Teks Khutbah Sempena Hari al-Quds
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
سُبۡحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَيۡلاً۬ مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكۡنَا حَوۡلَهُ ۥ لِنُرِيَهُ ۥ مِنۡ ءَايَـٰتِنَآۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِيرُ
Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Al-Isra’ 1
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Hari ini khatib mengajak para jamaah untuk mengenang satu tragedi dari sekian banyak tragedi yang menimpa tanah suci Baitul Maqdis. Tragedi yang dimaksudkan adalah kemuncak kepada kehinaan yang ditimpakan ke atas Masjid al-Aqsa sejak ianya ditawan oleh Israel pada 7 Jun 1967. Dua tahun selepas Masjid al-Aqsa yang mulia ditawan, ia dibakar pada 21 Ogos 1969 oleh Yahudi Zionis. Masjid mengalami kerosakan yang besar dan mimbar Salahuddin al-Ayubbi yang berusia 1000 tahun musnah samasekali.
Kes kebakaran ini sering dikaitkan dengan seorang pelampau Yahudi yang bernama Michael Dennins dari Australia. Ini adalah merupakan satu konspirasi jahat puak Zionis yang berselindung di sebalik alasan bahawa kebakaran ini didalangi oleh seorang individu yang disahkan tidak siuman yang segera dihantar pulang ke negara asalnya selepas kejadian. Sesiapa yang menganggap kerja jahat ini sebagai insiden yang terpencil dan melibatkan hanya seorang pelampau yahudi, mereka sebenarnya telah terpedaya dengan taktik jahat Yahudi yang berhasrat untuk meruntuhkan Masjid al-Aqsa. Sebenarnya semua tindakan biadap Yahudi Zionis yang bermaharajalela di Palestin dan di Baitul Maqdis adalah dirancang di peringkat tertinggi ataupun direstui jentera Zionis. Ini terbukti dari rencana akhbar tentang rancangan untuk membina kuil Yahudi di tapak Masjid al-Aqsa tiga hari sebelum berlakunya kejadian itu. Mereka adalah golongan pengecut dan tidak bermaruah dan mereka cuba menutup perancangan jahat mereka dengan kaedah yang licik seperti ini.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Nabi-Nabi Allah sepanjang zaman termasuk Rasulullah SAW telah menghadapi scenario yang sama. Bahkan Nabi-Nabi Bani Israel seperti Nabi Musa as, Nabi Zakaria as, Nabi Yahya as dan nabi Isa as. terpaksa berdepan dengan perancangan licik kaumnya sendiri termasuklah cubaan untuk membunuh mereka. Jika kaum Yahudi diberi arahan pastilah mereka merubah arahan atau cuba mengingkarinya dengan cara-cara menipu. Walhal yang mereka bohongi tidak lain dari mereka sendiri.
Allah SWT berfirman di dalam surah al-Baqarah
وَإِذۡ قُلۡنَا ٱدۡخُلُواْ هَـٰذِهِ ٱلۡقَرۡيَةَ فَڪُلُواْ مِنۡهَا حَيۡثُ شِئۡتُمۡ رَغَدً۬ا وَٱدۡخُلُواْ
ٱلۡبَابَ سُجَّدً۬ا وَقُولُواْ حِطَّةٌ۬ نَّغۡفِرۡ لَكُمۡ خَطَـٰيَـٰكُمۡۚ وَسَنَزِيدُ ٱلۡمُحۡسِنِينَ
فَبَدَّلَ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ قَوۡلاً غَيۡرَ ٱلَّذِى قِيلَ لَهُمۡ فَأَنزَلۡنَا عَلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ رِجۡزً۬ا مِّنَ ٱلسَّمَآءِ بِمَا كَانُواْ يَفۡسُقُونَ
“Dan ingatlah ketika Kami berfirman, “Masuklah ke negeri ini (Baitul Maqdis), maka makanlah dengan nikmat (berbagai makanan) yang ada di sana sesukamu. Dan masukilah pintu gerbangnya sambil membongkok, dan katakanlkah, “Bebaskanlah kami (dari dosa-dosa kami), “nescaya Kami ampuni kesalahan-kesalahanmu, Dan kami akan menambah (karunia) bagi orang-orang yang berbuat kebaikan: Lalu orang-orang yang zalim mengganti perintah dengan (perintah lain) yang tidak diperintahkan kepada mereka. Maka Kami turunkan malapetaka dari langit kepada orang-orang yang zalim itu, kerana mereka (selalu) berbuat fasiq.”
Al-Baqarah 58 – 59.
Firman Allah SWT lagi
وَإِذۡ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوۡمِهِۦۤ إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تَذۡبَحُواْ بَقَرَةً۬ۖ قَالُوٓاْ أَتَتَّخِذُنَا
هُزُوً۬اۖ قَالَ أَعُوذُ بِٱللَّهِ أَنۡ أَكُونَ مِنَ ٱلۡجَـٰهِلِينَ
“Dan ingatlah ketika Musa berkata kepada kaumnya, “Allah memerintahkan kamu agar menyembelih seekor sapi betina, “Mereka bertanya, ‘apakah engkau akan menjadikan kami sebagai ejekan?’ Dia (Musa) menjawab. “aku berlindung kepada Allah agar tidak termasuk orang-orang yang bodoh.”
Al-Baqarah 67.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Tindakan kelompok zionis untuk memusnahkan Masjid al-Aqsa dan seterusnya menguasai tapak masjid untuk didirikan tempat ibadah mereka sudah dirancang sejak awal.
Pada tahun 1929 golongan Yahudi berusaha untuk mengambil alih tembok Buraq dan mewartakan ia sebagai tempat ibadat orang Yahudi (Kottel atau ‘The Wailing wall’) Ini telah mencetuskan penentangan oleh komuniti Arab-Islam. Rusuhan ini berlaku kerana Yahudi Zionis nyata menyinggung hak umat Islam ke atas Masjid al-Aqsa dan lambang-lambang suci umat Islam. Meskipun hasrat orang yahudi untuk mengambil alih Tembok Buraq tidak berjaya kerana mereka belum berkuasa, namun hasrat untuk mengambil alih tembok Buraq berjaya disempurnakan apabila tentera Zionis mengambil alih Masjid Al-Aqsa dalam perang 6 hari di antara 5 – 10 Jun 1967. Rampasan Yahudi ke atas tembok Buraq sebenarnya adalah pelanggaran yang jelas terhadap undang-undang antarabangsa kerana Liga bangsa-bangsa (badan antarabangsa yang diwujudkan selepas Perang Dunia Pertama) mengiktiraf status waqf Tembok Buraq pada tahun 1931 sekaligus mengakui kawasan tersebut adalah warisan islam yang tidak bolih dipertikai.
Sejak Masjid al-Aqsa ditawan oleh Zionis Israel pada tahun 1967, bermulalah perancangan yang tersusun untuk meruntuhkan masjid. Pelbagai provokasi dirancang. Yang paling menyentuh umat Islam ialah peristiwa yang berlaku pada 21 Ogos 1969 yang dinyatakan sebelum ini. Tragedi ini diingati sebagai hari al-Quds. Peristiwa inilah yang telah menggerakkan umat islam di peringkat antarabangsa untuk menubuhkan OIC (Organization of Islamic Conference) yang bermula dengan inisiatif YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj (mantan Perdana Menteri Malaysia), Raja Faisal Arab Saudi dan Raja Hassan II, Maghribi. Sidang kemuncak negara Islam di Rabat dari 22 hingga 25 September 1969 mendesak Israel keluar dari wilayah yang diduduki pada tahun 1967, menjamin kedudukan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin dan menjamin kesucian Masjid al-Aqsa.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Usaha-usaha untuk membela Masjid al-Aqsa seperti tidak bermaya meskipun OIC ditubuhkan. Masjid terus diancam. Bahkan kerja-kerja penggalian terowong di bawah masjid berjalan terus sejak sekian lama. Yahudi Zionis menggunakan alasan kajian arkeologi untuk menghalalkan tindakan tersebut. Masjid al-Aqsa terletak di dalam zon gempa dan dengan menggali terowong di bawahnya pastilah akan melemahkan foundasi masjid. Tindakan jahat ini dibongkar Syeikh Raed Salah, pemimpin rakyat Palestin di wilayah yang terjajah pada tahun 1948. Beliau mendedahkan perbuatan biadap kepada umat Islam dan masyarakat antarabangsa.
Untuk mengukuhkan cengkaman mereka ke atas Masjid al-Aqsa, regim Zionis Israel mengistiharkan Baitul Maqdis yang ditawannya sebagai sebahagian wilayah Israel pada 28 Jun 1967. Parlimen Israel (Knesset) meluluskan ‘The Jerusalem Law’ yang mengistiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel yang tidak bolih dipisahkan (bersama Baitul Maqdis barat) dan abadi pada tahun 1980. Meskipun PBB menolak pengistiharan ini melalui Resolusi 478, namun Kongress Amerika Syarikat memperakui Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel dan mengeluarkan pekeliling yang menghendaki apabila rujukan dibuat terhadap Jerusalem, ia hendak disebut sebagai ‘Jerusalem the Capital of israel’
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Apa yang khatib bentangkan adalah fakta-fakta yang menyelubungi Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa yang sedang merintih. Namun rintihan al-Aqsa tidak mampu untuk membangkitkan umat Islam yang sedang tidur nyenyak diulit mimpi.
Umat Islam seperti tidak menghargai Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa yang dimuliakan Allah dan Rasulnya.
Zaid bin Thabit r.a. melaporkan dari Rasulullah SAW. “Betapa as-Syams diberkati!” Para sahabat bertanya” “Bagaimana itu ya Rasulullah SAW?” Rasulullah SAW menjawab, “Aku melihat para malaikat melebarkan sayap mereka ke atas As-Syams”. Ibnu Abbas menambah. “Dan para Rasul menetap di dalamnya. Tidak ada satu incipun dari Baitul Maqdis di mana tidak ada Rasul yang solat di tempatnya atau malaikat berdiri padanya.”
Riwayat Tirmidzi dan Imam Ahmad.
Bahkan di Baitul Maqdislah tempat manusia dibangkitkan dan dikumpulkan pada hari akhirat. Ini dijelaskan dalam hadis berikut;
Maimunah Bint Sa’d melaporkan dia bertanya kepada Rasulullah SAW. “Ya Rasulullah, berilah kami satu pernyataan tentang al-Quds (Baitul Maqdis).” Rasulullah SAW jawab, “ia adalah tempat di mana manusia dibangkitkan (al-Hashr) dan dikumpulkan (al-Mahsyar)
Riwayat Imam Ahmad dan al-Tabarani
Kemuliaan Baitul Maqdis ialah kerana di sana berdirinya Masjid al-Aqsa. Keutamaan masjid ini bukan sahaja berkait sejarah para Nabi yang berada di sana tetapi juga keberkatan yang berkekalan sehingga akhir zaman. Para sahabat apabila hendak mengerjakan haji dan umrah pastilah mereka akan ke Baitul Maqdis terlebih dahulu untuk berniat ihram dan mengenakan pakaian ihram. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Nabi SAW;
Ummu Salamar r.a., Umm al-Mu’minin, menyampaikan dari Rasulullah SAW, baginda bersabda, “Jika seseorang itu memakai ihram untuk Haji dan Umrah dari Masjid al-Aqsa dan kemudian bergerak ke masjid al-Haram, dosa-dosanya yang terdahulu dan kemudian akan diampuni atau dia dijamin masuk syurga.” Penyampai hadis ini, Abdullah r.a. tidak pasti yang mana satukah perkataan itu (ganjaran) yang disebut.
Sunan Abu Daud
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Apa yang berlaku pada hari ini adalah janji Allah yang tepat. Setiap perkembangan yang berlaku di sekitar Baitul Maqdis adalah bukti kemuliaan al-Quds dan Masjid al-Aqsa. Perjuangan yang diterajui oleh umat Islam khususnya bangsa Palestin pada hari ini telah disebut oleh Rasulullah SAW 1,400 tahun yang lalu.
Nahik Ibn Suraym al-Sakuni r.a. menyampaikan dari Rasulullah SAW, baginda bersabda “kamu akan memerangi golongan kafir sehingga yang tinggal akan berperang di Sungai Jordan, kamu berada di sebelah timur (Jordan pada hari ini) dan mereka berada di sebelah baratnya (Tebing Barat – Palestin yang dijajah Israel).”
Ibnu Hajar al-Asqalani.
Rasulullah SAW bersabda berhubung dengan penduduk tanah suci al-Quds, “Mereka dan isteri-isteri mereka, anak-anak dan hamba sahaya mereka berada dalam ribat (kubu) di jalan Allah”
Al-Tabarani.
Masjid al-Aqsa pasti akan dibebaskan. Sama ada umat Islam peduli atau tidak tentang keadaan masjid al-Aqsa yang terkepung pada hari ini. Hakikatnya mereka yang berjihad untuk melindungi dan mempertahankan tanah suci akan dimuliakan oleh Allah dan mereka akan dijanjikan kemenangan. Sedang mereka yang tidak mengambil bahagian di dalam jihad yang merupakan kewajipan setiap umat Islam ini pastilah akan rugi dengan kerugian yang tak mungkin dapat ditaksir di dunia dan di akhirat. Semuga Allah membuka hati kita dan memilih kita untuk berada di dalam saf umat Islam yang berjihad untuk membebaskan masjid al-Aqsa.
Muawiyah bin Abu Sufyan menyampaikan Rasulullah SAW bersabda, “Aka nada di kalangan umatku yang akan terus berada di atas jalan kebenaran. Tiada sesiapa yang menentang mereka dapat menyakiti mereka sehingga tiba hari kiamat”, Para sahabat bertanya, “Di mana mereka ya Rasulullah?” Rasulullah SAW jawab, “Mereka berada di baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis.”
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi Aqsa Syarif
28 Jun 2011