Sunday, March 30, 2008

BIRTHDAY BOY IN DA HOUSE!

Amin Hussaini bin Hafidzi

(waktu raya Eidul Fitri kat kg rumah MakLong Ayer Hitam, Johor)

abg2, umi n abi doakan yang terbaik buat amin..

moga umur yang panjang Allah kurniakan, digunakan sebaiknya..berusaha kearah menjadi insan yang soleh wa musleh, bekerja untuk islam, cemerlang dalam bidang yang amin minat dan dikurniakan zauj yg sama solehah wa muslehah~huhuhu =]

semoga cekal dalam perjuangan..sama seperti Sheikh Amin Al-Hussaini!..ulama pejuang Palestin, amin~

30hb March 1990
yg ke-17 kan..SPM hujung tahun neh bang oi~

Wednesday, March 26, 2008

iktibar dari kemenangan HAMAS - apa yang boleh dipelajari dalam persepktif PRU12 Malaysia


IKTIBAR DARI KEMENANGAN HAMAS DALAM PILIHANRAYA PALESTIN -APAKAH FAKTOR YANG MENJAMIN HAMAS KEKAL BERKUASA.
Rencana ini dimuatkan dlm web blog MSM London (Majlis Syura Muslimun)(http://msmlondon.wordpress.com/)

oleh Dr Hafidzi Mohd Noor

Rencana ini bertujuan memperjelas kan bagaimana HAMAS mempertahankan kemenangan mereka yang diperolehi dalam Piliharaya LegislatifPalestin pada bulan Januari 2006.Banyak iktibar yang boleh di ambil apabila HAMAS terus menerajuikerajaan (meskipun kuasanya kini terbatas di jalur Gaza) dalam keadaanmenghadapi kepungab serta diasak oleh musuh-musuh politik yang bersekongkol dengan regim zionis dan Amerika.Sebab utama kenapa HAMAS masih memegang tampuk pemerintahan sehinggakini adalah kerana sokongan rakyat yang tetap utuh meski berdepan dengan sekatan antarabangsa dan kepungan yang melumpuhkan sama sekali ekonomi dan kehidupan seharian rakyat Palestin. Apakah pendekatan yangdiambil oleh HAMAS sehingga rakyat terus mempertahankan kerajaan ini?

1. Pimpinan dan aktivis HAMAS tidak terpisah dari kehidupan rakyat marhaen. Bahkan mereka hidup di kalangan pelarian di kem kem pelarian rakyat Palestin seperti di Khan Younis, Rafah dan Jabaliya. Rumah Syeikh Ahmad Yassin as-syahid, as syahid Dr abdul Aziz Rantisi, Drmahmoud Az Zahar dan Perdana Menteri Ismail Haniyeh tidak dapat dibezakan dari penduduk Palestin yang lain, Pendek kata tidak ada dalam kamus kehidupan pemimpin Hamas untuk hidup selesa dan mewah.

2. Mendahulukan keperluan rakyat. Setiap sumbangan kewangan yangditerima oleh kerajaan Hamas sepanjang berhadapan dengan sekatandiperuntukan untuk menampung keperluan rakyat. Apabila dana mencukupi untuk membayar gaji kakitangan awam yang tertunggak selama lebih darisetahun, kerajaan HAMAS mendahulukan kakitangan awam walaupun pegawai-pegawai tinggi dan ahli parlimen tidak dibayar gaji mereka.

3. Tidak pernah menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana awam. Sejak aktivis Hamas mula bergerak di tengah-tengah rakyat Palestin jauh sebelum tercetusnya peristiwa intifadah, mereka dikenali dari sifat keikhlasan, ketelusan dan kejujuran mereka. Semua badan-badan NGO antarabangsa termasuk agensi-agensi PBB seperti UNESCO, UNRWA, dan Red Cross yang menyalurkan keperluan rakyat Palestin boleh mengesahkan rekod cemerlang dan ketelusan badan-badan kebajikan yang diterajui oleh pendokong-pendokong Hamas. Apabila Hamas diberikan mandat, kepercayaan ini terus dipertahankan. Sejak menang PR bulan januari 2006, tiada satu lapuran pun yang mendakwa pegawai-pegawai dan ahli-ahli parlimen terlibat dengan penyelewengan dana awam.

4. Unit keselamatan yang cekap dan berdisiplin. Sebaik sahaja Hamasmemegang kuasa, pasukan keselamatnya 'Executive Force' dibentuk untuk menjaga aspek keselamatan rakyat. Pasukan ini telah berjaya mengawal keadaan apabila kelompok-kelompok bersenjata yang setia kepada Muhammad Dahlan (Fatah) menimbulkan huru-hara di Gaza. Bahkan kecekapan dan ketangkasan (termasuk dari sudut perisikan) mereka berjaya menundukkan kelompok pelampau seperti suku Daghoush yang menculik wartawan BBC, Alan Johnston. Pasukan keselamatan Hamas berjaya memelihara kepercayaan rakyat, bahkan berjaya mengembalikan keyakinan wartawan barat untuk membuat liputan di Gaza tanpa kerisauan terhadap aspek keselamatan. Peristiwa ini mendorong tidak kurang dari 20 ahli parlimen British mengusulkan kepada Perdana Menteri Tony Blair supaya menghubungi Hamas untuk mencari formula penyelesaian terhadap isu Palestin.

5. Tetap teguh mempertahankan prinsip. Hamas tidak pernah mengubah pendiriannya dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin. Bagi Hamas, hak rakyat Palestin untuk pulang ke tanah air mereka, hak untuk mendirikansebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan sempadan yang diperakui oleh PBB berdasarkan resolusi 242 pada tahun 1967 dengan Baitul maqdis sebagai ibu negara adalah 'inalienable rights' (hak asasi yang tidak boleh dipersoalkan) bahkan di iktiraf berdasarkan Deklarasi hak asasi manusia sejagat 1948. Sikap Hamas yang menolak sebarang kompromi untuk menggadaikan prinsip-prinsip ini menjadi sebab untuk rakyat Palestin memberikan mandat kepada Hamas danmempertahankannya meskipun berhadapan dengan kepungan yang boleh mencetuskan tragedi kemanusiaan yang parah. Pendirian Hamas dalam mempertahankan hak rakyat Palestin ini terbukti tepat apabila semua usaha-usaha perdamaian yang matlamatnya hanya untuk memperakui hak Israel untuk terus menduduki Tebing Barat da Baitul Maqdis Timur, yang ditaja oleh Amerika dan Israel berakhir dengan kegagalan. Ini termasuklah perjanjian Oslo 1993, Usaha Damai (Road Map) 2003 dan terkini Konferens Annapolis 2007.

6. Berusaha ke arah perpaduan nasional. Hamas tidak pernah melihat kemenangannya dalam PR legislatif Palestin sebagai kemenangan di atas lawan politik mereka. Bagi Hamas kemenangan yang dicapai adalah kemenangan rakyat Palestin untuk mempertahankan hak dan kedaulatan negara Palestin. Kerana itu langkah pertama yang diambil oleh Hamas sebaik diistiharkan sebagai pemenang ialah dengan mempelawa Fatah untuk bersama membentuk kerajaan (meskipun Hamas hampir memenangi 2/3kerusi, 62% dari bilangan kerusi yang dipertandingkan). Bahkan Hamas turut mempelawa kelompok-kelompok yang lain seperti PFLP dan Jihad Islami bersama menerajui kerajaan Palestin. Bagi Hamas projek membebaskan bumi Palestin adalah projek nasional dan dengan itu harus digerakkan oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira affiliasi politik. Malangnya tawaran ini ditolak mentah-mentah oleh Presiden Mahmud Abbas dan kalangan tertentu pimpinan Fatah. Hamas tidak berputus asa dan tetap mencari formula penyelesaian meskipun terpaksa berhadapan dengan pengkhianatan setengah pemimpin Fatah yang berkerjasama dengan Amerika untuk menggagalkan kerajaan Hamas. Akhirnya kerja keras semua pihak melahirkan sebuah kerajaan perpaduan nasional pada bulan Mei 2007. Malangnya kerajaan perpaduan nasional yang menggabungkan dua partiterbesar Hamas dan Fatah natijah dari persetujuan yang dimeterai di Mekah terongkai, sekali lagi oleh tangan-tangan jahat yang dipelopori oleh kelompok Fatah yang berkepentingan. Sehingga saat ini, dalam keadaan terkepung usaha untuk mencari titik penyelesaian terhadap isu perpaduan ini masih diteruskan.

7. Penyebaran maklumat untuk membentuk pandangan umum antarabangsa.Hamas sentiasa berusaha untuk menerangkan formula penyelesaianpolitiknya ke atas konflik Palestin. Sebaik sahaja Hamas memenangi PR,semua serangan 'berani mati' (amaliyah ishtihadiyah) dihentikan. Bagi Hamas kemenangan dalam PR dan berada dalam posisi sebuah kerajaan yang sah mewakili rakyat membuka ruang yang amat luas untuk Hamas menawarkan program politiknya untuk menyelesaikan isu Palestin. Untukini Hamas telah menggunakan semua kesempatan termasuklah menjelas dasar-dasar Hamas kepada negara-negara Arab, Kesatuan Eropah dannegara-negara Islam. Hamas juga menggunaan semua saluran media untuk menjelaskan pendekatan Hamas untuk mencapai satu persetujuan yangterhormat. Meskipun tidak mendapat sebarang reaksi dari Israel, hamas tetap mengistiharkan gencatan senjata sehala 'tahdiyah' (unilateralcease-fire) di mana kerajaan Hamas akan menahan diri dari melakukan serangan balas ke atas tindakan ketenteraan Israel menceroboh Gaza (kecuali untuk tujuan pertahanan). Hamas turut menawarkan genjatan senjata jangka panjang atau 'hudna' sekiranya Isreal bersetuju untuk berundur dari Tebing Barat, baitul Maqdis timur dan menghentikan kepungan ke atas Gaza termasuk mengosongkan semua penempatan Yahudi diatas wilayah yang diduduki pada tahun 1967. Hamas memberi keyakinan bahawa kemanan yang berpanjangan di Palestin dapat diwujudkan jika gencatan senjata ini menjadi kenyataan. Namun desakan untuk mengiktiraf Israel tidak perlu diteruskan kerana ia adalah suatu yang tidak mungkin samada dari sudut umat Islam bahkan sudut kemanusiaan sejagat. Semua program politik Hamas disiarkan dalam laman-laman web termasuklah saluran media barat meskipun ruang yang diberikan begitu sempit.

8. Sokongan NGO dan masyarakat madani 'civil society'. Hamas jugatidak boleh bertahan lama jika ia hanya bergerak sebagai sebuah parti politik (Change and Reform Party). Sokongan NGO-NGO yang beroperasi dalam Palestin dan di luar Palestin adalah satu sumber kekuatan bagi Hamas. NGO ini samada digerakkan oleh aktivis, penyokong dan simpatisan Hamas berjaya menampung sebahagian dari keperluan ekonomi, pendidikan, sosial dan kesihatan rakyat Palestin. Ratusan NGO yang memberi fokus kepada pelbagai keperluan lapisan masyarakat samada pelarian atau penduduk Palestin. Ada NGO yang membela anak-anak yatim,ada yang membela ibu tunggal, ada yang memberi tumpuan kepada aspek pendidikan, bahkan ada yang menumpukan kebajikan kepada imam-imam masjid, bahkan ada yang membantu sukarelawan yang meladeni pelarian.NGO-NGO ini turut berpusat di negara-negara Arab, Eropah, Amerika termasuk di Malaysia dan Indonesia. Pertubuhan-pertubuhan NGO yang aktif memperjuangkan hak rakyat Palestin di Malaysia ialah JIM-international, PACE (Pusat Kecemerlangan Palestin) dan Aman Palestin. Di Indonesia, NGO yang khusus dibentuk untuk memperjuangkan isu Palestin termasuklah KISPA (Komite Indonesia untuk Solidaritas Palestina) dan COMES (Centre of Middle Easrern Stdies). NGO-NGO ini berfungsi membangkitkan kesedaran masyarakat untuk membantu rakyat Palestin di samping menyalurkan maklumat yang sahih tentang perkembangan isu Palestin. Di samping itu NGO-NGO ini juga turut memberi tekanan kepada kerajaan masing-masing agar tidak menyokong mana-mana usaha yang ditaja oleh Amerika untuk mengkhianati hak rakyat Palestin.

Inilah di antara kekuatan yang dimiliki oleh Hamas sehingga ia mampu bertahan meskipun saat ini Israel telah mengenakan kepungan palingdahsyat yang pernah kita saksikan. Bermula dengan penutupan pintu masuk utama barangan di Karni (tiada pergerakan barangan keluar dan masuk ke Gaza), disusuli pula dengan pemberhentian bekalan minyak,kemudian pemotongan bekalan elektrik dan terakhir menghentikan bekalan klorin untuk tujuan rawatan air minuman. Dalam saat-saat rakyat Gazaberdepan dengan tragedi yang parah ini, mereka terus memberikan sokongan kepada Hamas tanpa goyah sedikit jua.

Pastinya banyak yang boleh dipelajari oleh mana-mana kerajaan di duniaini terutama kerajaan yang baru mendapat mandat dari rakyat.

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah
PACE (Pusat Kecemerlangan Palestin)

Pengalaman ceramah maulid di penjara wanita kajang

Assalamualaikum,

Semalam selasa 25 mac sempat mengisi program bersama warga penjara wanita kajang anjuran PAKSI-Jim wanita Hulu Langat. Jzk kepada kak Arfah Kassim yg merupakan tonggak kpd program mingguan di penjara wanita kajang.

Mereka memang menanti-nanti ketibaan program ini setiap minggu. Kebetulan semalam bertembung pula dgn program maulid nabi penjara laki-laki. Yg datang mengisi ialah dari jab agama. Program mereka melibatkan protokol dan semua pegawai terlibat. Keadaan ini menyebabkan sedikit 'miscommunication' dan kami dibiarkan menunggu hampir 45 min kerana tidak ada pegawai pengiring. Walhal kak Arfah telah memaklumkan kpd pegawai yg berurusan dgn kami (wanita jim Hulu Langat) selama ini. Walaubagaimanapun kami menunggu dengan sabar, akhirnya pegawai pengiring sampai dan kami di escort masuk.

Seperti biasa mereka sudah duduk menunggu, tak tahulah berapa lama mereka menanti. Seperti biasa juga mereka beramai-ramai memberi ucap salam; Assalamualaikum ustaz!', Assalamualaikum ustazah!' terasa macam di sekolah dulu-dulu bila memberi salam pd guru agama yg masuk kelas. Tanpa lengah kak midah dan kak maznah (jim sepang) memasang PA system, lcd projector dan notebook. Setelah memberi ucapan pembukaan, kak midah menyerahkan majlis pada saya.

Frankly speaking, biasanya saya tidak kesah sangat perkataan atau istilah yg diguna dlm bahan-bahan presentation. Tapi sudah masuk kali kedua bercakap dengan audience istimewa ini saya pastikan perkataan yg diguna tidak menyinggung mereka dan mudah untuk difaham. Ini mengambil kira latarbelakang mereka yang mungkin merasa sensitif dan juga latarbelakang pendidikan yg rata-ratanya tidak tinggi. Maka tajuk yg saya pilih sempena maulid ialah 'Insan yang paling sayang pada kita'. Tajuk ini sengaja saya pilih untuk menjadi kan mereka sebagai fokus. Betapa Nabi Muhammad SAW diutus kerana sayang kepada kita semua. Saya buka tirai penyampaian dengan menyebut tentang tarikh lahir nabi iaitu 12 Rabiul Awal. Kemudian saya tanya siapa yang tahu tarikh lahir dia berdasarkan kalender Islam. Seperti yg dijangka tiada siapa yg tahu kecuali penceramah :-)) Maka saya minta setiap orang menulis tarikh lahir masing-masing ikut kalender masehi dan saya akan guna calender converter spt yg dikongsikan oleh ukth umi kalthum ngah dlm naqib-net (jzk kpd ukth umi kalthum). Saya berjanji akan beritahu tarikh lahir mereka ikut kalender hijrah minggu depan i'allah. Tujuan saya lakukan ini ialah supaya timbul kecenderungan kpd budaya/syiar Islam di samping mana tahu tarikh lahir mereka bersamaan tarikh-tarikh penting dlm taqwim hijrah termasuk tarikh lahir Nabi! Mana tahu selepas ini sambutan maulid dan hari jadi boleh disambut serentak!

Kemudian masuk isi penting yang pertama. Apa makna beriman kpd rasul, satu hadis dan dua ayat quran dibaca untuk menunjukkan makna beriman kpd rasul ialah melaksanakan apa yg diperintah oleh rasul dan meninggalkan apa yg dilarang oleh baginda. Kemudian timbul persoalan bagaimana utk menjadikan kehendak hati kita selari dgn perentah rasul. Di sini saya cadangkan kita laksanakan formula 2 cinta dan 1 benci - seperti yang disebut oleh nabi 3 perkara untuk merasai kemanisan iman.

Sebahagian besar dari isi ceramah berkisar tentang betapa sayangnya nabi kpd kIta. Nabi menyebut kita sebagai kekasehnya, lantaran itu para sahabat merantau jauh untuk menyampaikan kasihnya rasul pd umat manusia termasuk kita. Seluruh kehidupan nabi adalah gambaran kasih nabi kepada kita. 'Tidak sedikit darah dan air mata yg tumpah demi membuktikan kasih ini kpd kita'. Sehingga hampir wafat, kita ini yang disebut-sebut sebagai kalimah terakhir. Bahkan kasih nabi membawa syurga.. Di saat manusia yang berkasih-sayang di dunia ini saling mendakwa sesama sendiri, pada ketika itulah nabi ini muncul memberikan syafaatnya. Saya akhiri dengan ungkapan 'Kalau kita ditakdirkan tidak punya siapa-siapa di dunia ini, cukuplah Nabi bagi kita. Kita tidak akan kecewa..'

Air mata keinsafan mengalir pada pipi mereka. Saya merasa sebak melihat air mata yang tumpah itu pastinya amat mahal harganya, kerana ia tidak terbit melainkan atas rasa ingin meraih kasih-sayang tuhan setelah melalui pengalaman hidup yg menyebabkan mereka berada di situ. Bagi saya tiada bezanya mereka yg berada di dalam dengan kita yg bebas di luar 'kerana tidak semua kesalahan boleh dibicarakan di mahkamah dunia, tetapi kita pasti akan dibicarakan di mahkamah akhirat.

Semuga usaha wanita JIM hulu langat dan PAKSI-jim diteruskan untuk menyantuni satu kelompok dari masyarakat kita yang disisihkan. Saya dimaklumkan pada sebelah petang salah seorang penghuni yg telah bebas ada temu janji dgn wanita JIM hulu langat. Beliau adalah graduan pertama program wanita jim di penjara Kajang yang bersedia untuk terus dibimbing. Semuga ALLAH berkati usaha kalian. Ameen

Dr Hafidzi Mohd Noor

Tuesday, March 18, 2008

ceramah THE FUTURE OF MASJIDIL AQSA

RICOI forum "The future of Masjidil Aqsa."

Speaker : Grand Imam Masjid al Aqsa
Tarikh: 22 Mac 08 (SABTU!)
Masa: 8.45 mlm
Tempat: UIA, Petaling Jaya
Tel: 0377222724


sila sebarkan maklumat ini.

Monday, March 3, 2008

Jangan Putus Asa Berjuang untuk Palestin - Utusan Malaysia 4 Mac 2008

Jangan putus asa berjuang untuk Palestin

Dr. Hafidzi Mohd. Noor.

Imuwan Islam

Kekejaman puak zionis terhadap masyarakat Islam Palestin tidak pernah reda. Dalam kes terbaru, Israel melancarkan serangan roket yang mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin termasuk kanak-kanak berusia sebulan. Biarpun, dari segi geografinya kita dan Palestin agak jauh namun sebagai saudara seIslam, kita sewajarnya turut mengambil berat serta membantu mereka.

Ini sebagaimana firman Allah: Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (al-Hujurat: 10)

Kepada wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto HAYAT SUEET, Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor membincangkan isu ini. Apakah keadaan terkini umat Islam di Palestin?

DR. HAFIDZI: Sebenarnya situasi di Gaza tidak banyak berubah dalam tempoh satu dua bulan ini. Malah, ia semakin gawat sebenarnya. Cuma kalau kita mahu gambaran sebenar kita tidak boleh bergantung kepada media antarabangsa Barat. Sebabnya mereka lebih diselubungi isu lain terutama pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS). Di Malaysia pula, kita juga lebih tertumpu kepada kempen Pilihan Raya Umum ke-12. Saya ada mendapat maklumat terkini daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Azzaituna Institute yang beribu pejabat di Beirut. Pertubuhan ini menangani isu Palestin dan juga nasib pelarian. Daripada mereka gambaran di Palestin adalah seperti berikut:

Tiada lagi transaksi masuk atau keluar bekalan makanan, kecuali yang sangat asas dan itu pun sangat minimum dan sebahagian besarnya adalah melalui agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu(PBB). Sebagai gambaran, suri rumah di Semenanjung Gaza hanya membelanjakan 10 peratus daripada perbelanjaan mereka sebelum ini. Contohnya, kalau sebelum ini suri rumah membelanjakan RM100 seminggu, kini mereka hanya belanja RM10 seminggu. Israel juga menyekat bekalan klorin yang mana sebelum ini sudah pun berhadapan dengan krisis air. Klorin ini digunakan untuk merawat air minuman kerana ia membunuh bakteria. Apabila Israel sebelum ini menyekat bekalan minyak, telaga-telaga air di Palestin sudah tidak boleh digunakan kerana telaga ini menggunakan pam yang memerlukan tenaga elektrik untuk berfungsi. Dilaporkan kira-kira satu pertiga (1/3) daripada pam tidak berfungsi bermakna 1/3 daripada penduduk Palestin tidak dapat bekalan air bersih. Dari segi kesihatan, setakat Januari lalu 75 pesakit mati akibat peralatan hospital tidak berfungsi. Alat-alat seperti bantuan pernafasan, mesin hemodialisis dan inkubator semuanya tidak berfungsi kerana ketiadaan bekalan elektrik. Penduduk Gaza juga berhadapan dengan serangan roket Israel setiap hari. Disebabkan peralatan hospital banyak yang tidak berfungsi, sudah tentulah mereka yang cedera tidak akan dapat rawatan yang sewajarnya. Bilangan pengangguran di Palestin kini mencecah 50 peratus setakat Januari lalu. Sebabnya kilang-kilang perusahaan tidak dapat beroperasi. Apabila tidak bekerja, maka sudah tentu tidak dapat menyediakan keperluan asas keluarga. Situasi ini diburukkan lagi apabila pada 20 Januari lalu, Israel menyekat bekalan minyak. Natijahnya, hampir seluruh Gaza bergelap. Stesen janakuasa sedia ada hanya mampu bekalkan elektrik ke 1/3 kawasan Gaza. Selebihnya dibekalkan oleh Israel sebelum ini.

Melihatkan kepada perbuatan zalim dan ganas Israel seolah-olah tiada berakhirnya penderitaan rakyat Palestin. Jadi apakah penyelesaian dalam hal ini?
DR. HAFIDZI: Kita perlu kembali kepada asas isu. Siapakah yang menceroboh, lakukan penjajahan dan melanggar hak asasi manusia. Jawapannya, tidak syak lagi yang berada di pihak yang salah ialah Israel. Jadi, kalau nak selesai Israel kena berundur dari wilayah yang ditaklukinya iaitu Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Baitul Maqdis Timur. Memang ini pun Resolusi 242 yang dibuat di PBB pada 1967. Pada tahun 2005, Israel berundur dari Gaza dan memindahkan semua pendatang haram Israel. Namun, pada masa yang sama, rejim zionis itu melakukan sekatan udara, laut dan darat. Dengan kata lain, Gaza masih terus terjajah. Apabila isu ini tidak mendapat pembelaan masyarakat antarabangsa, sudah tentulah rakyat Palestin perlu membela diri sendiri. Ini adalah tindakan semula jadi manusia. Para pejuang Palestin menyerang sebab mahu mempertahankan diri dan melepaskan daripada kepungan.

Bagaimanapun, media antarabangsa Barat pula sering melabelkan serangan itu sebagai kumpulan pengganas. Apakah kesannya dalam jangka panjang?
DR. HAFIDZI: Kadang-kadang media Barat dan masyarakat antarabangsa tidak adil menilai situasi di Gaza. Mereka lebih banyak menguar-uarkan serangan oleh pejuang Palestin tetapi tidak kaitkan langsung serangan Israel ke atas penduduk Palestin. Apalah sangat kesan serangan pejuang Palestin yang hanya guna roket buatan sendiri berbanding Israel yang menggunakan segala kekuatan tentera baik kereta kebal, serangan udara dan juga meriam. Roket pejuang Palestin ini jarang mengenai sasaran dan boleh dibilang rakyat Israel yang cedera atau terkorban disebabkannya. Dalam tempoh dua tahun ini, tidak sampai 10 rakyat Israel yang terbunuh. Walhal setiap kali serangan Israel membunuh 10 ke 20 penduduk Palestin. Malah, kanak-kanak kecil dan wanita kerap menjadi mangsa kekejaman zionis.

Apa pula tindakan negara-negara Arab dalam hal ini?
DR. HAFIDZI: Saya suka membahagikan isu ini kepada dua iaitu pemimpin Arab dan masyarakat Arab. Rakyat Arab memang amat prihatin terhadap apa yang berlaku di Gaza. Antara sebab ia masih bertahan sehingga kini ialah bantuan daripada masyarakat Arab dan saudara yang berdekatan. Sebagai contoh, apabila Israel menyekat bekalan ubat-ubatan, Persatuan Doktor di Mesir mengumpulkan 5 juta pound membeli bekalan ubat-ubatan untuk dihantar ke Gaza. Pergerakan Ikhwan Muslimin pula bersetuju mengetepikan 25 peratus pendapatan mereka untuk disalurkan kepada rakyat Palestin. Cuma masalahnya ialah para pemimpin Arab. Untuk menyelesaikan isu serantau begini ia perlukan campur tangan rasmi kerajaan. Dan di sinilah para pemimpin Arab gagal. Sebabnya, pemimpin yang ada itu tunduk kepada kehendak dasar luar AS atas kepentingan peribadi atau politik. Negara-negara Arab kini setidak-tidaknya sudah ada hubungan dagang dengan Israel menyebabkan mereka tidak bersungguh dalam isu Palestin. Mereka lebih pentingkan hubungan dagang itu dan bimbang jika cuba ‘khianati’ syarat damai sebelum ini, mereka mungkin dikenakan tindakan oleh AS. Contohnya, apabila Tembok Rafah diletupkan oleh rakyat Palestin untuk mendapatkan bekalan makanan di Mesir, ia ditutup semula atas desakan Israel. Alasan Israel, supaya Palestin tidak diceroboh oleh kumpulan pengganas. Kerajaan Mesir nampaknya tunduk kepada Israel mengatasi tanggungjawabnya kepada penduduk Gaza.

Apakah nasib perjanjian damai yang kononnya mahu dimuktamadkan sebelum Presiden Bush tamatkan penggalnya tahun 2009?
DR. HAFIDZI: Memang Bush sudah beberapa kali cuba mencari jalan damai dalam isu ini. Bukan beliau sahaja, malah ia dilakukan oleh semua presiden AS sebelum ini. Mereka cuba mencipta nama dengan wujudkan usaha damai di Asia Barat tetapi semuanya gagal. Sebab utama kegagalan ialah Israel sendiri yang tidak bersungguh-sungguh sejak tahun 1948 lagi. Hamas yang muncul pada 1987 hanya dijadikan alasan untuk tidak mahu berdamai. Apa yang mereka mahukan ialah penjajahan yang berkekalan.

Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh Malaysia dalam isu ini?
DR. HAFIDZI: Kita berada dalam kedudukan yang baik untuk membantu sebagai Pengerusi Persidangan Negara-negara Islam (OIC). Sewajarnya, usaha menjuarai isu ini di peringkat antarabangsa sehingga ke PBB dilakukan. Ruang ini belum kita terokai dengan baik. Kita masih ada ruang menghulurkan pelbagai bantuan. Beberapa NGO seperti Aman Palestin, Jamaah Islah Malaysia dan PACE adalah antara yang aktif menggerakkan kesedaran masyarakat dalam isu ini. Media juga diharap membantu mengetengahkan isu ini untuk elak rakyat beranggapan isu ini dah reda. Hakikatnya, keadaan makin tenat. Kita sememangnya telah, sedang dan akan bantu Palestin. Yang penting jangan putus asa. Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w, Seorang Muslim itu adalah bersaudara dengan muslim yang lain. Dia tidak boleh menganiayanya dan tidak boleh menyerahkannya (kepada musuhnya). (Muttafak alaihi)
 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc