Thursday, October 27, 2011

Cadangan Teks Khutbah Hari raya Aidil adha






Assalamualaikum wrt bth.
Allahu akbar 3x. Allahu akbar 3x. Allahu akbar 3x Walillahilhamd

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …


Hari ini adalah hari besar anugerah Allah SWT kepada umat Islam. Rasulullah SAW telah bersabda ketika menyaksikan kaum Aus dan Khazraj merayakan hari kebesaran mereka. Lalu Rasulullah SAW mengatakan bahawa Allah telah menganugerahkan kepada umat Islam dua hari kebesaran yang lebih baik iaitu Eid Adha dan Edi Fitri.

Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud:

“Dari Anas bin Malik, Nabi datang ke Madinah dan melihat mereka merayakan dua hari kebesaran. Baginda bertanya, “Apakah dua hari ini? Mereka menjawab, “kami biasa merayakan dua hari ini pada zaman Jahiliyah. Rasulullah SAW bersabda “Allah telah menggantikannya dengan dua hari yang lebih baik: Eid-ul-Fitri dan Eid-ul-Adha.

Eid-ul-Adha mengambil sempena ‘udhiyah yang bermaksud qurban. Ia juga disebut sebagai yaum-un-Nahar (Hari di mana ibadah Qurban dilaksanakan)

Imam Bukhari meriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari:

“Dari al-Barra bin Azib: Aku mendengar Rasulullah SAW menyampaikan khutbah. Baginda bersabda, “Perkara pertama yang perlu dilakukan pada hari ini ialah mendirikan solat, dan selepas itu, kamu menyembelih haiwan qurban; dan sesiapa yang melakukan ini berjalan di atas sunnah ku”

Ibadah qurban bukan sahaja merupakan sunnah Nabi SAW bahkan sunnah Nabi terdahulu sejak dari Adam AS. Syariat ibadah qurban pertama kali diwajibkan kepada anak-anak Adam AS sebagai ujian kepada mereka. Seerah Nabi adam AS menunjukkan Habil telah Berjaya di dalam ujian ini sedang Qabil gagal dalam ujian tersebut. Syariat yang dilaksanakan pada hari ini adalah dikaitkan dengan peristiwa penyembelihan Nabi ismail AS boleh bapanya Khalilullah Nabi Ibrahim AS.

Ibadah qurban yang dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS membawa pengajaran yang cukup banyak kepada kita sebagai umat islam. Pertama ibadah qurban ini bukanlah merupakan satu ibadah yang berbentuk peribadi sifatnya kerana ia melibatkan dukungan seluruh institusi keluarga Ibrahim AS. Apabila Nabi Ibrahim AS bermimpi yang merupakan perentah Allah kepadanya untuk mengorbankan Ismail maka dia telah menanyakan pandangan isterinya Siti Hajar. Nabi Ibrahim bukan berhasrat untuk mendapat persetujuan isterinya terlebih dahulu sebelum melaksanakan perentah Allah SWT tetapi untuk menegaskan bahawa ini adalah perentah Allah yang tidak mungkin dibantah. Lalu dijawab oleh Siti Hajar sekiranya ia merupakan satu ketetapan Allah maka laksanakanlah. Ini juga jawapan yang diberikan oleh Siti Hajar ketika beliau ditinggalkan bersama Ismail yang masih bayi di bumi gersang Mekah.

Siti Hajar bertanya kepada Nabi Ibrahim AS, Mengapa tinggalkan aku di sini. Beliau melihat di sekeliling gurun yang kontang dan batu-batan keras di sekeliling tanpa ada tanda-tanda kehadiran manusia. Nabi Ibrahim AS sudah bulat hatinya, dia hanya mendiamkan diri, dan tidak ada sepatah perkataanpun yang harus keluar dari mulut baginda yang menandakan bantahan terhadap perentah Allah SWT. “Adakah ini satu perentah dari Allah?” Siti Hajar terus bertanya. Nabi Ibrahim tetap mendiamkan diri. Siti Hajar pasrah dan berkata ‘Kalau begitu Allah SWT akan memelihara kami”, beliau pasrah dan tunduk kepada Rabbul Jalil

Nabi Ibrahim AS juga bertanya kepada Nabi ismail tentang pandangannya. Jawapan yang diterima oleh Nabi Ibrahim AS cukup menyenangkan hatinya. Ini adalah bukti bahawa ibadah qurban adalah satu amal yang sepatutnya mendapat dokongan dan penglibatan setiap ahli keluarga yang serius untuk mengabdikan dirinya kepada Allah SWT.

Sesungguhnya perentah qurban yang dijalankan oleh Nabi Ibrahim AS terhadap anak kesayangannya amat berat bagi seorang insan biasa. Sepanjang usianya Nabi Ibrahim AS berdoa agar dikurniakan seorang zuriat.

وَإِذۡ قَالَ إِبۡرَٲهِيمُ رَبِّ ٱجۡعَلۡ هَـٰذَا ٱلۡبَلَدَ ءَامِنً۬ا وَٱجۡنُبۡنِى وَبَنِىَّ أَن نَّعۡبُدَ ٱلۡأَصۡنَامَ (٣٥) رَبِّ إِنَّہُنَّ أَضۡلَلۡنَ كَثِيرً۬ا مِّنَ ٱلنَّاسِ‌ۖ فَمَن تَبِعَنِى فَإِنَّهُ ۥ مِنِّى‌ۖ وَمَنۡ عَصَانِى فَإِنَّكَ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ۬ (٣٦) رَّبَّنَآ إِنِّىٓ أَسۡكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِى بِوَادٍ غَيۡرِ ذِى زَرۡعٍ عِندَ بَيۡتِكَ ٱلۡمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ فَٱجۡعَلۡ أَفۡـِٔدَةً۬ مِّنَ ٱلنَّاسِ تَہۡوِىٓ إِلَيۡہِمۡ وَٱرۡزُقۡهُم مِّنَ ٱلثَّمَرَٲتِ لَعَلَّهُمۡ يَشۡكُرُونَ (٣٧)

“Dan apabila Ibrahim berkata: Tuhanku! Jadikanlah negeri ini , negeri yang aman, dan jauhkanlah aku berserta anak cucuku agar tidak menyembah berhala. Wahai Tuhan, berhala-berhala itu telah menyesatkan banyak dari manusia. Siapa yang mengikutiku, maka orang itu termasuk golonganku, dan siapa yang mendurhakaiku, maka Engkau Maha Pengampun, maha Penyayang. Wahai Tuhan, sesungguhnya aku telah menempatkan sebagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, Ya Tuhan agar mereka melaksanakan solat, maka jadikanlah hati sebagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur”

Surah Ibrahim: 35 – 37.

Riwayat mengatakan baginda hanya dikurniakan seorang putera ketika usianya sudah lanjut, mencecah 90 tahun.

ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى وَهَبَ لِى عَلَى ٱلۡكِبَرِ إِسۡمَـٰعِيلَ وَإِسۡحَـٰقَ‌ۚ إِنَّ رَبِّى لَسَمِيعُ ٱلدُّعَآءِ (٣٩) رَبِّ ٱجۡعَلۡنِى مُقِيمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِى‌ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلۡ دُعَآءِ (٤٠)

“Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku dihari tuaku Ismail dan Ishaq. Sungguh Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa. Wahai Tuhanku, jadikanlah aku dan anak-cucuku orang yang tetap melaksanakan solat, wahai Tuhan kami, perkenankanlah doaku”
Surah Ibrahim: 39 – 40

Apabila Ismail sudah berusia lebih kurang 10 tahun, sudah berputik kasih saying yang mendalam terhadap seorang anak remaja yang diharapkan akan meneruskan usaha tabligh dan dakwahnya, diperentahkan Allah pula untuk dikurbankan. Dan Nabi Ibrahim AS sebagai seorang manusia adalah seorang insan biasa yang tidak terkecuali dari rasa kasih, sedih dan pilu dengan apa yang dihadapinya. Tetapi sekali lagi perentah Allah mengatasi segala-galanya, maka semua perasaan itu harus dikorbankan demi membuktikan kasih-sayang tertinggi dan perentah tertinggi yang pasti dijunjung ialah perentah Allah SWT. Ini juga adalah pengajaran penting bagi kita umat Islam pada hari ini. Apabila datang perentah Allah, maka segala perkara adalah kecil dan pasti dilaksanakan bagaimana besar sekalipun rintangan yang dihadapi.

Pertarungan yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim AS belum berakhir. Dalam perjalanan untuk menjalankan perentah tersebut, baginda dihasut oleh Iblis laknatullah agar menimbangkan semula tindakannya. Tetapi setiap kali diseru Nabi Ibrahim AS melontarnya dengan batu. Tiga kali iblis dilontar dengan batu dan tidak sedikitpun Nabi Ibrahim AS goyah hati untuk meneruskan niatnya. Inilah yang diabadikan dalam manasik haji di dalam amalan melontar tiga jamrah. Ia adalah satu gambaran apabila seseorang hendak berqurban maka pasti syaitan akan menyelinap masuk dan membisikkan kata-kata pujuk rayu agar kita membatalkan niat untuk berkorban. Pengajarannya ialah ‘lempari’ bisikan itu dan membulatkan hati untuk melaksanakan perentah Allah tanpa sedikitpun merasa ragu.

Apabila sampai ke tempat penyembelihan maka Nabi Ibrahim AS telah menyembelih Nabi ismail AS. Diriwayatkan pisau telahpun mencecah batang leher Ismail AS dan sekonyong-konyong itu Allah menggantikannya dengan seekor qibas. Ini adalah hadiah bagi orang yang yakin dengan perentah Allah, yakin bahawa disebalik perentah Allah yang cukup berat itu tersimpan sebuah hikmah dan nikmat yang cukup besar. Keyakinan ini hanya dapat dirasai oleh orang yang bulat keimanannya kepada Allah SWT. Maka ibadah qurban yang kita lakukan pada hari ini adalah satu latihan untuk memupuk keimanan sejati dan keyakinan yang tidak berbelah bagi terhadap Allah SWT. Ia adalah satu bentuk persediaan untuk melahirkan sifat komando, iaitu bersiap sedia untuk menjalankan perentah Allah dalam semua situasi. Apabila datang perentah Allah untuk infaq maka tanpa tangguh-tangguh lagi kita akan melaksanakannya.

۞ وَسَارِعُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٍ۬ مِّن رَّبِّڪُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَـٰوَٲتُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِينَ (١٣٣) ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلۡڪَـٰظِمِينَ ٱلۡغَيۡظَ وَٱلۡعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِ‌ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

“Bersegeralah kamu kepada keampunan Allah dan syurgaNya yang seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa iaitu mereka yang membelanjakan hartanya dalam keadaan lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan”

Surah Ali Imran: 133 – 134.

ٱنفِرُواْ خِفَافً۬ا وَثِقَالاً۬ وَجَـٰهِدُواْ بِأَمۡوَٲلِڪُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

“Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan maupun dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”

Surah at-Taubah: 41

كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلۡقِتَالُ وَهُوَ كُرۡهٌ۬ لَّكُمۡ‌ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ خَيۡرٌ۬ لَّڪُمۡ‌ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّواْ شَيۡـًٔ۬ا وَهُوَ شَرٌّ۬ لَّكُمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ

“Diwajibkan ke atas kamu qital (peperangan) meski kamu membencinya. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah maha tahu sedang kamu tidak mengetahi”

Surah al-Baqarah: 216

Bagaimana lagi kita hendak melaksanakan perentah Allah di atas jika di dalam diri belum terlatih sifat bersedia untuk berkorban harta dalam keadaan kesempitan, berkorban rasa rehat dan keselesaan untuk beramal ketika kita merasa berat, dan berperang dalam keadaan hati membencinya?


Para Jemaah yang dirahmati Allah.

Ibadah qurban yang bakal kita sempurnakan selepas solat eid adalah satu bentuk yang simbolik bahawa kita akan berikrar untuk berqurban demi meninggikan syariat Allah dan menjunjung perentah Allah dalam semua keadaan. Kerana itu ia merupakan sunat muaqaddah, sunat yang diberatkan. Bagi setengah mazahib ibadah qurban menjadi fardhu. Menurut Imam Abu Hanifah ibadah qurban difardhukan bagi mereka yang berkemampuan. Imam Malik turut sependapat dalam hal ini. Imam Syafii, Imam Ahmad dan Imam Abu Yusuf dari mazahib Hanafi berpendapat ia adalah sunat muaqqad (sunat yang dituntut dan diberatkan). Perbezaan pendapat ini tidak seharusnya menjadi isu. Apapun pegangan kita, namun jangan lupa ia adalah satu sunnah yang sangat diutamakan oleh Rasulullah SAW. Sebagaimana sabda Nabi,

“barangsiapa melakukan itu (ibadah qurban) maka ia berada di atas sunnahku”


Marilah mulai tahun ini dan seterusnya kita membuat resolusi untuk memberi galakan kepada seluruh ahli keluarga supaya melakukan ibadah qurban dan memberikan perhatian yang cukup besar kea rah perlaksanaannya dalam keluarga. Latihlah anak-anak supaya menabung dan dapat melaksanakan ibadah qurban pada masa akan datang. Jika anak-anak kita sanggup menitipkan wang sakunya untuk membeli sebuah handphone yang mahal atau computer games maka tidak ada sebab kenapa mereka tidak boleh menabung untuk amal yang sangat besar maknanya ini untuk memupuk sifat cintakan agama Allah.

Hari ini tuntutan untuk umat Islam berkorban sangat besar. Dalam dunia tanpa sempadan, berqurban adalah sumber kekuatan umat ini dalam menghadapi pelbagai mehnah dan ujian Allah. Umat Islam diperangi oleh kuasa-kuasa besar, rakyat Palestin di Gaza dikepung hampir enam tahun lamanya. Tidak ada bekalan makanan yang dibenarkan masuk, begitu juga ubat-ubatan, air bersih dan bahanapi. Mereka diserang dengan penuh biadap oleh zionis Israel dan saat ini mereka hanya tinggal dalam khemah dalam suasana musim sejuk yang menggigit tulang kerana tidak ada bahan binaan yang dibenarkan masuk untuk membaik pulih rumah-rumah mereka telah musnah dibom oleh Israel. Umat islam di merata tempat di Somalia, di Uighur, Cina, di Myanmar, si Mindanao, di Iraq dan Afghanistan menderita peperangan dan kekurangan makanan kerana dasar kuasa-kuasa besar dan regim yang tunduk kepada tekanan musuh-musuh Islam. Begitu juga umat Islam yang miskin seperti di Kemboja, Vietnam, Sri Langka dan juga yang dilanda bencana alam seperti di Thailand juga wajar mendapat perhatian utama umat Islam di Malaysia dalam melaksanakan ibadah qurban.

Akhir sekali ibadah qurban ini adalah persediaan untuk melakukan qurban yang paling tinggi darjatnya iaitu berkorban jiwa raga demi mempertahankan Islam.

Tercatat di dalam seerah selepas peperangan Uhud, pasukan Nabi yang menderita kekalahan di mana 70 orang mujahid syahid di medan, mereka telah ditahan oleh seorang wanita yang bertanya tentang berita pertempuran. Lalu disampaikan berita sedih bahawa wanita itu sudah kehilangan suami, ayah dan anaknya di Uhud. Reaksi wanita ini ialah ‘Bagaimana keadaan rasululah SAW? Bila diberitakan sahabat Rasulullah terselamat kecuali luka sedikit maka wanita ini berkata ‘Segala perkara adalah kecil asalkan Rasulullah terpelihara.’ Apakah kita juga sanggup untuk mengungkap perkataan ini ‘semua perkara adalah kecil asalkan Islam terus teguh dan dakwah terpelihara’

Allah SWT berfirman dalam surah as-saff.

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍ۬ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٍ۬ (١٠) تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٲلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ (١١)


‘Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kamu kuberitahu perniagaan yang menyelamatkan kamu dari azab yang pedih. Iaitu kamu beriman dengan Allah dan hari akhir dan kamu berjihad pada jalannya dengan harta-harta kamu dan jiwa raga kamu, itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui’

Surah as-Saff: 10 – 11

Allah SWT mendahulukan infaq atau qurban harta sebelum menyebut tentang qurban jiwa raga. Ia adalah satu isyarat jelas bahwa infaq atau korban harta adalah prasyarat untuk menyediakan diri memburu syahid pada jalan Allah, kemuncak ibadah qurban yang dianugerahkan Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih.

HMN

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc