Thursday, July 1, 2010

Tangani perbezaan secara ilmiah, bukan melabel- IKRAM

Tangani perbezaan secara ilmiah, bukan melabel - IKRAM

a

SERI KEMBANGAN - Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memandang serius isu yang dibangkitkan akhir-akhir ini mengenai kaitan di antara apa yang dilabel sebagai fahaman Wahabi dengan kumpulan pengganas serta yang mengaitkan pula beberapa tokoh dan NGO Islam dengannya. Sebagai sebuah organisasi Islam, IKRAM berpegang kepada jalan damai dalam mencapai matlamat dan visi Islam serta melakukan aktiviti mengikut lunas undang-undang yang sah, demikian menurut satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Haji Ahmad.

Kata beliau lagi, IKRAM menganggap perbezaan pandangan dengan kumpulan fahaman Wahabi perlu ditangani menurut adab dan akhlak berbeza pendapat dalam Islam. Perbezaan pendapat harus ditangani dengan bijaksana melalui diskusi dan wacana ilmiah, sebaik-baiknya secara tertutup, dan bukan dengan perantaraan media. Usaha untuk mengaitkan perbezaan pendapat dengan memberi label adalah sesuatu yang tidak sihat, apatah lagi mengaitkan perbezaan ini dengan keganasan. Sebarang dakwaan yang dibuat perlu disokong dengan bukti yang kukuh bagi membolehkan bukti itu dinilai, yang terdakwa mengemukakan hujah balas dan dengan itu penganiayaan dan kezaliman terhindar.

Aktiviti keganasan tidak wajar dikaitkan dengan mana-mana aliran, kerana yang terlibat terdiri daripada pengikut pelbagai aliran. Mereka lahir daripada salah faham terhadap Islam dan perjuangannya. IKRAM menyarankan pihak polis bertindak secara profesional, tidak memihak dan sebaliknya bersikap adil agar kepentingan negara dan setiap orang rakyatnya terjaga.

Umat perlu kembali kepada prinsip perbezaan pendapat, sesuatu yang mengayakan kita, selagi kita mengamalkannya dengan baik. Semua pihak hendaklah bergerak ke hadapan membina negara Malaysia yang harmoni, maju dan makmur serta saling bekerjasama membangun kehidupan masyarakat agar sejahtera dan maju.

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc