KHUTBAH SEMPENA KEBANGKITAN RAKYAT SYRIA
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ
أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ
وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا
مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا
مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ
الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ
وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ
ٱلرَّحِيمِ
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah
Abu Hurairah
r.a. meriwayatkan dari Rasulullah SAW. Ada sebahagian dari umat ku mereka tidak
akan berhenti berjihad di pintu-pintu masuk Damsyik dan di pintu Baitul Maqdis
dan kawasan sekitarnya. Pengkhianatan dan pembelotan sesiapa yang membelot
tidak akan memudaratkan mereka sedikit jua. Mereka akan tetap menang,
istiqamah, sehingga tibanya saat kiamat. – at-Tabarani.
Sidang Jumaat
yang dirahmati Allah.
Hadis ini
menggambarkan tentang hubungkait di antara jihad di Damsyik dan Baitul Maqdis.
Syeikh Raed Solah, pemimpin gerakan Islam Palestin 1948 apabila ditanya di
dalam muktamar Bantuan untuk Syria anjuran Rabitah Ulama al-Ittihad al-Alami
lil-Ulama al-Muslimin (Persatuan Ulama Muslimin sedunia) dan Rabithah Ulama
Suria, apakah kaitan di antara Baitul Maqdis dan Syria, beliau jawab rengkas
‘Hari ini Damsyik, esok Baitul Maqdis’.
Siapakah Syeikh
Raed Solah? Beliau adalah pemimpin umat Islam yang bertanggungjawab dalam
menjaga keselamatan Masjid al-Aqsa dan Kota lama (Madinatul Kadima) di Baitul
Maqdis dari pencerobohan dan ancaman Zionis Israel. Beliaulah orang yang
membongkar aktiviti penggalian terowong di dasar Masjid al-aqsa dan figure yang
paling dikehendaki oleh Israel kerana menggagalkan perancangan jahat mereka
untuk mengambil alih masjid al-Aqsa yang ditawan sejak 47 tahun yang lalu iaitu
pada bulan Jun 1967. Beliau yang berada di tengah-tengah medan jihad yang utama
iaitu menjaga Masjid ketiga paling tinggi darjatnya di dalam Islam dari pencerobohan
Israel, berada di dalam muktamar yang membincangkan tentang perjuangan yang
sedang berlangsung di bumi Syria. Ini menunjukkan bahawa beliau meletakkan
kepentingan yang sangat besar terhadap apa yang berlaku di Syria, meskipun
beliau diamanahkan untuk menjaga sisi yang paling penting dalam jihad
mempertahan dan membebaskan Masjid al-Aqsa.
Sidang Jumaat
yang dirahmati Allah.
Hari ini umat
islam berhadapan dengan satu persoalan lagi tentang pergolakan di timur tengah.
Pembunuhan yang berlaku ke atas rakyat Syria kini mengundang pelbagai reaksi
umat Islam. Apa sebenarnya yang berlaku di Syria sehingga pandangan umat islam
tak dapat disatukan. Ada yang melihat ini sebagai isu dalaman Syria dan Negara
lain termasuk Negara umat Islam tidak perlu campurtangan. Biarlah pihak
keselamatan Syria dan Kerajaannya menangani isu yang berlaku. Ada yang
menganggap pergolakan ini dicetus oleh tangan-tangan kuasa barat bahkan Israel
dan umat Islam jangan terpancing dengan agenda barat yang mahu melihat
tumbangnya Regim Basyar Assad. Syria dikatakan satu-satunya Negara Arab yang
menjadi ancaman kepada Israel dan dengan itu barat berusaha untuk menggantikan
kerajaan Basyar Assad dengan kerajaan
tajaan barat yang tidak akan menjadi ancaman kepada Israel. Agenda ini
penting terutama apabila sekutu Israel yang bolih diharapkan selama ini iaitu
Regim Husni Mubarak di Mesir telah ditumbangkan. Keadaan ini menjadi semakin
genting apabila calun dari gerakan Ikhwanul Muslimin iaitu Dr Muhammad Mursi
dipilih sebagai Presiden Mesir. Benarkah pandangan ini?
Sidang Jumaat
yang dirahmati Allah.
Pertimbangkan
perkembangan ini. Bilangan rakyat Syria yang terbunuh kini sudah mencecah 90,000. Pembunuhan ini turut melibatkan kanak-kanak kecil bahkan bayi
sekalipun. Maklumat yang diperolehi menunjukkan di antara 50 sehingga 100 orang
terbunuh, dengan purata hampir 10 darinya adalah kanak-kanak setiap hari. Pembunuhan ini pula berlaku dengan cara-cara yang sangat
kejam dan melibatkan penggunaan senjata berat termasuklah dengan menggunakan
kereta kebal, pengeboman dengan jet pejuang dan tembakan roket. Kanak-kanak
dibunuh dengan cara disembelih hidup-hidup, dipukul dan dikeluarkan isi
otaknya. Wanita diperkosa dan kemudian dihumban dari atas bumbung bangunan. Rakyat tidak mungkin melakukan kekejaman ini. Sekiranya mereka hendak
menumbangkan kerajaan Basyar Assad kenapa mereka mesti pembunuh kanak-kanak
dengan cara yang sadis dan penuh kebinatangan. Sekiranya kebangkitan rakyat
Syria didalangi oleh kuasa-kuasa barat dan Israel, kenapa tentera kerajaan
tidak melindungi rakyat Syria dari serangan ganas ini. Dan satu persoalan yang
wajar difikirkan oleh semua, rakyat yang tidak berdosa menjadi sasaran senjata
berat seperti kereta kebal dan jet pejuang. Dan kini sudah ada bukti bahawa tentera Syria menggunakan gas sarin yang beracun ke atas sasaran orang awam. Bukankah ini bukti jelas bahawa
tentera Basyar Assad digunakan untuk membunuh rakyatnya sendiri.
Sidang Jumaat
yang dirahmati Allah.,
Pada tahun 1982,
satu tragedy pembunuhan yang lebih dahsyat telah berlaku berbanding sekarang.
Dalam tempoh satu bulan iaitu pada bulan Februari 1982, regim Hafez Assad, bapa
kepada Basyar Assad telah membunuh 45,000 rakyatnya di Hamma. Tragedi ini tidak
diketahui kerana ketiadaan teknologi maklumat untuk menembusi kawalan berita
yang begitu ketat di Syria pada zaman itu. Hari ini maklumat tidak dapat
dibendung lagi sehingga Thaurah atau kebangkitan rakyat merebak dari Tunisia
sehingga Syria melalui Media Sosial dan internet.
Sebenarnya
rakyat Syria sudah terlalu lama hidup di bawah kezaliman yang mencengkam sejak
tahun 1970’an lagi. Kezaliman yang menekan rakyat Syria sama seperti kezaliman
yang berlaku di Tunisia di bawah pemerintahan diktatar Habib Bourguiba dan
pengganti nya Zainal Abidin Ben Ali sejak tahun 1960’an, begitu juga Libya yang
diperentah secara kuku besi oleh Muammar Ghadaffi sejak tahun 1961, dan Mesir
yang hidup di bawah kezalimn King Farouk, Gamal Abdul Nasser dan Hosni Mubarak
yang membunuh dan memenjarakan ulama dan pendukong dakwah terutama ikhwan al
muslimin sejak tahun 1940’an lagi. Namun apa yang berlaku di Syria adalah jauh
lebih kejam dan zalim lagi. Ini adalah kerana Regim Basyar Assad dikuasai oleh
golongan Nusayriah – satu cabang melampau aliran Syiah. Agama Nusayriah adalah
disebarkan 200 tahun selepas wafatnya Rasulullah SAW. Mereka sebagaimana
golongan Syiah telah mensucikan Ali bahkan dengan menggabungkan dengan ajaran
Kristian dan Majusi. Oleh kerana itu kebencian mereka kepada umat Islam Sunni
yang merupakan majority rakyat Syria iaitu 78% memuncak apabila rakyat bangkit
menentang kezaliman Basyar Assad. Kekufuran mereka amat jelas apabila tentera
Assad memaksa rakyat Syria untuk mengucapkan kalimah kufur dengan syahadah
‘As-syahadu alla ila ha illa Basyar’ (Nauzubillah). Kerana itu kita lihat
kebencian ini diluahkan dalam bentuk pembunuhan ke atas kanak-kanak tanpa
sebarang belas kasihan. Bahkan mereka menembak menara-menara masjid sama
sebagaimana yang dilakukan oleh Israel di Gaza, memperolok-olokkan solat umat
Islam, membakar al-Quran bahkan mencemarkan masjid.
Sidang Jumaat
yang dirahmati Allah.
Rasulullah saw. bersabda : “ Pusat kepimpinan
kaum Muslimin pada hari peperangan yg paling besar adalah di sebuah negeri yg
bernama Ghuthah, yg mana di negeri itu terdapat sebuah kota yg bernama Damsyik
(Damaskus), ia merupakan tempat tinggal yg terbaik bagi kaum Muslimin pada
waktu itu”. (Hadis riwayat Iman Ahmad, Abu Daud disahkan oleh Al-Abani dlm
soheh Al-Jami’)
Meskipun hadis
ini tidak semestinya merujuk kepada apa yang berlaku di Syria pada hari ini,
namun ia memberikan dorongan yang cukup kuat bagi rakyat Syria untuk berjihad.
Mereka melihat apa yang berlaku saat ini adalah pertentangan di antara al-Haq
dan bathil. Ini jugalah yang mendorong Syeikh Raed Solah untuk mengaitkan
Damsyik dan Baitul maqdis di dalam jihad untuk membebaskan baitul maqdis dan
bumi Palestin. Kezaliman melampau yang digunakan oleh Ragim Basyar Assad
mendorong rakyat Syria untuk kembali kepada Allah dan Rasulnya. Begitu banyak
pengalaman yang dikongsikan di medan bagaimana rakyat Syria mula kembali kepada
Islam yang sebenar dan berlindung dengan kekuasaan Allah yang Maha Kuat dan
Maha Perkasa. Sehingga ada seorang pemuda yang sepanjang hayatnya tidak pernah
solat apabila dipaksa untuk sujud kepada potret Basyar Assad beliau mengatakan
‘Sepanjang usiaku aku tidak pernah sujud kepada Allah, bagaimana mungkin aku
akan sujud kepada seorang manusia.?” Dan ada seorang kanak-kanak yang
kehilangan ke dua tangannya dan buta sebelah matanya berkata dengan penuh yakin
‘Aku bersyukur kepada Allah kerana aku mempunyai sebelah mata lagi untuk
melihat kejatuhan Basyar Assad”. Dan syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi mengatakan
beliau akan turun ke Damsyik dan akan bersolat Jumaat dan berkhutbah di sana
apabila rakyat Syria Berjaya di dalam perjuangan mereka yang beliau anggap
suatu yang pasti akan berlaku insyaAllah.
Sidang Jumaat
yang dirahmati Allah.
Beberapa fatwa
telah disepakati oleh 400 delegasi ulama sedunia yang berkumpul di Istanbul
pada 1 – 3 Julai 2012 yang lepas. Mereka secara rengkasnya memutuskan:
1) Wajib
bagi umat Islam untuk bersama-sama dengan kebangkitan rakyat Syria kerana
perjuangan mereka adalah di antara hak dan batil, di antara keadilan dan
kezaliman. Perjuangan mereka juga adalah untuk melawan pemerintah yang membunuh
dan menindas rakyat. Dan ini menunjukkan bahawa wajib bagi umat Islam untuk
membantu dan menyatakan sokongan kepada umat Islam yang dizalimi.
2) Wajib
ke atas setiap pemimpin umat Islam agar menyatakan sokongan dan dokongan kepada
kebangkitan rakyat Syria. Sokongan samada dari sudut bantuan kewangan, senjata
dan pelbagai bantuan agar kebangkitan mereka mendapat kemenangan. Mereka juga
perlu menyatakan sokongan dan memberi bantuan senjata kepada Tentera Pembebasan
Syria yang telah berjihad dan berjuang melawan regim Basyar yang zalim.
3) Merupakan
kewajipan untuk menyokong golongan yang memperjuangkan kebenaran. Maka, tidak
ketinggalan kepada para alim ulama' dan juga pemikir Islam agar menyatakan
sokongan dan dokongan mereka terhadap kebangkitan rakyat Syria. Dan haram bagi
mereka diam membisu melihat kezaliman demi kezaliman berlaku di Syria
4) Haram
bagi umat Islam menyatakan sokongan dan dokongan kepada regim Basyar mahupun
sekutunya dari sudut ketenteraan, harta benda, sokongan politik dan sebagainya.
Dan terkini Syeikh Dr Yusuf Qardhawi telah mengeluarkan pandangan yang sangat tegas terhadap Iran dan Hizbullah yang mengirimk tentera untuk membantu Regim Basyar Assad membunuh rakyatnya. Dr Yusuf Qardhawi tidak teragak-agak untuk menggelar Hizbullah sebagai Hizbusyaitan. Bahkan beliau telah memuji ulama Saudi yangt lebih tegas dari beliau dalam memberikan pandangan lebih jelas terhadap persekongkolan Syiah Iran dan Nusairi Assad.
•
قُلِ
اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاء وَتَنزِعُ الْمُلْكَ
مِمَّن تَشَاء وَتُعِزُّ مَن تَشَاء وَتُذِلُّ مَن تَشَاء بِيَدِكَ الْخَيْرُ
إِنَّكَ عَلَىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ {26}
Katakanlah
(wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang
memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah
yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah
juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina
sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala
kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Ali Imran: 26.
بَارَكَ اللهُ لِيْ
وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ
وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ
العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ
وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ
المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
0 comments:
Post a Comment