Thursday, May 31, 2012


Sedutan dari Buku Jejak Risalah Di Nusantara Jilid V - Perang Aceh (1873 - 1913) dan Peranan Snouck Hurgronje di bawah tajuk Tjut Nyak Dien - Sosok Srikandi Aceh- Terbitan JIMedia 2007


Sesungguhnya Aceh mempunyai tradisi kepahlawan wanitanya yang amat membanggakan. Sejak zaman melawan Portugis lagi, serikandi Aceh telah menunjukkan rekod perjuangan yang sewajarnya dicatat dengan tinta emas. Laksamana Kemala Malahayati telah mengumpulkan sekitar 2,000 ‘inong bale’ (wanita-wanita yang suaminya syahid) untuk mempertahankan pesisiran pantai Aceh dari armada Belanda pimpinan Croulis dan Frederick De Houtman pada tahun 1006H (1599M).[1] Beliau juga merupakan cekap dalam bidang diplomasi sehingga dilantik sultan untul menjadi wakil negara menerima Sir James Lancaster utusan Ratu Inggeris, Queen Elizabeth I (pemerintahan 1591 – 1603) pada 5 Jun 1602.[2]

rumah tradisi cut
Replika rumah Cut Nyak Dien yang dibangunkan semula setelah di bakar Belanda. Rumah ini menempatkan bahan-bahan dokumentasi mengenai perjuangan Teuku Umar/Cut Nyak Dien yang dibawa pulang dari belanda.

Aceh juga terkenal sebagai negara umat Islam yang pernah menobatkan empat orang ratu sebagai pimpinan tertinggi negara pada kurun ke 17. Mereka ialah Ratu Tajul Alam Safiatuddin (1641 – 1675), Ratu Nur Alam Nakiatuddin (1675 – 1678), Ratu Zakiatuddin Inayat Syah (1678 – 1688) dan Ratu Kamalat Syah (1688 – 1699).[3] Perlantikan ratu ini telah menimbulkan perbahasan ilmiah. Namun mereka memimpin di bawah penasihatan ulama.[4] Di antara penasihat Ratu-ratu tersebut ialah Syeikh Nuruddin ar Raniry dan Syeikh Abdul Rauf Sinkili, tokoh ulama yang juga amat dikenali dan dihormati dalam tadisi pembelajaran pengajian kitab di Semenanjung Malaysia. Ratu-ratu ini bukan sahaja dinobatkan atas perkiraan politik, tetapi atas dasar kemampuan administratif dan kepimpinan mereka. Ratu Zakiatuddin umpamanya menguasai lima bahasa iaitu Belanda, Sepanyol, Arab, Hindi dan Aceh.[5] Di samping itu 16 wanita pernah duduk dalam Majlis Mahkamah Rakyat (Parlimen Aceh) dari tahun 1641 – 1675. Semua contoh-contoh kepimpinan ini berlaku 300 tahun sebelum pejuang-pejuang hak wanita dan golongan feminis cuba mempejuangkan hak mereka untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dalam masyarakat.[6]

Tidak syak lagi wanita Aceh adalah peniup semangat jihad umat Islam Aceh.[7] Nukilan Prof HAMKA dalam bukunya ‘Ghirah dan tantangannya terhadap Islam’ menyimpulkan hakikat ini. Tercatat dalam catatan Zentgraaf sebuah rumah pernah digeledah oleh soldadu Belanda. Di halaman terdapat seorang wanita sedang menumbuk padi. Bila diajukan soalan kepada wanita tersebut, ‘di rumah ada laki-laki?’. Jawab wanita itu ‘Semua laki-laki ke hutan ‘bermuslimin’ (jihad diertikan sebagai Islam di Aceh). Mereka tidak berpuas hati dan memeriksa rumah dan mendapati ada seorang lelaki sedang bersembunyi di bawah katil. Lelaki itu di ke bawah dan wanita tadi diherdik. ‘Tadi kamu bilang tidak ada lelaki’, Yang ini apa?’. Maka jawab wanita itu ‘Sudah saya bilang semua laki-laki ke hutan, bermuslimin. Dia tidak pergi maka dia bukan laki-laki!”[8]


[1] H. Ainal Mardhiah Aly, op. cit., hlm. 286. Sejak dari Sultan Al Kahhar, Aceh telah menghantar banyak ekspedisi untuk memerangi Portugis di Selat Melaka. Ramai dari pahlawan Aceh gugur syahid, meninggalkan isteri ’inong bale’ (balu syuhada). Pada zaman pemerintahan Sultan Saidil Mukammil Alaudin Riayat Syah (1589 – 1604) dibentuklah sebuah armada ’inong bale’ yang dipimpin oleh Laksamana Malahayati. Seorang wanita Belanda Marie Van Zuchtelen dalam bukunya Vrouwelijke Admiral Malahayati memuji beliau dan 2,000 pasukan inong balenya yang tangkas dan berani. Teuku Laksamana Malahayati juga adalah seorang Kepala Barisan Pengawal Istana, Panglima Jawatan Rahsia dan Panglima Protokol Pemerintah merangkap fungsi diplomatik di zaman Sultan Alauddin Riayat Syah.
[2] Ibid., hlm. 286. Teuku Laksamana Malahayati juga adalah seorang Kepala Barisan Pengawal Istana, Panglima Jawatan Rahsia dan Panglima Protokol Pemerintah merangkap fungsi diplomatik di zaman Sultan Alauddin Riayat Syah.
[3] A. Hasjmy, 59 Tahun Aceh Merdeka di Bawah Pemerentahan Ratu, Penerbitan Bulan Bintang, Jakarta, 1977.
[4] Pemerentahan raja perempuan di Aceh adalah satu bentuk susunan yang jarang berlaku di dunia Islam. Ratu Safiatuddin diangkat menjadi raja apabila Sultan Iskandar Tsani ’Alauddin Moghayat Shah mangkat pada tahun 1641 tanpa meninggalkan seorang putera. Ratu Safiatuddin adalah permaisuri kepada Sultan Iskandar Tsani. Dari sudut hukum, As Syeikh Nuruddin ar Raniry menjelaskan bahawa tidak ada larangan yang tegas untuk merajakan seorang perempuan asalkan ’ahlul halli wal’ aqdi’ iaitu ahli-ahli mesyuarat kerajaan diajak bermesyuarat sebelum sesuatu keputusan diambil menyangkut kepentingan negara. Cuma satu perkara sahaja yang tidak boleh dipegang oleh Sultan perempuan iaitu menjadi wali-hakim (mewalikan pernikahan). Lihat HAMKA, Sejarah Umat Islam, Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1980, hlm. 576 – 577. Syeikh Abdul Rauf Sinkili yang dilantik oleh Ratu Tajul Alam Safiatuddin sebagai Mufti dan Qadhi Malik al Adhil juga dipertanyakan tentang kedudukan wanita sebagai sultan. Beliau tidak memberikan jawapan yang jelas tentang persoalan ini. Di dalam kitabnya Mi’rab al Tullab, ketika membahaskan tentang syarat-syarat menjadi hakim (penguasa) as Sinkili sengaja tidak memasukkan lelaki sebagai syarat. Bagaimanapun apabila Syeikh Abdul Rauf Sinkili meninggal dunia, sultanah yang terakhir, Ratu Kamalat Syah dimakzulkan (diturunkan) berdasarkan fatwa ketua mufti Mekah yang memutuskan syariat tidak membenarkan perempuan menjadi pemimpin kerajaan Islam. Lihat H.M. Hasbi Amiruddin, Perjuangan Ulama Aceh di Tengah Konflik, CENINNETS Press, Yogyakarta,  2004, hlm. 46 – 47.
[5] Teuku H. Ainal Mardhiah Aly, op. cit., hlm. 294
[6] Ibid., hlm. 288 – 289. Teuku H. Ainal Mardhiah Aly memberikan senarai 14 orang dari anggota legislatif wanita semasa pemerintahan Ratu Safiatuddin; iaitu Si Nyak Bunga, Si Halifah, Si Sarah, Maimunah, Siti Cahaya, Mahkiah, Si Nyak Puan, Nadisah, Si Nyak Ti Cahya, Si Nyak Bunga (dua orang anggota legislatif memiliki nama yang sama; pen.), Si Habibah, Umi Puan, Siti Awan dan Umi Nyak Angka.
[7] Menurut Zentgraaf, lelaki dan wanita Aceh berjuang kerana kepentingan negerinya dan agama yang tidak kalah gagahnya dengan tokoh-tokoh perang terkenal bangsa Belanda. Dan pemimpin-perang Belanda yang pernah berperang di seluruh kepulauan Indonesia mengakui bahawa tidak ada satu bangsa yang begitu gagah berani dan fanatik dalam peperangan kecuali bangsa Aceh. Wanita-wanitanya mempunyai keberanian yang melebihi wanita-wanita Belanda. Lihat H.C. Zentgraaf, Atjeh, hlm. 1 dan 63. Dirujuk oleh M.H. Gayo, op. cit., hlm. 258.
[8] HAMKA,  Dan Tantangan Terhadap Islam, Pustaka Melayu Baru, Kuala Lumpur, 1983, hlm. 15.

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc