Wednesday, March 21, 2012

Aqsa Syarif memperingati syahidnya Syeikh Ahmad Yassin - 22 Mac 2012


Assalamualaikum,

Aqsa Syarif mengajak umat Islam di seluruh dunia untuk mengenang satu peristiwa tragis yang berlaku pada 22 Mac 2004 di mana pada tarikh tersebut Syeikh Ahmad Yassin, seorang tokoh mujahid Palestin menemui syahidnya. Setelah lapan tahun berlalu nama Syeikh Ahmad Yassin as-Syahid tetap harum dan terus hidup di dalam jiwa rakyat Palestin dan umat Islam yang tidak pernah berputus asa di dalam meneruskan jihad untuk membebaskan Masjid al-Aqsa, Baitul Maqdis dan bumi Palestin yang diberkati.

Syeikh Ahmad Yassin telah menggariskan beberapa prinsip yang terus memberi kekuatan kepada umat Islam untuk menggalas tanggungjawab jihad di bumi Palestin. Di antara prinsip perjuangan yang sering beliau ucapkan ialah 'Kami telah memilih jalan ini (jalan jihad) dan ianya akan berakhir dengan syahid atau kemenangan'. Itulah pilihan yang ada bagi mereka yang menyahut seruan jihad untuk membebaskan al-Aqsa. Tidak ada pilihan ketiga iaitu perundingan damai dan tolak ansur seperti yang sedang giat ditaja oleh golongan yang tidak yakin dengan jalan jihad. Golongan ini sanggup tunduk kepada tekanan Amerika dan kuasa-kuasa besar dan bertolak ansur dengan regim zionis Israel yang hanya mempunyai satu agenda iaitu mengekalkan pendudukan haram ke atas bumi Palestin dan mengambil alih Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa untuk tujuan-tujuan keji dan permusuhan.

Prinsip yang digariskan oleh Syeikh Ahmad Yassin terbukti tetap dipertahankan sehingga kini. Meski Israel terus melaksanakan operasi memburu pejuang-pejuang HAMAS dan pejuang-pejuang Palestin lainnya, kebangkitan (intifadah) tidak pernah terpadam dari jiwa dan sanubari rakyat Palestin. Bahkan semangat intifadhah terus membara meski rakyat Palestin khususnya di Gaza terus menerus berhadapan dengan kepungan Israel, sekatan ekonomi dan penutupan sempadan dari semua arah samada jalan darat, laut dan udara. Syekh Ahmad Yassin menegaskan 'Waktu akan membuktikan bahawa siri-siri pembunuhan ini tidak akan memusnahkan HAMAS. Pemimpin HAMAS mengharapkan syahid dan tidak takut kepada kematian. Jihad akan diteruskan dan kebangkitan akan terus disemarakkan sehingga kami mencapai kemenangan atau syahid kerananya.'

Syeikh Ahmad Yassin juga meletakkan satu lagi prinsip yang penting untuk dihayati iaitu mengekalkan kesatuan di kalangan umat Palestin yang berjuang menentang Israel. Meskipun HAMAS dan barisan pejuang Palestin berhadapan dengan kelompok-kelompok yang diterajui oleh PNA (Pihak Berkuasa Palestin) dengan FATAH sebagai fraksi terbesarnya, Syeikh Ahmad Yassin tetap menegaskan musuh umat Islam dan rakyat Palestin ialah Israel. Maka dengan itu segala pergeseran dan perseteruan di kalangan rakyat Palestin sendiri hendaklah dielakkan seboleh mungkin. Namun PNA yang diterajui oleh Yasser Arafat (al-Marhum) telah bertindak bagi pihak Israel dan memenjarakan pejuang-pejuang pembebasan Palestin yang tulen. Semua ini dilakukan kerana tunduk kepada kehendak Israel. Yasser Arafat yang sejak awal tidak pernah mahu berkompromi dengan Israel telah menjadi hamba yang setia kepada regim Zionis dan melaksanakan apa sahaja arahan Israel atas nama mempertahankan persetujuan damai yang dimeterai di Oslo pada tahun 1993. Sejak dari tarikh tersebut PNA yang diberi mandat oleh Israel untuk menjamin keselamatan negara haram Israel telah mengerahkan seluruh pasukan keselamatannya untuk memburu, menangkap dan memenjarakan pejuang-pejuang Palestin yang tulen dan ikhlas. Untuk mengelakkan pertembungan sesama rakyat Palestin, Syeikh Ahmad Yassin telah mengarahkan semua pejuang supaya menunjukkan kesabaran yang tinggi serta tidak membalas perbuatan pihak berkuasa Palestin. Beliau menegaskan sikap yang wajib dipertahankan iaitu 'Anda boleh membunuh kami, tetapi kami sekali-kali tidak akan membunuh anda'. Bagi Syeikh Ahmad Yassin, musuh yang sebenarnya ialah Regim Zionis. Jangan sekali-kali rakyat Palestin termakan umpan yang sengaja ditawarkan kepada rakyat Palestin supaya mereka bertelagah sesama sendiri dan akhirnya melupakan objektif mereka untuk mengusir zionis dan mengakhiri pendudukan Israel ke atas tanah air mereka. Ternyata sikap kejantanan yang dipamerkan oleh HAMAS atas prinsip Syeikh Ahmad Yassin berjaya menangkis kemungkinan tercetusnya perang saudara di kalangan rakyat Palestin. Meskipun ratusan bahkan ribuan aktivis HAMAS dan keluarga mereka dipenjarakan dan diseksa namun ia tidak sedikitpun mengundang tindak balas dan dendam ke atas PNA dan kuncu-kuncunya. Israel ternyata gagal untuk melemahkan rakyat Palestin melalui pendekatan adu-domba yang mereka rangka melalui agen-agen di kalangan rakyat Palestin yang belot dan khianat.

Syeikh Ahmad Yassin juga menegaskan bahawa kebaculan tidak ada samasekali dalam kamus perjuangan rakyat Palestin. 'Kamu akan dapati kami akan mati menghadapi kamu dan bukan membelakangkan kamu.' Lantaran itu kita tidak akan dapati pejuang Palestin melarikan diri dari medan perjuangan. Mereka akan hadapi musuh dengan penuh rasa 'izzah dan kemuliaan Islam. Sebaliknya anjing-anjing Zionislah yang ketakutan berselindung disebalik peralatan perang yang canggih. Mereka menyangka senjata-senjata itu boleh melindungi mereka. Bahkan mereka diberitakan berak-kencing dalam kereta kebal mereka lantaran takut berhadapan dengan pejuang-pejuang Palestin yang terdedah di luar sana tanpa sebarang perlindungan.

Pada 22 Mac 2004 berangkatlah As-syahid yang mulia menemui Tuhannya yang telah lama dirindui. Meski jasad as-syahid hancur namun jiwanya terbang menemui kekasihnya dengan penuh redha dan diredhai. Ini mengingatkan kita kepada seruan Rasulullah SAW selepas peperangan Badar apabila Nabi bertanya kepada mayat-mayat musyrikin yang dikumpulkan dalam sebuah lubang "Apakah kamu dapati janji Allah kepada kamu benar? Sesungguhnya kami dapati janji Allah kepada kami adalah benar.." Berbahagialah As-Syahid Ahmad Yassin diberi rezeki oleh Allah tanpa batas. "Dan jangan kamu sangka mereka yang berjuang pada jalan Allah itu mati, bahkan mereka hidup dan diberi rezeki oleh Allah, sedang kamu tidak menyedarinya."

Israel menyangka dengan membedil jasad Syeikh yang mulia dengan beberapa peluru berpandu Hellfire, mereka bolih memadamkan ruh jihad di kalangan rakyat Palestin. Apa yang berlaku darah Syeikh yang melimpah dan membasahi bumi menyuburkan bumi mulia Al-Aqsa As-Syariff dengan rijal yang siap untuk menyahut seruan jihad. Kini sudah enam tahun berlalu dan Gaza tempat kancah perjuangan As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin sudah bertukar menjadi penjara terbesar di dunia. Hakikatnya kekuatan rakyat Palestin tidak pernah terjejas meski berhadapan dengan kepungan paling dahsyat yang pernah disaksikan dalam sejarah dunia.

Ketika hayatnya as-Syahid terbatas pergerakannya oleh kerusi roda. Ulama berkerusi roda ini mampu menggoncang hati musuh-musuh zionis sehingga ke dasarnya. Mereka begitu terancam sehingga untuk menghilangkan ketakutan itu mereka buru ulama kurang upaya ini dengan menggunakan helikopter Apachee dan menembaknya dengan beberapa butir peluru berpandu. Mereka mahu melenyapkan Syeikh Ahmad Yassin dari muka bumi ini tanpa meninggalkan sebarang bekas. Tetapi mereka silap As-Syahid kini terus hidup dalam jiwa-jiwa para pemuda-pemudi Palestin bahkan ruh itu turut hidup dalam jiwa umat Islam di seluruh dunia, membakar dhamir mereka agar bangkit menggalas tanggungjawab jihad di mana jua mereka berada.

As-Syahid Ahmad Yassin dilahirkan pada tahun 1938 berhampiran Askalan (kini Ashkalon yang dirampas Israel). Beliau berlindung di Gaza bersama keluarganya menyelamatkan diri dalam perang pencerobohan Israel yang pertama pada tahun 1948. Ketika berumur 12 tahun As-Syahid mengalami kecederaan yang membawa kepada kelumpuhan dan semenjak itu beliau hanya duduk di kerusi roda sehingga akhir hayat. Beliau dipenjarakan sebanyak dua kali oleh Israel dan beberapa kali dikenakan tahanan di rumah oleh pihak berkuasa Palestin. Beliau bersama as-Syahid Dr Abdul Aziz Rantissi dan beberapa orang tokoh telah menubuhan HAMAS secara rasmi pada tahun 1987 sempena peristiwa intifadah pertama. Beliau menemui syahid pada usia beliau 66 tahun.

Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi Aqsa Syarif

Sunday, January 29, 2012

Menjelaskan pendirian mengenai 'Two State solution' dan pengiktirafan negara haram Israel

Kenyataan Akhbar Konferens Annapolis
(PACE – Pusat Kecemerlangan Palestin)
Konferens Annapolis yang ditaja oleh Amerika Syarikat di Maryland telah bermula pada 27 November 2007, dengan matlamat untuk mencapai perdamaian di antara Israel dan rakyat Palestin. Selain dari Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU), konferens yang dihadiri oleh 50 negara ini turut disertai oleh negara-negara Arab dan Islam termasuk Malaysia. Malaysia diwakili oleh Menteri Luarnya, Dato’ Seri Syed Hamid Albar.

Keabsahan konferens di Annapolis ini paling tidak ia dipersoalkan kerana apa yang dikatakan sebagai perwakilan Palestin jauh sekali dari melambangkan suara dan aspirasi rakyat Palestin. Pertama, sebahagian besar rakyat Palestin, di wilayah yang diduduki di samping mereka yang berada di khemah-khemah pelarian dan di luar Palestin telah menolak ide persidangan damai apabila objektif keseluruhannya bukan untuk menjamin hak rakyat Palestin untuk pulang ke tanah air mereka dan hak mereka untuk sebuah negara yang berdaulat. Keduanya, perwakilan Palestin yang hadir di konferens tersebut tidak mempunyai mandat daripada rakyat kerana wakil de facto iaitu Hamas tidak hadir. Hamas telah memenangi pilihanraya legislatif pada januari 2006 dengan memperolehi 74 dari 132 kerusi yang dipertandingkan. Fatah, yang hadir sebagai wakil Palestin hanya memenangi 45 kerusi. Ia adalah satu penghinaan kepada proses demokrasi apabila sebuah kerajaan yang dipilih secara sah dipinggirkan di dalam konferens yang akan menentukan masa depan Palestin.

Kehadiran negara-negara Arab dan Islam di satu pihak pula hanya akan merumitkan lagi kemelut yang dihadapi oleh rakyat Palestin kerana ia secara tidak langsung mengesahkan pendudukan Isreal dan pelanggaran berterusan Israel ke atas hak rakyat Palestin. Pihak Israel telah menegaskan bahawa mereka hanya akan bersetuju dengan syarat-syarat umum ke arah perdamaian dan tidak akan memberi komitmen kepada apa-apa tuntutan khusus dari Palestin. Dalam kata lain konferens ini tidak lebih dari usaha untuk memulihkan Perjanjian Oslo1993 dan Perjanjian Damai 2003 yang menemui kegagalan. Mengambilkira usaha ke arah perdamaian yang sia-sia ini, PACE merangka pendirian berikut:

1. PACE menolak Konferens Annapolis kerana objektifnya bukan untuk menegaskan hak rakyat pelarian Palestin untuk pulang ke tanah air mereka dan hak untuk kedaulatan negara Palestin. Sebaliknya konferens ini bertujuan untuk menguatkan cengkaman Israel ke atas wilayah yang diduduki iaitu Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur di samping mengenakan kepungan menyeluruh ke atas Gaza.
2. PACE menyesali kehadiran wakil-wakil dari negara Arab dan Islam kerana kehadiran mereka akan memberi keabsahan kepada konferens dan seterusnya penghakisan berterusan ke atas hak rakyat Palestin. Kehadiran mereka juga adalah satu lambang kelemahan menganalisis dan memahami kelicikan politik agenda Zionis.
3. PACE kecewa dengan sikap tidak prihatin Negara Arab dan Islam terhadap rakyat Palestin yang ditekan melalui sekatan ekonomi menyeluruh sejak hampir dua tahun kini. Mereka sepatutnya melakukan desakan antarabangsa bagi menghentikan sekatan ekonomi yang diterajui oleh Amerika Syarikat dan bukannya menyokong sebuah konferens yang hanya akan merumitkan lagi situasi.
4. PACE menyeru rakyat Malaysia untuk mengikuti hasil konferens tersebut kerana ia berkemungkinan membuka laluan kepada hubungan diplomatik dengan Israel, di mana tiada peruntukan tersebut bagi Malaysia, tetapi yang telah meletakkan banyak negara Arab dalam situasi yang rumit di masa lalu, yang akhirnya membawa kepada pengiktirafan Israel.
5. PACE menyeru umat Islam dari seluruh dunia untuk mengukuhkan perpaduan dan berdiri teguh bersama rakyat Palestin di dalam perjuangan mereka yang sah untuk membebaskan tanah air dan masjid al Aqsa yang mulia.
Kuala Lumpur , Selasa 27 November 2007/17 Dzulqaedah 1428H
Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah
PACE ( Pusat Kecemerlangan Palestin)
Kuala Lumpur

Monday, December 12, 2011

Orang melayu itu dinisbahkan bahasanya yang berteraskan al-Quran

Hubungan di antara melayu dan bahasanya

10. Penyatuan umat Islam melalui bahasa.

Daerah anutan Islam di Asia Tenggara hari ini meliputi seluruh Kepulauan Indonesia, Malaysia, Brunei, Selatan Thai, Selatan Filipina, daerah selatan Myanmar dan pesisiran Kampuchea (daerah tradisi Champa). Terdapat lebih dari 250 juta penganut Islam di tempat-tempat ini yang meliputi pelbagai suku kaum dengan bahasa ibunda atau dailek pertuturan yang jumlahnya melebihi 200 buah. Namun mereka disatukan oleh Bahasa Melayu yang menjadi wahana kepada penyatuan seluruh umat Islam di Nusantara.

Apakah yang melonjakkan Bahasa Melayu sehingga ia menjadi bahasa pertuturan ’lingua franca’ Kepulauan Melayu. Perkara ini wajar menjadi bahan penelitian kerana suku bangsa Melayu hanyalah satu dari ratusan suku-suku etnik yang mendiami tanah besar Asia Tenggara dan ribuan pulau yang berselerak di Nusantara. Jika dibuat perbandingan, suku etnik Melayu di Indonesia hanya meliputi 12 peratus dari penduduk berbanding suku etnik Jawa yang terdiri dari 40 peratus penduduk[1]. Mengapa bahasa Jawa tidak terpilih untuk menjadi menjadi bahasa perhubungan? Persoalan ini semakin menarik apabila dipadankan dengan hakikat sejarah bahawa Empayar Majapahit yang berpusat di Jawa Timur pernah menguasai sebahagian besar dari daerah Kepulauan Melayu pada kurun ke 14. Semestinya dasar imperialis Majapahit sedikit sebanyak memberi kesan , kepada perkembangan bahasa Jawa sebagai wahana komunikasi dengan seluruh rantau jajahannya. Namun ini tidak menjadi kenyataan, sebaliknya Bahasa Melayu yang tersebar dengan meluas.

Sebenarnya Bahasa Melayu terdapat beberapa ciri yang menjadikan ia lebih anjal jika dibandingkan dengan bahasa Jawa. Bahasa Melayu kuno yang menjadi pertuturan suku etnik Melayu dari kelompok ’Melayu-deutero’ di persisiran pantai Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera terdedah kepada pengaruh antarabangsa kerana terletak di sepanjang laluan perdagangan timur-barat[2]. Kerana itu Bahasa Melayu kuno diperkaya dengan istilah-istilah asing terutama sanskrit[3]. Tulisan awal suku bangsa Melayu juga dipengaruhi oleh tulisan Pallava dari India, di samping mengekalkan tulisan Melayu asal iaitu tulisan Rencong atau Surat ulu[4]. Bahasa dan tulisan Melayu kuno menjadi medium bagi doktrin agama Buddha di zaman Kerajaan Srivijaya[5]. Kehadiran prasasti atau inskripsi (batu bersurat) yang terdapat di beberapa tempat di Nusantara pada era tersebut membuktikan hal ini[6]. Walaubagaimanapun Syed Muhammad Naguib al-Attas mempunyai pandangan yang kritis terhadap peranan Bahasa Melayu kuno dalam pengembangan agama Buddha di Sumatera pada zaman Empayar Srivijaya. Beliau tidak menemui sebarang bukti bahawa apa yang dikatakan Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa agama Buddha. Malah berdasarkan laporan dari pengembara cina Fa-Hsien pada kurun ke 5M dan I-Tsing pada kurun ke 6M membayangkan penggunaan bahasa asing seperti Sanskrit dan bukan Melayu. Bahkan ini dapat dibuktikan dari kesan pengaruh agama Buddha ke atas pertumbuhan intektual yang boleh dikatakan tiada dengan ketandusan ahli fikir dan falsafah di kalangan masyarakat pribumi. Meskipun Sumatera menjadi tumpuan 1,000 rahib Buddha, malah tercatat pada kurun ke 11 seorang pembaharu agama Buddha di negeri Tibet yang mashyur iaitu Atisha turut menerima latihan dari Dharmakirti, ketua pendita Buddha di Sumatera, agama Buddha sekali-kali tidak merubah pandangan hidup masyarakat setempat justeru ia tidak bersifat tabligh (menyampaikan) sebagaimana halnya dengan misi Kristian dan dakwah Islam.

Di zaman Empayar Majapahit yang menjadikan agama Syiwa-Buddha (sinkretisme atau gabungan agama Hindu-Buddha) sebagai anutan resmi, bahasa Jawa menjadi bahasa utama di dalam mengungkapkan konsep-konsep agama Syiwa-Buddha. Ini dapat dibuktikan dari warisan prosa/puisi dari era tersebut seperti Negarakertagama, Pararaton, Brata Yudha, Rama Kawi dan Asmaradhana. Bahasa Jawa berkembang seiring dengan anutan agama Syiwa-Buddha sehingga ia sarat dengan istilah-istilah agama Hindu yang bersifat abstrak dan nilai-nilai estetika (seni rasa).

Apabila Islam datang ke Nusantara, ia perlu disampaikan dalam bentuk yang jelas dan terang. Ini adalah kerana al Quran itu sendiri bersifat ’bayyinah’ – berupa keterangan yang jelas. Konsep atau tasawur Islam perlu diketengahkan kepada penduduk Kepulaun Melayu dengan bahasa yang tidak menimbulkan kekaburan pada makna dan penghayatan. Berdasarkan kepada syarat ini dengan sendirinya Bahasa Melayu terpilih untuk menjadi medium komunikasi dakwah dan mengalami proses evolusi yang pesat di mana ia diperkayakan dengan istilah-istilah Arab[7]. Bahasa Melayu lebih demokratis sifatnya kerana ia telah lama terdedah kepada pelbagai pengaruh luar dan diucapkan oleh semua lapisan masyarakat berbanding Bahasa Jawa yang lebih feudalistik kerana perkembangannya lebih banyak terbatas dalam lingkungan ’kraton’. Istilah-istilah keagamaan hanya mampu ditafsirkan oleh pendita-pendita yang memastikan kedudukan raja terus dipuja sebagai dewa[8].

Keadaan ini menjadikan Bahasa Melayu lebih bersih untuk menerima satu transformasi yang paling hebat dalam sejarah yang mengangkat jatidiri bangsa Melayu. Ribuan konsep dan istilah-istilah Arab membanjiri perbendaharaan Bahasa Melayu[9]. Konsep-konsep seperti ’iman’, ’ibadah’, ’dakwah’, ’akidah’, ’taqwa’, ’syukur’, ’taubat’, ’tawakkal’, ’makruf’, ’mungkar’, ’kufur’ dan sebagainya yang tidak ada di dalam Bahasa Melayu dan tidak mungkin diganti dengan istilah-istilah sedia ada diadaptasi sebagai istilah Bahasa Melayu. Istilah-istilah yang dipinjam dari Bahasa Sanskrit seperti ’agama’, ’syurga’, ’neraka’, ’puasa’, ’dosa’ dan ’pahala’ dikekalkan dan disuntik dengan konsep Islam. Dengan kedatangan Islam Bahasa Melayu melonjak dari bahasa pertuturan untuk sekadar memenuhi keperluan harian dan aktiviti perniagaan yang terbatas kepada bahasa ilmu dan ’lingua franca’ yang menyatukan seluruh Kepulauan Melayu samada atas urusan ekonomi, sosial, pendidikan dan politik[10]. Bahasa Melayu yang mengalami evolusi yang pesat ini mencetuskan satu revolusi pemikiran yang tidak pernah disaksikan di kalangan orang Melayu. Bersama dengan revolusi ini lahirlah penulisan-penulisan ilmiah yang mengungkapkan pelbagai disiplin ilmu pengetahuan dan falsafah. Ini amat berbeza di zaman sebelum kedatangan Islam di mana tidak ada penulisan asli atau terjemahan dari kitab-kitab Hindu yang dihasilkan oleh cendekiawan Melayu.

Bahasa Melayu ternyata menyatukan pelbagai suku etnik di Nusantara dan ini tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa Islam. Tokoh-tokoh ilmuan dan ulama-ulama berkarya dalam Bahasa Melayu meski mereka mempunyai bahasa daerah mereka sendiri. Syeikh Nuruddin ar-Raniri yang berbangsa Gujerat dan bermastautin di Aceh mengarang kitab-kitab beliau dalam Bahasa Melayu. Begitu juga Syeikh Abdul Rauf as-Singkeli dari Aceh, Syeikh Muhammad Arshad al-Banjari, Syeikh Abdul Samad al-Falembangi menghasilkan kitab-kitab di dalam Bahasa Melayu kerana ia menjadi bahasa pengajian di institusi pendidikan (pondok pengajian/pesantren) di seluruh Nusantara.

Seiring dengan perkembangan bahasa ialah tulisan. Sebelum Islam umumnya terdapat dua jenis tulisan ialah tulisan Pallava atau Devanagari yang berasal dari India dan tulisan asli bangsa Melayu iaitu rencong atau surat ulu. Selepas kedatangan Islam tulisan ini diganti dengan tulisan Arab yang dinamakan tulisan Jawi. Oleh kerana terdapat beberapa fonem yang hanya terdapat dalam Bahasa Melayu maka beberapa aksara tambahan diperkenalkan iaitu چ untuk fonem [c], ڠ untuk fonem [ŋ], ڭ untuk fonem [g], ڤ untuk fonem [p], ڽ untuk fonem [ր] dan ۏ untuk fonem [v]. Tulisan jawi menjadi medium untuk penduduk Nusantara mengekspresi diri dan pemikiran dalam bentuk penulisan. Ia mula mengambil alih peranan tulisan Melayu kuno dan digunakan secara meluas pada batu bersurat (contoh Batu Bersurat Terengganu), batu hidup (seperti yang terdapat di Pengkalan Kempas, Negeri Sembilan), batu nesan (kompleks pemakaman raja-raja Pasai-Samudera, raja-raja Aceh, makam Kesultanan Kedah, Sumatera dan Kalimantan), Mata wang (seperti yang digunakan pada zaman pemerintahan Kesultanan Melaka seperti Sultan Muzaffar Shah dan Mansur Shah), buku dan kitab-kitab[11]. Malah surat-menyurat di antara raja-raja Melayu dengan raja Portugal dan Inggeris menggunakan tulisan jawi[12]. Kuatnya pengaruh Islam sehingga bahasa Jawa turut menggunakan tulisan Jawi atau dikenali dengan ’tulisan Melayu huruf Arab’ atau huruf ’Pegoa’ bagi menggantikan tulisan jawa kuno atau kawi dalam melancarkan penyampaian ilmu-ilmu Islam. Banyak kitab-kitab pengajian Islam dalam bahasa Jawa ditulis dengan menggunakan huruf Arab seperti Primbon Jawa, Mujarabat Bahasa Jawa, Layang Anbia’, Tafsir al-Ibriz dan al-Munjiyat.

Bahasa Melayu yang diperkaya dengan istilah-istilah Arab dan al Quran mempercepatkan proses penyatuan umat Melayu Islam. Dengan Bahasa Melayu seluruh suku bangsa yang bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing atau dailek daerah yang tertentu dipertemukan. Sejarah membuktikan Bahasa Melayulah yang menyatukan aspirasi umat Islam dan melahirkan kesedaran berbangsa dan bernegara. Bahasa Melayu menjadi salah satu dari tiga ciri selain agama Islam dan kebudayaan Melayu yang mencirikan bangsa Melayu yang ditakrifkan menurut Perlembagaan Malaysia. Begitu juga Bahasa Melayu menyatukan seluruh umat Islam di Indonesia yang terdiri dari pelbagai etnik dalam menzahirkan semangat nasionalisme Indonesia yang dijadikan landasan untuk menuntut kemerdekaan dari penjajahan Belanda. Bahasa Melayu jugalah yang telah menjadi asas kesatuan dan kerjasama khususnya dalam bidang kebudayaan dan pendidikan di antara negara-negara tetangga Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia pada hari ini.



[1] Emil Salim. 1985. Membangun Bahasa Pembangunan dalam Kongres Bahasa Indonesia Jil 1. Jakarta: Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa. hlm. 7 - 10

[2] Daerah induk penutur Bahasa Melayu ialah Malaysia yang mempunyai 14 dialek, dialek Melayu Sarawak (sekitar 18% penduduk Sarawak) dan Sabah (6% penduduk), dialek Melayu Patani di selatan Thai (sekitar 3 juta penduduk), dialek Melayu daerah selatan Myanmar (sekitar 100, 000 penduduk), dialek Melayu Campa (merosot selepas pemerintahan Komunis), Filipina Selatan seperti di Sulu dan Tawi-tawi, dialek Melayu Brunei Darussalam (sekitar 60% penduduk) dan di Indonesia yang meliputi Propinsi Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, dan beberapa kawasan di Kalimantan Timur, Kalimantan Selatan, Aceh Timur dan Sumatera Utara. Terdapat juga penutur Bahasa Melayu di Ambon, Manado, Bali, Jakarta (Melayu Betawi) dan Makasar. Lihat Amat Juhari Moain, 1996. Perancangan Bahasa: Sejarah Aksara Jawi. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm. 4 - 5

[3] Menurut Syed Muhammad Naguib al-Attas tidak ada hujah ilmiah yang konkrit untuk mendakwa wujudnya Bahasa Melayu sebelum kedatangan Islam. Tulisan palava atau ‘pali’ menurut pandangan beliau tidak lebih dari tulisan pra-Islam yang mungkin terbatas penggunaannya di kalangan tertentu dan tidak membayangkan penggunaan sehari-hari. Islamlah yang telah menyebabkan lahirnya satu bahasa umum iaitu Bahasa Melayu yang luas penggunaannya. Lihat Syed Muhammad Naguib al-Attas. Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, op. cit., hlm. 42.

[4] Tulisan Rencong terdapat di pendalaman Bengkulu, lihat Zainul Arifin Aliana et. al., 1979. Bahasa Sarawai. Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa. Jakarta, hlm. 67 – 69; di Sumatera Selatan ia dikenali dengan Surat Ulu atau tulisan Ulu. lihat Zainal Abidin Gani et. a., 1981. Struktur Bahasa Musi. Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa, hlm. 21. Menurut Amat Juhari Moain tulisan Rencong adalah tulisan asli peribumi Asia Tenggara. Bentuk tulisan yang sama ditemui di Minangkabau, di Sulawesi Selatan (suku Bugis), di Tapanuli (suku Mandailing) dan di Mindoro. Lihat Amat Juhari Moain. op. cit., hlm. 6 – 11.

[5] Syed Muhammad Naguib al-Attas.,op. cit., hlm. 15 – 16.

[6] Di antara prasasti yang menggunakan Bahasa Melayu kuno ialah yang ditemui di Sajamerta, di utara Jawa Tengah pada kurun 7M (Slametmuljana. (t.t.), Sriwidjaja. Ende-Flores. Percetakan Arnoldus. hlm. 91 - 178); di bahagian selatan Segenting Kra tinggalan Kerajaan Ligor (Slametmuljana. Ibid., hlm. 135 - 146); di Bukit Gombak, Sumatera Barat bertarikh 1365M (Harimurti Kridalaksana, 1982. Perihal Konstrksi Sintaksis dalam Bahasa Melayu Kuno dlm Dewan Bahasa Jil 26 Bil. 2 Februari, 1982, hlm. 89 - 95); di Minye Tujuh, Aceh bertarikh 1380M (Ibid.,); dan di Pagarruyung, Sumatera bertarikh 1356M (A. Teeuw, 1961. A critical survey of Studies on Malay and Bahasa Indonesia. Gravenhage-Martinus Nijhoff, hlm. 11.

[7] Proses yang menyebabkan Bahasa Melayu terpilih sebagai medium dakwah tidaklah berlaku secara tidak sengaja. Bahasa Melayu dikatakan mempunyai ciri-ciri bahasa Arab Jahiliyah yang bersih dari konsep-konsep keagamaan yang kabur. Justeru itu Bahasa Arab menjadi wahana penyampaian risalah Islam berbanding bahasa-bahasa Yunani-Romawi kuno dan Irani-Farsi kuno. Ini adalah kerana bahasa-bahasa tersebut telah mengambil peranan sebagai bahasa agama yang bersifat estetik (seni rasa) yang tidak mampu menyampaikan pemikiran-pemikiran yang bersifat ilmiah secara jelas. Hal yang sama berlaku kepada bahasa Jawa kuno yang mengambil peranan sebagai bahasa Hindu-Buddha yang bersifat estetik. Oleh kerana Bahasa Melayu bukan bahasa agama yang bersifat estetik ia tidak terbeban dengan istilah-istilah yang rumit yang mengelirukan, yang lahir dari tradisi metos, metafisika dan falsafah agama yang kabur. Oleh itu pandakwah yang mula-mula sampai ke Nusantara dengan sengaja memilih Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Islam. Lihat Syed Muhammad Naguib al-Attas. Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. op. cit., hlm. 36 – 37.

[8] Ibid., hlm. 38 – 39, menurut Syed Muhammad Naguib al-Attas keadaan ini jugalah yang menyebabkan Islam di Pulau Jawa bermasaalah. Islam terpaksa dihidangkan dalam kerangka Bahasa Jawa yang sarat dengan nilai-nilai estetika Hindu-Buddha. Konsep-konsep Islam yang diterangkan menggunakan istilah-istilah agama Hindu-Buddha menimbulkan kekeliruan dan campur-aduk dengan kepercayaan lama. Oleh kerana masyarakat Jawa menzahirkan penghayatan agama melalui seni seperti wayang dan upacara-upacara maka pendekatan yang sama telah digunakan oleh Sunan Kalijaga (Wali Songo). Akhirnya timbullah konsep ‘agama Jawa’ atau ‘Kejawen’ (percampuran di antara Islam dan kepercayaan Hindu-Buddha) yang terus subur meskipun Pulau Jawa menerima Islam sepenuhnya. Menurut beliau lagi sekali-kali jangan dianggap fenomena ini sebagai keengganan masyarakat Jawa untuk menerima Islam yang tulen tetapi penggunaan bahasa Jawalah yang menyebabkan sukar untuk menerima konsep-konsep Islam secara terang seperti yang dimaksudkan oleh Islam.

[9] Kajian mengenai pengaruh Bahasa Arab ke atas Bahasa Melayu telah dipelopori oleh ramai pengkaji Barat dan tempatan. Di antaranya ialah C.Skinner, The Influence of Arabic Upon Modern Malay dalam Intisari, Malaysian Sociological Research Inst Vol. ii. No. 1, hlm. 34 – 37.; Ronkel, Ph. S. van, 1899. Over invloed der Arabische syntaxis op de Maleische, In T.B.G., 41, hlm. 498 – 528; Abdul Hamid bin Ahmad, 1941.. Kamus al-Hamidi. Singapura, 281 hlm.; Muhammad Said bin Haji Sulaiman, 1939. Guguskata Arab-Melayu. Singapura, 93 hlm.; Muhammad Sanusi bin Haji Mahmood, 1976. Kamus Istilah Islamiah, Kelantan, 137 hlm.; Di samping itu istilah-istilah Arab di senaraikan dalam kamus yang disusun oleh James Howison M.D., W.G. Shellabear, Sir Frank A. Swettenham, R.O. Windstedt and Ibrahim Dato’ Muda Linggi, T. Iskandar dan Kadir et. al yang berjumlah sekitar 150 sehingga 1,125 perbendaharaan kata . Menurut M.A.J. Beg, bilangan istilah Arab yang terpakai dalam Bahasa Malaysia kini adalah sekitar 2,000 perkataan. Lihat Beg, M.A.J., 1983. Arabic loan words in malay – A comparative study. The University of Malaya Press, Kuala Lumpur, hlm. 77 – 87.

[10] Za’ba telah menyenaraikan istilah-istilah Arab dalam Bahasa Melayu yang berkaitan dengan keagamaan, urusan menuntut ilmu, meluahkan pemikiran dan perasaan, hukum dan perundangan, adat dan perhubungan manusia, perubatan dan lain-lain. Lihat Za’ba, 1965. Ilmu Mengarang Melayu, Kuala Lumpur, 272 hlm.

[11] Manuskrip Melayu tertua yang dikesan menggunakan tulisan jawi ialah terjemahan dari kitab Arab Aqa’id an-Nasafi bertarikh 998H bersamaan 1590M. Lihat Syed Muhammad Naguib al-Attas, 1988. The oldest known Malay Manuscript: A 16th century Malay Translation of the Aqa’id of an-Nasafi. The University of Malaya Press, Kuala Lumpur. Bilangan manuskrip Melayu dalam tulisan jawi yang tersimpan di barat dan tidak ada salinannya di sini ialah sekitar 7,000. Malah ada yang menganggarkan sehingga 10 ke 12,000 naskhah. Lihat Gang Giok Suk, 1993. Perkembangan Tulisan Jawi dalam Masyarakat Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm. xxiii.

[12] Manuskrip tertua dalam bentuk surat yang dapat dikesan dalam tulisan jawi ialah surat yang diutus oleh Sultan Maluku di Ternate kepada Raja Portugal bertarikh 1521M. Lihat Amat Johari Moain, 1996. Perancangan Bahasa: Sejarah Aksara Jawi (Siri Monograf Sejarah Bahasa Melayu). Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm. 21 – 22. Surat menyurat dalam tulisan jawi di antara Kerajaan-kerajaan Melayu dan negara penjajah barat banyak dikemukakan oleh Marsden, W., 1812. A Grammar of the Malayan Language. Crosby, Lockwood and son, London; Juga lihat Abdul Samad Ahmad, 1958. Sejarah Kesusasteraan Melayu Jld I, II dan III. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur; dan Collins, T.J., 1980. Ambonese Malay and Creolization Theory. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Thursday, November 24, 2011

Perutusan Maal Hijrah Aqsa Syarif 1433H





Perutusan Maal Hijrah (1433H)

Aqsa Syarif mengucapkan selamat tahun baru hijrah kepada seluruh umat Islam di Malaysia khususnya. Sebagaimana sudah menjadi tradisi setiap menjelang tahun baru maka setiap orang akan menanam azam untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan. Bersempena dengan tahun baru hijrah 1433, Kami mengajak seluruh umat Islam untuk memberi perhatian kepada umat Islam di tanah suci Al-Quds yang kini sedang menghadapi penindasan dan penjajahan. Di saat kita meletakkan sasaran untuk meningkatkan pencapaian dalam pelbagai bidang yang diceburi dan memperbaiki taraf hidup, saudara-saudara kita berhadapan dengan persoalan bagaimana untuk meneruskan kehidupan itu sendiri dalam keadaan dinafikan hak mereka yang paling asas sebagai manusia. Mereka disekat dari mendapat bekalan makanan, air bersih untuk minuman, ubat-ubatan dan bahan bakar. Mereka juga tiada jaminan keselamatan tempat tinggal kerana bila-bila masa sahaja tanah mereka akan dirampas, mereka dihalau keluar dan rumah mereka dirobohkan. Bahkan nyawa mereka sentiasa berada dalam keadaan bahaya akibat terdedah kepada serangan Israel yang boleh dilancarkan tanpa amaran dan secara tiba-tiba.

Inilah senario yang sedang dihadapi oleh rakyat Palestin di saat kita menyambut Maal Hijrah. Bagi mereka tahun baru hijrah hanya menjanjikan satu kepastian iaitu perjuangan untuk pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa pasti diteruskan. Itulah azam yang tertanam kukuh di dalam setiap umat Palestin. Cita-cita untuk melihat tanah suci al-Quds kembali ke pangkuan umat Islam tidak pernah luput dari ingatan mereka. Bahkan inilah azam yang tidak pernah

luntur dalam diri para pejuang sejak 66 tahun yang lalu. Semangat jihad yang terus membara disanubari mereka menjadi obor yang menerangi seluruh dunia Islam dan menyuntik kekuatan meski berhadapan dengan pelbagai pengkhianatan dan pembelotan dari kalangan pemimpin-pemimpin Negara Islam yang berkepentingan yang bersekongkol dengan pihak musuh. Jika diamati, setiap orang akan merasa insaf bagaimana mungkin sebuah umat yang diperangi oleh kuasa tentera yang ke empat terbesar di dunia dan mendapat sokongan padu dari kuasa besar dunia Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah dapat bertahan puluhan tahun lamanya. Bahkan Bangsa-bangsa bersatu yang sering memihak kepada kepentingan zionis kerana didalangi oleh Amerika dan sekutu-sekutunya sering gagal membela kepentingan dan hak rakyat Palestin. Apakah rahsia kekuatan mereka sehingga mereka tidak berganjak langsung dari prinsip perjuangan meskipun diasak dengan begitu hebat oleh Zionis, Negara kuasa besar bahkan regim-regim Negara Arab yang menjadi boneka kepada kepentingan Amerika.

Semua ini menuntut umat Islam di Malaysia untuk mengambil inspirasi dari satu perjuangan yang amat menakjubkan. Apakah yang mendorong satu umat yang tidak punya kekuatan tentera dan senjata untuk berhadapan dengan Israel yang mendapat bantuan hampir tiga billion USD setahun dalam bentuk pelbagai senjata terkini. Bahkan mereka bukan sahaja berhadapan dengan jet pejuang, kereta kebal, peluru berpandu, bom pintar, pesawat ‘predator’ kawalan jauh, tetapi mereka turut dihujani dengan bom fosforus putih yang diharamkan. Kemusnahan kepada nyawa, harta benda dan tempat tinggal tidak dapat dibayangkan. Tetapi semua ini hanya meningkatkan semangat juang dan menyemarakkan lagi jihad di bumi Palestin. Pastinya umat yang berjuang di atas dasar jihad yang benar tidak akan dapat ditundukkan oleh mana-mana kekuatan di bumi ini. Meskipun seluruh dunia menalakan senjatanya kepada umat yang sedemikian, mereka tidak akan mampu menumpaskan satu umat yang kekuatannya datang langsung dari Allah SWT.

Hari ini di saat rakyat Gaza sedang bergelut dengan persoalan hidup dan mati, para pejuang menyibukkan diri mereka dengan mempersiapakan generasi akan datang. Lima puluh peratus anak-anak Gaza berhadapan dengan masalah kurang zat makanan. Sebahagian besar dari mereka tidak dapat meneruskan persekolahan. Bukan sahaja bangunan sekolah sudah ranap menyembah bumi, bahkan kertas dan alat tulis juga tidak dapat dibekalkan akibat sekatan Israel dan penutupan sempadan Gaza dengan dunia luar. Namun dalam serba kekurangan dan kedaifan ini, mereka tidak pernah putus pergantungan dengan Allah SWT. Mereka tetap meletakkan harapan penuh yakin bahawa masa depan Palestin sudah dijamin di dalam Islam. Oleh itu salah satu agenda yang penting yang diberikan perhatian penuh para pejuang ialah membina generasi pelapis. Mereka ditarbiyah dengan al-Quran. Mereka ditarbiyah untuk menjadi para hufaz dan membawa al-Quran di dalam dada-dada mereka. Pada musim panas yang lalu mereka Berjaya menghasilkan 30,000 para hufaz cilik dari kalangan anak-anak lelaki dan perempuan. Sebahagian dari mereka bergelar hufaz hanya dalam tempoh tiga bulan atau lebih pendek dari itu. Program melahirkan generasi Rabbani ini akan menjamin kelangsungan jihad untuk mem pertahankan tanah suci dan Masjid al-Aqsa. Dengan nukleus para rijal yang mempunyai kualiti tarbiyah imaniah ini, benteng-benteng pertahanan umat di bumi al-Quds akan terus dijamin terpelihara dari pencerobohan dan pengkhianatan golongan yang cuba mengkhianati perjuangan ini.

Kami mengajak umat Islam untuk mengimbau perjuangan umat Islam di Palestin sempena Maal Hijrah. Apakah kaitan peristiwa Hijrah Nabi SAW dengan perjuangan yang ditempa oleh umat Islam zaman ini terutama di Tanah Suci Al-Quds. Apakah hubungkait peristiwa besar di dalam perjuangan Nabi SAW 1,400 tahun yang lalu dengan kesinambungan perjuangan umat Islam pada hari ini. Pastinya peristiwa Hijrah bukan hanya satu peninggalan sejarah tetapi satu panduan yang terus relevan sepanjang zaman. Perjuangan Nabi SAW adalah kemuncak segala perjuangan di antara hak dan batil, di antara kebenaran dan kepalsuan. Allah SWT telah menjadikan resam perjuangan yang batil sentiasa berada di pihak yang kuat dari sudut zahir dan luarannya. Semua itu menjadi ujian kepada orang-orang yang beriman agar mereka tidak silau dan goyah melihat kekayaan dan kekuatan pendukong-pendukong kezaliman. Nabi SAW berhadapan dengan penindasan dan penyeksaan golongan penguasa Quraish selama 13 tahun menerajui perjuangan menegakkan kalimah Allah dan kebenaran di bumi Mekah. Mereka merupakan golongan minoriti yang sentiasa diasak oleh pemuka-pemuka Quraish yang berkuasa, berpengaruh dan kaya-raya. Golongan inilah yang memegang tampuk kekuasaan dan tidak pernah henti-henti menyakiti Rasulullah SAW dan orang-orang yang beriman. Sebahagian mereka syahid di tangan penguasa-penguasa ini dan apa yang mampu dilakukan oleh Rasulullah SAW hanyalah menyuruh para sahabatnya bersabar. Apabila semua penyeksaan dan penindasan ini tidak berjaya melemahkan keimanan maka mereka telah mengambil satu pendekatan di luar batas-batas persaudaraan bahkan di luar batas kemanusiaan. Umat Islam diboikot dan dikepung selama tiga tahun lamanya. Mereka tidak dibenarkan menghubungi dan menyambung silatur rahim meskipun dengan ahli keluarga yang terdekat. Bekalan makanan disekat sehingga ada umat Islam yang meninggal dunia akibat kebuluran. Bahkan Saidatina Khadijah RA dikatakan meninggal akibat kesan dari kekurangan makanan. Namun umat Islam tetap bertahan dan tidak sekali-kali menggadaikan keimanan mereka hanya untuk mengalas perut yang pedih menahan lapar. Mereka tetap bertahan meskipun anak-anak merintih pada waktu malam menahan lapar. Tangisan yang memilukan pada waktu malam telah mendorong orang-orang Quraish yang masih punya hati untuk membekalkan makanan secara sembunyi-sembunyi supaya tidak diketahui orang lain. Allah SWT telah menguji Rasulullah SAW sehingga kemuncak dan kemudian memberi kelegaan kepada umat Islam dengan campur tangan Allah SWT sendiri. Berakhirnya boikot rupa-rupanya menjanjikan dugaan yang lebih berat kepada Rasulullah SAW. Kematian dua orang yang paling disayangi dan yang paling kuat menyokong dan melindungi Rasulullah SaW iaitu isteri dan bapa saudaranya, Abu Talib sudah tentu meninggalkan kesan yang amat besar pada jiwa Rasulullah SAW. Dalam keadaan menanggung sedih itu Rasulullah SAW tidak berputus asa dan tetap menjalankan amanat dakwah yang dipikulkan ke atas dirinya. Kunjungannya ke Taif bukan disambut dengan baik bahkan dilempari dengan batu sehingga menanggung luka yang berat. Pada saat sedemikianlah Allah SWT memperjalankan Nabi dalam satu peristiwa yang menakjubkan iaitu Isra’ dan Mikraj. Perjalanan ke Masjid al-Aqsa dan kemudian ke Sidratul Muntaha adalah langkah pertama ke arah kemenangan yang bakal datang. Kembalinya Rasulullah SAW disusuli dengan siri-siri pertemuan dengan penduduk Yathrib. Rasulullah Saw dinanti-nantikan oleh penduduk Yathrib dan diangkat sebagai pemimpin di Madinah. Peristiwa hijrah adalah kunci kepada kemenangan ini.

Dalam konteks perjuangan rakyat Palestin pada hari ini, peristiwa hijrah adalah satu jaminan dari Allah SWT bahawa kemenangan pasti akan berpihak kepada pejuang kebenaran. Kekuatan fizikal dan sokongan antarabangsa yang dinikmati oleh Israel tidak akan melindungi regim haram itu dari kemusnahan. Sebagaimana kepungan dan boikot ke atas Rasulullah SAW gagal maka begitu juga sekatan ekonomi dan kepungan ke atas Gaza akan gagal dengan kuasa Allah SWT. Sebagaimana komplot dan persekongkolan golongan yahudi dan munafiq di Madinah begitu juga persekongkolan regim-regim Arab bersama zionis untuk menekan gerakan Hamas dan gerakan Islam di Palestin akan menemui kegagalan. Golongan Ahzab moden yang diterajui oleh Amerika Syarikat akan gagal sebagaimana gagalnya golongan Ahzab dalam peperangan Khandak. Keyakinan yang bulat inilah yang terus memercikkan api kebangkitan rakyat Palestin. Kini persoalannya ialah apakah peranan umat Islam sejagat? Apakah kita hanya sekadar menonton dan memberi ulasan-ulasan yang kadangkala terpisah dari realiti sebenar. Ramai umat Islam di luar sana merasa sangsi dengan janji Allah SWT. Mereka bukan sahaja mengambil sikap tidak peduli dengan apa yang menimpa tanah suci al Quds bahkan tergamak mencemuh para pejuang dengan kata-kata nista dan penghinaan. Sebabnya ialah umat Islam tidak kembali kepada persoalan dasar iaitu melihat perjuangan yang berlaku ini dalam konteks Al-Quran dan sunnah. Mereka mengukur kekuatan musuh dengan penilaian kebendaan lalu membuat kesimpulan bahawa perjuangan rakyat Palestin adalah usaha yang sia-sia. Kami menyeru seluruh umat Islam supaya kembalilah kepada Allah dan Rasulnya dalam menilai perjuangan umat Islam di Palestin. Kemenangan sebenarnya telah ditetapkan oelh Allah SWT bagi hamba-hambanya yang berjihad dengan ikhlas dan penuh keimanan. Sebagaimana yang disebut lewat hadis-hadis sahih Rasulullah SAW bahawa umat ini akan terus berjuang sehingga Allah memberi kemenangan mutlak kepada mereka. Apabila ditanya oleh sahabat di manakah mereka itu, dijawab oleh Rasulullah SAW, mereka itu berada di Baitul Maqdis. Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW memberi jaminan bahawa pengkhianatan golongan yang berkhianat tidak akan memudaratkan mereka. Mereka akan tetap menjadi golongan yang menang. Golongan ini disebut oleh Rasulullah berjuang di pintu-pintu Dimasq (Damsyik) dan pitu-pintu al-Quds (Baitul Maqdis).

Sempena Maal Hijrah 1433 ini Aqsa Syarif menyeru seluruh umat Islam supaya meletakkan satu azam untuk bersama di dalam jihad mempertahankan tanah suci. Umat Islam diseru memperuntukkan sebahagian dari penghasilan mereka untuk perjuangan pembebesan al-Quds. Barangsiapa yang memberi bekal kepada para mujahidin maka dia juga adalah mujahidin. Dengan hadis Nabi SAW ini, Kami mengakhiri perutusan Maal Hijrah ini dengan harapan agar seluruh umat Islam bersama berganding bahu berjuang dengan segala daya dan upaya untuk menyokong jihad di bumi Palestin.

Dr Hafidzi Mohd Noor

Pengerusi

Aqsa Syarif Bhd

1 Muharram 1433H

Infaq ke tabung Palestin bolih disalurkan ke akaun Aqsa Syarif Bhd di akaun MBB 551575004299.

Sila maklumkan sumbangan dengan meng faks butiran (bank in slip, deposit slip atau transaksi Maybank2u ke no 03-87349636

Untuk maklumat lanjut sila hubungi ibu pejabat Aqsa Syarif di no 03-87334636

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor

Pengerusi

Aqsa Syarif

1 Muharram 1433H/27 November 2011

Tuesday, November 22, 2011

Program di Perth pada 22 dan 23 Nov 2011



Thursday, November 17, 2011

Rakaman Forum Kebebasan Akademik - Prof Dr Aziz Bari dan Dr HMN

Assalamualaikum,

Berikut ialah Rakaman Forum Kebebasan Akademik anjuran Pro Mahasiswa UPM. Ahli panel ialah Prof Dr Aziz Bari dan Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor










Friday, November 11, 2011

Butiran penerbit, sinosis dan tempahan siri buku Jejak risalah di nusantara Jilid 1



Tajuk: Jejak Risalah di Nusantara Jilid 1
Zaman Pra Islam hingga Era Pelayaran Admiral Muhammad Cheng Ho
Tahun terbit: 2007
Hlm: 113 ms.

Butiran penerbit/pengedar
JIMedia

300.3 Lorong Selangor,
Pusat Bandar Tmn Melawati
Kuala Lumpur 53100
Tel: 03-41089669


Assalamualaikum,

Atas beberapa permintaan saya kongsikan semula butiran dan sinopsis buku-buku Jejak Risalah di nusantara. Saya mulakan dengan Jilid 1 - Zaman Pra-Islam hingga Era Pelayaran Admiral Muhammad Cheng Ho

Daftar isi

Daftar isi

1. Pendahuluan

2. Umat islam mewarisi tamaddun Hindu-Buddha.

3. islam tersebar olih dakwah

4. Dari jurusan mana datangnya Islam di Nusantara.

5. Bila Islam mula disebarkan di Nusantara

6. Majapahit dan Islam

7.Tamaddun ilmu meruntuhkan Empayar majapahit.

8. Transformasi Jatidiri melayu Nusantara.

9. Berkembangnya Dakwah di saat kejatuhan ummah

10. Penyatuan umat Islam melalui bahasa

11. Pengaruh Islam ke atas seni.

12. Perlaksanaan Undang-undang Islam

13. Admiral Muhammad Cheng Ho - Envoy muslim kurun ke 15

14. Penutup

1. Pendahuluan

Nusantara adalah istilah kebudayaan untuk gugusan kepulauan Melayu, secara umumnya dirujuk sebagai daerah kebudayaan Melayu, yang merangkumi tidak kurang dari 200 juta manusia yang bertutur dalam pelbagai bahasa rumpun melayu dan mengamalkan adat istiadat yang berbeza[1]. Dari sudut geo-politik semasa wilayah yang dinisbahkan kepada Nusantara itu terdiri dari negara Malaysia (merangkumi juga wilayah Selatan Thai; yang bukan merupakan pulau tetapi bahagian kebenuaan dari Asia Tenggara; menganjur dari segenting Kra dan menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan tanah besar benua Asia), Indonesia, Singapura dan Filipina.

Daerah lingkungan Nusantara mempunyai sejarah tamadun kemanusiaan yang sangat awal. Penemuan tapak-tapak arkeologi seperti Gua Cha dan Gangga Negara di Malaysia membuktikan bahawa tamadun se awal zaman batu pernah wujud di sini. Oleh kerana kedudukannya di antara Benua kecil India dan tanah besar Cina, maka ia menjadi tempat pertembungan dan persenyawaan budaya serta pengaruh barat dan timur. Gugusan kepulauan di antara Lautan teduh atau Pasifik dan Lautan Hindi menjadikan ia pelabuhan semulajadi. Dengan berkembangnya perniagaan wujudlah kerajaan-kerajaan pesisiran pantai dan berkembanglah pemikiran, budaya dan agama. Masyarakat setempat yang berpegang dengan kepercayaan nenek moyang, memuja ruh dan semangat, turut terdedah kepada agama-agama dari luar khususnya Hindu dan Buddha. Kerajaan-kerajaan awal Nusantara seperti Kedah tua, Langkasuka, Singhosari dan Kalinga menunjukkan pengaruh campuran kepercayaan setempat dan agama Hindu.

Sungguhpun sarjana-sarjana sejarah dan pengkaji-pengkaji kebudayaan dari barat memberikan tumpuan khusus kepada pengaruh Hindu dan Buddha yang mencapai kemuncaknya pada zaman empayar Majapahit, namun pengaruh terbesar yang merubah peta lanskap Nusantara adalah agama Islam. Walaupun agama Hindu dan Buddha (di zaman Srivijaya) sudah bertapak dan mengakar di Nusantara selama beberapa kurun, agama Islam berjaya mengambil alih dan secara beransur-ansur merubah pandangan hidup penduduk di Nusantara. Kini Islam menjadi anutan terbesar di Asia Tenggara dengan jumlah penganutnya mencapai 250 juta orang, hampir menyamai bilangan umat Islam di negara-negara Arab.

Apakah faktor-faktor yang menjadi pencetus kepada perubahan ini yang bukan sahaja meliputi aspek anutan semata-mata, bahkan membentuk pandangan hidup dan membawa revolusi pemikiran? Ini menuntut kepada penelitian semula kepada sejarah permulaan kedatangan Islam, termasuk persoalan-persoalan berkaitan seperti dari jurusan mana kedatangannya, kaedah penyebaran dan peristiwa yang melatari proses perubahan kepada Islam. Pertembungan di antara Islam dan agama serta budaya setempat yang telah mengakar di Nusantara juga perlu dilihat semula untuk mengukur sejauh manakah benarnya tanggapan sarjana barat bahawa Islam sebenarnya tidak merubah orang Melayu Nusantara dari sudut dalaman dan kejiwaan atau ’spiritual make-up’. Islam bagi mereka tidak lebih dari kulit luar yang jika ditanggalkan maka tampak jelaslah peninggalan agama Hindu-Buddha dan peninggalan nenek moyang sebelum Islam. Semua persoalan ini akan dikupas dan dianalisis dalam bab-bab yang disusun untuk membina satu tesis mengenai impak Islam kepada umat melayu Nusantara dari sudut kerohanian sehinggalah kepada mengatur sistem hidup bermasyarakat dan bernegara.


[1] Zainal Kling, 1991. Melayu, Ensaiklopedia Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, Jld. Pengenalan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kem. Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur, hlm. 73 – 75.



 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc