Thursday, May 26, 2011

Satu tribut kepada Raja Ali Haji - satu lagi movie islami yang wajar dihayati

Assalamualaikum,




Sedutan dari Buku Jejak Risalah Di nusantara Jilid 1 - Dr hafidzi Mohd Noor
Pada bab 11 dihuraikan tentang keindahan seni dan bahasa melayu yang diwarnai oleh tauhid. Di dalamnya ada disebut tentang Gurindam 12 nukilan raja Ali Haji dan rujukan lengkap bagi yang ingin mendapatkan teks penuhnya. Movie trailer di atas adalah tribute kepada Raja Ali Haji - Bapa kesusasteraan moden melayu (tokoh yang dikongsi bersama oleh Persekutuan Malaysia dan Kesatuan Republik Indonesia). Bahasa persuratan rasmi disebut bahasa persuratan Johor-Riau dan sumbangan Raja Ali Haji amat instrumental di sini. Nama Raja Ali Haji yang wajar diketengahkan lebih dari Abdullah Munsyi yang cenderung kepada kuasa kolonial barat dan menyanjungnya lebih dari yang wajar.
Trailer movie ini mengkisahkan tentang Datuknya Raja Haji as-Syahid Marhum Teluk Ketapang ketika melawan Belanda pertahan Melaka. Siapa dia Marhum Ketapang? InsyaAllah panjang umur akan diulas dalam Jejak Risalah di nusantara jilid 8. (semuga Allah memakbulkan). Ameen

11. Pengaruh Islam ke atas seni.

Sebagaimana yang telah disentuh sebelum ini Islam telah merubah cara berfikir orang Melayu dari bersifat estetika (seni dan rasa) kepada yang bersifat rasional dan saintifik. Perubahan ini tergambar kepada kebudayaan orang Melayu yang mengalami transformasi yang jelas. Orang Melayu tidak lagi memberi tumpuan kepada nilai-nilai estetika dalam bentuk pahatan dan ukiran pada arca, patung dan candi tetapi lebih menumpu kepada pembinaan budaya ilmu pengetahuan. Kemunculan golongan ulama, kitab-kitab yang membicarakan pelbagai disiplin ilmu dan kesusasteraan Islam adalah natijah dari transformasi ini.

Namun ini tidak bermakna Islam menafikan nilai-nilai estetika. Apa yang berlaku ialah Islam turut merubah nilai-nilai estetika dan memandunya sehingga ia menjadi salah satu wahana untuk menterjemahkan hubungan di antara manusia sebagai abd’ kepada Khalik sebagai pencipta. Nilai-nilai ini dapat dihayati dalam pelbagai bentuk puisi atau bahasa berirama, pada seni ketukangan, seni halus, seni bina, seni ukiran malah seni tari. Asas kepada perkembangan seni di dalam Islam ialah hadis Nabi S.A.W iaitu ”Allah itu indah dan suka kepada keindahan”. Namun seni di dalam Islam bukan saluran untuk manusia mencurahkan bakat tanpa terikat kepada sebarang prinsip. Inilah yang membezakan seni berunsur Islam dengan seni dalam kebudayaan selain Islam. Dalam Islam seni adalah ibadah berbanding konsep seni untuk seni atau seni demi seni yang menjadi landasan seniman sekular. Lantaran itu Islam menolak pelbagai ekspresi seni yang keluar dari batas-batas akhlak, adab dan akidah Islam atas alasan ia hanyalah lakunan, atau lukisan, ukiran, tarian dan sebagainya. Ini adalah berdasarkan kepada tasawur Islam yang tidak menerima sebarang bentuk pemisahan dalam kehidupan. Apa juga aktiviti manusia ianya adalah ibadah dan bidang seni tidak terkecuali dari prinsip asas ini.

Prinsip kesyumulan Islamlah yang telah memandu para seniman dan jiwa seni orang Melayu apabila Islam datang ke Nusantara. Orang Melayu umumnya berjiwa seni kerana hidup dalam persekitaran yang indah. Gunung-ganang, hutan tebal yang menghijau, sungai yang mengalir jernas, pelbagai jenis unggas yang berterbangan, sawah terbentang luas berlatar belakangkan bukit-bukau yang menjulang tinggi, danau yang sepi semuanya menimbulkan inspirasi kepada jiwa untuk mengabadikan keindahan itu dalam pelbagai ekspresi diri. Alam terbentang luas dijadikan kiasan untuk menyampaikan sesuatu maksud secara halus. Peribahasa Melayu banyak menggambarkan hal ini seperti

’ibarat aur dengan tebing;

ibarat enau dalam belukar;

melentur buluh biarlah dari rebung;

seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit; enggang lalu, ranting patah;

ibarat ular menyusur akar;

Pantun yang dianggap sebagai hasil daya cipta asli orang Melayu menjadi saluran untuk menyampaikan perasaan suka dan duka, menyatakan hasrat dan pengharapan, sebagai sindiran dan juga menyampaikan pengajaran[1]. Pantun juga sering diolah dari hasil cetusan inspirasi dari alam sekeliling; seperti contoh-contoh berikut.

’Anak merbah terlompat-lompat

Anak endang ketitiran;

Yang dilelah tak dapat

Yang dikendung berciciran’

************************************************

’Anak napuh mati terpancung

Ambil matanya dua-dua;

Walau disepuh emas lancung

Kilat tembaga tampak jua.’

Apabila Islam datang pantun juga menjadi saluran untuk menyampaikan peringatan, nasihat dan dakwah seperti contoh di bawah

’Halia ini hanya tanam-tanaman,

Di barat sahaja tumbuhnya;

Dunia ini pinjam-pinjaman,

Akhirat jua yang sesungguhnya.’

*************************************************

’Tak boleh menetak jati,

Papan di jawa di belah-belah;

Tak boleh kehendak hati,

Kita di bawah tadbir Allah.’

************************************************

Asam kandis asam gelugur,

Ketiga asam si riang-riang;

Menangis mayat dipintu kubur,

Teringat badan tidak sembahyang.

***************************************************

Buat serunai batang padi,

Bunyi lagu seri pualam;

Serban bukan semuanya haji,

Haji terletak pada amalan.

Gurindam, satu lagi genre puisi berunsur tempatan sering membawa maksud-maksud keIslaman seperti Gurindam Dua Belas[2]

Permulaan: Simpanan Indah,

Ialah ilmu yang memberi faedah.

Fasal pertama:

Barangsiapa tiada memegang agama,

sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.

Barangsiapa mengenal yang empat,

maka dia itulah orang makrifat.

Barangsiapa mengenal Allah,

suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.

Barangsiapa mengenal diri,

maka telah mengenal akan Tuhan yang bahari.

Barangsiapa mengenal dunia,

tahulah dia barang yang terpedaya.

Barangsiapa mengenal akhirat,

tahulah dia dunia melarat.

Fasal kedua:

Apabila terpelihara mata,

sedikit cita-cita.

Apabila terpelihara kuping,

khabar yang jahat tidaklah damping.

Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,

daripada segala berat dan ringan.

Apabila perut terlalu penuh,

keluarlah fiil yang tiada senonoh.

Hendaklah peliharakan kaki,

daripada berjalan membawa rugi.

Seiring dengan itu genre puisi Melayu diperkaya dengan puisi-puisi Arab seperti syair, nazam, ruba’i, masnawi, kit’ah, bayt dan gazal[3]. Puisi dari genre ini banyak yang berunsur Islam seperti Nazam Dua puluh Lima Rasul.[4]

‘Ya Allah malikul-rahman

Tolonglah kami tetapkan iman

Terangkan hati membaca Quran

Sehari-hari memuji Tuhan

Ketika rapat di balai-balai

Rapat segala orang yang pandai

Ketika membaca janganlah lalai

Sopan santun adab di pakai’.

Contoh Kit’ah adalah seperti berikut.

Jikalau kulihat dalam tanah pada ehwal

sekelian insan,

Tiadalah kudapat kubezakan pada antara

rakyat dan sultan.

Fana juga sekelian yang ada, dengarkan yang

Allah berfirman.

Kullu mana alaiha fanin, iaitu:

Barangsiapa yang di atas bumi itu lenyap jua.[5]

Endui pula ialah sejenis puisi berirama yang didendangkankan sebagai satu bentuk nasihat seperti ketika membuai atau menidurkan anak[6];

’Dikandung ibumu sembilan bulan

Nasi dan air tiada tertelan

Peranakkan dikau beberapa kesakitan

Terkadang bercerai nyawa di badan

Tatkala engkau jatuh di lantai

Dengan segera bidan mencapai

Sudah dimandikan lalu dipakai

Tinggallah ibumu lemah gemalai.

Sudah dipakaikan lalulah iqamat

Mintalah doa supaya selamat

Ingatkan pesan Nabi Muhammad

Di atas dunia mengajarkan syariat.

Berbuai ke limau manis

Sayang berambut ke dahan pucuknya

Ayuhailah anak janganlah menangis

Turunlah engkau akan pemujuknya

Wahailah anak jangan dibantah

Ibumu peliharakan terlalulah susah

Dialih ke kiri ke kanan basah

Habis berlumur kencing dan muntah’.

Khazanah puisi berunsur Islam yang sangat kaya adalah bukti betapa Islam merubah jiwa penyair orang Melayu sebagaimana transformasi yang berlaku di Tanah Arab semasa Rasulullah S.A.W diutuskan kepada Arab Quraish. Masyarakat Arab Jahiliyah memang terkenal dengan kemahiran mereka mengolah syair-syair bermutu tinggi. Walaubagaimanapun tema-tema yang dibicarakan oleh syair-syair jahiliyah tidak terkeluar dari perkara yang menjadi kecenderungan nafsu seperti kecantikan wanita, arak, dan menaikkan semangat persukuan yang sempit. Apabila Rasulullah S.A.W diutuskan syair-syair yang berlandaskan syahwat dan bathil ditolak, dan diganti dengan syair yang membawa maksud-maksud kebenaran dengan lahirnya penyair-penyair Rasulullah S.A.W di kalangan sahabat seperti Hassan bin Tsabit r.a. dan Abdullah Ibn Rawahah r.a. Jelaslah apabila Islam datang, jiwa penyair tidak terbantut malahan disiram dengan petunjuk dan hidayah sehingga terbitlah karya-karya puisi yang tinggi nilainya; membawa tema-tema ketuhanan, kebenaran, kekeluargaan dan kemasyarakatan.



[1] Kata pantun terdapat pada pelbagai suku rumpun Melayu seperti toen (bahasa Sunda), tonton (bahasa Tagalog), pantun (bahasa Toba), tuntun, atuntun, matuntun (bahasa Jawa) dan panton (bahasa Bisaya). Diantata pengkaji-pengkaji asal perkataan pantun dan asal-usulnya ialah Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), R.J. Wilkinson dan R.O. Winstedt. Lihat Zainal Abidin bin Ahmad, 1962. Ilmu Mengarang Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur; Winstedt, R.O., 1947. Origin of the Malay Pantun, JMBRAS No. XXI; Wilkinson, R.J. dan Winstedt, R.O., 1961. Pantun Melayu, Malay Publ. House, Singapore. Harun Mat Piah menyimpulkan pantun adalah ciptaan yang asal dalam masyarakat Melayu dan bukan saduran dari lain-lain kebudayaan, Lihat Harun Mat Piah, 1981. Puisi Melayu Tradisional: Satu Pembicaraan Genre dan Fungsi., Tesis PhD., Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor (tidak diterbitkan.).

[2] Gurindam tergolong kepada puisi bebas tetapi lazimnya terdiri dari dua baris. Gurindam Dua Belas adalah nukilan Raja Ali Haji. Versi lengkap boleh dirujuk dalam Mohd. Yusof Md. Nor dan Abd. Rahman Kaeh, 1985. Puisi Melayu Tradisi, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., Petaling Jaya, hlm. 177 – 180.

[3] Ibid. hlm. v - xxi. Nazam adalah puisi Melayu lama yang berasal daripada puisi Arab. Apabila sampai ke Tanah Melayu dan diamalkan di beberapa tempat seperti Pahang dan Terengganu ia bertukar menjadi lagu atau zikir yang dilagukan. Bayt, rubai dan kit’ah adalah pelbagai variasi syair Arab-Parsi yang tidak berkembang sebagaimana syair dan pantun. Masnawi adalah bentuk puisi bebas yang mengesahkan tentang tokoh-tokoh sejarah Islam. Ghazal pula adalah sejenis puisi yang tidak jelas susunannya. Ia tidak sama dengan muzik ghazal yang terkenal di daerah Muar dan Batu Pahat, Johor, yang memuatkan syair dan pantun. Lain-lain puisi berunsur Arab termasuklah hadrah, berzanji, marhaban dan dabus. Huraian dan contoh-contoh jenis-jenis puisi tersebut disertakan.

[4] Sumber dari Ahmad Usop, 2000. Jambatan Duyung, Melaka; dipetik dari Wahyunah Hj. Abdul Gani dan Mohamad Shaidan, 2000. Puisi Melayu Lama Berunsur Islam, siri Warisan Sastera Klasik, Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 453 – 466.

[5] Mohd. Yusof Md. Nor dan Dr. Abd. Rahman Kaeh, op. cit., hlm. 236.

[6] Sumber dari Asa Bt. Taha dan Rafidah Bt. Bulat, Kampung Talang Tengah, Negeri Sembilan; dipetik dari Wahyunah Hj. Abdul Gani dan Mohamad Shaidan, Ibid., hlm. 602 – 605; Endui atau buai adalah sejenis syair atau variasi syair. Berendui atau dikir berendui adalah istiadat budaya Melayu ketika menjalankan majlis menyambut kelahiran anak sulung dan bercukur rambut terutama di Perak, Kedah dan Perlis; lihat Wahyunah Hj. Abdul Gani dan Mohamad Shaidan, Puisi Melayu Lama Berunsur Islam, op. cit., hlm. xxxvii – xLiii.

2 comments:

Norazmi said...

Asmwrbt tuan,

Begitu indah sekali. Saya masih belum lagi membaca buku yg tuan nyatakan ini. Inilah kelemahan saya. Tuan dapat cari masa utk mengkaji dan menulis. Kami ni nak baca pun tak ada masa.

Inilah yg dikatakan keberkatan masa. Kami ni entah bila boleh sampai ke tahap itu, iaitu tidak membazirkan masa.

Semoga Allah sentiasa merahmati tuan dan keluarga

Wslm

drtahir said...

@ Norazmi. Begitulah cantik & sempurnanya ciptaan Maha Pencipta.

Everyone has something in him but not everything in just someone. When the someones get organised, the organisation gets everything [almost].....ukhuwah teras perjuangan..!

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc