai aspek pengaruh pemikiran Syeikh Muhammad Abduh di Tanah Melayu khususnya boleh dirujuk dalam (diselenggara oleh) Farid Mat Zain dan Ismail Baha, Muhammad ‘Abduh dan Masyarakat Melayu, Prosiding Simposium Sejarah Pemikiran Politik Islam II, Jab. Pengajian Arab dan Tamaddun Islam, Fak. Pengajian Islam, Univ. Kebangsaan Malaysia, 2007, 235. hlm.

[6] Istilah ini digunakan oleh Clifford Geertz untuk merujuk kepada empat pemberontakan (kabangkitan; pen.) iaitu Perang Padri di Sumatera Barat (1821 – 1828; sebenarnya Perang Padri berakhir pada tahun 1837); Perang Diponogoro di Jawa Tengah (1825 – 1830); Barat Laut Jawa (1840 – 1880; Menurut Ahmad Mansur Suryanegara ia adalah siri-siri kebangkitan umat Islam Banten kerana menentang polisi Tanam Paksa Belanda Culturstetel pada tahun 1834, 1836, 1842, 1849, 1880 dan 1888); dan Aceh (1873 – 1903). Lihat Clifford Geertz, the religion of java. Glencoe, The free press. 1960; Ahmad Mansur Suryanegara, op. cit., hlm. 130 – 131.

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc