Thursday, October 29, 2009

Umrah Cik Aton & Pak Abu Hassan

Kak Endon dan Abang Hassan 

Gambar Kak Endon dan Abang Hassan sekeluarga semasa bertolak dari KLIA untuk mengerjakan umrah pada 22 Julai 2009 yang lalu

"Awak nak hadiah apa ya, jaga saya sepanjang saya dirawat di HKL ni?" Tanya Abang Hassan pada Kak Endon. "Saya nak berikan awak hadiah yang istimewa. Kita ke Mekah untuk umrah ya". 

 
Begitulah yang diceritakan oleh Kak Endon kepada Aku. Alhamdulillah berkat kesabaran dan kasih sayang Kak Endon merawat Abang Hassan di HKL, Abang Hassan berikan hadiah yang cukup istimewa buat mereka berdua. Selama lebih kurang dua minggu Abang Hassan dirawat di HKL kerana menjalani pembedahan tulang tengkok, kesan kemalangan yang dialaminya bertahun-tahun dahulu. Kecederaan tersebut telah mula mengakibatkan urat sarafnya terganggu dan perlu menjalani pembedahan segera.  
 
Kak Endon adalah kakak Aku yang ke enam daripada sebelas orang adek beradek. Kak Endon dan Abang Hassan baru sahaja mengambil "option" bersara awal dari perkhidmatan dalam bidang rawatan kesihatan. Kak Endon sebagai "staff nurse" di Hospital Besar Muar, dan Abang Hassan pula Pegawai Makmal di Klinik Kesihatan, Bukit Pasir, Muar. Sudah berpuluh tahun mereka mencurahkan khidmat bakti kepada pesakit yang memerlukan rawatan. Banyak juga cerita lawak yang Aku dengar dari Kak Endon tentang gelagat para pesakit. Pernah satu ketika, kak Endon "menangkap" sepasang muda mudi yang bercengkerama di sebalik tabir katil di dalam wad otopedik. Si pemuda patah kaki kemalangan motor, si pemudi datang untuk merawatnya. Kes itu bukanlah kes yang terpencil, banyak juga kes-kes seperti itu. Sehingga misi-misi di situ secara tidak langsung menjadi pegawai pencegah maksiat pula. 
 
Mereka dikurniakan 4 orang cahayamata. Tiga daripadanya telahpun bekerja tinggal yang bongsu sahaja lagi, sedang menuntut di Universiti Malaya. Cucu-cucu Kak Endon semuanya rapat dengan Tok Cu Hafidzi terutamanya K.Long Sumayyah, Talhah dan Fadwa Izzati. 
 
Pada 22 Julai 2009 yang lalu, kami sempat menghantar mereka berdua dari KLIA untuk menunaikan umrah. "Ini sebagai latihan sebelum menunaikan haji", kata Kak Endon. Dalam kesunyian berada di bandar Yiyang sementara menunggu berita dari Abang, sempat Aku nukilkan coretan yang lama tertangguh ini. Aku baru sahaja mendapat mesej dari Kak Endon, yang mereka belum ada rezeki ke Mekah tahun ini, nama mereka tidak tersenarai. Mudah-mudahan Allah berikan mereka peluang menjadi "dhuyuf Ar Rahman" pada tahun yang akan datang pula. Amin.
 
Ummu Qayyim
29 Okt 2009
Yiyang, China

Friday, October 23, 2009

Catatan Permusafiran Perubatan Abi

Assalamualaikum,

setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah, atas kasih dan sayangNya, Dia melimpahkan kami sekeluarga nikmat ukhuwah islamiyah. untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan perubatan Dr. Hafidzi (ayahanda kami), para pengunjung bolehlah terus melayari portal Catatan Perubatan Dr Hafidzi.

anda boleh sama ada terus ke link www.lambaian-islah-perubatan.blogspot.com ataupun clik di link yang telah disediakan di atas.

Sekian

Qayyim Hafidzi (013-3266832 / qayyimh@gmail.com)

p/s: untuk berurusan dengan keluarga kami, buat sementara waktu, bolehlah menghubungi saya di nombor dan email di atas. untuk urusan pembelian madu Tualang Dr. Hafidzi pun sama...

Tuesday, October 20, 2009

Mohon Doa dari semua

Bergambar sekeluarga sempena MAN 09

Assalamualaikum,

Saya memaklumkan bahawa saya dan isteri akan bertolak ke Guong chou, China untuk menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang esok hari Khamis 22 Okt. Kami mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada kaum keluarga, jiran-jiran, sahabat handai dan sesiapa juga yang mengenali kami atas sebarang kesilapan. Sudilah kiranya memanjatkan doa agar pembedahan ini berjaya dan saya kembali dengan kesihatan yang lebih baik dari kini. Ilaliqa' (semuga bertemu kembali)

Dr Hafidzi Mohd Noor/Hjh Zuraidah Kornain

-------------------------------------------------

Di bawah ini ialah coretamn penghargaan kepada sahabat-sahabat yang telah banyak berkorban dan menyumbang untuk perbelanjaan perubatan saya.

Assalamualaikum wrt bth.

Ana menulis bagi pehak keluarga kami (kak zu dan anak-anak Mohd Qayyim, Muhammad Mawardi dan Amin Husaini). Pada penghujung Ramadhan ini kami menadah tangan memohon ampun kepada Allah SWT atas segala kelemahan, kebodohan dan kealpaan kami. Kami juga dengan rendah hati mengucapkan jazakumullahu khairan kathira atas budi baik antum semua kepada kami. Budi baik antum itu tidak dapat kami balas melainkan kami titipkan doa dalam sujud-sujud kami, agar Allah memberikan ganjaran yang terbaik kepada antum di dunia sampai akhirat. Dan kami amat bersyukur kerana Allah memberi kami merasai lazatnya ukhuwah di atas jalan dakwah ini. Semuga kami dapat mencontohi antum semua.

Bagaimanalah kami hendak ungkapkan apa yang ada di hati? Saudara-saudara baru bersama akh Cikgu Kamaruzaman menyumbang jumlah yang besar sedang mereka sendiri amat berhajat! Ust Zulfikri dari Aceh menyumbang sebanyak USD 100 sedangkan beliau sendiri memerlukan belanja besar untuk merawat anaknya yang mengidap kanser jauh di negeri orang! Sumbangan dari sahabat-sahabat kami ketika mula melangkah di jalan dakwah ini (antara akhi Amran Sakir, akhi Soofie Mohd Taib, Akhi Wan Johari, akhi Syed Zakaria @ abah1963) menyebabkan air mata ini mengalir deras mengenangkan saat-saat kita muda remaja bertatih mendekati dakwah ini di rantau orang, dalam sejuknya salju ketika kita sama-sama berjemaah di rumah Allah, meredah lebuh raya dalam ribut salji untuk mencari bekal di jalan dakwah... Mengenali antum adalah nikmat yang cukup besar di sisi Allah.

Ana juga amat terharu dengan ikhwah yang datang ziarah. Akh Muhammad adalah antara yang awal bertandang ke rumah kami. Inilah sahabat yang banyak menolong kami ketika pulang ke tanah air di Serdang dahulu. Beliau bersama arwah Wan Abdul Razak adalah antara sahabat yang mula-mula menyantuni kami sehingga kami dapat meneruskan tarbiyyah kami di sini. Sehingga kini ana tak dapat melupakan arwah Wan Razak yang mengirimkan smsnya terakhir kepada ana 'Ana sayang pada anta, dan harap anta sembuh untuk meneruskan kerja-kerja ini' Ungkapan 'sayang' inilah yang ana terima dari ramai sahabat 'Ana sayang pada anta dan ana menulis sms ini dengan linangan air mata..." Ya Allah, Engkau menjadi saksi atas kasih-sayang yang saudara-saudara kami luahkan kepada kami. Ya Allah, Engkau kurniakanlah segala kebaikan dari kurniaMu kepada sahabat-sahabat kami."

Kami juga mengambil peluang ini utk mengucapkan jazakumullahukhairan pd Presiden dan seluruh barisan JKP yang melancarkan Tabung ukhuwwah untuk belanja perubatan ana. Izinkan ana menyebut di sini JK yang dibentuk oleh JKP yang dipengerusi oleh Prof Dr Sahrim dan Ir Dr Hj Selamat dan Dato Mustafa Kamal juga ukhti Roha telah menggerakkan usaha ini dengan kesungguhan yang tidak dapat dihargai hanya dengan kata-kata. Prof Sahrim bertungkus lumus mengatur pertemuan dgn agen yg mengurus rawatan akh Jusri di Cina, menghubungi Dr Latiff untuk pemeriksaan jantung dan mengurus temu janji dgn Dr Azizah di IMR untuk ujian darah. Apabila ana kongsikan dengan Kak zu, dengan linangan air mata dia mengatakan 'ikhwah sayang pada abang..' Sekali lagi kami tidak dapat menafsirkan kesungguhan ini selain dari kerana 'sayang'.

Kasih-sayang anak-anak muda juga tidak dapat kami gambarkan di sini. Mereka mengirim sms dengan kata-kata yang bersulam doa dan pengharapan yang baik kepada Allah SWT. Mereka ungkapkan kasih sayang ini dalam blog-blog mereka, menyebut itu dan ini terhadap seorang insan daif dan kerdil di sisi Allah ini. Dari anak-anak KARISMA, anak-anak sekolah memanjatkan doa kesembuhan dari jauh dan dekat, bertandang dan bertanya khabar sehinggalah kepada anak-anak kecil. Cucunda Wildan, anak kepada seorang akhawat (sebelum ini di dalam usrah kak zu) yang belum sampai usia 5 tahun yang rapat dengan ana apabila dapat tahu 'atok' (panggilan mesranya pada ana) nya sakit, telah membacakan fatihah untuk 'atuk'. Anakanda Nuha dalam darjah 2(anak akhi Dr Norkhair - Johor) yang juga rapat dengan kami menangis teresak-esak dan tak putus-putus berdoa untuk pakcik Hafidzi dalam bulan Ramadhan. Terima kaseh pada anakanda dan cucunda semua, doa kalian yang merupakan rijal-rijal dan serikandi-serikandi di jalan Allah.

Kami juga amat terharu dengan apabila diberitahu oleh Pak Azhar, anak-anak di Dayah Darul Hijrah, Sekolah al-fityan (anak-anak Darul Aitam, Pagar Air), Aceh mengadakan solat hajat dan mendoakan kesembuhan untuk ana. Mereka semua adalah anak-anak yang antum semua santuni sejak dari musibah tsunami 4 tahun lalu. Ia telah membuahkan rasa ukhuwah yang bertaut kekal di dalam jiwa-jiwa kita.

Untuk sahabat-sahabat ana, sumber kekuatan ana dalam menangani qadhiah Palestin. Antum semua adalah mujahid-mujahidah yang berjihad untuk bumi ribat al-Quds. Akhi Pak Selamat, akhi zun arif, akh Dr Roslan Hashim, akh Dr Abdul Rahim Mohd Yusuf, ukthi Norazian dan pasangan anak muda akh Abdullah Mujahid-ukth Nihlah, dan ramai yang lain semuga Allah terus memberikan antum kekuatan berterusan sehingga ke akhirnya - sehingga al-Quds dan umat Islam seluruh dunia dapat solat di dalamnya. Tak dapatlah ana sebut di sini betapa syahdunya apabila diberitahu Syeikh Abu Bakar al-Awawida ulama Palestin dari Syria yang buta matanya kerana keluar-masuk penjara Israel sebanyak 13 kali, sebaik tiba di KLIA bertanya tentang ana dan mengatakan pada Ust Idham (akh dari Indonesia yg mengiringi mereka) adalah wajib untuk menziarahi Dr Hafidzi. Mereka ulang sekali lagi dalam perjumpaan di Pej HALUAN tempoh hari. Hanya air mata yang mampu menyambut kata-kata ini dari seorang yang dimuliakan oleh Allah dalam jihad ini. Kata-kata itu adalah untuk antum semua yang lebih banyak beramal untuk qadhiah Palestin.

Ana juga terpanggil untuk ucap tahniah pada Cikgu Laila, Tn Hj Syed Ibrahim, akhuna Bat Latif dan ukthi Nashita dan semua yang lain. Jihad antum telah membuahkan hasil. Mabruk pada Cikgu Laila, sdr Matsah dan anakanda Suhaib. Maafkan saya kerana tidak dapat bersama di barisan depan. Ketika masih sehat dulu, demonstrasi adalah aktiviti yang dinantikan. Tetapi kini lebih banyak berdoa dan meletakkan pengharapan yang baik pada Allah agar keluarga Mat Sah dan semua tahanan ISA mendapat ganjaran yang besar akibat di zalimi di dunia ini.

Kini sasaran yang antum semua letakkan telah melepasi sasaran rm250k. Langkah berikutnya ialah membuat persediaan untuk menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang. Doktor pakar yang merawat ana di Serdang menjelaskan bahawa kejayaan pemindahan buah pinggang mencapai 90% dalam tempuh setahun (ini bererti 10% akan mengalami kegagalan dlm tempoh setahun dan kembali menjalani dialysis). Dalam tempoh 3 tahun pula 30% mengalami fungsi kegagalan buah pinggang semula. Inilah realitinya termasuklah berhadapan dengan risiko kematian semasa pembedahan. Jadi kami meminta ikhwah-akhawat menghalalkan semuanya apa jua natijahnya. Seperti yang dipesan oleh akh Jusri dan ukth kak Fauza, mesti mempunyai tawakkal sungguh-sungguh pada Allah dan bersedia berserah kepadaNya untuk menghadapi apa jua kemungkinan. Ini juga merupakan satu lagi latihan kpd kami untuk bermuraqabah dan membina hubungan yang kuat dengan Allah.

Malam ini selepas berbuka dan solat isya', jika esok di istiharkan Eid, kami akan berkumpul seperti biasa berpesan-pesan anak beranak untuk memohon ampun pada Allah dan berdoa agar Allah terima amalan kita di bulan Ramadhan. Malam ini ana akan titipkan pesanan yang khusus pada anak-anak iaitu berbuat baiklah pada pakcik dan makcik dan sahabat-sahabat yang telah menunjukkan kasih sayang pada kita semua. Muliakan mereka dan berbaktilah kepada mereka. Jika mereka sakit ziarahilah mereka, jika mereka ditimpa musibah bantulah mereka dan bila mereka dijemput pergi, iringilah mereka dan panjatlah keampunan untuk mereka. Sesungguhnya mereka telah berbuat baik dan berbakti kepada abi kamu semua...

Jika ada kelapangan jemputlah datang ke rumah sempena Hari Raya. Kami akan sambut dengan kasih-sayang illallah.

Dr Hafidzi Mohd Noor
Hjh Zuraidah Kornain
anakanda Mohd Qayyim
anakanda Muhammad Mawardi
anakanda Amin Husaini

29 Ramadhan 1430/19 Sept 2009


Fadwa dan Luqman di rumah tok cu/nenek su

Luqman dan fadwa bergambar bersama ibu (Rodzi), ayah (Izat) dan tokcu

Assalamualaikum,
Pada hari Ahad yang lepas kami dengan inisiatif dari Makngah (Kak Jun) dan keluarga telah mengadakan majlis doa selamat sempena keberangkatan Paksu ke Cina untuk rawatan pembedahan buah pinggang. Terima kaseh di atas kunjungan semua ahli keluarga, jiran-jiran dan sahabat handai yang hadir dan sama mendoakan keselamatan dan kejayaan pembedahan itu nanti. Mohon maaf kepada semua dan ilaliqa (semuga bertemu kembali) . Ameen
Dr Hafidzi Mohd Noor/Kak Zu
anak-anak

Sulaiman - anak angkat kami dari Vietnam

Bergambar dengan anak-anak dari Vietnam. Sulaiman berdiri di kiri Mawardi

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, semasa MAN 09 kami berpeluang untuk bertemu dengan anakanda Sulaiman, anak angkat kami dari Vietnam. Beliau adalah salah seorang dari 16 pelajar Vietnam yang ditaja oleh JIM dan kini sedang menuntut disebuah maahad Tahfiz di Terengganu. Kami memilih Sulaiman kerana beliau seusia dengan anakanda Mawardi yang juga sebelum ini belajar di Maahad Tahfiz Hira'. Semuga anak-anak dari Vietnam ini membawa cahaya Islam dan meneranginya di Indochina, satu ketika dahulu pernah menjadi salah sebuah dari kerajaan Islam yang iaitu Kerajaan Champa (melayu Cham). Ameen Ya Rabb

Dr Hafidzi/Hjh Zuraidah
dan anak-anak

Bertemu anak bongsu arwah Cikgu Basri


Assalamualaikum,

Saya amat bertuah dan merasa amat terharu apabila berjumpa dengan anakanda Muiz, anak bongsu kepada arwah Cikgu Basri, mentorku. Arwah cikgu Basri amat dekat di kalangan ramai ikhwah dan akhawat. Sentuhan beliau dirasai oleh semua. Kelembutannya pasti dikenang selamanya. Beliau pernah menyebut kata-kata ini kepadaku 'Ana sangat sayang pada anta, akhi..." ungkapan ini tidak akan saya lupakan sehingga akhir hayat.

Pada malam MAN 09 dan pelancaran buku Jejak Risalah di Nusantara V, anakanda Muiz datang membawa senaskhah buku Jejak Risalah V untuk ditanda tangani dan memperkenalkan diri sebagai anak arwah Cikgu Basri. Pada saat itu juga hati ku menjadi sebak dan pipi Muiz ku kucup dengan penuh rasa kasih. Pada buku yang dibeli anakanda Muiz aku catitkan kata-kata ini 'Ikutlah jejak langkah ayahmu yang telah menghabiskan seluruh usianya berjuang di jalan islam...'

Semuga anakanda Muiz menjadi anak soleh, kebanggaan arwah Cikgu Basri dan ibunya. Ameen ya Rabb.

(Terima kaseh kepada sahabatku Ir Dr Hj Selamat Aliman yang mengirim gambar ini)
Dr Hafidzi Mohd Noor

Pelancaran Buku Jejak Risalah di Nusantara Jilid V

Bersama Presiden JIM (Hj Zaid Kamaruddin) dan Sdr Azhar Maluddin (Ketua Nusantara Jaw. Perhubungan Antarabangsa JIM) semasa pelancaran MAN 09 (Malam Amal Nusantara).

Terima kaseh kepada Sdr Wan Zukri (Abu Syamil) pengarah MAN 09 atas kiriman gambar ini.

Dr Hafidzi Mohd Noor


 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc