Thursday, November 24, 2011

Perutusan Maal Hijrah Aqsa Syarif 1433H





Perutusan Maal Hijrah (1433H)

Aqsa Syarif mengucapkan selamat tahun baru hijrah kepada seluruh umat Islam di Malaysia khususnya. Sebagaimana sudah menjadi tradisi setiap menjelang tahun baru maka setiap orang akan menanam azam untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan. Bersempena dengan tahun baru hijrah 1433, Kami mengajak seluruh umat Islam untuk memberi perhatian kepada umat Islam di tanah suci Al-Quds yang kini sedang menghadapi penindasan dan penjajahan. Di saat kita meletakkan sasaran untuk meningkatkan pencapaian dalam pelbagai bidang yang diceburi dan memperbaiki taraf hidup, saudara-saudara kita berhadapan dengan persoalan bagaimana untuk meneruskan kehidupan itu sendiri dalam keadaan dinafikan hak mereka yang paling asas sebagai manusia. Mereka disekat dari mendapat bekalan makanan, air bersih untuk minuman, ubat-ubatan dan bahan bakar. Mereka juga tiada jaminan keselamatan tempat tinggal kerana bila-bila masa sahaja tanah mereka akan dirampas, mereka dihalau keluar dan rumah mereka dirobohkan. Bahkan nyawa mereka sentiasa berada dalam keadaan bahaya akibat terdedah kepada serangan Israel yang boleh dilancarkan tanpa amaran dan secara tiba-tiba.

Inilah senario yang sedang dihadapi oleh rakyat Palestin di saat kita menyambut Maal Hijrah. Bagi mereka tahun baru hijrah hanya menjanjikan satu kepastian iaitu perjuangan untuk pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa pasti diteruskan. Itulah azam yang tertanam kukuh di dalam setiap umat Palestin. Cita-cita untuk melihat tanah suci al-Quds kembali ke pangkuan umat Islam tidak pernah luput dari ingatan mereka. Bahkan inilah azam yang tidak pernah

luntur dalam diri para pejuang sejak 66 tahun yang lalu. Semangat jihad yang terus membara disanubari mereka menjadi obor yang menerangi seluruh dunia Islam dan menyuntik kekuatan meski berhadapan dengan pelbagai pengkhianatan dan pembelotan dari kalangan pemimpin-pemimpin Negara Islam yang berkepentingan yang bersekongkol dengan pihak musuh. Jika diamati, setiap orang akan merasa insaf bagaimana mungkin sebuah umat yang diperangi oleh kuasa tentera yang ke empat terbesar di dunia dan mendapat sokongan padu dari kuasa besar dunia Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah dapat bertahan puluhan tahun lamanya. Bahkan Bangsa-bangsa bersatu yang sering memihak kepada kepentingan zionis kerana didalangi oleh Amerika dan sekutu-sekutunya sering gagal membela kepentingan dan hak rakyat Palestin. Apakah rahsia kekuatan mereka sehingga mereka tidak berganjak langsung dari prinsip perjuangan meskipun diasak dengan begitu hebat oleh Zionis, Negara kuasa besar bahkan regim-regim Negara Arab yang menjadi boneka kepada kepentingan Amerika.

Semua ini menuntut umat Islam di Malaysia untuk mengambil inspirasi dari satu perjuangan yang amat menakjubkan. Apakah yang mendorong satu umat yang tidak punya kekuatan tentera dan senjata untuk berhadapan dengan Israel yang mendapat bantuan hampir tiga billion USD setahun dalam bentuk pelbagai senjata terkini. Bahkan mereka bukan sahaja berhadapan dengan jet pejuang, kereta kebal, peluru berpandu, bom pintar, pesawat ‘predator’ kawalan jauh, tetapi mereka turut dihujani dengan bom fosforus putih yang diharamkan. Kemusnahan kepada nyawa, harta benda dan tempat tinggal tidak dapat dibayangkan. Tetapi semua ini hanya meningkatkan semangat juang dan menyemarakkan lagi jihad di bumi Palestin. Pastinya umat yang berjuang di atas dasar jihad yang benar tidak akan dapat ditundukkan oleh mana-mana kekuatan di bumi ini. Meskipun seluruh dunia menalakan senjatanya kepada umat yang sedemikian, mereka tidak akan mampu menumpaskan satu umat yang kekuatannya datang langsung dari Allah SWT.

Hari ini di saat rakyat Gaza sedang bergelut dengan persoalan hidup dan mati, para pejuang menyibukkan diri mereka dengan mempersiapakan generasi akan datang. Lima puluh peratus anak-anak Gaza berhadapan dengan masalah kurang zat makanan. Sebahagian besar dari mereka tidak dapat meneruskan persekolahan. Bukan sahaja bangunan sekolah sudah ranap menyembah bumi, bahkan kertas dan alat tulis juga tidak dapat dibekalkan akibat sekatan Israel dan penutupan sempadan Gaza dengan dunia luar. Namun dalam serba kekurangan dan kedaifan ini, mereka tidak pernah putus pergantungan dengan Allah SWT. Mereka tetap meletakkan harapan penuh yakin bahawa masa depan Palestin sudah dijamin di dalam Islam. Oleh itu salah satu agenda yang penting yang diberikan perhatian penuh para pejuang ialah membina generasi pelapis. Mereka ditarbiyah dengan al-Quran. Mereka ditarbiyah untuk menjadi para hufaz dan membawa al-Quran di dalam dada-dada mereka. Pada musim panas yang lalu mereka Berjaya menghasilkan 30,000 para hufaz cilik dari kalangan anak-anak lelaki dan perempuan. Sebahagian dari mereka bergelar hufaz hanya dalam tempoh tiga bulan atau lebih pendek dari itu. Program melahirkan generasi Rabbani ini akan menjamin kelangsungan jihad untuk mem pertahankan tanah suci dan Masjid al-Aqsa. Dengan nukleus para rijal yang mempunyai kualiti tarbiyah imaniah ini, benteng-benteng pertahanan umat di bumi al-Quds akan terus dijamin terpelihara dari pencerobohan dan pengkhianatan golongan yang cuba mengkhianati perjuangan ini.

Kami mengajak umat Islam untuk mengimbau perjuangan umat Islam di Palestin sempena Maal Hijrah. Apakah kaitan peristiwa Hijrah Nabi SAW dengan perjuangan yang ditempa oleh umat Islam zaman ini terutama di Tanah Suci Al-Quds. Apakah hubungkait peristiwa besar di dalam perjuangan Nabi SAW 1,400 tahun yang lalu dengan kesinambungan perjuangan umat Islam pada hari ini. Pastinya peristiwa Hijrah bukan hanya satu peninggalan sejarah tetapi satu panduan yang terus relevan sepanjang zaman. Perjuangan Nabi SAW adalah kemuncak segala perjuangan di antara hak dan batil, di antara kebenaran dan kepalsuan. Allah SWT telah menjadikan resam perjuangan yang batil sentiasa berada di pihak yang kuat dari sudut zahir dan luarannya. Semua itu menjadi ujian kepada orang-orang yang beriman agar mereka tidak silau dan goyah melihat kekayaan dan kekuatan pendukong-pendukong kezaliman. Nabi SAW berhadapan dengan penindasan dan penyeksaan golongan penguasa Quraish selama 13 tahun menerajui perjuangan menegakkan kalimah Allah dan kebenaran di bumi Mekah. Mereka merupakan golongan minoriti yang sentiasa diasak oleh pemuka-pemuka Quraish yang berkuasa, berpengaruh dan kaya-raya. Golongan inilah yang memegang tampuk kekuasaan dan tidak pernah henti-henti menyakiti Rasulullah SAW dan orang-orang yang beriman. Sebahagian mereka syahid di tangan penguasa-penguasa ini dan apa yang mampu dilakukan oleh Rasulullah SAW hanyalah menyuruh para sahabatnya bersabar. Apabila semua penyeksaan dan penindasan ini tidak berjaya melemahkan keimanan maka mereka telah mengambil satu pendekatan di luar batas-batas persaudaraan bahkan di luar batas kemanusiaan. Umat Islam diboikot dan dikepung selama tiga tahun lamanya. Mereka tidak dibenarkan menghubungi dan menyambung silatur rahim meskipun dengan ahli keluarga yang terdekat. Bekalan makanan disekat sehingga ada umat Islam yang meninggal dunia akibat kebuluran. Bahkan Saidatina Khadijah RA dikatakan meninggal akibat kesan dari kekurangan makanan. Namun umat Islam tetap bertahan dan tidak sekali-kali menggadaikan keimanan mereka hanya untuk mengalas perut yang pedih menahan lapar. Mereka tetap bertahan meskipun anak-anak merintih pada waktu malam menahan lapar. Tangisan yang memilukan pada waktu malam telah mendorong orang-orang Quraish yang masih punya hati untuk membekalkan makanan secara sembunyi-sembunyi supaya tidak diketahui orang lain. Allah SWT telah menguji Rasulullah SAW sehingga kemuncak dan kemudian memberi kelegaan kepada umat Islam dengan campur tangan Allah SWT sendiri. Berakhirnya boikot rupa-rupanya menjanjikan dugaan yang lebih berat kepada Rasulullah SAW. Kematian dua orang yang paling disayangi dan yang paling kuat menyokong dan melindungi Rasulullah SaW iaitu isteri dan bapa saudaranya, Abu Talib sudah tentu meninggalkan kesan yang amat besar pada jiwa Rasulullah SAW. Dalam keadaan menanggung sedih itu Rasulullah SAW tidak berputus asa dan tetap menjalankan amanat dakwah yang dipikulkan ke atas dirinya. Kunjungannya ke Taif bukan disambut dengan baik bahkan dilempari dengan batu sehingga menanggung luka yang berat. Pada saat sedemikianlah Allah SWT memperjalankan Nabi dalam satu peristiwa yang menakjubkan iaitu Isra’ dan Mikraj. Perjalanan ke Masjid al-Aqsa dan kemudian ke Sidratul Muntaha adalah langkah pertama ke arah kemenangan yang bakal datang. Kembalinya Rasulullah SAW disusuli dengan siri-siri pertemuan dengan penduduk Yathrib. Rasulullah Saw dinanti-nantikan oleh penduduk Yathrib dan diangkat sebagai pemimpin di Madinah. Peristiwa hijrah adalah kunci kepada kemenangan ini.

Dalam konteks perjuangan rakyat Palestin pada hari ini, peristiwa hijrah adalah satu jaminan dari Allah SWT bahawa kemenangan pasti akan berpihak kepada pejuang kebenaran. Kekuatan fizikal dan sokongan antarabangsa yang dinikmati oleh Israel tidak akan melindungi regim haram itu dari kemusnahan. Sebagaimana kepungan dan boikot ke atas Rasulullah SAW gagal maka begitu juga sekatan ekonomi dan kepungan ke atas Gaza akan gagal dengan kuasa Allah SWT. Sebagaimana komplot dan persekongkolan golongan yahudi dan munafiq di Madinah begitu juga persekongkolan regim-regim Arab bersama zionis untuk menekan gerakan Hamas dan gerakan Islam di Palestin akan menemui kegagalan. Golongan Ahzab moden yang diterajui oleh Amerika Syarikat akan gagal sebagaimana gagalnya golongan Ahzab dalam peperangan Khandak. Keyakinan yang bulat inilah yang terus memercikkan api kebangkitan rakyat Palestin. Kini persoalannya ialah apakah peranan umat Islam sejagat? Apakah kita hanya sekadar menonton dan memberi ulasan-ulasan yang kadangkala terpisah dari realiti sebenar. Ramai umat Islam di luar sana merasa sangsi dengan janji Allah SWT. Mereka bukan sahaja mengambil sikap tidak peduli dengan apa yang menimpa tanah suci al Quds bahkan tergamak mencemuh para pejuang dengan kata-kata nista dan penghinaan. Sebabnya ialah umat Islam tidak kembali kepada persoalan dasar iaitu melihat perjuangan yang berlaku ini dalam konteks Al-Quran dan sunnah. Mereka mengukur kekuatan musuh dengan penilaian kebendaan lalu membuat kesimpulan bahawa perjuangan rakyat Palestin adalah usaha yang sia-sia. Kami menyeru seluruh umat Islam supaya kembalilah kepada Allah dan Rasulnya dalam menilai perjuangan umat Islam di Palestin. Kemenangan sebenarnya telah ditetapkan oelh Allah SWT bagi hamba-hambanya yang berjihad dengan ikhlas dan penuh keimanan. Sebagaimana yang disebut lewat hadis-hadis sahih Rasulullah SAW bahawa umat ini akan terus berjuang sehingga Allah memberi kemenangan mutlak kepada mereka. Apabila ditanya oleh sahabat di manakah mereka itu, dijawab oleh Rasulullah SAW, mereka itu berada di Baitul Maqdis. Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW memberi jaminan bahawa pengkhianatan golongan yang berkhianat tidak akan memudaratkan mereka. Mereka akan tetap menjadi golongan yang menang. Golongan ini disebut oleh Rasulullah berjuang di pintu-pintu Dimasq (Damsyik) dan pitu-pintu al-Quds (Baitul Maqdis).

Sempena Maal Hijrah 1433 ini Aqsa Syarif menyeru seluruh umat Islam supaya meletakkan satu azam untuk bersama di dalam jihad mempertahankan tanah suci. Umat Islam diseru memperuntukkan sebahagian dari penghasilan mereka untuk perjuangan pembebesan al-Quds. Barangsiapa yang memberi bekal kepada para mujahidin maka dia juga adalah mujahidin. Dengan hadis Nabi SAW ini, Kami mengakhiri perutusan Maal Hijrah ini dengan harapan agar seluruh umat Islam bersama berganding bahu berjuang dengan segala daya dan upaya untuk menyokong jihad di bumi Palestin.

Dr Hafidzi Mohd Noor

Pengerusi

Aqsa Syarif Bhd

1 Muharram 1433H

Infaq ke tabung Palestin bolih disalurkan ke akaun Aqsa Syarif Bhd di akaun MBB 551575004299.

Sila maklumkan sumbangan dengan meng faks butiran (bank in slip, deposit slip atau transaksi Maybank2u ke no 03-87349636

Untuk maklumat lanjut sila hubungi ibu pejabat Aqsa Syarif di no 03-87334636

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor

Pengerusi

Aqsa Syarif

1 Muharram 1433H/27 November 2011

Tuesday, November 22, 2011

Program di Perth pada 22 dan 23 Nov 2011



Thursday, November 17, 2011

Rakaman Forum Kebebasan Akademik - Prof Dr Aziz Bari dan Dr HMN

Assalamualaikum,

Berikut ialah Rakaman Forum Kebebasan Akademik anjuran Pro Mahasiswa UPM. Ahli panel ialah Prof Dr Aziz Bari dan Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor










Friday, November 11, 2011

Butiran penerbit, sinosis dan tempahan siri buku Jejak risalah di nusantara Jilid 1



Tajuk: Jejak Risalah di Nusantara Jilid 1
Zaman Pra Islam hingga Era Pelayaran Admiral Muhammad Cheng Ho
Tahun terbit: 2007
Hlm: 113 ms.

Butiran penerbit/pengedar
JIMedia

300.3 Lorong Selangor,
Pusat Bandar Tmn Melawati
Kuala Lumpur 53100
Tel: 03-41089669


Assalamualaikum,

Atas beberapa permintaan saya kongsikan semula butiran dan sinopsis buku-buku Jejak Risalah di nusantara. Saya mulakan dengan Jilid 1 - Zaman Pra-Islam hingga Era Pelayaran Admiral Muhammad Cheng Ho

Daftar isi

Daftar isi

1. Pendahuluan

2. Umat islam mewarisi tamaddun Hindu-Buddha.

3. islam tersebar olih dakwah

4. Dari jurusan mana datangnya Islam di Nusantara.

5. Bila Islam mula disebarkan di Nusantara

6. Majapahit dan Islam

7.Tamaddun ilmu meruntuhkan Empayar majapahit.

8. Transformasi Jatidiri melayu Nusantara.

9. Berkembangnya Dakwah di saat kejatuhan ummah

10. Penyatuan umat Islam melalui bahasa

11. Pengaruh Islam ke atas seni.

12. Perlaksanaan Undang-undang Islam

13. Admiral Muhammad Cheng Ho - Envoy muslim kurun ke 15

14. Penutup

1. Pendahuluan

Nusantara adalah istilah kebudayaan untuk gugusan kepulauan Melayu, secara umumnya dirujuk sebagai daerah kebudayaan Melayu, yang merangkumi tidak kurang dari 200 juta manusia yang bertutur dalam pelbagai bahasa rumpun melayu dan mengamalkan adat istiadat yang berbeza[1]. Dari sudut geo-politik semasa wilayah yang dinisbahkan kepada Nusantara itu terdiri dari negara Malaysia (merangkumi juga wilayah Selatan Thai; yang bukan merupakan pulau tetapi bahagian kebenuaan dari Asia Tenggara; menganjur dari segenting Kra dan menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan tanah besar benua Asia), Indonesia, Singapura dan Filipina.

Daerah lingkungan Nusantara mempunyai sejarah tamadun kemanusiaan yang sangat awal. Penemuan tapak-tapak arkeologi seperti Gua Cha dan Gangga Negara di Malaysia membuktikan bahawa tamadun se awal zaman batu pernah wujud di sini. Oleh kerana kedudukannya di antara Benua kecil India dan tanah besar Cina, maka ia menjadi tempat pertembungan dan persenyawaan budaya serta pengaruh barat dan timur. Gugusan kepulauan di antara Lautan teduh atau Pasifik dan Lautan Hindi menjadikan ia pelabuhan semulajadi. Dengan berkembangnya perniagaan wujudlah kerajaan-kerajaan pesisiran pantai dan berkembanglah pemikiran, budaya dan agama. Masyarakat setempat yang berpegang dengan kepercayaan nenek moyang, memuja ruh dan semangat, turut terdedah kepada agama-agama dari luar khususnya Hindu dan Buddha. Kerajaan-kerajaan awal Nusantara seperti Kedah tua, Langkasuka, Singhosari dan Kalinga menunjukkan pengaruh campuran kepercayaan setempat dan agama Hindu.

Sungguhpun sarjana-sarjana sejarah dan pengkaji-pengkaji kebudayaan dari barat memberikan tumpuan khusus kepada pengaruh Hindu dan Buddha yang mencapai kemuncaknya pada zaman empayar Majapahit, namun pengaruh terbesar yang merubah peta lanskap Nusantara adalah agama Islam. Walaupun agama Hindu dan Buddha (di zaman Srivijaya) sudah bertapak dan mengakar di Nusantara selama beberapa kurun, agama Islam berjaya mengambil alih dan secara beransur-ansur merubah pandangan hidup penduduk di Nusantara. Kini Islam menjadi anutan terbesar di Asia Tenggara dengan jumlah penganutnya mencapai 250 juta orang, hampir menyamai bilangan umat Islam di negara-negara Arab.

Apakah faktor-faktor yang menjadi pencetus kepada perubahan ini yang bukan sahaja meliputi aspek anutan semata-mata, bahkan membentuk pandangan hidup dan membawa revolusi pemikiran? Ini menuntut kepada penelitian semula kepada sejarah permulaan kedatangan Islam, termasuk persoalan-persoalan berkaitan seperti dari jurusan mana kedatangannya, kaedah penyebaran dan peristiwa yang melatari proses perubahan kepada Islam. Pertembungan di antara Islam dan agama serta budaya setempat yang telah mengakar di Nusantara juga perlu dilihat semula untuk mengukur sejauh manakah benarnya tanggapan sarjana barat bahawa Islam sebenarnya tidak merubah orang Melayu Nusantara dari sudut dalaman dan kejiwaan atau ’spiritual make-up’. Islam bagi mereka tidak lebih dari kulit luar yang jika ditanggalkan maka tampak jelaslah peninggalan agama Hindu-Buddha dan peninggalan nenek moyang sebelum Islam. Semua persoalan ini akan dikupas dan dianalisis dalam bab-bab yang disusun untuk membina satu tesis mengenai impak Islam kepada umat melayu Nusantara dari sudut kerohanian sehinggalah kepada mengatur sistem hidup bermasyarakat dan bernegara.


[1] Zainal Kling, 1991. Melayu, Ensaiklopedia Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, Jld. Pengenalan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kem. Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur, hlm. 73 – 75.



Tuesday, November 8, 2011

Forum Kebebasan Akademik, “Wacana Seperti Ini Harus Diteruskan” – Dr. Hafidzi

Assalamualaikum,

(petikan video yang diolah oleh seseorang 'lalangtegak' sebenarnya adalah sedutan dari Forum Kebebasan Akademik). Laporan asal bolih dirujuk di sini http://promahasiswaupm.wordpress.com/

Forum Kebebasan Akademik, “Wacana Seperti Ini Harus Diteruskan” – Dr. Hafidzi

SERDANG, 3 Oktober 2011 – Forum Kebebasan Akademik yang bertajuk “Era Baharu Kebebasan Berpendapat” yang berlangsung kelmarin di Bilik Tutor 4, Jabatan Matematik Fakulti Sains, UPM menyaksikan suatu bentuk wacana yang sangat membuka minda dan kesedaran mahasiswa UPM. Perbincangan panas dua orang ilmuwan, Prof Dr. Abdul Aziz Bari, pensyarah kanan UIAM dan Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor, pensyarah kanan UPM ini banyak mengulas akan pencabulan hak kebebasan berpendapat dan kebebasan akedemik. Ini adalah satu isu lapok yang telah lama menjangkiti sistem pendidikan di Malaysia sejak hampir 30 tahun yang lalu.

Menjawab kepada persoalan moderator yang juga Pengerusi Pro-Mahasiswa, Saudara Tarmizi, Prof Dr. Abdul Aziz Bari telah mengulas serba sedikit akan isu pergantungannya di UIA. Beliau menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan dan disiarkan di laman berita Malaysiakini adalah satu bentuk dasar kebebasan akedemik.

Isu sebenar yang di bangkitkan oleh beliau adalah bagaimana peranan sultan dalam menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepada mereka. Tidak ada apa-apa yang salah di sisi undang-undang. Bahkan beliau sendiri ialah seorang pakar dalam undang-undang perlembagaan. Justeru, beliau mempunyai hak untuk bercakap dalam konteks perlembagaan. Malah, beliau turut menambah akan kekesalan terhadap sistem pendidikan di Malaysia yang selama ini dipolitikkan oleh sesetengah pihak untuk kepentingan mereka.

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor berpendapat situasi dan isu sekarang umpama kisah Nabi Musa ketika berhadapan dengan ahli-ahli sihir Firaun. Ahli-ahli sihir yang menyokong Nabi Musa umpama para pengamal akademik yang berani mendedahkan kebenaran kepada masyarakat, maka mereka akan dihukum.

‘Mahasiswa mahasiswi juga takut apabila saya membincangkan isu-isu semasa yang melibatkan negara, dan bertanya adakah saya tidak takut dengan ISA?’,ulas beliau berhubung sikap sebahagian besar mahasiswa sekarang yang tidak cakna dan cetek dalam penafsiran terhadap kebebasan berpendapat dan akademik.

Tambah beliau, ‘Kita ada kebebasan bersuara, tetapi tiada jaminan selepas bersuara’.

Oleh kerana itu, Prof Madya Dr Hafidzi menyokong penuh agar diskusi dan wacana ilmu seumpama ini disuburkan di bumi UPM. Mahasiswa mahasiswi UPM akan lebih berketerampilan, bercambah dengan idea-idea bernas dan memeriahkan lagi budaya ilmu di sini.

Bangunlah wahai mahasiswa mahasiswi UPM

‘hujah mesti dibalas dengan hujah’

‘hujah dibalas dengan kezaliman’ harus dihentikan

Oleh kerana kami berpendidikan, kami benci bila kami diperbodohkan – Pengerusi Pro Mahasiswa UPM

Friday, November 4, 2011

Melayu Sepakat Islam Berdaulat?




Seorang rakan FB meletakkan pada wall beliau. Ini adalah sedutan dari Forum kebebasan akademik bersama Prof Dr Aziz Bari di UPM pada 2 Nov. Ini hanyalah sedutan kecil dari tajuk yang lain iaitu kebebasan akademik. Banyak isu yang disentuh oleh Prof aziz bari dan saya. Objektif saya dan (Prof Aziz Bari juga menekankan ttg perkara ini) ialah untuk mahasiswa memperkasa minda dan kemahuan diri - tidak mudah terbelenggu dengan slogan-slogan dan sentimen-sentimen. Ia adalah kriteria penting ke arah melahirkan mahasiswa yang empowered dan berjiwa merdeka (semestinya di atas kerangka Islam). ia akan menjadi asset kepada negara.

Dr Hafidzi Mohd Noor
 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc