Warga emas yang hadir, yang paling tua sekitar 70 tahun
lengkuk tamaddun yang dilalui oleh umat Islam
Pada 22 April abi dan abg Qayyim telah memenuhi jemputan ceramah di kem Nur Lembah Pangsun, Hulu Langat anjuran JAWI yang dikendalikan oleh akh Mohd Rashid Razali, JIM KL. Ini adalah pengalaman pertama berceramah kepada warga emas.
Pada pembuka kata, saya perkenalkan diri sebagai orang yang juga menghampiri umur warga emas, tapi akh Rashid Razali kata warga 'suasa' atau emas tiruan. Satu cabaran juga untuk menyampaikan ceramah kepada golongan khusus yang sebahagiannya seusia ayah saya.
Rengkasnya saya sebut kita ni adalah golongan yang beruntung tidak sebagaimana orang lain. Sebagai contoh dalam falsafah Cina tua ada tersimpan kata-kata ini 'bagaimana aku lahir aku tak ingat, ke mana aku selepas ini aku tak tahu'. Jadi bagi kebanyakkan manusia yang tidak ada pegangan hidup yang jelas hidup di antara 'tak ingat dan tak tahu'. Sedang kita diberitahu oleh Allah dan Nabi dari mana kita datang, ke mana kita akan pergi. Alangkah celaru dan resahnya hidup jika kita tidak ada jawapan kepada soalan yang paling asas tentang kewujudan kita di atas muka bumi ini. Sebab itu di antara kita yang telah melalui umur yang panjang melihat kemajuan yang pesat dalam kehidupan manusia pada hari ini tetapi akhlak dan kehidupan manusia semakin bejat dan rosak. Puncanya ialah tidak tahu asal dan kesudahan mereka. Natijahnya tidak tahulah pula peranan dan tujuan kehidupan di dunia ini.
Kemudian saya sorot umur insan yang amat sengkat ini. Pantun lama ini saya kongsikan
Ketika lahir disambut bang
Ketika mati dilepas solat
Antara azan dengan sembahyang
Wahai hidup alangkah sengkat
Ya, sebagaimana pendeknya waktu di antara azan dan iqamah, begitulah gambaran singkatnya hidup di dunia. Sudahlah hidup ini sengkat di penuhi pula dengan derita dan susah payah. Ulama pujangga HAMKA merumuskannya 'Hidup ini ialah lahir, menangis dan mati'. Oleh kerana singkatnya hidup dan penuh susah payah pula maka kewujudan kita selama 60 atau 70 tahun di atas muka bumi ini tidak signifikan. Tetapi jika umur kita ini diletakkan dalam perspektif umur umat maka kita akan merasakan kita adalah bahagian yang penting dari perjalanan sejarah yang panjang. Rasulullah SAW menyebut dalam sebuah hadisnya, beruntunglah mereka 'naik dan turunnya bersama Islam'. Saya lakarkan lengkuk tamadun untuk menunjukkan betapa setiap tamadun termasuk tamaddun Islam tidak terlepas dari hukum alam iaitu mengalami fasa naik dan turunnya. Tetapi berbeza dengan tamadun yang lain, (beberapa contoh saya ketengahkan seperti tamaddun Rum, Empire British, Empire Portuguese bahkan Soviet Union yang tamat hegemoninya dalam hayat kita ini), tamaddun Islam akan mengalami 'revival' atau kebangkitan semula. Bila ditanya di manakah umat Islam dalam lengkuk tamaddun itu, ada yang menganggap kita masih lagi berada pada fasa menurun, tetapi saya menganggap kita sudah sampai ke tahap yang paling bawah. Bererti jalan seterusnya ialah ke atas. 'When you have reach rock bottom, the only way forward is up'.
Menyedari hakikat bahawa Islam akan bangkit semula, warga emas punya peranan yang cukup besar untuk membimbing anak-cucu ke arah penghayatan Islam yang semakin terhakis di kalangan generasi muda. Sesuai dengan status 'warga emas' peranan mereka perlu diperkasakan sebagai obor yang menyuluh kehiudpan generasi hari ini. Saya tutup dengan wasiat dari Nabi Yaakub dalam surah Al-Baqarah, "Tidakkah kamu hadir ketika Yaakub didatangi tanda kematian, lalu dia mengumpulkan anak-anaknya dan bertanya 'Siapakah yang akan kamu sembah sepeninggalanku' Maka dijawab olehanak-anaknya , kami akan menyembah Tuhan kami dan Tuhan bapa-bapa kami Yaakub, Tuhanmya Ibrahim, Ismail dan Ishaq dan kami akan tetap muslim'.
Semuga perkongsian pada hari itu memberi makna yang besar kami kami dan mereka. Selesai ceramah seorang makcik datang bertanya setelah mengetahu asal saya dari Negeri Sembilan. Rupa-rupanya sekampung dengan abah di Jelebu, bahkan kenal dia dengan abah, Hj Mohd Noor..
JZKK kepada akh Rashid Razali atas peluang ini
Dr Hafidzi Mohd Noor
0 comments:
Post a Comment