Wednesday, May 11, 2011

Siapakah watak dalam movie 'Sang Pencerah' - sila dapatkan buku Jejak Risalah di Nusantara Jilid VI




Berhubung trailer movie 'Sang Pencerah' bagi mereka yang ingin mengenali siapa Kiai Hj Ahmad Dahlan yang menjadi watak utama dalam movie ini dipersilakan membaca mengenai beliau dalam buku Jejak Risalah Di nusantara jilid VI di bawah tajuk 'Kiai Hj Ahmad Dahlan - Pendiri Muhammadiyah' (Bab 7)

Saya kongsikan sedutan dari bab tersebut di bawah

Penulis siri buku Jejak Risalah di Nusantara
Dr Hafidzi Mohd Noor
----------------------------------------------------------------------------------------------

Ayah beliau, Kiai Hj Abdullah bin Kiai Sulaiman, adalah salah seorang dari 12 khatib masjid sultan yang dilantik oleh kraton. Dari kecil Muhammad Darwis dididik oleh ayahnya mempelajari al Quran sehingga khatam ketika berumur lapan tahun.[1] Di samping itu beliau dihantar oleh ayahnya untuk mempelajari ilmu fiqh dengan Kiai Hj. Muhammad Saleh, ilmu nahu dengan Kiai Hj. Muhsin, ilmu falaq dari Kiai Hj. Raden Dahlan qira’at al quran dengan Syeikh Amin dan Said Bakri Satock dan ilmu hadis dengan Kiai Mahfud dan Syeikh Khayyat. Di samping itu beliau turut belajar tentang ilmu pengubatan dan racun binatang dari Syeikh Hasan.[2] Pada tahun 1890 sewaktu berusia 22 tahun, Muhammad Dahlan berangkat ke Mekah untuk menyambung pengajiannya. Di Mekah beliau berguru dengan Sayyid Bakri Syantha, seorang imam dari mazhab Syafi’i yang telah memberikan nama Hj. Ahmad Dahlan kepada beliau.[3] Beliau pergi ke Mekah buat kali ke dua pada tahun 1902 dan belajar dari beberapa orang ulama terkenal termasuk Syeikh Muhammad Khatib dari Minangkabau dan Kiai Nawawi dari Banten.[4] Setelah beliau pulang dari Mekah buat kali yang kedua beliau diberi gelaran Kiai sebagai lambang kepada ketinggian ilmu yang dikuasainya.[5]

Selepas kematian ayahnya pada tahun 1890, beliau dilantik sebagai ketib (khatib) masjid Agung oleh Sultan Hamengkubuwono VII. Sebagai seorang khatib beliau memikul amanah untuk menyampaikan khutbah di Masjid Agung sebulan sekali. Selain dari mengajar di langgarnya, Kiai Hj. Ahmad Dahlan juga merupakan seorang peniaga batik yang berjaya, dengan rangkaian perniagaan di beberapa buah kota di Jawa sehingga ke Medan, Sumatera. Sikapnya yang amanah dan penghayatan keagamaannya menjadikan beliau amat disenangi oleh para kiai dan juga peniaga sehingga diberi gelar pula sebagai ketib Amin @ Tibamin iaitu khatib yang dapat dipercayai.[6] Beliau turut mendapat kepercayaan para kiai dan usahawan muslim di luar Jogjakarta sehingga pernah ditawarkan untuk menjadi khatib di masjid Medan walaupun beliau bukan orang tempatan.[7]

Meskipun Kiai Hj Ahmad Dahlan seorang yang dihormati kerana ketinggian ilmunya, namun pembaharuan yang ingin dibawa di tengah masyarakat muslim dalam soal melurus dan meluaskan kefahaman dan urusan ibadah menimbulkan keresahan dan ketegangan. Beliau dituduh menyebarkan pemahaman Islam yang aneh yang belum diketahui oleh masyarakat setempat. Kepada anak-anak muridnya, beliau bukan sahaja mengajar kitab-kitab klasik mazhab Imam as Syafii dan kitab tasauf al Ghazali tetapi juga kitab-kitab terkini karangan Syeikh Muhammad Abduh seperti Risalah Tauhid, Tafseer Juzu’ Amma dan al Islam wal Nasraniyah dan karangan Ibnu Taimiyah seperti Fi al Bid’ah dan al Tawasul wal Wasilah.[8] Ini adalah kerana seperti semua ulama yang kembali dari Mekah dan Mesir pada awal kurun ke 20, KHAD juga terdedah kepada fikrah pembaharu Islam Syeikh Muhammad Abduh, Sayyid Jamaluddin al Afghani dan Sayyid Rashid Redha. Meskipun mereka berguru dengan imam-imam bermazhab Syafi’i seperti Syeikh Ahmad Khatib dari Minangkabau di Mekah, namun guru-guru ini mempamerkan sikap keterbukaan terhadap pelbagai mazhab fiqah dan aliran pemikiran Islam moden. Pendedahan dan keterbukaan ini boleh dilihat dari produk ulama-ulama yang kembali ke tanah air pada pada zaman itu seperti Hj. Agus Salim yang mendapat personal coaching dari Syeikh Ahmad Khatib, ulama-ulama yang disebut sebagai ‘kaum muda’ seperti Syeikh Abdul Karim Amrullah, Syeikh Jamil Jambek, Syeikh Abbas Abdullah, Sayyid Syeikh al Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin, ulama yang mempelopori jihad melawan penjajah seperti Teungku Muhammad Saman @ Teungku Cik di Tiro (Aceh) dan Hj. Mat Hassan bin Panglima Munas @ Tuk Janggut (Pasir Puteh, Kelantan). Mereka ini adalah ulama pembaharu atau reformis yang tidak mengikat diri kepada mazhab yang tertentu, mementingkan ilmu moden yang dikuasai oleh barat, memerangi bid’ah dan semua amalan yang tiada asasnya dalam syariat, menolak taqlid dan menggalakkan ijtihad dalam isu-isu terkini yang dihadapi umat Islam.

Bukan sahaja KHAD dilihat mengajar dari kitab-kitab yang asing bahkan beliau menggunakan pelbagai pendekatan termasuk berkelah, bersukan, menyanyi dan bermain muzik untuk meluaskan pandangan anak-anak muridnya. Alat-alat muzik yang digunakan pula tidak terbatas kepada percussion (gendang dan seumpamanya) tetapi juga alat-alat muzik moden seperti accordian. Lebih fleksibel lagi KHAD telah mengubah lagu-lagu gereja kepada nasyid dengan memberikan nafas Islam. Keadaan ini adakalanya menimbulkan ketegangan sehingga kepada tahap cercaan dan langgar tempat KHAD mengajar sering menjadi sasaran lemparan mercun. Beliau dituduh sebagai kiai palsu, kiai rosak dan Kristian alus (secara halus), Seringkali beliau dihadang di tengah jalan dan dilempari dengan pelbagai cercaan dan ejekan oleh para santri dari langgar-langgar yang berjiran.[9]

Namun kontroversi terbesar yang ditimbulkan oleh KHAD ialah berkaitan perubahan kiblat. Berdasarkan ilmu matematik/falak yang dipelajarinya di Mekah dari Kiai Jambek, arah kiblat sepatutnya condong ke utara sebanyak 24.5 darjah. Sejak dari awal umat Islam di Pulau Jawa mengadap kiblat lurus ke sebelah barat kerana kedudukan Mekah di sebalah barat Jawa. Menurut KHAD arah kiblat tersebut perlu diperbetulkan kerana ia mempunyai kaitan rapat dengan kesempurnaan ibadat solat. Untuk mengemukakan pandangan ini, beliau telah mengundang para ulama dalam sebuah pertemuan pada tahun 1898 khusus untuk membincangkan persoalan kiblat.[10] Meskipun tidak ada kesepakatan yang dicapai dalam pertemuan tersebut KHAD dihitung berjaya memaparkan isu kedudukan kiblat untuk pertimbangan ulama di sekitar Yogyakarta. Tetapi anak-anak muda secara reaksionari telah mengubah kiblat di langgar Kidul dengan melukiskan garis-garis saf yang baru dengan menggunakan kapur. Sewaktu langgar di Kidul dibesarkan, saf solat diubah arahnya sehingga menjadi satu-satunya tempat ibadat di Yogyakarta yang berbeza kiblatnya. Kontroversi ini berlanjutan apabila murid-muridnya membuat pula garis-garis saf baru di Mesjid Agung. Ini menimbulkan kemarahan kepada Kanjeng penghulu Kholil Kamaludiningrat yang menganggap KHAD telah menganggu kerukunan beribadat dan menimbulkan keresahan. KHAD dijatuhkan tiga kesalahan. Pertama mesjid Agung adalah wewenangan kanjeng penghulu yang dilantik Sultan. Jadi tindakan mengubah kiblat tanpa pengetahuan penghulu adalah jelas melanggar birokrasi pentadbiran Kesultanan. Kedua KHAD sendiri sebagai sebagai abdidalem juga bertanggungjawab kepada Sultan dan tindakannya itu jelas melanggar kedaulatan kesultanan. Ketiga tindakan mengubah kiblat ini dilihat melanggar tradisi dan adat istiadat. Langkah seterusnya ialah merobohkan langgar kidul di bawah pengawasan polis Belanda. Keadaan ini hampir mencetuskan pergaduhan, tetapi oleh kerana ketika itu bulan puasa, maka KHAD dan anak-anak murid menahan diri dari pergaduhan.[11]

Peristiwa perobohan langgar ini benar-benar mengecewakan KHAD sehingga beliau tekad untuk berhijrah dari Yogyakarta tetapi dihalang oleh iparnya Kiai Hj. Saleh. Setelah Kiai Hj. Saleh berjanji untuk membantu beliau membangunkan semula langgar kidul baharulah beliau bersetuju untuk membatalkan hasratnya untuk berpindah. Atas sokongan keluarga, langgar kidul dibangunkan semula dengan mengarah kepada kiblat yang asal iaitu ke sebelah barat. Tetapi KHAD tetap menandakan garis-garis saf yang sebetulnya dan tindakan ini tidak mengundang apa-apa bantahan dari masyarakat.[12] Langkah seteruanya ialah KHAD telah menghubungi Sayyid Utsman al Habsyi, seorang ahli geografi yang terkenal di Betawi (Jakarta) untuk menyemak ketepatan arah kiblat yang dihitung berdasar ilmu falaq. KHAD juga memanfaatkan waktunya untuk menggunakan kemudahan observatorium bagi membuktikan ketepatan penentuan arah kiblat. Ternyata dari diskusi beliau dengan Sayyid Utsman al Habsyi dan penggunaan alat-alat analisa observatorium mengabsahkan ketepatan arah kiblat yang dikemukakan oleh KHAD. Kesan pengabsahan yang diusahakan oleh KHAD ini membawa implikasi yang besar kerana menurut Dr G.F. Pijper, penasihat hal-ehwal pribumi (Adviseur Kantoor voor Inlandsche zaken); 1937 – 1942, bermula tahun 1920’an banyak masjid di Jawa Barat dibangunkan dengan arah kiblat yang sebenarnya.[13]

Satu lagi langkah berani KHAD ialah memperbetulkan penentuan tarikh Hari Raya idul Fitri. Sambutan Hari Raya Puasa yang disebut sebagai Grebeg Pasa ditentukan menurut sistem takwim Jawa yang dinamakan Aboge. Aboge adalah sengkatan kepada A atau tahun Alif, tahun satu dalam kiraan Tahun Jawa, bo adalah sengkatan kepada rebo atau rabu dan ge sengkatan kepada wage, dua sistem penamaan hari dalam kiraan taqwim Jawa. Pada setiap tahun Alif (dari putaran lapan tahun menurut taqwim Jawa) Hari Raya menurut kepercayaan kejawen ditetapkan pada hari rebo wage (rabu). KHAD telah menggunakan kedudukannya sebagai abdidalem untuk mengadap Sultan atas persetujuan dan diiringi Kanjeng penghulu. Setelah menjelaskan kaedah penentuan satu syawal berdasarkan kemunculan hilal (anak bulan) dan hisab maka KHAD mempersembah kepada Sultan agar Hari Raya Idul Fitri diistiharkan berdasarkan kaedah ini. Sultan berpuas hati dengan penjelasan KHAD dan mulai saat itu 1 shawal sentiasa disambut menurut syariat Islam meskipun jatuhnya pada tahun Alif Jawa. Ini adalah merupakan satu kejayaan besar di dalam memurnikan ajaran Islam dari pengaruh kejawen yang menjadi pegangan kesultanan Yogyakarta sejak ratusan tahun. Pencapaian ini adalah satu penerobosan yang amat besar memandangkan Sultan mempunyai kekuasaan absolut serta mendapat dokongan masyarakat Islam sinkretis (kejawen) dan kelompok kauman yang tradisional.[14]

Perubahan yang dicetuskan oleh KHAD menuntut kepada satu pengkajian yang khusus. KHAD melaksanakan tuntutan amal dakwah dalam lingkungan masyarakat muslim Yogyakarta yang menyimpang jauh dari ajaran Islam yang benar. Pendekatan beliau wajar menjadi satu model pengoperasian dakwah di dalam masyarakat hari ini yang tidak sunyi dari pelbagai bentuk tafsiran dan amalan yang menyimpang, samada dari sisa tinggalan adat-istiadat mahupun penyerapan unsur-unsur jahiliyah modern dari timur dan barat.



[1] Ibid., hlm. 78.

[2] Abdul Munir Mulkhan, Pemikiran Kiai Haji Ahmad Dahlan dan Muhammadiyah – Dalam Perspektif Perubahan Sosial, Bumi Aksara, Jakarta, 1990, hlm. 6.

[3] Mt Arifin, op. cit., hlm. 79.

[4] Abdul Munir Mulkhan, op. cit., hlm. 7.

[5] Amir Hamzah Wirjosukarto, Pembaharuan Pendidikan dan Pengadjaran Islam Jang Diselenggarakan oleh Pergerakan Muhammadijah, Jogjakarta, Pembaharuan Pendidikan/Pengadjaran Islam, 1962, hlm. 44 – 45.

[6] A. Mukti Ali, The Muhammadiyah Movement: A Bibliographical Introduction, McGill University, Montreal, 1975, hlm. 30.

[7] Alfian, op. cit.,hlm. 144 – 145.

[8] Usman Yatim dan Almisar Hamid, op. cit., hlm. 22.

[9] Ibid., hlm. 23.

[10] Mt Arifin, op. cit., hlm. 87.

[11] Usman Yatim dan Almisar Hamid, op. cit., hlm. 25.

[12] Solichin Salam, K.H. Ahmad Dahlan: Tjita-tjita dan Perdjuangannya, Departemen Pengajaran Muhammadiyah, Jakarta, 1962, hlm. 55.

[13] Mt Arifin, op. cit., hlm. 89 – 90.

[14] Ibid., hlm. 90 – 101.

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc