Thursday, May 30, 2013

Tareqat dan Jihad di Nusantara

10. Tareqat dan jihad di nusantara

Perkembangan Islam di Nusantara  tidak dapat dipisahkan dari aliran-aliran tasauf atau tarekat.[1] Pengaruh zaman dan ciri alam Melayu banyak menyumbang kepada proses pengislaman yang sedemikian. Islam mula bertapak di dunia sebelah sini pada zaman kemunduran kekuasaan politik di Asia Barat. Tidak seperti tempat lain, Islam di Nusantara tidak berkembang melalui penaklukan dan ekspedisi ketenteraan, tetapi di bawa oleh para mubaligh dan peniaga yang berperanan sebagai du’at. Kehidupan yang mewah dan pembangunan tamadun kebendaan mendorong sebahagian umat Islam untuk menjalani kehidupan yang sangat sederhana dengan menjalani latihan kerohanian yang intensif. Natijah darinya lahirlah aliran-aliran tasauf dan tarekat untuk mengisi kehidupan kerohanian umat Islam.[2] Adakalanya ia tercemar oleh pemikiran asing seperti falsafah yunani dan anutan kerohanian yang bertentangan dengan Islam. Kemunculan hujjat-ul-Islam, Imam al-ghazali dan syeikh-ul-Islam Ibnu Taimiyah sedikit sebanyak memurnikan aliran tasauf dari penyelewengan dan pemalsuan.
                   
Apabila Islam datang ke Nusantara, agama dan kebudayaan Hindu-Buddha yang bercampur dengan tradisi lokal telah menjadi anutan sebahagian besar masyarakat. Teras agama Hindu membentuk kefahaman tentang ketuhanan. Konsep jelmaan tuhan pada makhluk menjadi asas kepercayaan masyarakat. Kepercayaan seperti ini mensenyawa dengan aliran tasauf dan menjadi iktikad sebahagian pengamal tarekat. Kepercayaan yang disebut Pantheism ini diberikan wajah islami iaitu Wihdat-ul-wujud atau Kesatuan wujud iaitu menyatu makhluk dengan tuhan.[3] Di antara pengembang aliran ini yang terawal di Nusantara ialah Syeikh Siti Jenar, salah seorang dari wali songo yang dihukum bunuh kerana mengatakan ‘ana Allah’ (aku Allah). Namun aliran ini terus mendapat tempat di sanubari umat kerana ketidak murniaan akidah tauhid. Di antara tokoh-tokoh terkenal dalam kelompok ini ialah Hamzah Fansuri dan Shamsuddin as-Sumaterani. Malah pengaruh mereka begitu meluas sehingga ia pernah menjadi aliran rasmi di Aceh. Walaubagaimanapun kemunculan ulama seperti Syeikh Nuruddin Ar-Raniri dan Syeikh Abdul Rauf Sinkil mengembalikan akidah umat di atas landasan tauhid yang sejahtera.[4]

Skop penulisan ini tidak bertujuan untuk membicarakan dengan mendalam tentang pelbagai aliran tasauf atau tarekat dan sejarah perkembangannya di Nusantara. Apa yang hendak disentuh dalam bab penulisan ini ialah peranan tarekat dalam kebangkitan umat menentang penjajahan.

Berpegang dengan aliran tarekat tertentu memberikan umat Islam kekuatan rohani atau dalaman untuk berhadapan dengan musuh yang bergantung kepada kekuatan fizikal dan kebendaan. Belanda mempunyai kelengkapan persenjataan yang jauh mengatasi umat Islam. Hakikat ini tidak memberi banyak pilihan kepada umat Islam selain dari memperkasa aspek kerohanian. Dengan memantapkan hubungan dengan Allah, akan lahirlah keyakinan, sifat tawakal dan keberanian luar biasa untuk berhadapan dengan musuh. Realiti ini turut diakui oleh Belanda yang sentiasa memantau kumpulan-kumpulan tarekat. Malah insiden kebangkitan rakyat atas sebab apapun seringkali membabitkan pengamal tarekat dan pengikut mereka, sehingga timbul inisiatif di kalangan pegawai Belanda untuk mengharamkan tarekat. Namun atas pandangan penasihat terulung, Snouck Hurgronje yang menjelaskan tarekat sudah menjadi sebahagian dari umat Islam di Nusantara, pengamal tarekat hanya dipastikan tidak bersikap ‘fanatik’.

Sebagaimana tarekat mewarnai proses penyebaran Islam, tarekat juga merupakan ciri penting kepada usaha jihad menentang penjajah. Salah seorang ulama pengamal tarekat yang paling tegar menentang Belanda dalam sejarah penjajahan Indonesia ialah Syeikh Yusuf Tajul al-khalawatiyah al-naqsyabandi al-makassari. Ulama yang berasal dari Gowa, Makassar ini berguru dengan Syeikh Nuruddin ar-Raniri dan memperoleh ijazah tarekat Qadariah darinya. Kemudian beliau berangkat ke Yaman dan memperoleh ijazah tarekat Naqsyabandiah. Beliau kemudiannya bergabung dengan Sultan Ageng Tirtayarsa untuk mempertahankan kedaulatan Banten dari penguasaan Belanda. Kerajaan Banten tewas dan Syeikh Yusuf diasing ke Sri Lanka dan kemudiannya di Afrika Selatan di mana beliau meninggal di sana. Peristiwa ini berlaku pada kurun ke 17, dan ia memberi pengajaran yang cukup penting kepada Belanda untuk mengawasi gerakan tarekat terutamanya Naqsyabandiah.

Pemberontakan di Cilegon, Banten pada tahun 1888, juga tidak terlepas dari pengaruh tarekat. Hampir kesemua yang terlibat termasuk anak-anak tempatan yang berkhidmat dengan pentadbiran Belanda mengamalkan ajaran tarekat. Peristiwa yang berlaku di Garut pada tahun 1919 juga diperkira melibatkan pengikut tarekat. Insiden ini melibatkan seorang yang bernama Hj Hassan yang enggan menjual padinya mengikut jumlah yang ditetapkan oleh pemerintah setelah setahun sebelumnya beliau dipaksa memusnahkan tanamannya dan digantikan dengan padi. Hj Hassan dan pengikutnya telah mencabar pemerintah dan berkurung di dalam rumah dengan berzikir. Pasukan keselamatan Belanda telah melepaskan tembakan sehingga membunuh Hj Hassan dan beberapa korban yang lain. Isu ini menjadi polemik yang hebat tentang tindakan pentadbiran Belanda yang dikatakan menggunakan kekerasan yang tidak perlu. Walaubagaimanapun isu ini akhirnya dikaitkan dengan Afdeeling B iaitu pemberontakan yang dikaitkan pula dengan Serikat Islam (SI). SI difitnah dengan komplotan untuk membunuh orang-orang Belanda, orang-orang Cina, pegawai-pegawai kerajaan dan Chokrominoto dilantik sebagai raja Jawa. Perancangan licik ini telah berjaya mengalihkan isu penentangan kumpulan tarekat kerana enggan menjual hasil padi kepada isu keselamatan Nasional yang membabitkan SI. Ekoran darinya Chokrominoto ditahan dan SI menjadi sasaran pemerintah.

Tarekat telah mewarnai sejarah perkembangan Islam dan penentangan umat Islam ke atas penjajahan di Nusantara, malah di seluruh dunia Islam. Tarekat ataupun ajaran tasauf adalah sesuatu yang murni dan sepatutnya menjadi asas pembinaan rohani aktivis gerakan Islam. Imam As-Syaheed Hassan al-Banna sendiri melibatkan diri dengan kumpulan tarekat al-Hasafiyah. Di sanalah beliau mewariskan al-Wazifatul Qubra yang diamalkan oleh gerakan Islam seantero dunia yang mengambil model ikhwan muslimun iaitu al-ma’thurat. Kekuatan rohani diperlukan untuk memupuk iman dan takwa yang menjadi modal untuk mendapat nusrah atau pertolongan Allah. Umar al-Khattab mengingatkan kontingen tentera yang dihantar ke perbatasan supaya menjauhi maksiat kerana Allah memenangkan Islam di atas maksiat yang dilakukan oleh musuh. Begitu juga Sallahuddin al-Ayubbi yang telah menyaring tenteranya dari kalangan yang soleh dan wara’ untuk mengetuai penyerangan ke atas Baitul Maqdis sehingga al-Quds kembali direbut oleh umat Islam dari cengkaman Salibiyyin. Rasulullah S.A.W. mengunjurkan kota Konstantin (Istanbul) akan direbut oleh tentera yang solih dan dipimpin oleh raja yang paling soleh. Ternyata usaha merebut kota Konstantin hanya terpenuhi 800 tahun selepas wafatnya Rasulullah S.A.W. oleh pasukan tentera dan rajanya yang tidak pernah meninggalkan solat tahajjud. Akhir sekali peperangan Badar adalah kemuncak bukti betapa bilangan yang kecil dapat mengalahkan bilangan yang jauh lebih besar dan lengkap bersenjata kerana ditunjang oleh kekuatan keimanan. Tidakkah Rasulullah S.A.W. telah mendidik para sahabatnya untuk mengasah kekuatan rohani dengan solat malam dan zikir (membaca dan menghayati Al Quran; sebaik-baik zikir). Fenomena yang ajaib ini berulang pada setiap zaman. Dalam konteks terkini kita melihat bagaimana mujahidin Afghanistan yang sangat sederhana dapat mengalahkan gergasi Soviet dengan segala peralatan canggih dan teknologi peperangannya. Malah kekalahan Soviet ditangan pasukan mujahidin menjadi titik tolak kepada berakhirnya kekuasaan Komunis dan bubarnya Soviet Union sehingga terpecah menjadi 17 negara.

Namun Islam adalah agama manusiawi dan berjalan di atas sunnah manusiawi. Kemenangan akan dicapai setelah jalan-jalan untuk mendapatkannya dipersiapkan. Justeru itu kekuatan rohani seperti yang diterap oleh ajaran tasauf atau tarekat (jalan menuju Allah) perlu jalan seiring dengan kekuatan-kekuatan fizikal dan material. Inilah anjuran al Quran; ‘persiapkanlah segala jenis kekuatan dari kuda-kuda yang ditambat, agar kamu mendatangkan rasa gerun kepada musuhmu dan kepada Allah dan mereka yang kamu tidak tahu tetapi Allah mengetahuinya.’. Umar Al-Khattab mengatakan ‘hadapilah musuh kamu, tombak dengan tombak, pedang dengan pedang’. Lantaran itu persiapan material perlu dititik beratkan dengan menjadikan kekuatan rohani sebagai tapak atau asas.

Di manakah kelemahan tarekat dan aliran tasauf di Nusantara? Pertama sebahagian besar dari aliran tarekat telah menyeleweng dari ajaran Islam yang murni dan bercampur aduk dengan pelbagai falsafah dan kepercayaan yang asing dari Islam. Akhirnya wujudlah pelbagai aliran yang tidak sehaluan dengan syarak. Ini termasuklah doktrin pantheism di dalam agama Hindu yang meletakkan kesatuan di antara makhluk dan dewa (Brahman) atau penjelmaan dewa ke dalam diri makhluk. Kepercayaan seumpama pantheism ini turut mempengaruhi sebahagian ulama sufi yang berpegang dengan doktrin wihdat-ul-wujud atau ’kesatuan wujud’ iaitu bersatunya zat Allah dengan insan. Di antara ilmu yang dipelajari dan menjadi amalan sebahagian umat Islam yang melawan penjajah Belanda ialah ilmu ’Martabat Tujuh’ yang jelas mengandungi unsur-unsur doktrin Wihdat-ul-wujud. Pegangan sedemikian yang mirip kepercayaan sinkretisme golongan abangan atau penganut kejawen @ gomo jowo di Pulau Jawa turut bersemarak di kalangan umat Islam di seluruh nusantara. Sebagai contoh HAMKA menulis di dalam Ayahku, semasa rakyat Sumatera Barat bersiap-siap untuk berperang melawan Belanda kerana anti cukai atau perang Balasting (1908), guru-guru ilmu sihir keluar masuk kampung mengajarkan ilmu ’Martabat Tujuh’ kepada pemuda-pemuda.[5] Mereka yakin ’ilmu’ ini akan menjadi pendinding dengan cara menjadikan mereka kebal terhadap peluru Belanda. Ternyata terdapat pelbagai jenis azimat yang ditemui pada tubuh pejuang yang gugur dalam pertempuran di Kamang, lantaran yakin dengan ilmu kebal yang diperolehi dari pelajaran ’Martabat Tujuh’. Ketika para guru sihir ini menyebarkan ajaran sesat dan syirik atas nama jihad, ulama-ulama yang ikhlas berusaha untuk memurnikan aqidah umat Islam dengan mengadakan kelas-kelas pengajian ilmu kalam (tauhid). Hj. Abdul Karim Amrullah telah menggunakan pendekatan ilmu manthiq untuk membanteras ajaran sesat yang merosakkan keimanan masyarakat.[6]

Kedua, ketidakseimbangan di antara persiapan rohani dan persiapan material. Namun penjajahan adalah sesuatu yang dipaksakan ke atas umat Islam. Dalam keadaan sedemikian, umat Islam bangkit dengan kekuatan apa yang ada untuk berhadapan dengan penjajah yang lengkap bersenjata seperti di Aceh, Bonjol (Sumatera Barat), Banten, Makasar dan Maluku. Meskipun dari sudut fizikalnya mereka dikalahkan, tetapi di dalam kekalahan ada kemenangan. Tidakkah dengan jihad yang ditunjang oleh kekuatan rohani meski daif dari sudut persenjataan ini berjaya mengepung akidah umat sehingga Islam terus bertahan meski terjajah ratusan tahun lamanya?









[1]Tasauf’ bermaksud kesedaran murni yang mengarahkan jiwa secara benar kepada amal dan ibadah yang sungguh-sungguh, menjauhkan diri dari keduniaan (zuhud) dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah untuk mendapatkan perasaan perhubungan erat denganNya. Ruj. Harun Nasution, Falsafah dan Mistisisme dalam Islam, Bulan Bintang, Jakarta, 1973, hlm. 56. Dari sudut bahasa perkataan ‘tasauf’ dikatakan berasal dari ‘shuf’ yang bermasud baju yang diperbuat dari bulu yang kasar, menjadi pakaian bagi mereka yang memilih kehidupan yang sangat sederhana bagi kepentingan kerohanian dan kemurnian bathin. Namun ada juga pendapat yang mengatakan tasauf itu berasal dari perkataan ‘shafw’ (bersih), ‘syuffah’ (satu kamar di samping masjid nabi di Madinah yang menempatkan sahabat nabi yang miskin seperti Abu Darda’, Abu Zar dan Abu Hurairah), ‘shaff’ (saf dalam solat) atau ‘shufanah’ (buah-buahan kecil yang berbulu-bulu). Al-Junaid, seorang tokoh besar dalam ilmu tasauf merumuskan “Tasauf ialah membersihkan hati daripada apa yang mengganggu perasaan kebanyakkan makhluk, berjuang meninggalkan pengaruh budi yang asal (instinct) kita, memadamkan sifat-sifat kelemahan kita sebagai manusia, menjauhi segala seruan dari hawa nafsu, mendekati sifat-sifat suci kerohanian, dan bergantung kepada ilmu-ilmu hakikat, memakai barang yang terlebih penting dan terlebih kekal, menaburkan nasehat kepada sesame umat, memegang teguh janji dengan Allah dalam hal hakikat, dan mengikut contoh Rasulullah S.A.W. dalam hal syariat” Ruj. HAMKA, Perkembangan Tasauf Dari Abad ke Abad, Pustaka Melayu Baru, Kuala Lumpur, 1976, hlm. 84 – 88. ‘Tarekat’ pula ialah jalan yang harus ditempuh oleh seseorang untuk mencapai hakikat tujuan ibadah. Untuk itu ditetapkan ketentuan bersifat batiniyah agar perlaksanaan ketentuan lahiriyah itu dapat menghantarkan seseorang kepada akhir perjalanannya. Ikhtiar untuk menempuh jalan ini yang memerlukan latihan-latihan bathin yang khusus ini dinamakan ‘suluk’. Untuk kupasan yang lebih terperinci sila rujuk HAMKA, ibid. hlm, 110 – 114; juga rujuk Musyrifah Sunanto, Sejarah Peradaban Islam Indonesia, Fakultas Ushuluddin dan Filsafat UIN Jakarta dan PT RajaGrafindo Persada, 2005, hlm. 217 – 223.
[2] HAMKA mengutip dari catatan ayahnya Hj. Abdul Karim Amrullah yang bertarikh 13 Muharram 1326 (15 Februari 1908) terdapat 41 nama tarekat iaitu 1. Al-Naksyabandiah, 2. Al-Qadiriyah, 3. Al-Syaziliyah, 4. Al-Rifa’iyah, 5. Al-Ahmadiyah, 6. Al-Dasuqiyah, 7. Al-Akbariyah, 8. Al-Maulawiyah, 9. Al-Kubrawiyah, 10. Al-Suhrawardiyah, 11. Al-Khalawatiyah, 12. Al-Jaluiiyah, 13. Al-Baktasiyah, 14. Al-Ghazaliyah, 15. Al-Rumiyah, 16. Al-Sa’diyah, 17. Al-Jistiyah, 18. Al-Stu’baniyah, 19. Al-Kasyaniyah, 20. Al-Hamzawiyah, 21. Al-Biramiyah, 22. Al-‘Usaqiyah, 23. Al-Bakriyah, 24. Al-‘Umariyah, 25. Al-Usmaniyah, 26. Al-‘Alawiyah, 27. Al-Abbasiyah, 28. Al-Zainabiyah, 29. Al-Isawiyah, 30. Al-Maqhrabiyah, 31. Al-Buhuriyah, 32. Al-Haddadiyah, 33. Al-Ghaibiyah, 34. Al-Khidriyah, 35. Al-Syathariyah, 36. Al-Bayumiyah, 37. Al-Mulamiyah, 38. Al-Idrusiyah, 39. Al-Matbuliyah, 40. Al-Sunbaliyah, 41. Al-Uwisiah. Menurut Catatan beliau lagi, “Dan banyak lagi lain daripada itu, daripada tarekat-tarekat yang besar-besar dan aulia, hingga dikata orang bahawasanya jalan kepada Allah Ta’ala sebilangan hangok (nafas) makhluk… dan kaifiat tiap-tiapnya bermacam-macam pula, dengan sebanyak nama itu pula. Dan ini maklum pada sisi ahli masing-masing.Dikutip dari Hj Abdul Karim Amrullah, Izharu Asathir il Mudhilin, hlm. 44 (tulisan tangan yang belum pernah dicetak), Ruj. HAMKA, Perkembangan Tasauf Dari Abad ke Abad, op. cit., hlm. 210 – 211. Menurut Mahayudin hj Yahaya, tareqat berkembang selepas kejatuhan kerajaan Abbasiyah ditangan Monggol pada tahun 1258. Islam menghadapi zaman kejatuhan setelah berada di kemuncak peradabannya sehingga menimbulkan krisis kekosongan jiwa yang mendorong umat Islam untuk melakukan latihan-latihan kerohanian yang di institusikan atau ‘tarekat’. Sebanyak 177 organisasi tarekat bermunculan yang mana 76 darinya masih kekal sehingga hari ini. Ruj. Mahayudin Haji Yahaya, Islam di Alam Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2001, hlm. 117.
[3] Asal-usul dari tasawuf yang melampau ini boleh dikesan sejak dari pemikiran yang dipertahankan oleh seorang ulama kebatinan yang bernama Al-Hallaj (Husin bin Mansur al-Hallaj yang dilahirkan pada tahun 244h (858m). Beliau mempopularkan doktrin ‘hulul’ iaitu Ketuhanan menjelma di dalam diri insan. Menurut ajaran beliau seorang insan akan menempuh perbersihan ruh dari satu tingkat ke tingkat berikutnya sehingga sampai ke tingkat ‘muqarrabin’. Di atas dari tingkat ‘muqarrabin’ inilah makhluk bersatu dengan Khaliq, lalu timbullah istilah ‘ana al-Haq’ (sayalah kebenaran itu) dan ‘Wa ma fil-jubbati il-allah’ (dan tidak ada yang di dalam jubah melainkan Allah). HAMKA, op. cit. hlm. 121 – 123. Terdapat perselisihan di antara sarjana ilmu kalam, ahli fiqh dan ahli tasauf dari segi menghukum al-Halaj. Majoriti sarjana ilmu kalam dan sebahagian ahli fiqh dan ahli tasauf mengkafirkannya. Yang tidak mengkafirkannya menafsirkan ucapan al-Halaj dengan takwil. Walaubagaimanapun pemerintah Abbasiyah menjatuhkan hukuman bunuh ke atasnya. Perkara yang membahayakan aqidah umat Islam ialah pemikiran al-Halaj turut dimuatkan dalam kitab tasauf sehingga mengelirukan orang awam yang membaca tanpa kajian yang mendalam dan teliti. Ruj. Abdul Hadi Awang, Fahaman dan Ideologi Umat Islam, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd., Selangor, 2008, hlm. 121 – 123. Pemikiran al-Halaj terus berkembang di kalangan tokoh-tokoh ilmu tasauf sehingga Ide kesatuan Tuhan dan makhluk atau wihdatul wujud mencapai kemuncaknya pada zaman Muhj’il Din Ibnu ‘Arabiy. Beliau dilahirkan pada tahun 598h (1102m). Ruj. HAMKA, op. cit., hlm. 154 – 158.
[4] Perbincangan tentang pengaruh tasauf wihdatul wujud di nusantar telah disentuh dalam Jejak Risalah di Nusantara I.
[5] HAMKA, Ayahku, op. cit., hlm. 127. Ilmu Martabat Tujuh ialah ilmu sesat yang menerangkan tentang asal kejadian manusia dan tingkat-tingkat yang dilalui oleh manusia dalam penciptaannya sebelum lahir sebagai insan yang sempurna. Manusia menurut ilmu Martabat Tujuh terdiri dari empat unsur iaitu api, air, tanah dan angin. Manusia akan melalui tujuh tahap di dalam proses penciptaannya iaitu alam ahadiah (alam sejak azali), alam wahdah (alam kesatuan), alam wahdaniah (alam maha tunggal iaitu tidak lain dari wujud yang Satu), alam arwah (manusia berada di dalam janin selama empat bulan), alam mithal (bentuk yang masih lunak), alam ajsam (manusia yang lengkap dengan tulang dan daging tetapi belum terbentuk dengan sempurna) dan alam insan-kamil (bayi yang sempurna lalu lahir ke dunia). Ilmu ’Martabat Tujuh’ bersandar kepada dua asas iaitu ’alam tidak memberi bekas’ dan ’manusia menyatu dengan Tuhan’. Oleh kerana manusia terbentuk dari unsur-unsur alam yang empat, maka tiada suatu apapun boleh memudaratkan tanpa izin Allah. Ia menuntut kepada keyakinan bahawa api tidak akan membakar, air tidak akan membasah dan besi tidak akan memotong melainkan dengan izin Allah. Apabila manusia sudah menyatu dengan Tuhan pada tahap penciptaannya di alam wahdaniah atau alam maha tunggal, maka lahirlah satu keyakinan bahawa tiada siapa yang boleh mengalahkan Aku (Tuhan menyatu dengan manusia). Keyakinan ini adalah berdasarkan kepada doktrin hulul ajaran al Hallaj (Husin bin Mansur al hallaj). Hulul membawa maksud Ketuhanan menjelma ke dalam diri Insan. Lihat H.O.K. Rahmat S.H. Pencemaran Akidah di Nusantara, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1983, hlm. 61 – 63, juga lihat nota 255.  ’Ilmu Martabat Tujuh’ juga adalah aspek yang penting dari ngelmu atau ilmu hakikat yang menjadi pegangan orang Jawa. Ia adalah satu dari lima aspek utama ngelmu iaitu syahadah sejati, solat sejati, martabat tujuh, tri bahwana dan mikraj. Ngelmu berasal dari kitab Primbun jawa yang ditulis dengan huruf Jawa lama atau kawi. Orang Islam biasa menggelarnya ngelmu enkik atau ngelmu garingan ertinya ilmu kering sebagai reaksi orang terhadap pengamal ngelmu sejati yang menuduh muslim biasa sebagai golongan itik kerana sentiasa mandi dan ambil wudu’. Ibid., hlm. 97 – 99. Ajaran ngelmu sejati atau ngelmu hakikat terdiri dari lima pokok ajaran iaitu syahadat sejati, solat sejati, martabat tujuh, tri bahwana dan mikraj. Pada martabat tujuh dapat dilihat unsur Wihdatul wujud atau wujudiah yaini ketunggalan Tuhan dan alam. Ia memperkatakan tentang zat Allah yang merupakan asal usul manusia sampai kepada bentuknya sekarang melalui 7 peringkat. Manusia terjadi dari 4 unsur, tanah, air, api dan angin. Sebelum seorang insan lahir ia sudah ada di alam ahadiah atau alam azali abadi. Kemudian ia turun ke alam wahdah atau kesatuan, kemudian alam wahdaniah atau alam maha tunggal. Dari situ turun ke alam arwah iaitu alam sebagai janin selama empat bulan dalam kandungan. Selanjutnya turun ke alam mithal dalam bentuk yang masih lunak. Seterusnya ia turun ke alam ajsam iaitu berupa manusia lengkap dengan tulang dan daging tetapi belum sempurna. Setelah itu ia turun ke alam insan-kamil  iaitu bayi yang sempurna lalu lahir ke dunia. Ibid., hlm. 97 – 99.
[6] Diceritakan seorang guru pengajian sesat telah singgah ke surau Hj Abdul Karim Amrullah di Muara Pauh. Setelah diselidiki nyatalah bahawa guru ini tidak lain dari pelopor pengajian ‘alam tidak memberi bekas’. Hj Abdul Karim mengajak beliau untuk mengaji satu ilmu yang lebih tinggi dari pengajian mereka. Kesan dari ilmu ini ialah seseorang itu akan hilang perasaan takut kepada mati dan kalau mati juga pasti tidak akan mati sesat. Kaedah mengajar Hj Abdul Karim adalah dalam bentuk bersoal jawab. “Adakah engkau bertuhan?, Siapa Tuhan Engkau? Apakah Tuhan Allah itu? Apakah erti Zat?” Demikianlah secara bersoal jawab, orang tersebut diterangkan tentang zat dan sifat Allah, apa yang wajib dan mustahil pada akal sehingga timbul kepercayaan yang teguh terhadap tauhid. Guru pengajian sesat itu semakin tenggelam dalam ilmu baru yang dipelajarinya sehingga dijemput pula kawan-kawannya yang lain turut serta. Sebahagian besar dari mereka buta huruf namun dapat menghafal pengajian ilmu kalam dan usuluddin yang diajarkan. Yang pandai menulis mencatatnya dalam sebuah buku kecil yang disalin pula oleh orang lain. Akhirnya dijadikan sebuah buku yang berjudul Umdatul Anaami, fi ‘Ilmil kalaami (pegangan manusia, dalam hal Ilmu Kalam). Setelah teguh penguasaan ilmu Tauhid maka diajarkan pula sejumlah doa-doa ma’thur dan wirid Rasulullah SAW. Akhirnya semangat untuk mempelajari ilmu kebal bertukar kepada pengajian Islam yang sebenarnya. Setelah yakin mereka akan ilmu Tauhid dan menyedari bahawa selama ini mereka telah menempah jalan yang salah, maka pada satu hari sebagai simbol pada peninggalan amalan syirik dikumpulkan semua tangkal dan azimat yang telah dijampi dan dimantera berupa tanduk rusa, kuku harimau dan sebagainya, dan dibakar di muka surau Muara Pauh. Sirnalah ilmu sihir diterangi oleh ilmu Tauhid. Guru-guru ilmu sihir tadi mengalami transformasi dan membuka pengajian pula mengajarkan sifat dua puluh. Mereka sendiri menganggap syeikh Abdul Karim Amrullah sebagai wali Allah yang punya pelbagai ‘karamah’ sehingga orang kampong yang mencelanya dikatakan ditimpa musibah. Apapun jasa dari Hj Abdul Karim Amrullah telah menyelamatkan umat Islam di Empat Kota (Maninjau, Sungai Batang, Tanjung Sani dan Bayur) dari pemberontakan yang sia-sia dan kampong kembali aman untuk meneruskan perjuangan yang tulen berasaskan ilmu Tauhid yang sejahtera. Ruj. HAMKA, Ayahku, op. cit. hlm. 128 – 131.
 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc