Tuesday, October 20, 2009

Jatuhnya Manila - Benteng ke 5 belahan Nusantara Timur - Sedutan dari Jejak Risalah di Nusantara 2

Lukisan imaginatif Raja Lapulapu ketika berdepan dengan Magellan.Sumber: Mactan Shrine Painting (Carl Frances Morano Diaman) en.wikipedia.org/wiki/Mactan_isla


Manila adalah benteng ke 5 dari 5 benteng di belahan timur nusantara yang dibicarakan dalam buku Jejak Risalah di Nusantara jilid 2. Benteng ini berjaya diterobos oleh Sepanyol setelah Raja Sulaiman III tewas di tangan Sepanyol. Tetapi sebelum Manila ditakluk oleh Sepanyol pada tahun 1571, Raja Lapu-lapu dari pulau Mactan telah berjaya membunuh Ferdinand Magellan pada tahun 1521, 50 tahun sebelum Manila dikuasai oleh sepanyol. Siapakah Lapulapu? Sila tunggu penerbitan Jejak Risalah di Nusantara jilid 2. Di bawah disertakan sebahagian dari sedutan Bab 'Jatuhnya Manila - Perang Moro yang pertama"


Dr Hafidzi Mohd Noor
----------------------------------------------------------------------------------
Penemuan Filipina oleh Sepanyol sendiri adalah satu accident. Ferdinand Magellan mengetuai satu ekspedisi lima buah kapal dengan 250 orang anak kapal untuk menemui ’Pulau-pulau rempah’ yang dipercayai berada di Lautan Pasifik hampir dengan Amerika.[1] Dibawah restu raja Sepanyol, Charles I (Raja spanyol 1516 – 1556; yang juga merupakan Charles V bagi Empayar Rom 1500 – 1558), Magellan merancang untuk ke ’timur’ dengan belayar ke arah barat.[2] Kapal-kapal Magellan belayar dari San Lucar, Sepanyol pada 20 September, 1519. Setelah menyusuri Benua Afrika sehingga Tanjung Pengharapan, kapal-kapal Magellan belayar ke barat dan mengelilingi Amerika Selatan melalui Selat yang sempit dan merbahaya yang beliau namakan ’Selat Magellan’. Kemudian Magellan merentas Lautan Pasifik selama empat bulan sebelum berjumpa dengan daratan (Pulau Samar) yang beliau namakan Kepulauan St Lazarus, berhenti di Pulau-pulau kecil Homonhon sebelum mendarat di Limasawa, sebuah pulau kecil di selatan Leyte. Di Limasawa, Magellan mengadakan upacara sembahyang Katolik yang pertama di Filipina pada 31 Mac, 1521. Dari Limasawa, Magellan meneruskan usaha penjelajahan dan penyebaran agama Kristian di pulau-pulau sekitar. Magellan sampai di Cebu pada 1 April di mana dia menjalin hubungan yang baik dengan ketua suku, Humabon. Magellan Berjaya membaptis 800 orang suku Cebuanos bersama Humabon, isteri dan anak perempuannya.[3] Dengan mengkristiankan mereka, Magellan telah menjadikan Cebu sebagai vassalage (jajahan takluk Sepanyol). Di masa yang sama Raja Lapulapu di pulau Mactan yang merupakan musuh Humabon, enggan menyerahkan kedaulatannya kepada Sepanyol. Raja Lapulapu memilih untuk mempertahankan kemerdekaan dan negerinya. Lalu berlakulah pertempuran yang pertama dengan penjajah Sepanyol di Kepulauan Filipina. Meskipun tentera Sepanyol bersenjatakan musket (senapang), perisai dan baju besi, mereka ditewaskan oleh penduduk tempatan dalam pertempuran Mactan yang masyhur pada 27 April, 1521. Ferdinand Magellan sendiri terbunuh di tangan raja Lapulapu. Rombongan Magellan kemudian meneruskan pelayaran tanpa Ferdinand Magellan.

Satu persoalan yang menjadi perbahasan ialah tentang Raja Lapulapu. Tiada kepastian tentang identi beliau sebagai muslim. Namun yang menarik ialah Raja Lapulapu adalah satu-satunya pemimpin suku yang tidak mahu tunduk kepada Sepanyol. Penentangan yang dipilih oleh Raja Lapulapu mengundang satu persoalan tentang pegangan beliau. Biasanya ada sesuatu yang mendorong mana-mana pemimpin untuk menentang penguasaan bangsa asing, apatah lagi jika ada unsur-unsur paksaan untuk menganut sesuatu agama dan menuntut ketaatan kepada bangsa asing tersebut. Mengambil kira kebanyakkan ketua suku di Kepulauan Filipina ketika itu beragama pagan (atau yang disebut oleh orang-orang barat sebagai heathen), maka Magellan tidak menghadapi sebarang penentangan ketika membaptis mereka kepada agama Katolik. Namun Raja Lapulapu memilih untuk menolak kedaulatan Spain dan enggan dibaptis kepada agama Kristian.[4] Penentangan Lapulapu disampaikan sendiri oleh seorang ketua suku bernama Zula

” On Friday, April 26, Zula a chief of the Island of Mactan, sent out one of his sons to present two goats to the Captain general and to say that he would send him all that he had promised, but that he had not been able to send it to him because of the other cheif Cilapulapu, who refused to obey the King of Spagnia...The captain sent a message to the effect that if they would obey the king of Spagnia, recognised the Christian king as their soveriegn and pay tribute, he would be their friends, but if they wished otherwise, they should wait to see how our lances wounded.[5] (Pada hari Jumaat, 26 April, Zula, ketua suku di Pulau Mactan mengutus seorang dari dua anaknya untuk mempersembah dua ekor kambing kepada Captain General (Magellan) dan untuk memberitahu bahawa dia akan persembahkan semua yang dijanjikan, tetapi hasratnya terhalang kerana seorang ketua suku Cilapulapu enggan tunduk kepada Raja Sepanyol... Captain (Magellan) menegaskan di dalam perutusannya jika mereka tunduk kepada Raja Sepanyol, mengiktiraf Raja Kristian tersebut sebagai ketua dan menyerahkan hadiah sebagai bukti ketundukan, maka beliau bersedia untuk menjadi sekutu mereka, tetapi jika sebaliknya, maka mereka patut tahu bagaimana pedang kami melukakan.)


Kesah peperangan Mactan dicatat oleh Pigafetta yang menyertai ekspedisi Magellan sebagai jurutulis. Ferdinand Magellan yang cuba untuk menundukkan Raja Lapulapu merancang untuk melancarkan serangan ke atas Pulau Mactan. Kapal Magellan tidak dapat menghampiri pantai kerana batu karang. Kedudukan kapal yang jauh dari pantai menyebabkan meriam tidak dapat digunakan untuk menembak sasaran musuh di darat. Ferdinand Magellan mengambil keputusan menggempur musuh dengan 48 askar Sepanyol dengan menggunakan perahu untuk mendarat. Tanpa diduga Magellan terpaksa berhadapan dengan 1,500 pejuang yang diketuai oleh Raja Lapulapu.[6] Sebelum melancarkan serangan Magellan telah member peluang terakhir kepada Raja Lapulapu untuk tunduk kepada kekuasaan Sepanyol, tetapi dijawab tegas oleh Raja Lapulapu.

“Saya tidak tunduk pada mana-mana raja dan tidak akan membayar ufti kepada mana-mana jua kuasa. Jika musuh kami ada tombak, kami juga mempunyai tombak daripada buluh dan kayu pancang yang disalai hingga keras”[7]

Ketika Magellan meredah air pada paras betis, askar-askar Sepanyol diserang oleh pejuang-pejuang Mactan dengan gagah berani. Meskipun mereka terpaksa berdepan dengan askar Sepanyol yang bersenjatakan musket (senapang) dan lengkap dengan pakaian besi, ia tidak melemahkan semangat pejuang. Mereka menggunakan panah untuk mencederakan askar-askar Sepanyol pada bahagian kaki mereka yang terdedah. Apabila bertarung secara berdepan mereka menggunakan senjata yang dinamakan kampilan, sejenis pedang panjang yang banyak digunakan oleh pejuang-pejuang tempatan. Magellan berjaya menembusi penempatan pejuang dan membakar beberapa puluh rumah di pesisiran pantai. Keadaan ini menimbulkan kemarahan dan menaikkan semangat pejuang untuk menghapuskan askar-askar penceroboh Sepanyol. Mereka terus bertarung dengan gagah berani. Raja Lapulapu sendiri berdepan dengan Ferdinand Magellan dan berjaya mencederakannya. Akhirnya Magellan dibunuh oleh pejuang Mactan dan saki-baki askar Sepanyol berundur ke kapal mereka setelah Kapten-general mereka tewas. Tawaran-tawaran harta kepada Raja Lapulapu untuk ditukar dengan mayat Magellan ditolak. Mayat Magellan gagal untuk ditebus dan sehingga hari ini tidak diketahui di mana kuburnya.[8]

Pertempuran di antara Paja Lapulapu dan Ferdinand Magellan adalah sanggahan pertama bangsa Filipina, samada mereka mewakili Moro (muslim) atau tidak ke atas penjajahan barat yang diterajui oleh Sepanyol. Peristiwa penting ini wajar diingati oleh bangsa Filipina hari ini kerana ia melambangkan keberanian untuk mempertahankan maruah bangsa dari diperbudak oleh sebuah kuasa asing yang angkuh.[9] Lapulapu tidak merasa gentar dengan kehebatan senjata Sepanyol, seperti yang diulas dengan begitu tepat oleh Professor sejarah Filipina, Theodoro A. Agonci dan Oscar M. Alfonso:

Lapulapu’s fight against Magellan was the first successful Filipino armed resistance against Spanish aggression. Lapulapu instinctively felt that the coming of the Spaniards could mean subjugation and the loss of freedom. In resisting the Spaniards, Lapulapu defended the rights of his people to live without interference from others. A lesser man than Lapulapu might have easily been daunted by the superior weapons of the Spaniards. Instead Lapulapu taught the lesson that in dealing with foreigners, Filipinos need not have a feeling of inferiority or awe, and should not be submissive.”[10] (“Perlawanan Lapulapu menentang Magellan adalah penentangan bersenjata orang Filipino yang pertama sekali berjaya melawan agresi Sepanyol. Lapulapu secara naluri dapat merasakan kedatangan orang-orang Sepanyol boleh membawa maksud ketundukan dan kehilangan kemerdekaan. Dalam melawan orang-orang Sepanyol, Lapulapu mempertahankan hak rakyatnya untuk hidup tanpa campurtangan orang lain. Orang lain yang berjiwa kerdil dengan mudah akan merasa takut dengan senjata Sepanyol yang hebat. Sebaliknya Lapulapu memberi satu pengajaran di dalam menghadapi orang asing, orang Filipino tidak seharusnya merasa lemah atau kagum, dan tidak sepatutnya tunduk (kepada kuasa asing”).
--------------------------------------------

Rujukan Nota kaki


[1] Ferdinand Magellan berkhidmat sebagai seorang askar Portugis dan terlibat dalam peperangan di Cinnanore melawan gabungan tentera raja Zamorin dan Mesir di Kalikat pada tahun 1506 di bawah pimpinan Fransisco de Almeida. Pada tahun 1509 dia juga terlibat menyelamatkan rombongan Lopez de Sequeira di Melaka. Dia dilantik sebagai Kapten oleh Afonso de Albuquerque dan terlibat dalam penaklukan Melaka pada tahun 1511. Ruj. Gregorio F. Zaide Sejarah Politik dan Kebudayaan Filipina, Jilid I: Filipina Semenjak Zaman Sebelum Pemerintahan Sepanyol, diterjemahkan oleh Che Rosnah bte Talib dari bahasa Inggeris, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1972, hlm. 144 - 145. Dari catatan Pigafetta, jurutulis Magellan dan surat wasiat Magellan sendiri mengatakan salah seorang dari anak kapal Ferdinand Magellan ialah suku melayu yang bernama Enrique du Malacca atau Henrique (dalam bahasa Portugis). Dia sebenarnya berasal dari Sumatra yang jual di Melaka sebagai hamba. Apabila Portugis menyerang Melaka, Enrique dibawa oleh Magellan ke Portugal, di baptis sebagai penganut agama Katolik dan menjadi hamba peribadi Magellan. Magellan berjanji akan membebaskan Enrique dengan kematiannya, tetapi wasiat ini tidak diendahkan oleh anggota ekspedisi selepas Ferdinand Magellan terbunuh di Mactan. Enrique dikatakan melarikan diri di Cebu. Untuk surat wasiat Magellan dalam bahasa Inggeris boleh dirujuk dalam Stefan Zweig, Conquerer of the Seas, The Story of Magellan, diterjemahkan oleh Eden and Cedar Paul, New York, 1938, hlm. 140 – 143. Dalam sastera Malaysia pada kurun ke 20, Enrique dikenali dengan nama Panglima Awang sebagaimana tulisan Sasterawan Harun Aminurasyid. Ruj. Harun Aminurrashid, Panglima Awang, Pustaka Melayu, 1957, 244 hlm.
[2] Ferdinand Magellan sebenarnya berbangsa Portugis, tetapi berbalah dengan Kerajaan Portugis lalu menawarkan khidmatnya kepada Raja Sepanyol. Pada tahun 1518 Magellan membentangkan rancangannya kepada Raja Charles I. Rancangan Magellan disokong oleh Raja Charles tetapi separuh hati dengan mengurniakan lima buah kapal yang telah uzur iaitu Trinidad, San Antonio, Concepcion, Victoria dan Santiago untuk melaksanakan ekspedisi pelayaran ke Pulau-pulau rempah dari arah barat. Di akhir perjalanan hanya sebuah kapal yang terselamat iaitu Victoria diketuai oleh Sebastian del Cano dengan 35 anak kapal terselamat dari jumlah asal 280 orang.Rujukan John R. Hale & editors of TIME-LIFE Books, Great Ages of Man; A History of World Cultures: Age of Exploration, Time-Life Books Inc., Amsterdam, 1966; Butir-butir lanjut tentang kapal-kapal ekspedisi Magellan dan anak-anak kapalnya boleh dirujuk dalam Gregorio F. Zaide, op. cit., hlm. 151 – 152.
[3] Teodore A Agoncillo and Milagros C. Guerrero. History of the Filipino people, R.P. Garcia Publishing Co. Quezon City, 1970, hlm 77.
[4] Menurut tradisi lisan Sulu, Lapulapu adalah seorang ketua kaum muslim, dan juga dikenali dengan gelaran ’Kaliph Pulaka’. Masyarakat Moro di Selatan Filipina menganggap Lapulapu adalah seorang muslim dari suku etnik Tausag. Carlos Calao, seorang penyair berbangsa China-Sepanyol menulis dalam puisi beliau Que Dios Le Perdone (bahasa Sepanyol ’Semuga Tuhan mengampuni beliau’) sebagai ’Cali Pulacu’. Raja Lapulapu diangkat sebagai pahlawan Nasional pertama Filipina yang menentang penjajah asing. Nama beliau begitu harum sehingga statusnya sebagai National Hero diabadikan dalam bentuk tugu (statue) di Pulau Cebu dan menamakan Bandar Opon di Cebu sebagai Lapu-lapu City. Bahkan Korea Selatan menghadiahkan sebuah tugu Lapulapu pada tahun 2005 dan ditegakkan di Rizal Park di Manila. Imej Lapulapu turut menghiasi logo rasmi Polis Kebangsaan Filipina dan pernah menghiasi duit syiling 1 centavo Filipina yang beredar dari tahun 1967 – 1974. Semasa Sesi pertama persidangan Kongres ke 14 Filipina, Senator Richard Gordon memperkenalkan satu bil mencadangkan supaya 27 April diistiharkan sebagai cuti umum sempena Adlaw ni Lapu-Lapu (Hari memperingati Lapu-Lapu). Dr Camilo Osias, seorang pengarang dan pendidik bangsa Filipina berkata “Kepada orang Filipina batu peringatan itu bukan sahaja patut mengingatkan kepada pemimpin angkatan yang bersejarah itu bahkan juga patut mengingatkan kepada tentangan bersenjata nenek moyang kita menentang penjajahan asing yang pertama kalinya Berjaya. Lihat ‘Philippine History Unwritten’, Philippine Forum, Manila, 1936, dirujuk oleh Gregorio F. Zaide, op. cit., hlm. 172.
[5] H. De la Costa, S. J. Readings in Philippine History: Selected historical texts presented with a commentary, The Bookmark, Inc, Manila, 1965, hlm 16.
[6] Ketika Magellan menyerang Mactan, terdapat bersama-sama sekutunya Raja Humabon dan 1,000 orang-orang Cebu. Namun dengan bongkaknya Magellan menyuruh Humabon dan pahlawan-pahlawannya menunggu di dalam perahu dan melihat sendiri keberanian orang-orang Eropah berperang. Lihat Gregorio F. Zaide, op. cit., hlm. 170.
[7] Ibid., hlm. 170.
[8] Raja Humabon menghantar utusan untuk menebus mayat Magellan, tetapi telah ditolak oleh Raja Lapulapu. Pigafetta menulis, “Mereka menjawab utusan itu dengan memberitahu bahawa mereka tidak akan menyerahkan mayat orang yang seperti Magellan itu, sebagaimana yang kami sangkakan, dan mereka tidak akan menyerahkannya walaupun diberi semua harta kekayaan di dunia, dan bahawa mereka berniat hendak menyimpan jenazahnya sebagai satu kenang-kenangan. Lihat Blair and Robertson, Jilid XXXIII, hlm. 183, juga lihat Gregorio F. Zaide, op. cit., hlm. 172.
[9] Menurut Gregorio F. Zaide, kesah keberanian Magellan seperti yang ditulis oleh Pigafetta perlu dibaca dengan hati-hati, kerana nyata sekali dia menulis dari segi pendapat orang Eropah dan dengan itu akan cuba menutup kekalahan Magellan. Berapa banyak juga huraian atau propaganda yang ditulis oleh penulis-penulis barat tidak dapat menyembunyikan faktor sejarah bahawa penyerangan orang Sepanyol ke atas pulau Mactan itu adalah satu kegagalan dan bahawa Lapulapu, dengan mengalahkan Magellan, patut diberi kemasyuran sebagai seorang perwira. Lihat Gregorio F. Zaide, op. cit., hlm. 170 – 171.
[10] Teodoro A. Agonci and Oscar M. Alfonso, A Short History Of the Filipino People, The University of Philippines, 1961, hlm. 69

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc