بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Segala pujian bagi Allah s.w.t yang telah menyempurnakan agamaNya , melengkapkan nikmatNya dan merelai Islam sahaja sebagai ad-Din. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w , keluarga baginda dan para sahabat-sahabatnya, seluruh pengikut yang telah mengikuti baginda dengan sebaik-baiknya sehingga ke hari al-qiamah ………..Amin!
Semoga seluruh warga Pertubuhan IKRAM Malaysia, anggota keluarga mereka , seluruh umat Islam di Malaysia dan dunia sentiasa berada di dalam keadaan sejahtera, sentiasa mentaati Allah s.w.t , memajukan diri serta memperkembangkannya hari demi hari supaya menjadi lebih baik dengan perjalanan masa, mampu menambah bakti kepada agama yang kita imani dan Ummah yang kita sayangi
Beberapa hari lagi kita akan menyambut ketibaan bulan Ramadhan, bulan yang dipenuhi keberkatan, semulia-mulia bulan. Di dalamnya diperturunkan al-Quran, dimenangkan Ummah menerusi peperangan Badr al-kubra, al-Yarmuk, al-Qadisiah, al-Hattin dan lain-lain lagi. Ia mengandungi sebaik-baik malam , yaitu malam lailatul qadar, yang lebih baik dari seribu bulan.
Ia bulan yang membuka ruang kepada semua Umat Islam untuk mempergandakan amal-amal soleh, ketaatan kepada Allah, yang akan mempergandakan pahala balasan amalan-amalan yang wajib sebanyak tujuh puluh kali ganda dan amal-amal sunat kepada pahala balasan amal-amal yang fardhu dan wajib. Satu gandaan yang amat luar biasa yang dibawa atau yang terkandung bersama-sama bulan Ramadhan yang penuh keberkatan
Sepanjang bulan Ramadhan masyarakat Islam dituntut melaksanakan ibadah puasa , membayar zakat fitrah, mereka keluar beramai-ramai melaksanakan sembahayang fardhu dan sunat tarawikh secara berjamaah di masjid-masjid dan surau-surau, memakmurkan rumah-rumah Allah s.w.t dan bulan Ramadhan dengan kegiatan-kegiatan membaca al-Quraan, i’tikaf sepanjang sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan, menghidupkan malam-malamnya dengan sembahyang-sembahyang sunat tahajud, witir dan seumpamanya, mengingati Allah s.w.t dengan memperbanyakkan tasbih ,tahmid, istighfar, taubah, berdoa dengan doa-doa yang ma’athur , munajat, merenung kandungan kitabnya dan keajaiban alam semesta, mendalami sirah RasulNya dan memahami perutusan-perutusan dari sunnah-sunnah baginda, sejarah umat manusia, para-para Nabi dan Rasul dan pengikut-pengikut mereka, nasib kaum-kaum yang ingkar kepada perintah Allah, alam akhirat, kematian dan untung nasib manusia sesudahnya.
Menerusi ibadat puasa sepanjang bulan Ramadhan kita dituntut mengekang hawa nafsu minum dan makan serta mencampuri Isteri di waktu siang, mengasuh diri bersabar, menahan marah, menjaga lidah dan kehormatan peribadi sebagai orang Islam yang mulia, bersopan santun, sentiasa menghulurkan khidmat dan bantuan kepada golongan yang memerlukannya, berderma dan bersedekah, merasai sendiri kesedihan dan kepayahan, kelaparan dan kekurangan yang ditanggung selama ini oleh golongan fakir miskin, anak-anak yatim, golongan cacat dan tidak berupaya untuk menyara atau mengurus diri sendiri atau keluarga mereka.
Bulan Ramadhan merupakan bulan pembersihan jiwa daripada pelbagai penyakit-penyakit batin dan pembersihan diri daripada perilaku-perilaku yang buruk. Bulan yang sepatutnya kepada pejuang-pejuang Islam menyuburkan keinsafan dalam diri, kesabaran menghadapi cabaran-cabaran, keazaman mendokong Islam, ketaatan kepada Allah, kerinduan kepada al-Rasul s.a.w dan sahabat-sahabat baginda yang telah berkorban untuk Islam dengan setinggi-tinggi pengorbanan.
Dalam suasana bulan Ramadhan, mereka meredah sahara, gurun yang luas, jurang yang dalam, bukit bukau yang tinggi, di bawah panahan cahaya panas terik matahari mereka memikul panji-panji tauhid untuk dikibarkan di seluruh pelusuk semenanjung Arabia, menyempurnakan satu misi alami, insani yang amat mulia yang kemudiannya disempurnakan oleh para sahabat baginda.
Gunakanlah kesempatan yang masih lagi Allah berikan kepada kita semua menerusi bulan Ramadhan yang akan tiba beberapa hari lagi ini untuk memperbanyakkan amal-amal soleh, mentaati Allah s.w.t, menabur bakti kepada orang-orang yang memerlukan , terutama kepada lingkungan yang hampir dengan kita, anggota keluarga, sanak saudara, jiran tetangga, kenalan dan rakan-rakan.
Jadikanlah bulan Ramadhan ini, bulan kita memperteguhkan hubungan dengan Allah s.w.t, hubungan silatul al-rahmi dengan anggota keluarga yang dekat dan jauh, sanak saudara, jiran tetangga, rakan-rakan dan saudara –saudara seperjuangan, sesama ahli-ahli pertubuhan IKRAM dan masyarakat Islam.
Bulan Ramadhan, sewaktu dimanfaatkan sepenuhnya mampu mengasuh diri dan peribadi kita semua, mengangkatnya ke satu tahap yang lebih tinggi dan sempurna, menjadikan semua kita golongan yang hampir, dekat kepada Allah s.w.t dan manusia, diri dan peribadi yang mengasihi Allah dan dikasihinya, disayangi manusia dan menyayanginya.
Semoga bulan Ramadhan pada tahun hijrah 1431 ini akan mengangkat kita semua ke darjat golongan-golongan ummah yang bertakwa, memiliki bekalan perjalanan kehidupan yang terbaik dalam pengembaraan masing-masing merentasi kehidupan sementara di dunia yang fana’ ini. Dengan itu kita akan mencapai matlamat daripada ibadah berpuasa, memperolehi bekalan taqwa yang merupakan sebaik-baik bekalan disisi Allah s.w.t
Allah s.w.t telah berfirman didalam al-Quran:
" ياأيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون "
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu ( ibadah ) puasa sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu mejadi orang-orang yang bertaqwa “ { surah al-Baqarah, ayat 183)
Firmannya lagi:
Maksudnya: “ Sediakanlah bekalan, sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah sifat al-taqwa “ { Surah al-baqarah, ayat 197 )
Ahli-ahli pertubuhan IKRAM diharapkan akan memperolehi bekalan al-taqwa tersebut menerusi penghayatan bulan ramadhan sebaik-baiknya, memperbanyakkan amal-amal soleh. Mudah-mudahan ia akan mengangkat mereka maju dan mara melonjakkan wahana IKRAM dan perjuangan Islam menerusinya ke tahap yang lebih tinggi, meninggalkan kesan baik dan membina yang lebih besar dan luas kepada masyarakat dan negara pada masa hadapan
Akhirnya sebagai penutup, bersesuaian dengan kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita bersama-sama menghayati perutusan Nabi kita Muhammad s.a .w menerusi hadis baginda :
Rasulullah telah berucap di hari-hari terakhir bulan Syaaban kepada sahabat-sahabat baginda:
" أيها الناس : قد أظلكم شهر عظيم مبارك , شهر فيه ليلة خير من ألف شهر, شهر جعل الله صيامه
فريضة وقيام ليله تطوعا , من تقرب فيه بخصلة كان كمن أدى فريضة فيما سواه , ومن أدى فريضة فيه
كان كمن أدى سبعين فريضة فيما سواه , وهو شهر الصبر , والصبر ثوابه الجنة , وشهر المواساة
وشهر يزاد فى رزق المؤمن فيه , من فطر فيه صائما كان مغفرة لذنوبه وعتق رقبته من النار , وكان له
مثل أجره من غير أن ينقص من أجره شيء .
قالوا : يا رسول الله , ليس كلنا يجد ما يفطر الصائم , فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : يعطى الله
هذا الثواب من فطر صائما على تمرة أو شربة ماء أو مذقة لبن .
وهو شهر أوله رحمة , وأوسطه مغفرة, وآخره عتق من النار, من خفف فيه عن مملوكه غفر الله له وأعتقه
من النار, فاستكثروا فيه من أربع خصال: خصلتين ترضون بهما ربكم, وخصلتين لا غناء بكم عنهما, فأما
الخصلتان اللتان ترضون بهما ربكم : فشهادة أن لا اله الا الله , وتستغفرونه, وأما الخصلتان اللتان لا غناء
بكم عنهما : فتسألون الله الجنة وتعوذون به من النار, ومن سقا صائما سقاه الله من حوضى شربة لا يظمأ
حتى يدخل الجنة "
Maksudnya: “ Wahai manusia ! Kamu akan dinaungi satu bulan yang agung, yang penuh keberkatan. Bulan yang terdapat di dalamnya satu hari yang lebih baik daripada seribu bulan. Bulan yang Allah telah jadikan berpuasa di dalamnya satu fardhu dan menghidupkan malamnya sebagai amalan sunnah.
Sesiapa yang menghampirkan dirinya kepada Allah menerusi amalan sunnah, dia seperti melaksanakan satu amalan fardhu selain amalan sunnah tersebut, dan sesiapa yang menunaikan satu amalan fardhu di dalamnya (bulan Ramadhan), dia seperti menunaikan 70 amalan fardhu selain amalan fardhu tersebut. Ia adalah bulan kesabaran dan kesabaran itu ganjarannya ialah syurga. Ia juga adalah bulan memberi pertolongan dan bantuan.
Ia bulan di mana rezeki orang-orang yang beriman bertambah. Sesiapa yang menyediakan makanan kepada seseorang yang berbuka puasa , tindakan itu akan mengampuni dosa-dosanya dan membebaskan dirinya daripada api neraka, bagi dirinya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tersebut tanpa sebarang pengurangan”
Sahabat-sahabat baginda langsung berkata: “Bukan semua kami memiliki sesuatu untuk dijadikan bahan berbuka seorang yang berpuasa”. Lalu Rasulullah s.a.w menjawab: “Allah akan mengurniakan ganjaran pahala saperti itu kepada seseorang yang menghidangkan untuk seseorang yang berpuasa berbuka walaupun sekadar seulas buah tamar, seteguk air atau seteguk air susu ….
Bulan Ramadhan adalah satu bulan yang awalnya adalah rahmah, pertengahannya adalah pengampunan dan hujungnya adalah pembebasan daripada api neraka. Sesiapa yang meringankan bebanan daripada hambanya, Allah lagi akan mengampuni dirinya serta membebaskannya daripada api neraka.
Perbanyakkanlah sepanjang (bulan Ramhadan) 4 kegiatan: 2 kegiatan yang akan menjadikan kamu diredai Allah s.w.t, 2 kegiatan lain pula kamu sendiri amat perlu kepadanya: Adapun 2 kegiatan yang akan menjadikan kamu diredai Allah, maka ia adalah ucapan syahadah: “ bahawa tiada tuhan melainkan Allah” dan kamu memohon keampunan daripadanya.
Adapun 2 kegiatan yang kamu sendiri amat perlu kepadanya, maka ia adalah: “ kamu memohon ( balasan ) syurga serta kamu meminta perlindungannya daripada api neraka. Sesiapa yang memberi minuman kepada seseorang yang berpuasa maka Allah akan memberinya minuman daripada kolah airku yang menjadikannya sama sekali tidak akan kehausan sehinggalah dia memasukki syurga” (Riwayat ibnu khuzaimah dalam kitab sahihnya)
Sekian sahaja dahulu, semoga Allah menerima semua amalan kita sepanjang bulan Ramadan ini dan seluruh amalan kita sepanjang kehidupan kita semua.
Selamat berpuasa.
Wassalamualaikum
Ust Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden IKRAM
28 Shaaban 1431H
9 Ogos 2010
0 comments:
Post a Comment