Wednesday, June 17, 2009

Majlis Tahlil Keluarga di Rumah Kak Jun, Tmn Broleh, Batu Pahat

Maksu dan Cik Minah

Tahlil di rumah Kak Jun

Yana dan dek Na

Mak Uda dan Cik Minah

Ustzh Huda, ukasyah, Nani, Rozi, Sumaiyah, Tolhah, Bibik dan Ikrimah (tutup dek belon)

Bang M dan Pak Mat

Isma, Alya, batrisha dan Mak Long

Angah, Kak Chah, Boboy, Aiman

Tok cu dan cucu tok cu (fadwa)

Di dapur rumah Kak Jun

Cik Abu dan Ust Mahmud

Batrisya Zaharul Haq
Assalamualaikum,
pada hari sabtu 6 Jun majlis tahlil keluarga telah diadakan di rumah Kak Jun. Kami telah mengambil peluang ini untuk berkumpul dengan semua ahli keluarga bersilaturahim. Semuga Allah mencucuri rahmat kepada semua ibu-bapa dan semua ahli keluarga dan sanak-saudara yang telah lebih dahulu menyahut seruan ilahi. Semuga Allah tempatkan mereka bersama hamba-hambanya yang soleh (solihin wal mursalin).
Sampel gambar-gambar yang dipaparkan ini adalah gambaran ahli keluarga terutama generasi
ketiga (cucu-cucu) yang akan meneruskan legasi keluarga. Semuga kita semua diberi kekuatan dan hikmah untuk mendidik anak-anak cucu kita semua di atas jalan Islam dan Iman, terutama di dalam zaman yang penuh mencabar dan amat menguji ini. Semuga kita dan anak cucu kita semua tetap mendirikan solat dan sentiasa menjaga batas-batas agama. Semuga kita dan arwah yang telah mendahului kita mendapat keampunan dan kejayaan di dunia dan diakhirat. Ameen Ya Rabbul Alamin.
Toksu dan Nenek su


Cucu Tokcu (fadwa) ziarah Tokcu dan nek su

Dukong dgn tok cu
Pos istimewa dgn nenek su

Sukanya cucu tokcu

Assalamualaikum,
Sorry ya cucu tuk cu cayang.. Gambar-gambar ni patutnya dah lama tuk cu masuk dalam blog. Kedatangan cucunda Fadwa bersama ayah dan ibu ke rumah tuk cu dan nenek su memeriahkan suasana rumah. Datang lagi ya..
Tok cu

Rencana Utusan Malaysia 17 June ms 11 - Ulasan PACE terhadap ucapan Netanyahu

Netanyahu tidak berminat cari jalan damai
Oleh DR. HAFIDZI MOHD. NOOR
UCAPAN Benjamin Netanyahu di Universiti Bar-Ilan menggambarkan polisi rejim Zionis terhadap isu Palestin. Ia dengan jelas menggariskan dasar-dasar Israel yang tidak pernah berubah sejak entiti haram itu rasmi berdiri pada tahun 1948. Sejak dari hari pertama, agenda pendukung ideologi Zionis adalah untuk mendirikan sebuah negara Yahudi dengan mengusir dan menafikan hak rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka.
Netanyahu tanpa berselindung meletakkan pengiktirafan penuh Palestin dan negara-negara Arab ke atas entiti Zionis sebagai negara Yahudi sebagai syarat untuk mengakui kewujudan negara Palestin.
Kenyataan ini lagak seorang ketua mafia yang tidak memberi pilihan langsung kepada mangsa peras ugutnya supaya tunduk kepada semua kehendak jahatnya.
Apakah implikasi kepada kenyataan Netanyahu apabila menuntut Palestin mengakui Israel sebagai negara Yahudi? Ia hanya membawa satu tafsiran sahaja iaitu orang lain tidak punya tempat dan tidak punya hak ke atas bumi Palestin sama ada yang dirampas Israel pada 1948 atau wilayah yang diduduki sehingga kini sejak 1967.
Jika ada pun ruang bermastautin, mereka adalah warga kelas kedua yang akan terus dinafikan pelbagai hak termasuklah kebebasan untuk bergerak tanpa sebarang sekatan seperti yang berlaku kepada penduduk Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
Pengakuan Israel sebagai negara Yahudi juga bererti merestui penempatan-penempatan haram pendatang Yahudi yang berselerak di Tebing Barat dan mengakui hak mereka untuk terus menceroboh tanah milik penduduk Palestin bertujuan memperbesarkan lagi penempatan-penempatan tersebut.
Kini pembinaan puluhan ribu unit apartmen untuk penduduk Yahudi sedang rancak dibina di persekitaran Baitulmaqdis dan Kota Lama (Tanah Suci umat Islam yang menempatkan Masjid Al-Aqsa) untuk melengkapkan agenda Zionis.
Netanyahu terus menguji pendirian masyarakat antarabangsa apabila menegaskan isu pelarian Palestin harus diselesaikan di luar batas negara Israel. Kenyataan ini secara terang-terangan mencabar kewibawaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang telah pun meluluskan Resolusi PBB 194 (III) yang memberi hak kepada rakyat Palestin yang terusir dari wilayah Palestin kembali ke tanah air mereka.
Resolusi ini bukan sahaja diketepikan begitu sahaja bahkan Netanyahu memberi gambaran seolah-olah ia tidak pernah wujud.
Inilah sikap yang diwarisi oleh pendukung-pendukung Zionis sejak dahulu yang tidak pernah berubah. Ia adalah ibarat agama yang dipegang kukuh oleh penganut-penganutnya tanpa ada sedikit ruang pun untuk bertolak ansur.
Golda Meir yang pernah menjadi Perdana Menteri Israel yang ketiga pernah mengungkapkan bahawa "Kami tidak mengambil hak rakyat Palestin, sebaliknya rakyat Palestin tidak pernah wujud." Keangkuhan inilah yang kini diulang kembali oleh waris ideologi Zionis seperti Netanyahu pada hari ini.
Netanyahu cuba berselindung di atas nama agama Yahudi apabila mengatakan Israel adalah bumi yang diwariskan kepada mereka oleh Tuhan sejak 3,500 tahun lalu. Apakah beliau menyangka masyarakat antarabangsa boleh dibohongi begitu sahaja dengan fakta sejarah yang palsu?
Di manakah bangsa Yahudi ketika bumi Palestin dihuni oleh pelbagai bangsa seperti Kanaan (yang merupakan nenek-moyang kepada orang Palestin pada hari ini), bangsa Phonecian, bangsa Filistin dan lain-lain yang sudah membangunkan tamadun di sana sejak 6,000 tahun yang lalu, jauh sebelum Nabi Ibrahim AS, bapa kepada kaum semitik (Yahudi dan Arab) berhijrah ke sana dari Mesopotamia (Iraq).
Jelas cubaan untuk menggunakan fakta sejarah yang diselewengkan hanya satu langkah terdesak pendukung ideologi Zionis. Bahkan kelompok Yahudi tulen yang objektif dan bergerak dalam sebuah Pertubuhan Naturikarta membidas semua dakwaan palsu golongan Zionis ke atas bumi Palestin atas nama agama Yahudi.
Mereka sama sekali menolak untuk dikaitkan dengan pemalsuan golongan Zionis ke atas sejarah bumi Palestin. Bagi mereka agama Yahudi sendiri tidak merestui pembohongan kelompok Zionis mewajarkan pendudukan dan penindasan yang mereka lakukan ke atas rakyat Palestin.
Ucapan Netanyahu adalah satu maklum balas kepada ucapan 'perdamaian' Presiden Barrack Obama di Kaherah. Obama menekankan betapa perlu rejim Zionis menghormati keputusan-keputusan yang telah disepakati terutama membekukan aktiviti pembinaan penempatan Yahudi di wilayah Palestin yang diduduki.
Netanyahu menyampaikan satu 'mesej' jelas kepada Obama yang cuba mencari sedikit sokongan daripada rakyat Palestin, dunia Arab dan masyarakat Islam antarabangsa, iaitu "jika Palestin hendak wujud ia harus bersedia untuk terus hidup dalam penindasan dan penafian hak di negara mereka sendiri".
Mereka harus bersedia berhadapan dengan pelbagai sekatan yang menyekat kebebasan bergerak sama ada oleh pos kawalan tentera, pemeriksaan keselamatan, tembok pemisahan atau kepungan.
Bahkan mereka harus bersedia untuk hidup sebagai warga kelas kedua yang bukan sahaja tidak mendapat hak yang sama dengan rakyat Israel. Bahkan tidak punya sebarang kedaulatan dan harga diri sebagaimana sewajarnya dimiliki oleh semua negara yang bebas dan merdeka.
Netanyahu juga tidak lupa mengunci sebarang peluang untuk rundingan apabila meletakkan syarat mustahil iaitu negara Palestin yang bakal wujud mesti tidak boleh membangunkan kemampuan pertahanannya (Demilitarized).
Negara berdaulat yang semacam apakah yang tidak dibenarkan untuk membina kemampuan pertahanannya sendiri?
Bukankah aspek keselamatan dan pertahanan adalah elemen paling penting dalam menjamin kedaulatan sebuah negara? Sudah terang lagi bersuluh, Netanyahu meletakkan syarat-syarat yang tidak munasabah untuk mewujudkan sebarang jalan menuju perdamaian di Palestin.
Masyarakat antarabangsa seharusnya mendapat mesej yang jelas daripada ucapan Netanyahu tersebut.
Masyarakat dunia perlu mengenakan tekanan antarabangsa yang berterusan agar Israel menghormati Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu, melaksanakan semua Resolusi PBB berkaitan hak rakyat Palestin yang sudah lama tertangguh, menghentikan pelanggaran menyolok mata ke atas Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948, menghentikan kepungan ke atas Gaza yang bertentangan dengan Konvensyen Geneva yang ke-4 (1949), mengosongkan penempatan Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur dan keluar dari wilayah Palestin yang diduduki pada 1967 seperti yang digariskan dalam Resolusi 242 dan 338. Mereka juga mesti menghentikan pembinaan tembok pemisah dan merobohkannya sesuai dengan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague.
Jika satu gerakan global dapat dijana ke atas inisiatif-inisiatif ini maka tidak mustahil rejim Zionis Israel akan tamat riwayatnya sebagaimana rejim Aparteid Afrika Selatan berakhir akibat dari tekanan antarabangsa yang berterusan.
PENULIS ialah Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE)

Tuesday, June 16, 2009

Abg Qayyim dan abi

Treasured moments for the family

Mawardi dan Amin bersama Umi

Assalamualaikum,
Ibarat burung-burung yang sudah tumbuh bulu-bulu pelepah dan bersedia untuk meninggalkan sarang, begitulah anak-anak sudah mulai melangkah semakin jauh dari rumah di mana mereka dibesarkan. Abang Qayyim kini merantau ke Kerteh dan Dungun kerana menjalankan latihan Praktikalnya selama 3 bulan. Mawardi berada di asrama SMI Hira' Kelang dan Amin pula sudah mendaftar di IKIP Kuantan Pahang. Bila kesemua lima beranak berada di rumah, peluang keemasan ini digunakan untuk memupuk solidariti keluarga (mendukung visi dan misi suci rumahtangga Islam). Semuga anak-anak semua menjadi pewaris kepada dakwah dan perjuangan ini dan melanjutkan pula visi dan misi suci apabila kalian membina rumahtangga kalian pula.
Tidak ada yang lebih berharga pada abi dan umi selain anak-anak. abi dan umi mengimpikan apa yang diimpikan oleh Umar al Khattab RA. 'Sungguh aku mengimpikan punya pemuda-pemuda seperti Abu Ubaydah Amr al-Jarrah dan kemudian dia berjuang dan beramal pada jalan Islam.' Allahu akbar!
'Ya Allah! Engkau jadikan pasangan kami dan anak-anak kami menjadi penyejuk mata kami dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa'


Monday, June 15, 2009

Sumbangan Tabung Palestin dari PERTIS

Bergambar bersama Yg BHg KP JAKIM (kiri) dan Presiden PERTIS dalam
majlis penyerahan Tabung Palestin.
Cikgu Zakaria, Presiden PERTIS menyampaikan sumbangan Palestin
bagi pihak ahli-ahli PERTIS. Dr Hafidzi dari PACE menerima bagi pihak JIM/PACE.

Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PERTIS oleh
Yg Bhg KP JAKIM Dato' Wan Muhammad Bin Dato' Sheikh Abdul Aziz.



Assalamualaikum,

Pada 13 Jun 2009, saya telah mewakili Hj Zairul Syahfuddin Zainal Abidin selaku Pengerusi JK Perhubungan Antarabangsa JIM bagi menerima sumbangan tabung Palestin dari PERTIS (Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia) di ILIM (Inst Latihan Islam Malaysia), Bangi. Sumbangan ini telah disampaikan oleh Ketua Pengarah JAKIM Yg Bhg. Dato Wan Mohammad bin Dato' Sheikh Abd Aziz. Sumbangan yang diterima dari pihak PERTIS ialah berjumlah RM640.00. Sumbangan ini amat besar maknanya dan jelas ia menggambarkan sokongan umat Islam dari kalangan mereka yang kekurangan dari sudut fizikalnya, tetapi tetap prihatin dan tidak mahu ketinggalan menyata solidariti bersama umat Islam Palestin. Pengorbanan mereka semakin menginsafkan kerana sebahagian besar dari ahli-ahli PERTIS sendiri menghadapi pelbagai kesulitan termasuklah dalam hal mendapatkan pekerjaan tetap. Ini didedahkan sendiri oleh Penasihat PERTIS di mana meskipun kerajaan telah memperuntukkan 1% dari kakitangan awam adalah dari kalangan OKU (Orang Kurang Upaya) atau 10,000 jawatan dari lebih kurang 1 juta kakitangan awam, namun hakikatnya hanya 500 sahaja yang diterima mengisi jawatan dalam perkhidmatan awam.

Penyerahan ini dibuat di dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PERTIS yang ke 14. Dalam ucapan alu-aluannya, Presiden PERTIS, Cikgu Zakaria juga berkongsi beberapa kejayaan yang dicapai oleh PERTIS. Ini termasuklah kejayaan menerbitkan Al-Quran Braille berdasarkan kod Braille yang diterima di peringkat antarabangsa. Di dalam Majlis ini juga beberapa naskhah Al-Quran Braille diserahkan kepada wakil-wakil PERTIS di peringkat negeri. Yg Bhg KP JAKIM juga memaklumkan tentang penerimaan beberapa orang anak-anak cacat penglihatan untuk diterima belajar di Darul Quran, sebuah Institusi berprestij yang melahirkan graduan hafiz Quran dari kalangan mereka yang cemerlang dari sudut akademik.

Alhamdulillah, peluang untuk mengenali PERTIS membuka ruang kerjasama di antara PERTIS dan JIM/PACE dalam isu membela rakyat Palestin dan juga kerjasama lain yang boleh dirintis selepas ini.

Dr Hafidzi Mohd Noor

Monday, June 8, 2009

Sumbangan RM250,000 dari rakyat Malaysia kepada Islamic Univ of Gaza


Islamic University of Gaza selepas serangan Israel pada tahun 2008/2009

Dr Jamal Khaduri, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Islamic Univ of Gaza dan Dr Hafidzi dari PACE menanda tangani penyerahan sumbangan

Dr Jamal Khaduri mempamerkan mock cek RM250,000 sebagai sumbangan dari rakyat Malaysia kepada Islamic University of Gaza

Ir Selamat Aliman, Senior Felo PACE sedang menjawab pertanyaan wartawan dalam Sidang Media PACE sempena ulangtahun an-naksah (kekalahan besar 5 Jun 1967)

Dr Jamal Khaduri dan rombongan dari Islamic Univ of Gaza menerima cenderahati dari JIM/PACE

Dr Hafidzi Mohd Noor, Pengarah PACE ketika menyampaikan sidang akhbar
sempena ulangtahun an-Naksah
Universiti Gaza Rayu BantuanKUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama)
Universiti Islam Gaza yang musnah dalam serangan udara Israel pada Disember tahun lalu merayu bantuan untuk ia dibangun semula. Pengarah Lembaga Amanah Raya universiti itu, Dr Jamal Naji El-Khoudary berkata sebanyak US$15 bilion (pembetulan US$ 15 juta) diperlukan untuk membangunkan semula dua bangunan utama yang musnah teruk akibat serangan tersebut.

Beliau berharap masyarakat di Malaysia dapat memberikan bantuan atas dasar kemanusiaan supaya penduduk Palestin dapat bersaing dengan rakyat Israel yang kini menguasai bidang ekonomi di Gaza. Beliau menghadiri program mengingati Peristiwa An-Naksah anjuran Pusat Kecemerlangan Palestin di Ibu Pejabat Jamaah Islah Malaysia, di sini hari ini. Peristiwa An-Naksah atau Perang Enam Hari berlaku pada 5 Jun 1967 yang menyaksikan Israel melancarkan operasi ketenteraan secara besar-besaran ke atas Mesir, Jordan dan Syria secara serentak yang berakhir selama enam hari.
"Bantuan yang diperlukan adalah supaya kami dapat membeli peralatan makmal yang telah musnah serta membantu pelajar-pelajar untuk membayar yuran pengajian," kata Jamal Naji.
Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank 562209608847 atas nama Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia atau dengan menghubungi ibu pejabat JIM di talian 03-41089669.
-- BERNAMA
Islamic University Of Gaza Appeals For AidKUALA LUMPUR, June 5 (Bernama)
The board of trustees of the Islamic University of Gaza where two buildings were destroyed in an aerial attack by the Zionist regime last December has appealed for aid from Malaysians for reconstruction. Board director Dr Jamal Naji El-Khoudary said US$15 billion (errata: US$ 15 million) was needed to rebuild the two buildings. He spoke to reporters after a news conference, held in conjunction with the commemoration of the "An-Naksah" (1967 War), organised by the Palestine Centre of Excellence (PACE) at the headquarters of the Jamaah Islah Malaysia (JIM), here.
PACE director Assoc Prof Dr Hafizi Mohd Noor said the people could send their donations through the Maybank account 562209608847 in the name of "Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia" or contact the JIM headquarters at 03-4108 9669.
He also said that the people of the world should remember the An-Naksah or defeat in the Six-Day War in the process to establish peace in Palestine.
"The struggle to free Palestine, especially the Al-Aqsa Mosque, belongs not only to the people of Palestine but is the responsibility of all Muslims, in fact every member of the international community who loves peace," he said.
-- BERNAMA

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah
PACE

Friday, June 5, 2009

Utusan Malaysia 5 Jun - Tragedi An-Naksah


Tragedi An-Naksah lengkapi penaklukan Israel di bumi Arab
Oleh DR. HAFIDZI MOHD. NOOR

EMPAT puluh dua tahun lalu, pada tarikh ini, satu peristiwa bersejarah berlaku kepada dunia Islam. Tanggal 5 Jun 1967 menyaksikan Israel melancarkan operasi ketenteraan secara besar-besaran ke atas Republik Arab Bersatu (Mesir), Jordan dan Syria secara serentak.
Peperangan yang dikenali dalam sejarah konflik Asia Barat sebagai "Perang Enam Hari" itu berakhir pada 10 Jun 1967.

Dalam tempoh itu, Israel berjaya menewaskan tiga negara Arab walaupun negaranegara itu turut dibantu oleh Arab Saudi, Iraq, Algeria, Tunisia, Sudan, Somalia, Maghribi, Mauritania, Yemen, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu, Oman dan Qatar dengan membekalkan askar dan kelengkapan tentera.

Mesir menerima pukulan paling dahsyat apabila lebih 10,000 askarnya terkorban. Angkatan udaranya musnah sama sekali apabila kira-kira 300 jet pejuangnya diranapkan oleh tentera Israel dalam serangan mengejut.

Apabila serangan berakhir, Israel menguasai Tebing Barat, Genting Gaza, Baitulmaqdis Timur, Tanah Tinggi Golan dan Semenanjung Sinai. Dalam serangan itulah Masjid Al-Aqsa ditawan, sehinggalah ke hari ini.

Kekalahan besar yang amat memalukan seluruh dunia Arab dan Islam itu diperingati sebagai "Hari An-Naksah" (Hari Kekalahan). Ia adalah tragedi besar kedua menimpa umat Islam dan dunia Arab khususnya.

Pertama ialah "Hari An-Nakbah" (Malapetaka) yang berlaku pada 15 Mei 1948. Peristiwa itu membawa kepada penubuhan negara Israel di atas 77 peratus tanah Palestin yang dirampas. Peristiwa An-Nakbah dikaitkan dengan pengusiran 800,000 rakyat Palestin yang kini menjadi pelarian di Syria, Jordan, Lubnan dan Mesir (Gaza).

An-Naksah pula melengkapkan penaklukan Israel ke atas keseluruhan tanah Palestin dan status qou itu berterusan sehingga kini.

Mesir semasa era Presiden Anwar Sadat berjaya membuat kejutan dengan menyerang kedudukan tentera Israel di Semenanjung Sinai dalam "Perang Oktober 1973" atau "Perang Ramadhan". Kemenangan Mesir bagaimanapun tidak dapat disempurnakan apabila AS campur tangan dan satu gencatan senjata dilaksanakan.

Pertimbangan politik oleh Mesir itu akhirnya membuka laluan kepada termeterainya perjanjian damai Mesir-Israel 1978. Perjanjian damai Camp David itu mengembalikan Semenanjung Sinai kepada Mesir.

Namun harga yang terpaksa dibayar oleh rakyat Palestin khususnya di Gaza berterusan. Perjanjian itu menyaksikan Mesir mengiktiraf Israel dan bertanggungjawab menjamin keselamatan entiti Israel terutama di Genting Gaza.

Jika laluan di Rafah ditutup sehingga rakyat Gaza yang cedera dalam serangan akhir tahun lalu dan awal tahun ini tidak dibenarkan menyeberang untuk mendapat rawatan di Mesir, ia adalah kesan daripada 'perjanjian damai Mesir-Israel pada 1978 itu.

Apakah reaksi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)? Seperti yang dijangka, PBB bersidang dan meluluskan Resolusi 242 yang mengkehendaki Israel berundur ke garisan hijau yang diputuskan oleh Perjanjian Rhodes pada 1949.

Ini bermakna Israel perlu keluar dari semua wilayah yang didudukinya pada Jun 1967. Pendudukan ke atas wilayah Palestin di Tebing Barat, Genting Gaza dan Baitulmaqdis Timur adalah pendudukan haram. Bagaimanapun Israel tidak mempedulikan resolusi tersebut dan juga resolusi-resolusi lain.

Bagi Israel, PBB adalah sebuah pertubuhan yang "tidak berkuku dan bertaring". Ia berasa kuat selagi AS berada di sampingnya.

Hari An-Naksah juga menandakan tarikh Masjid Al-Aqsa ditawan oleh tentera Zionis. Sejak itu, ia terdedah kepada ancaman dan perbuatan keji Zionis. Ia termasuk peristiwa masjid itu dibakar pada 21 September 1969 yang diingati sebagai "Hari Al-Quds" setiap tahun.

Zionis juga menggali terowong-terowong rahsia di bawah masjid itu bertujuan melemahkan tapaknya. Kumpulan ekstremis Zionis turut merancang merobohkan masjid itu dan mendirikan synagogue (kuil) yang mereka namakan Haikal Sulaiman.

Pada September 2000, lebih 1,000 askar Israel memasuki kawasan masjid untuk membangkitkan kemarahan rakyat Palestin dan umat Islam. Peristiwa biadap itu mencetuskan "Intifada".
Selain itu, rejim Zionis juga melaksanakan agenda me-Yahudikan kawasan masjid itu dan Baitulmaqdis Timur. Rumah-rumah penduduk Palestin dirobohkan, tanah mereka dirampas, mereka diusir dan status pemastautin mereka dibatalkan.

Israel kemudian membina unit-unit apartmen dan perumahan eksklusif untuk pendatang haram Yahudi di situ.

Pembinaan tembok pemisah di Tebing Barat yang kini menjangkau 800 kilometer panjang membuktikan usaha Israel mengepung rakyat Palestin dan menyukarkan mereka menziarahi Masjid Al-Aqsa. Inilah jenayah yang terus menjadi agenda Israel di Palestin.

Hari ini Israel terus berdolak-dalik dengan penyelesaian dua negara (two-state solution). Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu tanpa rasa bersalah menolak penyelesaian dua negara itu dan juga usaha mewujudkan negara Palestin.

Sikap itu diambil meskipun semua perjanjian damai yang ditandatangani bersama Fatah sejak Perjanjian Oslo 1990 berdasarkan kepada Resolusi 242 yang diluluskan pada 1967.
Jika inilah pendirian yang dipertahankan oleh Israel, apakah dunia masih meletakkan harapan kepada "penyelesaian dua negara" itu?

Mungkin sudah tiba masanya dunia menimbang formula yang ditawarkan oleh Hamas iaitu Israel berundur dari wilayah yang didudukinya sejak 1967, menghentikan kepungan ke atas Gaza dan membentuk gencatan senjata jangka panjang tanpa perlu Palestin mengiktiraf kewujudan Israel.

Namun bersediakah Israel mengiktiraf negara Palestin? Hakikatnya mereka adalah perampas tanah Palestin dan kewujudan Israel di atas tanah yang dirampas sejak 1948 itu adalah kewujudan haram.

Maka pilihan yang terbaik ialah akur kepada Resolusi 242 dan mana-mana resolusi yang berkaitan seperti Resolusi 338. Kemudian bersetuju dengan gencatan senjata panjang.
Sekurang-kurangnya keamanan ke atas wilayah bergolak itu dapat diwujudkan buat sementara waktu sehingga masyarakat antarabangsa mencari ruang kepada pelaksanaan pelan penyelesaian yang berkekalan.

PENULIS ialah Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE)
 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc