PERUTUSAN KHAS RAMADHAN AQSA SYARIF
Assalamualaikum wrt bth.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani. Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang telah menunjukkan jalan kebenaran dan cahaya Islam.
Aqsa Syarif mengucapkan tahniah kepada seluruh Islam kerana kita sedang bertamu di bulan Ramadhan yang agung. Bulan yang menjanjikan pelbagai ganjaran dan keistimewaan. Bulan di mana berlaku pelbagai peristiwa besar. Bulan yang menyatukan umat Islam ini tanpa mengira batas sempadan geografi, budaya dan bahasa. Bahkan Ramadhan menyatukan umat Islam untuk bersama melaksanakan syariat Allah iaitu menunaikan ibadah puasa dan berlumba-lumba untuk mencapai darjat taqwa yang disediakan bagi orang-orang yang ikhlas dan mengharapkan keampunan Allah semata-mata.
Sebagaimana Ramadhan menyatukan umat Islam, maka begitu jugalah Tanah Suci Baitul Maqdis adalah simbol penyatuan umat Islam diseantero dunia. Meskipun umat Islam berkumpul di Tanah Haram di Mekah untuk menunaikan haji saban tahun, namun tanah suci Baitul Maqdis yang berdiri padanya Masjid al-Aqsa membentuk ikatan yang mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Jika umat Islam disatukan di Mekah kerana manasik haji. Umat Islam di satukan oleh Masjid al-Aqsa oleh jihad untuk membebaskannya dari belenggu penjajahan. Masjid al-Aqsa menyatukan umat Islam pada minda dan perasaan meskipun mereka tidak pernah berkumpul secara fizikal sebagai mereka bolih sahaja melakukannya di musim haji di Mekah atau pada bila-bila masa sepanjang tahun ketika menunaikan umrah.
Begitulah umat Islam di seluruh dunia dirangkul oleh ikatan ‘syuur’ (perasaan) mendalam yang diterjemahkan dalam bentuk cinta dan rindu kepada kekaseh yang hanya bolih digapai dari jauh. Sedang hati orang-orang yang beriman terpaut hatinya pada masjid al-Aqsa dengan satu tekad dan iltizam untuk membebaskannya. Demikianlah setiap muslim memegang kemas akan pesan Rasulullah SAW kepada para sahabat “Ziarah dan solatlah di sana”. Halangan untuk berziarah dan solat di sana tidak pernah melunturkan cinta kepada al-Aqsa bahkan ia menggerakkan umat ini serentak untuk melaksanakan pesan yang berikutnya dari Rasulullah SAW “jika kamu terhalang, kirimkan minyak untuk lampu-lampunya”.
Didorong oleh rasa ‘hubb’ (cinta abadi terhadap Masjid al-aqsa) Aqsa Syarif telah mengerah segala kekuatan dan sokongan yang ada untuk menggerakkan misi bantuan ke Gaza untuk sekian kalinya. Aqsa Syarif bersempena dengan bulan Ramadhan ini akan mengirim sebuah misi besar yang akan dipikul oleh 12 orang pejuang-pejuang Aqsa Syarif. Dengan izin dan perancangan dari Allah SWT mereka insyaAllah akan memasuki Gaza yang berkah itu pada 20 Ogos (bertepatan 20 Ramadhan) dan akan berada di sana selama 8 hari. Mereka akan bersama-sama rakyat palestin pada sepertiga yang terakhir dari bulan Ramadhan, sepuluh malam terakhir yang terkandung padanya malam Lailatul Qadar.
Misi yang dinamakan misi Aqsa2Gaza2 ini adalah siri kedua misi memasuki Gaza yang melibatkan pejuang-pejuang Aqsa Syarif. Prof Madya Dr Zin kandar yang merupakan ketua misi VP5 @ Aqsa2Gaza yang berjaya memasuki Gaza pada bulan Oktober 2010, kini memikul kembali amanah yang berat ini untuk memasuki Gaza dalam misi yang diterajui sepenuhnya oleh Aqsa Syarif. Misi kami sekali ini juga istimewa kerana turut disertai oleh tiga orang anggota misi wanita. Mereka membawa amanah yang cukup besar di bawah inisiatif Rose2Rose (R2R) di mana wanita Palestin akan dihubungkan dengan wanita Malaysia bagi membantu menyediakan pusat-pusat komuniti untuk memperkasa wanita Palestin. Misi kali ini juga akan menziarahi Kelaurga miskin yang ditaja oleh Aqsa Syarif melalui kerjasama dengan Wafrah. Di samping itu misi ini akan membawa 1000 buah beg sekolah yang lengkap dengan buku-buku dan alat-alat tulis yang akan diagih-agihkan kepada kanak-kanak sekolah di Palestin.
Sebesar harapan Aqsa Syarif untuk membantu rakyat Palestin dalam kerangka menghayati pesan Rasulullah SAW ‘Kirimkan minyak untuk lampu-lampu masjid’ begitu jugalah besarnya harapan kepada sokongan umat Islam. Aqsa Syarif berdoa dengan baroqah bulan Ramadhan yang mana infaq (mengeluarkan harta untuk tujuan fisabilillah) adalah satu amalan utama di samping amalan-amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat, untuk membawa tidak kurang dari RM1 juta untuk melaksanakan semua projek-projek yang digariskan di atas.
Sempena bulan Ramadhan al-mubarak ini, Aqsa Syarif akan bersama-sama umat Islam mencontohi Rasulullah SAW dalam hal ketangkasan bersedeqah. Ibnu Abbas RA, berkata:
Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawannya pada bulan Ramadan ketika Jibril menemuinya. Jibril biasanya menemuinya setiap malam Ramadan, lalu tadarus al-Quran (dengan Nabi SAW). Sungguh Rasulullah ketika ditemui Jibril menjadi orang yang lebih bermurah hati dalam memberikan kebaikan, sehingga lebih banyak daripada tiupan angin. (Hadis Bukhari dan Muslim).
Marilah kita semua mengambil peluang ini untuk bersedeqah di bulan Ramadhan untuk membela dan mempertahankan tanah suci dan Masjid al-Aqsa. Cuma ada satu jalan sahaja buat masa ini untuk kita berperanan dengan berkesan untuk memikul tanggungjawab mempertahankan Masjid al-Aqsa iaitu dengan kita membantu saudara-saudara kita di Palestin untuk melakukan tanggungjawab ini bagi pihak seluruh umat Islam. Oleh kerana mempertahankan Masjid al-Aqsa ini adalah kewajipan yang akan ditanyakan oleh Allah ke atas setiap muslim, maka membantu umat Islam Paletsin tidak syak lagi menjadi kewajipan setiap kita yang bergelar muslim. Ayuh bersegeralah infaq untuk Palestin dan rebutlah pahala yang disediakan oleh Allah SWT. Ingatlah akan pesan Nabi SAW.
Sabda Rasulullah yang bermaksud, Jagalah kalian dari neraka, meskipun hanya dengan separuh kurma. (Hadis Bukhari).
Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi Aqsa Syarif
1 Ramadhan 1432H/1 Ogos 2011
0 comments:
Post a Comment