Bersama keluarga makan-makan di Bangi
Semalam kami dapat berita yang memberansangkan tentang anak angkat kami di Aceh, anakanda Fitria Wulan Sari. Kami mendapat tahu dari keluarganya dia mendapat tempat yang pertama dalam kelas. Tahun lepas pada ujian akhir (ujian akhir di Indonesia adalah pada bulan Jun kerana tahun akademik bermula pada pertengahan tahun) anak ini mendapat 'juara' 2 (tempat ke dua dalam kelas). Semuga anak ini dan anak-anak yatim yang kami kenali (kini bernaung di Sekolah Al-Fityan, tajaan Kerajaan Kuwait untuk anak-anak yatim bencana tsunami Aceh tahun 2005) terus mencipta kejayaan dalam hidup mereka.
Anakanda Wulan pernah menjalani pembedahan tonsil di Malaysia dan sekali lagi pembedahan kerana jangkitan kuman pada telinganya yang menyebabkan dia menghadapi kesukaran mendengar. Kini anak ini dilaporkan sehat. Mudah-mudahan sokongan berterusan kepada anak-anak ini menjadi pendorong kepada mereka untuk bangkit dan berjaya meski ketiadaan orang tua dan dikelilingi oleh kemiskinan harta.
Anakanda Wulan katanya 'kepingin untuk bersekolah di Malaysia'. Bila ditanya apa hadiah yang diminta, jawabnya 'speda atau boneka besar'. InsyaAllah umi dan abi akan usahakan.
Sahabat-sahabat juga bermurah hati memberi sumbangan untuk kami hulurkan kepada anak-anak yang istimewa ini. Mudah-mudahan kiriman buku cerita, cokelat dan boneka pada mereka memberi motivasi dan semangat untuk terus berjaya dalam persekolahan mereka sebagai jaminan masa depan.
Umi Zuraidah, Abi Hafidzi dan abang-abang Qayyim, Mawardi dan Amin Husaini
0 comments:
Post a Comment