dikongsikan teks khutbah utk rujukan khutbah yang akan disampaikan pada hari ini (23 Julai 2011) - di Masjid al-Kauthar Bandar Baru Bangi fasa 4
Dr Hafidzi Mohd Noor
Unit Teks khutbah
Pengerusi JK Transformasi Sosial
IKRAM Negeri Selangor
merangkap
Pengerusi Aqsa Syarif
------------------------------------------------------------
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian
Firman Allah dalam ayat 185 surah al-Baqarah :
شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ فَمَن شَہِدَ مِنكُمُ ٱلشَّہۡرَ فَلۡيَصُمۡهُۖ وَمَن ڪَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ۬ فَعِدَّةٌ۬ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِڪُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِڪُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُڪۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُڪَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُمۡ وَلَعَلَّڪُمۡ تَشۡكُرُونَ
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.
Sidanhg Jumaat yang dirahmati Allah.
Kurang dari sepuluh hari dari hari ini insyaAllah kita akan berpeluang untuk menyambut kedatangan tetamu agung iaitu bulan Ramadhan yang kita nanti-nantikan. Bulan yang di dalamnya penuh dengan keberkatan dan pelbagai keistimewaan. Di dalamnya ada satu malam iaitu malam Lailatul qadar di mana nilai sesiapa yang beramal pada malam tersebut akan meraih pahala seperti beramal untuk seribu bulan. Ada pihak yang menterjemahkan seribu bulan seumpama 83 tahun, namun seribu bulan hanyalah satu gambaran tentang betapa besarnya pahala yang akan diperolehi oleh seseorang yang sebenarnya tidak mungkin diukur akan besarnya pahala yang bakal diperolehi. Penilaian sebenar hanya ada dalam ilmu Allah yang tidak mungkin dapat dijangkau oleh aqal kita yang lemah dan kerdil ini.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Ayat yang dibaca menunjukkan kaitan yang ada di antara bulan Ramadhan yang penuh baroqah itu dengan al-Quran. Mimbar Jumaat kali ini ingin menyentuh hubungan di antara al-Quran dan bulan Ramadhan, dan yang lebih penting lagi hubungan kita dengan Al-Quran. Kedudukan al-Quran itu begitu tinggi di sisi Allah sehingga Allah menurunkannya pada bulan Ramadhan. Ulama berpendapat apa yang dirujuk sebagai Nuzul Quran itu berlaku pada salah satu dari malam-malam di mana berlakunya Malam lailatul Qadar iaitu samada pada 21 atau 24 Ramadhan. Pendapat ini lebih kuat dari pandangan yang memutuskan nuzul Quran ialah pada 17 Ramadhan, meskipun ini bukanlah isu yang harus diperdebatkan kerana ada isu yang lebih besar untuk difikirkan iaitu tujuan al-Quran itu diturunkan. Pada malam nuzul Quran itu Allah SWT menurunkan keseluruhan al-Quran sekaligus di Baitul Izzah (di langit dunia). Dari sana Allah SWT menurunkan ayat-ayat al-Quran secara beransur-ansur selama 23 tahun (13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah – lalu ada ayat-ayat Makkiyah dan ada ayat-ayat Madaniyyah) menurut situasi atau peristiwa-peristiwa tertentu. Ini menunjukkan bahawa pengetahuan Allah tiada batasannya sehingga semua peristiwa yang dirakamkan di dalam al-Quran telah ditentukan berdasarkan hukum sebab dan akibat (qada’ dan qadar Allah SWT).
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah
Apakah kaitannya al-Quran dengan Ramadhan. Ayat yang dirujuk menjelaskan apakah makna al-Quran kepada manusia. Ia adalah Hudan (petunjuk). Petunjuk ini adalah seperti penunjuk jalan di dunia ini untuk menuju akhirat. Sesiapa yang tidak berpandukan kepada PETUNJUK ini maka pasti dia tidak akan sampai ke destinasi akhirat dengan selamat. Dia pasti akan sesat di dunia, Sesiapa yang sesat di dunia sudah tentu akan menemui kebahgiaan abadi di alam akhirat. PETUNJUK ini ditegaskan oleh Allah SWT amat jelas sehingga setiap PETUNJUK itu disertai dengan KETERANGAN-KETERANGAN. Ini bermakna setiap PETUNJUK di sepanjang perjalanan hidup di Dunia ini tidak pernah mengelirukan dan tidak mungkin menimbulkan salah tafsir atau silap pembacaan. Setiap PETUNJUK disediakan dengan panduan-panduan yang amat jelas sehingga kemungkinan seseorang itu tersalah jalan adalah nil atau 0%. Ia adalah ‘ERROR-PROOF’ dan ‘ALLOW FOR ZERO MARGIN FOR ERROR’.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Ini menunjukkan kepada kita sesiapa yang tersesat di dunia ini adalah bertanggungjawab penuh kepada segala tindakan dan pilihan yang ia buat. Simpang mana yang dia akan ambil dan jalan mana yang dia pilih adalah 100% pilihannya sendiri walaupun pelbagai amaran yang jelas telah dinyatakan pada setiap papan tanda PETUNJUK jalan tersebut. Sebab itu Islam ini tidak perlu paksaan. Allah membekalkan kepada manusia kemerdekaan berfikir supaya dengan kemerdekaan berfikir itu dia memilih berdasarkan kemampuan kognitifnya yang sempurna. Dia tidak perlu dipaksa untuk beriman kerana paksaan hanyalah merendahkan martabatnya sebagai insan yang merdeka jiwa raganya.
Allah SWT berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 255:
لَآ إِكۡرَاهَ فِى ٱلدِّينِۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَىِّۚ فَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَاۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Seterusnya Allah SWT menegaskan Al-Quran itu adalah al-FURQAN iaitu pembeda di antara kebenaran dan kepalsuan. Al-Quran itu adalah neraca atau timbangan kepada manusia terhadap pilihan-pilihan hidupnya. Apakah dia akan menimbangkan dengan al-FURQAN atau menimbang dengan aqal semata-mata. Bahkan lebih dahsyat lagi jika timbangan seseorang itu adalah berdasarkan kehendak nafsunya. Di sinilah yang membezakan seorang yang benar-benar beriman dengan seorang yang tidak bulat keimanannya kepada Allah SWT.
أَفَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَـٰهَهُ ۥ هَوَٮٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلۡمٍ۬ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمۡعِهِۦ وَقَلۡبِهِۦ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِۦ غِشَـٰوَةً۬ فَمَن يَہۡدِيهِ مِنۢ بَعۡدِ ٱللَّهِۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ
Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipatuhinya dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap kufur ingkar) dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?
وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٍ۬ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُ ۥۤ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَـٰلاً۬ مُّبِينً۬ا
Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 36
Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Lalu bagaimana pada hari ini umat Islam masih lagi seolah-olah tercari-cari PANDUAN hidup yang amat jelas ini. Inilah yang disebut oleh Imam as-Syahid Hassan al-Banna R.H. di mana beliau mengatakan umat Islam pada hari ini seakan-akan hidup di dalam bilik yang gelap gelita. Sedangkan pada dinding terdapat switch lampu. Andaikata mereka membuat sedikit ikhtiar untuk memetik switch lampu tadi maka bilik tadi akan terang benderang. Mereka tidak lagi berlanggaran di antara satu sama lain dan tersadung kerana melanggar peralatan dan perabut yang terdapat di dalam bilik atau ruang kehidupan itu. Cahaya yang terang benderang itu ialah al-Quran. Inilah yang membezakan golongan kafir dan umat Islam pada hari ini. Imam al-Banna mengatakan orang-orang kafir tidak mempercayai al-Quran sedang umat Islam tidak mengetahuinya meski al-Quran itu sentiasa ada disisi mereka. Mereka sanjung al-Quran itu, mereka letakkan di tempat yang tinggi, mereka jadikan sebagai tangkal azimat untuk menyembuhkan penyakit dan pendinding kepada pelbagai gangguan tetapi mereka tidak pernah tahu apa yang terkandung di dalam al-Quran itu. Mereka tidak pernah mahu membacanya. Kalau dibacapun ia menjadi amalan turun temurun dan dibaca sekadar untuk mendapat keberkatan darinya. Tetapi mereka tidak pernah mahu mengambil tahu apa dia PANDUAN-PANDUAN yang terkandung di dalam al-Quran yang amat berguna bagi manusia dalam menjalani kehidupan di bumi ini.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Marilah kita bandingkan diri kita dengan generasi al-Quran (Jil al-Quran al-Farid) yang unik. Satu generasi yang pernah di lahirkan di kalangan manusia hasil didikan langsung dari Rasulullah SAW. Apabila baginda Nabi SAW wafat maka antara orang yang paling sedih ialah Ummu Aiman RA, pengasuh Nabi sejak dari kecil. Apabila ditanya oleh Abu Baqar As-Siddiq akan sebabnya beliau menangis. Maka dijawab oleh Ummu Aiman, apabila baginda wafat maka tidak ada lagi wahyu yang turun. Sedang ketika baginda SAW masih hidup setiap persoalan hidup akan dijawab oleh Allah SWT dengan turunnya ayat al-Quran. Lalu Abu Baqar mengatakan setiap kali aku berhadapan dengan persoalan hidup nescaya aku membaca al-Quran lalu aku menemui jawapannya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Inilah yang membezakan generasi pertama dengan generasi kita pada hari ini. Kita tidak membaca al-Quran dalam ertikata menghayati akan arahan-arahan dan PANDUAN yang digariskan dengan jelas di dalam al-Quran. Bahkan kita bukan sahaja tidak menghayatai apa yang terkandung di dalam al-Quran bahkan kita tidak lagi membacanya walaupun sekadar membaca sahaja. Mudah-mudahan kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak ini akan menjentik hati kita untuk kembali membaca Quran sebagai langkah pertama untuk memahaminya. Rasulullah SAW berpesan kepada para sahabat.
“Jadilah kamu golongan al-Halul murtahil. Kamu tahukah siapa dia golongan al-Halul murtahil iaitulah mereka yang singgah dan berlalu pergi. Mereka yang singgah dan berlalu pergi ini ialah mereka yang mengkhatamkan al-Quran lalu memulainya. Mereka yang melaluinya lalu mengkhatamkannya. Begitulah mereka berada dalam keadaan membaca al-Quran sehinggalah mereka menemui Allah SWT. Sebab itu para sahabat tenggelam di dalam menbaca dan menghayati makna al-Quran sehingga Nabi SAW terpaksa turun tangan melarang mereka daripada bersikap melampau. Lalu sunnah Nabi SAW menetapkan agar al-Quran itu dikhatamkan tidak lebih dari sebulan dan tidak kurang dari tiga hari. Bulan Ramadhan adalah bulan tilawah. Pastinya bulan Ramadhan kali ini member kita peluang untuk melaksanakan pesan Nabi SAW iaitu dengan membaca al-Quran dan mengkhatamkannya dalam tempuh sebulan Ramadhan. Betul lah bulan Ramadhan bulan latihan. Apa yang kita sangka amalan lazim di dalam bulan Ramadhan iaitu mengkhatamkan al-Quran rupa-rupanya adalah amalan lazim sepanjang hayat Rasulullah SAW dan para sahabatnya.
Bagaimana sibuk pun kita, tidak ada yang lebih sibuk dari Rasulullah SAW dan para sahabat. Mereka mengurus negara, menghadapi golongan munafik, berhadapan dengan konspirasi Yahudi, mereka menghadapi Empayar Rum dan Parsi, mereka sebuk memikirkan tentang masalah umat. Umar bin Abdul aziz, meskipun sibuk menyantuni rakyat tidak akan meninggalkan amalan membaca al-Quran. Beliau akan mengambil mashaf walaupun sekadar membaca dua atau tiga ayat. Beliau lalu menyebut agar aku tidak termasuk di kalangan mereka yang menjadikan al-Quran sebagai sesuatu yang ditinggalkan.
Sabda Rasulullah SAW
“Barangsiapa membaca satu ayat dari Kitabullah, maka ia memperoleh sepuluh kebaikan untuk setiap huruf. Barangsiapa mendengar kannya, maka ia akan memperoleh cahaya pada hari Kiamat.”
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi JK Transformasi Sosial
IKRAM Negeri Selangor
0 comments:
Post a Comment