Monday, July 21, 2008

Siri Kuliah Sejarah Islam di Nusantara di Pej JIM NS - Senawang

Sedang menyampaikan talk di pej JIM NS di Senawang

Hadirin memberi tumpuan

Bergambar dalam A Famosa (Kota Santiago - Melaka)

Vasco Da Gama membakar kapal yang sarat dengan jamaah haji

(Apakah objektif Portugis semata untuk menguasai industri rempah?)



Assalamualaikum,

Pada hari Jumaat 18 Julai yang lepas saya telah dijemput untuk memberikan kuliah mengenai sejarah Islam di nusantara kepada labih dari 50 orang hadirin, ahli dan bukan ahli JIM NS di Pejabat JIM Negri Sembilan yang baru di Senawang.

Saya memulakan kuliah dengan menyebut 4 ciri penting pembelajaran sejarah dalam Islam. Ciri yang pertama ialah sejarah Islam global sifatnya. Maka usaha untuk mengupas mana-mana aspek dari sejarah umat Islam dalam perspektif yang terbatas atau dalam kerangka konsep negara bangsa (nasionalisme) tidak akan memenuhi matlamat pembelajarn sejarah. Bahkan ia gagal memberikan perspektif yang tepat terhadap sesuatu peristiwa yang berlaku kepada umat Islam. Dalam keadaan tertentu, demi memenuhi agenda memupuk konsep negara bangsa yang sempit maka sejarah memang diketengahkan dalam bentuknya yang sempit dan dalam batasan wilayah yang terbatas. Demikianlah sejarah Melaka di hidangkan dalam konteks Kesultanan Melayu Melaka, sedangkan sejarah Melaka seharusnya di hidangkan dalam konteks ummah yang lebih luas. Buktinya apabila Afonso D' albuqueque menyerang Melaka ia bukanlah satu usaha imperialisme Portugis yang terpencil bahkan ia adalah sebahagian dari perancangan global penjajah Portugis untuk meredam umat Islam. Membolot perniagaan rempah hanyalah alat untuk melaksanakan visi dan misi sebenar.

Hakikat ini jelas dari ucapan Afonso D' Albuqueque kepada anak-anak kapal ketika beliau membakar semangat mereka untuk menersukan serangan ke atas Melaka, "...Saya merasa yakin jika perdagangan Melaka diambil alih dari tangan mereka Kaherah dan Mekah akan hilang sepenuhnya dan tiada rempah yang akan diterima oleh orang Venice kecuali mereka ke Portugal untuk membelinya." (Rujukan: Episod serangan Alfonso de Albuquerque ke atas Melaka boleh dirujuk dalam Afonso de Albuquerque, Camentarios do Grande Afonso de Albuquerque, edisi ke 2 (Lisbon, 1576) Bhg III, Bab 22-28 dalam Albuquerque:Caesar Timur – Teks-teks pilihan daripada Afonso de Albuquerque dan anaknya, Universiti Malaya, 1995).

Ciri yang kedua pembelajaran sejarah di dalam Islam ialah ia bersifat objektif, tidak selektif dan holistik. Rengkasnya sejarah dipaparkan secara menyeluruh tanpa berpilih-pilih. Dengan demikian barulah perspektif yang betul dipaparkan tentang sejarah suatu peristiwa. Apa yang berlaku pada hari ini ialah regim-regim negara bangsa (nation states) hanya menonjolkan bahagian tertentu dari sejarah bangsanya dan cuba menutup bahagian yang lain. Contoh yang amat jelas ialah sejarah tanah air terutama yang berkaitan dengan perjuangan menuntut kemerdekaan. Oleh kerana acara sambutan kemerdekaan itu di eksploitasi semaunya untuk menobatkan regim pemerintah maka peranan parti pemerintah diperbesar-besarkan. Bagi rakyat Malaysia yang tidak ada daya usaha, bagi mereka UMNOlah pejuang kemerdekaan satu-satunya. Sedangkan hakikatnya UMNO muncul sangat lewat dalam pentas perjuangan menuntut kemerdekaan. Bahkan ketika pertubuhan-pertubuhan melayu yang telah lama berjuang sejak sebelum kedatangan Jepun lagi melaungkan Merdeka! Umno masih lagi melaungkan slogan 'Hidup melayu!' kerana sangsi dengan kemampuan anak bangsa berdiri sendiri tanpa penjajahan. Sejarah juga merakamkan bagaimana semuanya telah diatur oleh penjajah agar kemerdekaan ini dianugerahkan kepada 'anak didik' mereka supaya kepentingan mereka tetap terpelihara meskipun secara perlembagaannya tanah jajahannya telah merdeka. Kita menyaksikan bagaimana penjajah telah menggunakan kesempatan yang sangat baik apabila darurat diistiharkan ke atas PKM (Parti Komunis Malaya) dengan mengharamkan semua pertubuhan politik dan perhimpunan selain dari UMNO. Pada ketika itulah aktivis Hisbul Muslimin Gunung Semanggul, aktivis API, AWAS, BATAS, MATA, PKMM semuanya diburu dan dipenjarakan. British samasekali tidak akan menyerahkan kemerdekaan penuh lebih-lebih lagi kepada kumpulan yang cenderung kepada perjuangan Islam. Pendekatan ini adalah jelmaan dari polisi yang telah termaktub terhadap semua tanah jajahan British

“England bersedia memberikan kemerdekaan politik sepenuhnya kepada tanah jajahannya, sebaik-baik sahaja telah wujud tersedia generasi intelek atau ahli-ahli politik yang telah dibentuk melalui pendidikan Inggeris untuk mengambil alih tetapi dalam keadaan bagaimana sekalipun kerajaan Inggeris tidak akan bertolak ansur walau sesaat untuk penubuhan sebuah negara Islam yang merdeka” - Lord Cromer, Modern Egypt

“Kita harus berusaha sedapat mungkin untuk membentuk satu golongan yang boleh menjadi perantaraan antara kita dengan jutaan rakyat pribumi yang kita perintah – segolongan orang yang masih India kulitnya dan darahnya tetapi sudah diInggeriskan citarasa, pemikiran, moral dan inteleknya.”
- Lord McCauley (In Islam and the west by Kurshid Ahmad)

Semasa sesi soal jawab ada soalan yang dilontarkan tentang peranan pejuang melayu di dalam PKM. Bagaimanakah kedudukan mereka? Jawapan dan sambungan kepada ciri-ciri pembelajaran sejarah di dalam Islam akan bersambung dalam kesempatan yang lain insyaAllah.

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc