Monday, May 12, 2008

Happy Mother's Day


Assalamualaikum

Sempena mother's day hari ini anak-anak mempunyai cara mereka yang unik untuk menyambut dan menghargai umi mereka. Semalam anakanda Odi menalipon dari Hira' mengucapkan selamat hari ibu. Hari ini abang Qayyim dan anakanda Amin membeli frame dan kemudian mengabadikan gambar-gambar mereka semasa kecil dalam kad ucap selamat hari ibu. Pada kad tersebut dinukilkan kata-kata berikut:

"BUAT UMMI AMI YANG TAK PERNAH PUTUS MENDOAKAN DAN
MENCURAHKAN KASIH SAYANG KEPADA KAMI. MOGA ALLAH
MERAHMATI UMMI KAMI"

ZURAIDAH BT KORNAIN

Gambar abang Qayyim itu semasa kami singgah bersembahyang dan berihat di sebuah masjid di Paris ketika kami mengembara di Europe (Abi bercadang untuk mendokumenkan pengalaman mengembara di Eropah ini dalam buku kami yang akan datang insyaAllah - jadi kenyataankah ini?). Gambar Odi pula semasa menghadiri Islamic school di Spital mosque, Aberdeen, Scotland. Gambar Amin pula diambil semasa kami menghadiri program MSM (Majlis Syura Muslimun di Coventry, England). Gambar yang di kanan sekali tu anak angkat kami di Aceh, anakanda Fitria Wulan Sari - sekarang umurnya sudah 9 tahun, sudah dianggap adek oleh anak bujang bertiga ini..

Semuga bonda (umi Zuraidah) panjang umur, sihat walafiat dan dapat terus memberi kasih-sayang kepada suami dan anak-anak serta membimbing mereka untuk menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Ameen

Wahai anak-anak ingatlah pesan Rasulullah SAW. "Bila ditanya siapakah yang patut dihormati? Ibu mu, jawab Rasulullah. Kemudian bila ditanya lagi, jawabnya 'ibumu. dan bila ditanya kali ke tiga, jawabnya tetap ibumu, kemudian barulah ayahmu..."

Selamat hari ibu kepada adinda Zuraidah Kornain (Umi Zuraidah)

Abi

Sunday, May 4, 2008

Ceramah sempena 60 tahun Nakba di Taman Sri Kenari Kajang - 1 Mei 2008

Anakanda Ariff dan anakanda Odi memulakan majlis dengan membaca al Quran

Anakanda Odi tolong jual buku-buku Palestin abi

Sedang berceramah

Muadz Dzulkifli (Xifu) dengan lagu Baitul Maqdisnya


Kumpulan Saff One turut beraksi


Hadirin pada malam itu


Tak cukup tempat duduk...

Assalamualaikum,
Pada 15 Mei 2008 ini genaplah 60 tahun peristiwa Nakba. Nakba bermaksud malapetaka. Ia merujuk kepada peristiwa di mana lebih 800,000 rakyat Palestin di usir oleh kumpulan-kumpulan pengganas Yahudi yang melakukan pembunuhan beramai-ramai seperti di Dier Yassin, 1948. Pada 15 Mei, kelahiran negara haram Israel diisyhtiharkan oleh David Ben Gurion, Perdana Menteri Israel yang pertama setelah British meninggalkan Palestin melalui satu konspirasi yang disusun bersama Amerika dan Bangsa-bangsa Bersatu.

NGO-NGO Islam yang menangani isu Palestin seperti JIM, PACE, ISMA, Aman Palestin, SYURA, ABIM, PKPIM, Pertubuhan-pertubuhan pelajar seperti KARISMA, GAMIS, PKPIM dll yang bernaung di bawah Institiut Al Quds Malaysia telah bersetuju untuk mempopularkan kalimah Nakba di kalangan rakyat Malaysia demi menajamkan sensitiviti umat Islam terhadap tanggungjawab membebaskan Palestin dan Baitul Maqdis yang merupakan tanah suci umat Islam.

Sehubungan dengan ini JIM Serdang atas inisiatif Dr Ahmad Zainuddin telah menagnjurkan ceramah Nakba di Taman Sri Kenari Kajang pada 1 Mei 2008. Alhamdulillah sambutan menggalakkan dan hadirin merasakan penting untuk isu ini disebarluaskan di kalangan umat Islam.

Anakanda Ariff bin Ahmad Zainuddin diberi penghormatan untuk memulakan majlis dengan membaca dari surah Al-Isra dan diterjemahkan oleh anakanda Muhammad Mawardi Hafidzi. Dua penasyid tersohor turut diundang untuk menghiasi dan menambahkan kesyahduan program ceramah. Saff One telah mendendangkan dua buah lagu, salah satunya ialah 'astaghfirullah'. Sepelas ceramah muncul pula Muazd dari Xifu (dulu AlGebra) mendendangkan lagu yang cukup menaikkan semangat 'Baitul Maqdis'. Lagu ini turut dicalunkan dalam AIM baru-baru ini.

Kutipan sumbangan Palestin pada malam tersebut ialah RM1212.50 + RM1,500 (duit zakat). Rakaman ceramah ini telah dilakukan secara professional dan DVD boleh dipesan melalui Dr Ahmad Zainuddin di no 0122897031

JZKK kepada akhuna Dr Ahmad Zainuddin dan qariah surau Taman Sri Kenari kerana sudi menajemput dan menjayakan program ini. Semuga Allah SWT berkati usaha kita yang kerdil ini. Ameen

Dr Hafidzi Mohd Noor

Saturday, May 3, 2008

Rehlah Keluarga JIMDHL - 1 Mei 2008

Abang Qayyim sedang memberi instruction aktiviti 'keluarga lanun'

Anakanda Amin Husaini kenapa termenung tu

Kelaurga Dr Azma, Bilal, Mariam dan Fadli sedang menggaul tepung untuk 'makeup lanun'

Keluarga Rosli Muhammad dalam acara lanun


Umi Zuraidah mengendalikan acara 'Knowing me knowing you'


YDP JIM Hulu Langat, Hj Riduan Harun menerima hadiah


Umi Zuraidah sedang bagi instruction


Assalamualaikum,


Alhamdulillah pada 1 Mei yang lepas JIM Daerah Hulu Langat telah berjaya mengadakan hari keluarga untuk keluarga ahli JIM Hulu Langat. Program yang bermula sekitar 9 pagi itu telah dimeriahkan oleh lebih dua ahli dan anak-anak masing-masing. Karisma dari Uniten, metrik UIA Nilai dan IMU juga turut serta.

Program dimulakan dengan ucapan Hj Riduan Harun selaku YDP Jim Hulu Langat. Beliau mengingatkan suasana baru (selepas PRU 12) menuntut ahli lebih kuat melaksanakan tugas-tugas dawah yang sedang menanti demi menjayakan RJIM2 (Rancangan JIM ke 2). Antara kata-kata beliau ialah di luar sana ramai yang sedang mengorek lubang (membahayakan umat dan masyarakat) dan ini menuntut kita bekerja lebih gigih lagi (menutup lubang dan lebih baik lagi menghalang manusia dari mengorek lubang-lubang yang boleh menjerumuskan masyarakat). Pagi itu juga di isi dengan tazkeerah dari Ust Dr Farid Syeikh Ahmad. Beliau menekankan tentang peranan keluarga yang sangat besar dalam membina umat yang soleh.

Beberapa acara keluarga telah dijalankan pada pagi itu. Antaranya acara 'knowing me knowing you' yang dikendalikan oleh umi (Hjh Zuraidah Kornain, yang juga Ketua Wanita JIM Hulu Langat. Dalam acara ini suami dan isteri diberi soalan yang sama dan mereka perlu menjawab soalan tersebut secara sendirian. Di antara soalan yang ditanya ialah tarikh perkahwinan. Yang mengejutkan ada pasangan yang selisih tarikh perkahwinan nya selama 2 hari. (Di sini akh Dr Mustafa Din Subari memberi justifikasi - mungkin tarikh walimahnya (kenduri kahwinnya) selang dua hari di rumah keluarga masing-masing..) Tetapi ada juga pasangan suami isteri yang dapat menjawab dengan tepat termasuklah buku apa yang sedang dibaca oleh pasangan masing-masing. Semuga acara seperti ini merapatkan lagi hubungan intim suami isteri.

Acara pasangan suami isteri yang diberi 'apek buta' telah dikendalikan oleh anakanda Mohd Qayyim. Acara ini melibatkan suami blindfold dan tugas isteri ialah memberi arahan kepada suami. Turut serta dalam acara ini ialah Ust Farid sendiri dan isteri ... sporting gitu. Acara keluarga bertemakan keluarga yang dinamakan hias lanun juga dikendalikan oleh abang Qayyim. Arahannya agak komplicated sehingga terpaksa dibuat demo. Bagaimanapun acara ini tetap meriah dan merapatkan hubungan antara keluarga.

Lain-lain pengisian ialah penerangan mengenai pelbagai jenis herba oleh tuan punya Taman herba. Maklumat yang kami pelajari mengenai pelbagai tumbuhan herba sangat menakjubkan. Ini termasuklah buah lemba yang menjadi seperti asam boi apabila pucuk sireh dikunyah selepas mengunyah buah lemba. Ada satu lagi yang menakjubkan tentang pokok galak kucing. Ternyata seekor kucing tidak henti-henti meleseh pada akar pokok ini apabila dicabut dan diperagakan kepada seekor kucing.

Menu pada hari itu ialah barbeque ayam, lamb, sausage, nasi goreng, keropok lekor dan buah tembikai. Anak-anak sempat berendam.

Kami solat zohor berjemaah di sana dan majlis bersurai setelah menyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang. Terima kasih kepada akhi Hasbullah dan AJK yang bekerja keras menjayakan program keluarga JIM Hulu Langat.

(Camera sudah rosak, sempat ambil gambar dengan HP, kualitinya tak cantik)
Dr Hafidzi Mohd Noor

Thursday, May 1, 2008

Bicara Kalbu: Siswazah Menganggur jangan cepat putus asa (Berita Harian - 2 Mei 2008)

Bicara Kalbu: Siswazah menganggur jangan cepat putus asa

Soalan SAYA berasal dari Pahang dan mengkategorikan diri sebagai penganggur terhormat. Saya berkelulusan universiti tetapi tidak mempunyai pekerjaan tetap. Saya runsing kerana kebanyakan rakan sudah mempunyai pekerjaan. Saya menghadiri pelbagai ujian dan beberapa sesi temu duga, namun gagal. Saya berasa sangat kecewa dan rendah diri. Saya tidak pernah penat berdoa kepada Allah, nampaknya sehingga saat ini rezeki saya belum ada lagi. Nasib baik belum menyebelahi saya. Minggu ini saya dipanggil untuk satu temu duga lagi. Jauh di lubuk hati, saya rasa bimbang, takut dan gementar. Takut dikecewakan lagi. Apa patut saya lakukan. Siswazah Runsing, Pahang Darul Makmur.

Jawapan: Kerunsingan saudara adalah sesuatu yang normal. Sudah tentulah seorang graduan universiti mengharapkan pekerjaan sesuai dengan kelulusannya. Di samping ingin menyara kehidupan, anda juga menjadi harapan keluarga di kampung.

Sudah tentu mereka mengharap dan meletakkan harapan menggunung kepada saudara untuk mendapat pekerjaan yang sesuai dan barangkali untuk membela keluarga serta adik di kampung. Saudara jangan berputus asa. Sebenarnya tempoh yang saudara lalui untuk memperoleh pekerjaan adalah sebahagian daripada proses pendedahan dan pengalaman itu juga adalah pekerjaan. Proses temu duga misalnya memberikan kita latihan dan lebih keyakinan untuk berdepan dengan bakal majikan. Sekalipun kita gagal dalam siri temu duga, ia sebaliknya memberi nilai tambah kepada kita untuk menghadapi sesi temu duga seterusnya dengan lebih yakin dan berketrampilan.

Dengan bersikap positif, saudara akan mempamerkan prestasi lebih baik dalam temu duga akan datang. Jangan terlalu kecewa kerana saudara baru beberapa kali dipanggil untuk sesi temu duga. Thomas Edison mencuba sebanyak 1,000 kali untuk mendapat cahaya elektrik. Jadikan kegagalan dalam sesi temu duga yang lalu sebagai dorongan untuk membuat sedikit kerja rumah iaitu mencari apakah kelemahan yang perlu dielakkan supaya tidak berulang dalam sesi temu duga seterusnya. Apa pula kekuatan yang perlu ditampilkan untuk meyakinkan bakal majikan. Anggaplah setiap kegagalan sebagai peluang untuk memperbaiki mutu persembahan dan ketrampilan apabila dipanggil untuk sesi temu duga buat sekian kalinya. Hari ini, dalam keadaan ekonomi yang mencabar, bakal majikan menilai calon secara menyeluruh. Kelayakan akademik ibarat pasport untuk memohon pekerjaan tertentu. Namun, sama ada seseorang itu berjaya mendapat pekerjaan diidamkan bergantung kepada kualiti yang menggambarkan potensi seseorang pekerja.

Majikan akan menilai seseorang berdasarkan kepada kriteria yang boleh membawa kejayaan kepada organisasi atau syarikat. Sering kali dalam dunia pekerjaan yang kompetitif pada hari ini, pencapaian akademik tidak lagi menjadi kriteria utama bahkan jatuh pada nombor dua atau tiga. Bakal majikan lebih cenderung menguji kematangan calon, bakat kepemimpinan, kemampuan berinteraksi sosial, kemampuan berdepan dengan cabaran dan tekanan. Universiti hari ini berusaha menerap nilai insaniah, memperkasa emosi, sosial, spiritual dan kemahiran kemasyarakatan. Perasaan rendah diri kerana rakan sudah memiliki pekerjaan boleh disingkirkan. Perasaan itu terjadi kerana saudara suka membandingkan diri dengan mereka yang sudah bekerja. Cuba bandingkan diri dengan mereka yang belum mempunyai pekerjaan. Sekurang-kurangnya saudara ada kerja walaupun tidak tetap. Yakinlah setiap orang sudah ditentukan rezeki masing-masing dan kita harus berusaha untuk mendapatkannya.

Pemahaman konsep tawakal perlu diserap dalam pemikiran saudara. Pada masa sama, teruskanlah membina jaringan dengan kawan yang sudah mendapat pekerjaan. Mereka boleh menjadi mata dan telinga saudara untuk mengintai peluang pekerjaan yang wujud di agensi dan tempat kerja masing-masing. Di samping itu belajarlah daripada pengalaman mereka, bagaimana mereka menghadapi sesi temu duga. Mungkin ada panduan tertentu boleh dikongsikan yang menjadi rahsia kejayaan mereka. Saya juga ingin mencadangkan saudara mendapatkan buku panduan yang banyak di pasaran mengenai cara menghadapi temu duga atau strategi mendapatkan pekerjaan. Buku itu ditulis dengan bahasa mudah dan contoh praktikal berdasarkan pengalaman sebenar. Saya yakin saudara akan mendapat manfaat yang banyak daripada buku itu.

Jangan lupa untuk berdoa dan menyerahkan kepada Allah selepas kita berusaha. Solat hajat memohon Allah memberikan pekerjaan yang sesuai untuk saudara, lebih penting yang membawa kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Ingat dan yakinlah, Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Kadang-kadang kita mengharapkan sesuatu, tetapi Allah tahu ia tidak baik bagi kita lalu ditangguhkan hajat itu supaya kita mendapat yang lebih baik daripada yang terlepas.

Satu hari nanti saudara akan mendapat pekerjaan. Apabila mendapat pekerjaan nanti semua kesusahan dan keresahan yang dilalui hari ini akan menjadi pengalaman manis yang memperkaya hidup kita di muka bumi ini.

Saya tahu bagaimana perasaan saudara dan apa erti dunia pengangguran kerana saya juga adalah graduan pada zaman ekonomi meleset sekitar tahun 1987/88. Pelbagai kerja saya lakukan termasuklah pekerjaan yang tidak memerlukan sebarang kelulusan. Itu adalah kenangan manis yang memperkaya jiwa dan mewarnai kehidupan.

Jawapan disediakan Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dengan kerjasama Wanita JIM. Persoalan yang lepas boleh dilayari di www.bicarakalbu.blogspot.com
 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc