Wednesday, September 8, 2010
Pandangan Pengarah PACE dan ahli Lembaga Aqsa Syarif disorot dalam rencana Utusan Malaysia 8 Sept 2010
Rundingan damai tidak akan menyebelahi Palestin
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my
UNTUK rekod sejak lebih enam dekad berlangsungnya krisis antara Palestin dan Israel, sebanyak 87 resolusi dan perjanjian anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikeluarkan menjurus kepada keamanan bagi konflik di Asia Barat itu.
Daripada jumlah tersebut pula, kira-kira 66 resolusi dan perjanjian dikenakan veto oleh Amerika Syarikat (AS) kerana lebih berpihak kepada Palestin dan bukannya Israel.
Sedikit gambaran itu membawa kepada perbincangan selanjutnya mengenai masa depan dan harapan daripada rundingan damai Palestin-Israel yang sedang berlangsung ketika ini. Rundingan damai itu dibuka semula selepas tertangguh pada akhir 2008 ekoran serangan Israel ke atas Genting Gaza yang membunuh kira-kira 1,600 orang rakyat Palestin.
Rundingan damai yang ditaja oleh AS dan kuartet Asia Barat seperti Kesatuan Eropah (EU), Rusia dan PBB itu bermula 2 September lalu di Washington, AS. Selain Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, pertemuan itu turut disertai oleh Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan Raja Jordan, Raja Abdullah.
Rundingan ini diharapkan mencapai kesepakatan baru dalam masa setahun sebelum perdamaian dan keamanan dalam erti kata sebenar di Asia Barat dapat dicapai kemudiannya. Namun jika rundingan damai itu dilihat dari perspektif realiti di Palestin dan Israel ketika ini, impian untuk melihat ia tercapai, sebenarnya terlalu besar.
Umum mengetahui terdapat tiga isu utama yang menghalang kejayaan rundingan damai Palestin-Israel sebelum ini selain cabaran dan kekangan lain. Isu tersebut ialah kedegilan Israel yang menceroboh tanah Palestin untuk dibangunkan penempatan baru Yahudi terutama di Tebing Barat dan Baitulmaqdis timur.
Isu kedua pula ialah status Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin dan hak pelarian rakyat Palestin untuk pulang ke negara asal mereka. Dari sudut penempatan haram misalnya, pembekuan ke atas pembukaan wilayah Yahudi di sekitar Tebing Barat dan Baitulmaqdis timur akan tamat pada 26 September ini.
Sekiranya Israel selepas tarikh itu kembali membina penempatan haram di atas tanah yang dirampas dari rakyat Palestin dan wilayah yang diduduki secara haram sejak 1967, maka rundingan damai terbaru ini tidak akan membawa sebarang makna.
Dari sudut yang lain pula, Netanyahu sendiri tidak mengemukakan cadangan yang konkrit ke arah formula baru untuk mencapai kata sepakat. Netanyahu hanya mengatakan satu penyelesaian di luar kotak mesti dicari setelah usaha damai yang dicetuskan bermula dengan Perjanjian Oslo sejak (1993) 17 tahun dahulu gagal mencapai sebarang kemajuan.
Dalam masa yang sama, kerajaan campuran yang diterajui Netanyahu terus mendesak beliau menentukan status akhir kepada kedudukan Baitul Maqdis dan pelarian Palestin. Perkara ini bagi Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (Pace), Dr. Hafidzi Mohd. Noor, adalah hakikat yang tidak akan menyebelahi Palestin.
Kerana katanya, pendirian Israel dalam kedua-dua isu ini sentiasa konsisten dan tidak akan pernah berubah iaitu Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang disatukan dan kekal abadi.
''Di samping itu, hak pelarian untuk pulang akan terus dinafikan kerana membenarkan mereka pulang akan merubah demografi dan konsep negara Israel itu sendiri sebagai sebuah negara Yahudi (Jewish State)," katanya.
Halangan turut kelihatan di sebelah Palestin sendiri terutama dari sudut hubungan pihak berkuasa Palestin (Fatah) dan Hamas. Seperti kata Hafidzi, hubungan di antara Fatah dan Hamas masih rapuh -- berada di atas landasan yang amat berlawanan dalam menentukan pendirian terhadap rundingan damai dengan Israel.
Sekiranya kedua-dua pihak tidak dapat bersetuju dengan hasil rundingan damai ini maka ia tidak akan memberikan sebarang harapan baru kepada terciptanya satu persetujuan yang akan mendapat dokongan nasional atau majoriti rakyat Palestin.
''Mana-mana rundingan damai yang tidak disepakati secara konsensus oleh rakyat Palestin akan menemui jalan buntu," ujar beliau. Begitu pun bagi kalangan yang optimis, sinar kedamaian dalam konflik tersebut tetap wujud meskipun tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada peranan AS, kuartet Asia Barat dan PBB seperti ketika ini.
Israel masih perlu didesak oleh pihak ketiga yang mempunyai kehendak politik yang kuat supaya akur kepada tuntutan rakyat Palestin. Seperti kata Hafidzi, masyarakat dunia boleh mengalih perhatian kepada kuasa baru untuk mengenakan tekanan ke atas Israel. Antaranya menerusi kuasa dan inisiatif masyarakat sivil.
Israel dilihat sedikit tertekan dengan gerakan oleh masyarakat sivil antarabangsa terutama selepas tragedi serangan ke atas kapal kemanusiaan Mavi Marmara sedikit masa lalu. Tekanan antarabangsa memaksa Israel sedikit akur meskipun masih lagi mempamerkan sikap angkuh terhadap misi bantuan kemanusiaan.
Sepanjang bulan ini dan November depan, beberapa misi kemanusiaan seperti "Viva Palestina 5" dan "Life Line for Gaza" akan bergerak sekali lagi ke Gaza melalui jalan darat dan laut.
Kuasa lain yang boleh membantu, tambah Hafidzi ialah negara-negara kuasa ekonomi baru seperti China, Turki dan Brazil. Negara-negara ini mempunyai mandat untuk menolak mana-mana inisiatif yang diterajui oleh kuasa besar dunia khususnya AS dalam melaksanakan agenda dan kepentingannya. Ia pernah berlaku ketika Brazil dan Turki menolak cubaan sekatan ekonomi AS ke atas Iran melalui PBB sebelum ini.
Dengan kekuatan ekonomi yang dimiliki oleh kuasa-kuasa ekonomi baru itu, maka AS tidak lagi mempunyai suara mutlak dalam menentukan hala tuju pergerakan politik antarabangsa termasuklah dasar luarnya di Asia Barat. Bahkan tambah Hafidzi, AS kini semakin tercabar dengan China yang begitu pesat berkembang dari sudut ekonominya. China yang pada dasarnya bersikap berkecuali terhadap isu Palestin pasti akan menjadi broker penting dalam menentukan arah tuju hegemoni politik di Asia Barat.
Sekali lagi Israel berada dalam keadaan yang tidak memihak kepadanya secara mutlak. ''Rakyat Palestin bakal memiliki kuasa rundingan yang lebih kuat dalam mempertahankan haknya dengan kemunculan kuasa-kuasa ekonomi baru ini. Mungkin kesannya tidak akan dilihat dalam masa yang terdekat, tetapi kedegilan dan keangkuhan Israel tidak dapat dipertahankan lagi di masa hadapan," jelas Hafidzi.
Tuesday, September 7, 2010
Aqsa Syarif dan PACE menjayakan misi VP5 ke Gaza

Assalamualaikum,Aqsa Syarif menaja 3 dari 6 kenderaan dari Viva Palestina Malaysia yang akan bertolak dari London mulai 18 September 2010. Seramai 7 orang sukarelawan Aqsa Syarif akan terlibat memandu kenderaan bantuan ke Gaza yang terdiri dari 6 buah van Nissan Interstar. Tiga orang aktivis VPM juga bersama mereka akan bertolak dari London dan dua orang lagi akan menyertai mereka di Latakia, Syria. Dua orang wartawan dari TV3 turut menyertai untuk rakaman dan liputan lansung.
Aktivis Aqsa Syarif akan diketuai oleh Dr Mohd Zin Kandar. Sekretariat Task Force dibentuk oleh aqsa Syarif yang diberi nama LC VP5 (Land Convoy Viva Palestina 5) diketuai oleh PM Dr Hafidzi Mohd Noor telah mula berkempen bagi mengumpul dana bagi tujuan ini. Setakat ini sebanyak RM165,000 telah disumbangkan bagi membeli 3 buah kenderaan bersama barangan bantuan. Kempen akan diteruskan dipenghujung Ramadhan menjelang Aidil Fitri sehingga 30 September 2010. Mereka yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun MBB551575-004299. Sila faxkan bank in slip ke no faks 03-87349636
Dr Hafidzi Mohd Noor
Koordinator
LC VP5
Aqsa Syarif
Pengarah PACE
Sunday, August 29, 2010
Faizal Tahir bersama Aqsa Syarif dalam 'Bersamamu Palestin di TV3'
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ
Mohd Tahir (dua dari kiri) bersama anaknya, Faizal Tahir (tiga dari kiri) ketika majlis sidang media di Sri Pentas TV3, Rabu. - Foto TV3BAPA kepada penyanyi dan komposer Faizal Tahir, Dr. Mohd Tahir, 60, yakin umat Islam dan sesiapa yang menentang penindasan Rejim Zionis terhadap Palestin hendaklah memboikot produk Israel.
Menurut beliau, biarpun ramai yang menghentam kekejaman Zionis, namun masih ada yang mengambil ringan tentang isu memboikot produk dari negara itu.
“Ada yang tidak sedar sebenarnya apabila kita membeli produk-produk itu, ia menyumbang kepada pembelian peluru dan senjata mereka (Israel).
“Sedangkan cucu saya yang masih kanak-kanak pun bijak memboikot produk-produk mereka. Apabila saya membawa cucu dan memberitahu hendak membeli produk mereka, dia menjawab sebab apa nak beli produk orang yang membunuh bayi?
“Kita boleh mula melatih anak-anak memboikot produk ini dari kecil dengan menghentikan pembelian kosmetik dan rokok. Secara sedikit demi sedikit ia mampu membantu,” ujar beliau dalam satu sidang media bersama-sama Faizal Tahir di Sri Pentas TV3, Rabu.
Dengan pelantikan Faizal sebagai duta Kempen Bebaskan Bumi Palestin baru-baru ini, beliau bersyukur dengan anugerah yang dikurniakan oleh Allah itu.
Kata beliau, lebih menyentuh hatinya apabila kempen itu mampu membuatkan Faizal mengubah pemikiran skeptisnya yang sebelum ini ragu-ragu tentang bantuan yang diberikan kepada pelarian Palestin.
Selama ini, penyanyi lagu Sampai Syurga itu tidak pasti sama ada wang yang disumbangkan kepada pelarian itu sampai ke tangan mereka atau tidak.
“Anak kedua saya ini susah untuk mendengar cakap saya dan sukar untuk saya meyakinkannya tentang penyerahan sumbangan itu dari tangan ke tangan.
"Akhirnya, setelah menyertai program ini di Lubnan, dia sendiri yang menyaksikan sumbangan itu diserahkan kepada pihak yang bertanggungjawab di sana.
“Pada mulanya saya tertanya-tanya juga bagaimana TV3 dan Aqsa Syarif Bhd akan menyebarkan maklumat ini. Saya harap Faizal bukan sahaja akan menjadi yakin setelah terlibat dengan program Bersamamu malah membuka mata semua orang,” katanya penuh semangat.
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ
Faizal Tahir berkunjung ke rumah keluarga miskin pasangan Atiff Mohamed Khalil dan Amni Munir Ismail di Kem Barajneh, Beirut. - Foto TV3KUNJUNGAN kru Bersamamu yang terdiri daripada penerbitnya, Siti Hajar Abdullah, jurukamera Rahman Salim dan Pengerusi Aqsa Syarif Bhd, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus berjaya merakamkan sebahagian daripada kisah-kisah keperitan hidup pelarian Palestin di Lubnan pada 6 Ogos lalu.
Ia sebuah siri yang harus ditonton oleh seluruh rakyat Malaysia agar sama-sama dapat menyelami penderitaan golongan yang ditindas itu.
Rakaman tersebut dipertonton dalam tiga episod khas Bersamamu : Bebaskan Bumi Palestin yang bersiaran pada 25 Ogos lalu serta 1 September dan 8 September akan datang pukul 9.30 malam.
Bersamamu akan menyorot kisah beberapa keluarga yang dikunjungi kru TV3 di kem pelarian di sana. Beberapa khemah pelarian dikunjungi seperti Kem Pelarian Sabra Shatila dan Kem Pelarian Barajneh di Beirut, Kem pelarian Beddewi di Utara Lubnan dan Kem Pelarian Tyre di Selatan Lubnan.
Faizal Tahir sebagai Duta Kempen Bebaskan Bumi Palestin bersama-sama bapanya, Dr Mohd Tahir (dua dari kiri) dan Pengerusi Aqsa Syarif Bhd, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus (tiga dari kanan).Untuk melihat bagaimana pelarian Palestin berbuka puasa, kru Bersamamu singgah di rumah seorang jurutera bertauliah, Fathi Habbosh yang tidak boleh bekerja kerana bertaraf pelarian.
Bagi menampung kehidupan keluarga, Fathi terpaksa menjual barangan runcit sekitar kem pelarian menggunakan kereta sorong untuk membesarkan anak-anak yang ramai.
Penonton Bersamamu juga dapat menyaksikan kunjungan rombongan ke kem Beddewi di Tarablus (Tripoli) di utara Lubnan yang meninjau keadaan klinik dan sekolah pekak dan bisu.
Kempen Bebaskan Bumi Palestin dilancarkan oleh TV3 bersempena dengan sambutan ulang tahun stesen televisyen itu yang ke-26 pada Jun lalu.
Kempen tersebut bertujuan menyampaikan mesej murni, meningkatkan kesedaran dan keprihatinan di kalangan rakyat Malaysia supaya insaf dan mengambil iktibar terhadap kejadian yang menimpa rakyat Palestin.
Misi Faizal Tahir
Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my
2010/08/27
Faizal saksikan sendiri penderitaan pelarian PalestinSegala perasaan yang dikongsi Faizal ketika berada di bumi Islam itu turut dikongsi dalam program Bersamamu yang disiarkan sebanyak tiga episod bermula 25 Ogos, 1 dan 8 September ini.
Menurutnya, dia tentu sekali berbangga apabila diundang Badan Bukan Kerajaan (NGO) Aqsa Syarif bersama produksi Bersamamu TV3 untuk bersama menyelami dan menghayati kehidupan pelarian berkenaan, yang seterusnya menjadi pengalaman cukup berharga lagi menginsafkan.
“Sebelum ini saya banyak juga menjadi duta kepada produk, namun pelantikan sebagai Duta Bebaskan Bumi Palestin ini lebih besar dari segala-galanya. Tanggungjawab cukup besar. Ia bukan untuk promosi produk atau jual barang. Sebaliknya ia untuk memberi kesedaran kepada semua orang dan membuka mata dunia, sampai bilakah penderitaan Palestin akan berakhir.
“Apabila menjejaki kaki ke sana, saya terus sebak melihat suasana yang begitu daif. Saya terpaksa menguatkan semangat, demi menahan air mata daripada mengalir. Saya sedar, saat itu saya seharusnya memberi semangat kepada mereka, bukannya menambah kesedihan yang ada.
“Saya yakin, siapa saja yang pergi ke sana akan tersentuh hatinya. Apabila saya memasuki sebuah rumah di satu daripada 14 kem pelarian di sana dan melihat sendiri keadaannya, barulah saya sedar bertapa bertuahnya kita dilahirkan di Malaysia,” katanya.
Sebagai selebriti, Faizal menganggap dirinya sebagai milik masyarakat dan individu yang paling berpengaruh untuk menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada mereka.
“Saya berharap, dengan pengalaman yang saya paparkan menerusi program Bersamamu ini, sedikit sebanyak ia akan menyedarkan masyarakat, seterusnya memberikan pengetahuan serta keinsafan kepada mereka.
“Saya juga berharap selepas ini lebih ramai lagi selebriti akan mengambil bahagian dalam kempen Bebaskan Bumi Palestin. Dengan bantuan selebriti, penderitaan rakyat Palestin mungkin akan terus mendapat perhatian masyarakat dunia,” katanya yang berjanji akan ke sana lagi pada masa akan datang, untuk terus memberikan sokongan.
Tidak mahu dikaitkan dengan produk Israel
DEK kekejaman rejim Zionis yang sungguh tidak berperikemanusiaan terhadap masyarakat Islam di bumi Palestin, yang sudah berlarutan sehingga enam dekad, timbul perasaan benci, marah yang membuak-buak dalam diri penyanyi ini.
Jika diberikan kekuatan, Faizal nekad untuk tidak lagi mahu meneruskan apa saja komitmen membabitkan dirinya bersama produk Israel selepas ini.
Selain menjadi Duta Bebaskan Bumi Palestin, Faizal turut terikat dengan tugas sebagai duta produk yang dikatakan mempunyai hubungan erat dengan negara itu.
“Memang ada yang menyatakan produk yang diwakili saya adalah milik Israel. Daripada pemerhatian saya, sukar untuk memberikan kesahihan produk itu dimiliki negara terbabit. Saya belum berkesempatan menyelidik perkara itu secara lebih terperinci.
“Sebagai orang Islam memang kita sudah diajar untuk menghormati apa-apa saja perjanjian yang sudah dibuat. Sebelum ini juga, saya sudah menandatangani kontrak perjanjian bersama produk itu dan ia masih berbaki satu tahun lebih lagi. Mungkin tahun depan kontrak ini akan berakhir.
“Jika diperhatikan, kini saya jarang memakai produk itu, dan jika ada pun pada majlis tertentu saja. Setelah mengalami sendiri ‘kezaliman’ yang dilakukan rejim itu, saya berjanji tidak akan menyambung lagi kontrak saya dengan produk terbabit selepas ini,” katanya jelas menunjukkan kekecewaan dan sedaya upaya untuk memboikot produk Israel.
Menurutnya, sejak dulu lagi banyak produk Israel sudah tidak disokong olehnya, sebagai tanda protes dan tidak bersetuju dengan tindakan Zionis.
“Sebenarnya sejak dulu lagi ayah saya sudah mendidik kami adik-beradik untuk memboikot produk Israel dan memang saya tidak menggunakannya.
“Selepas saya mendirikan rumah tangga dan memiliki anak-anak, saya juga perturunkan kepada anak saya untuk tidak menggunakan produk Israel. Mungkin ia tindakan yang kecil saja, tetapi jika semua masyarakat dunia mampu melakukan perkara yang sama sedikit sebanyak kita dapat menghentikan niat jahat Israel untuk terus menindas saudara kita di bumi Palestin itu,” katanya.
Monday, August 23, 2010
Sumbangan kepada The Islamic Society Jabaliya - Palestine utk projek ternakan lembu tenusu/pedaging
cenderahati dari Bro Abdul Rahim
(Wakil Islamic Society - Jabaliya)
penerimaan sumbangan dgn disaksikan oleh
Pengerusi Perhubungan Antarabangsa IKRAM - Ust Wan Subky Wan Soleh
kepada Islamic Society Jabaliya melalui AQSA SYARIF
bagi menampung perbelanjaan projek ternakan
lembu tenusu/pedaging di Gaza
staf Ibu Pej Aqsa Syarif - Ust Syazaly dan Mohd Qayyim
PACE/JIM telah memghulur sumbangan kepada Islamic Society - Jabaliya/Palestine melalui AQSA SYARIF untuk menampung perbelanjaan usaha ladang ternakan lembu tenusu/pedaging di Gaza. Usaha ini dijalankan oleh Islamic Society dan berpotensi besar untuk maju. Ia dikendalikan secara profesional dengan tenaga pakar yang sudah berpengalaman mengendalikan ladang ternakan secara komersial selama 30 tahun dan mendapat latihan di Germany. Ladang tenusu ini dibahagikan kepada dua tempat atas sebab keselamatan dan jaminan untuk bekalan yang tidak terputus sekiranya berlaku serangan ke atas Gaza. Ladang ini membekalkan keperluan susu dan juga daging terutama pada Hari Raya Qurban kepada penduduk Gaza. Ladang yang diusahakan secara profesional ini mendapat baka dari Australia dan Belanda. Ternakan ini masuk ke Gaza melalui saluran Mesir (terowong).
PACE/JIM telah menyumbang sebanyak Euro 25,805 bagi menampung keperluan kewangan yang agak mendesak. Aqsa Syarif sedang menimbangkan untuk membiaya sebahagian projek ini setelah menimbangkan beberapa perkara dan setelah melihat proposal baru yang akan dibentangkan.
(InsyaAllah gambar-gambar ladang ternakan akan disertakan kemudian)
Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah PACE
ahli Lembaga Aqsa Syarif
Friday, August 20, 2010
Program Ramadhan di Palestin - Anjuran Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam UM dan Aqsa Syarif PJ
Program di atas telah diadakan pada 19 Ogos 2010 di Akademi Pengajian Islam UM, anjuran Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam dan Aqsa Syarif PJ. Sambutan program amat menggalakkan sebagaimana yang dapat dilihat dalam gambar-gambar yang dikongsikan. Program yang diisi dengan ceramah isu Palestin terkini turut menampilkan Muadz dan Hafiedz (percussion - yang amat mengasyikkan). Muadz membawa 2 buah nasyid. Keunikan program ini turut menampilkan Shinji, rapper dari Jepun yang mempunyai kelainan beliau yang tersendiri. Beliau yang sudah lama bermastautin di Kuwait (20 tahun) amat peka dengan isu Palestin dan serangan ke atas umat Islam terutama selepas peristiwa 9/11. Beliau berjuang untuk membetulkan tanggapan yang salah ke atas Islam yang difitnah sebagai agama keganasan. Atas rasa keprihatinan yang amat tinggi beliau menyertai Viva Palestina Malaysia dan bergiat dalam bidang seni rapper untuk membetulkan tanggapan dunia terhadap Islam sebagai agama keamanan - di samping menolak agenda extremism yang diketengahkan oleh sebahagian kelompok. Ini beliau lakukan meskipun beliau bukan muslim. Kini Shinji sudah menetap di Malaysia selama 4 tahun
Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah PACE
ahli Lembaga Pengarah Aqsa Syarif
.jpg)