Palestin boleh dibebaskan
|
|
PARIT 18 Feb. - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, hanya demonstrasi secara besar-besaran dan berterusan di seluruh dunia dapat memaksa Amerika Syarikat (AS) menghentikan sokongan padunya kepada Israel sekali gus membuka ruang kepada usaha membebaskan bumi Palestin.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, demonstrasi dalam kumpulan kecil seperti dilakukan di hadapan Kedutaan AS di Kuala Lumpur tidak akan dapat memberi tekanan kepada negara 'Uncle Sam' itu.
''Bukan mudah untuk menyelesaikan konflik di Palestin kerana ia bukan hanya melibatkan Zionis, Yahudi dan Israel tetapi kerana ada kuasa lebih besar mempertahankan Israel walaupun Israel melakukan jenayah.
''Oleh itu, masyarakat dunia perlu memberi tekanan dengan membuat demonstrasi besar-besaran di seluruh dunia sehingga AS menarik balik sokongannya terhadap Israel," katanya pada Forum Perdana Ehwal Islam di Universiti Teknologi Petronas di sini malam tadi.
Dr. Mahathir yang merupakan Pengerusi Pertubuhan Keamanan Global Perdana (PGPO), bagaimanapun berkata, demonstrasi besar-besaran itu sukar untuk dilakukan kerana dunia Islam sendiri berpecah belah dan sukar bekerjasama.
Katanya, para pemimpin dunia juga tunduk kepada AS dan tidak berani mengambil tindakan yang tidak disukai negara polis dunia itu.
''Mereka takut dengan AS. Jika mereka buat sesuatu yang tidak diterima AS, pelbagai macam sekatan akan dikenakan ke atas mereka dan pasaran AS ditutup kepada mereka.
''Ini merupakan perbuatan buli. Mereka tahu AS salah tetapi tiada siapa yang berani mengambil tindakan," ujarnya.
Beliau berkata, dengan perkembangan yang berlaku sekarang, penduduk Palestin mempunyai harapan tipis untuk bebas daripada kekejaman rejim Israel.
''Namun apa yang paling penting, semua masyarakat Islam jangan sekali-kali berputus asa dan terus menyalurkan bantuan bekalan makanan dan bahan pembinaan ke Gaza.
''Selain itu, jika kita dapat menjadikan peperangan sebagai satu jenayah, AS pun akan patuh dengan desakan tersebut," katanya.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir berharap kerajaan baru yang bakal menggantikan kerajaan Hosni Mubarak di Mesir akan lebih bersimpati dengan perjuangan rakyat Palestin untuk merdeka dan bebas daripada penindasan Israel.
Selain Dr. Mahathir, seorang lagi panel pada forum itu ialah Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (Pace), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor.
Forum tersebut dipengerusikan oleh Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Dasar, Jabatan Pengajian Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi, Mohd. Erfino Johari.
0 comments:
Post a Comment