Wednesday, January 2, 2008

Pandangan Pengarah PACE disorot dalam akhbar Utusan Malaysia 3 Januari 2008

AS berdolak-dalik kembalikan hak Palestin
Oleh: MOHD. KHUZAIRI ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN)
SEDIKIT nikmat kemakmuran yang diharapkan dunia di bumi Palestin sekali lagi gugur satu persatu apabila perjanjian damai berakhir dengan kegagalan, 25 Disember lalu.
Seperti yang diduga, keengganan Israel memberi komitmen bagi menghentikan semua aktiviti penempatan berhampiran Baitulmaqdis yang ditetapkan dalam pelan damai menambah kesukaran rundingan tajaan Amerika Syarikat (AS) dan yang pertama dalam tempoh tujuh tahun itu.
Di pihak Palestin pula, Israel mendakwa masih dihujani bedilan mortar dan peluru yang dilancarkan pejuang dari Tebing Barat dan Semenanjung Gaza – sesuatu yang amat bertentangan dengan syarat kepada pembentukan negara Palestin.
Namun bagi penganalisis, biar apa pun punca yang dibentangkan, rundingan damai yang dibuka semula sewaktu persidangan di Annapolis, Maryland, AS sebulan sebelumnya itu awal-awal lagi sudah menunjukkan tanda-tanda kegagalan.
Ini kerana seperti kata Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor, pelan damai Annapolis itu bukan bertujuan mencari penyelesaian muktamad kepada isu Palestin apatah lagi ia membelakangkan isu-isu pokok yang menjadi punca pertikaian kedua pihak di meja rundingan.
Isu tersebut termasuk hak pelarian Palestin untuk pulang, kedudukan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin, kedudukan penempatan-penempatan haram Yahudi di wilayah yang diduduki dan isu sempadan dan kedaulatan negara Palestin.
``Malah, Israel juga sudah menetapkan pendirian bahawa mereka tidak sama sekali akan tunduk kepada kesemua tuntutan tersebut, sama seperti mereka memandang rendah kepada sekian banyak resolusi PBB yang ditetapkan sebelum ini," katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebagai contoh menurut Hafidzi, PBB telah menerima ketetapan atau Resolusi 194 (III) pada 1949 yang mana mensyaratkan Israel membenarkan pelarian Palestin untuk pulang ke kediaman asal mereka dalam tempoh terdekat.
Begitu juga ketetapan PBB pada tahun 1967 iaitu Resolusi 242 sebaik sahaja Israel menduduki Baitulmaqdis Timur, Tebing Barat, Gaza, Semenanjung Sinai dan Tanah Tinggi Golan dalam perang enam hari.
Kesemua tuntutan asas itu diperakui secara khusus pada tahun 1970 apabila ketetapan 2628 (XXV) diterima di mana PBB memperakui hak rakyat Palestin yang telah dirampas (sama ada tempat tinggal, wilayah, kedaulatan dan kebebasan) adalah unsur utama untuk mencapai keamanan yang tulen dan berkekalan di Asia Barat.
Hak itu ditegaskan sekali lagi pada tahun 1971, 1972 dan 1974 yang mempertahankan hak rakyat Palestin ke arah pemerintahan sendiri, hak untuk mendapat kemerdekaan dan kedaulatan serta hak mutlak untuk pulang ke kampung halaman.
``Ini menunjukkan bahawa apa yang diperjuangkan oleh rakyat Palestin adalah sah dan sama sekali tidak bercanggah dengan piagam dan semua ketetapan PBB berkaitan Palestin.
"Dalam erti kata yang lain, satu-satunya jalan untuk menamatkan konflik Asia Barat ialah dengan Israel mengembalikan hak rakyat Palestin sepenuhnya," jelas Hafidzi.
Persoalannya apakah Israel bersedia untuk melakukannya? Realiti yang terdapat di wilayah Palestin yang diduduki menunjukkan bahawa Israel telah memutuskan mereka tidak akan memperakui serta menghormati tuntutan rakyat Palestin.
Tambah Hafidzi, walaupun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda pada 2004 memutuskan bahawa tembok tersebut melanggar hak asasi rakyat Palestin dan wajib diruntuhkan, Israel tetap meneruskan projek pembinaan tembok yang panjangnya kini sudah menjangkau 800 kilometer dari utara ke selatan Tebing Barat.
Seperti mana Perjanjian Oslo yang dimeterai pada 1993 dan Pelan Damai yang dirangka 10 tahun selepasnya, rundingan damai Annapolis biarpun dicanang sebagai satu usaha mengembalikan keamanan di Palestin sebenarnya tidak lebih satu sandiwara Israel untuk menunjukkan kepada dunia bahawa mereka juga sebenarnya mahukan sebuah rundingan berdiplomasi.
Sedangkan hakikatnya, Israel mengetahui bahawa hanya pengembalian hak rakyat Palestin sahaja mampu menyelesaikan segala sengketa – satu perkara yang tidak mungkin akan dipersetujui oleh mereka.
Menurut Hafidzi, tuntutan rakyat Palestin pula seperti yang diperjuangkan oleh Hamas jika diperhalusi, tidak pernah mencabar apa yang diputuskan oleh PBB termasuk tidak pernah menuntut Israel berundur dari seluruh wilayah Palestin yang diduduki secara tidak sah pada tahun 1948.
Sebaliknya, cukup bagi Israel memenuhi resolusi PBB dan berundur dari wilayah yang didudukinya pada tahun 1967 iaitu sekitar 23 peratus sahaja dari wilayah Palestin yang asal, satu jaminan kepada gencatan senjata yang panjang daripada Hamas.
Namun apa yang turut membimbangkan dunia, pergolakan dalaman di Palestin sendiri iaitu ketidaksepakatan di antara Hamas dan Fatah, menambah kepada laluan genting sebuah kedamaian di rantau ini.
Hamas, sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat apabila memenangi pilihan raya legislatif pada Januari 2006 tetapi disingkirkan pula oleh Mahmud Abbas, membuka campur tangan AS dalam rundingan damai Annapolis ini.
``Bagi Israel, rundingan ini hanya satu permainan licik untuk meneruskan agenda pendudukan berterusan ke atas Baitulmaqdis dan wilayah Palestin. Dengan penyertaan negara-negara Arab buat pertama kalinya dalam rundingan seumpama ini, Israel telah memenangi kemenangan moral untuk sekian kalinya selepas Oslo dan Pelan Damai," ujarnya.

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc