Thursday, June 26, 2008

A bouquet of roses untuk umi Zuraidah - Happy 22nd anniversary

22 tahun dulu ketika akad nikah diucapkan di Mesjid Knoxville, Tennessee, USA. Imam yang menikahkan ialah Bro Aiman

Menyarungkan cincin di jari manis adinda Zuraidah.


Misty Garden - lambang kasih sayang yang bertaut setelah 22 tahun melayari bahtera rumahtangga

Say it with roses


Semuga Allah merahmati rumahtangga ini sehingga ke akhirnya. Ameen



Assalamualaikum,



Alhamdulillah, pada 21 Jun 2008 genaplah usia perkahwinan kami 22 tahun.. Satu tempoh yang cukup untuk mematangkan kasih-sayang di antara suami dan isteri.



Bouquet of roses dengan tema 'Misty Garden' ini hanyalah satu token of appreciation atas perkongsian hidup berumahtangga yang cukup membahagiakan. Ia samasekali tidak dapat menggambarkan kesyukuran kerana memiliki dinda sebagai isteri. Semuga Allah melimpahkan rumahtangga ini dengan 'mawaddah' dan 'rahmah'. Semuga Allah Ta'ala pelihara kasih sayang ini sampai ke akhirnya bahkan dikumpulkannya kita kembali di hari kebangkitan.

Abang

Wednesday, June 25, 2008

Anakanda Mawardi mendapat hadiah kecemerlangan dari PKPI (TNB) kerana hafiz al Quran 30 juzuk

Terkenang sewaktu kecil. Mawardi (kiri sekali duduk) ketika majlis ihtifal (pengurniaan sijil tadika Al-Amin, anjuran masyarakat pelajar Malaysia di Aberdeen, Scotland, sekitar tahun 1996)

Anakanda Mawardi (kanan) bersama abangnya (anakanda Qayyim) ketika pemusafiran kami di Paris, singgah sebentar di sebuah masjid yang banyak membawa kenangan


Mudah-mudahan anakanda Mawardi menjadi rijal dakwah.

Assalamualaikum,

Syukur ke hadrat Ilahi, semalam 25 Jun di adakan acara meraikan kecemerlangan anak-anak kakitangan TNB (Tenaga Nasional Bhd) yang dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Pekerja Islam (PKPI). Umi Zuraidah telah hadir untuk menerima hadiah anugerah kecemerlangan untuk anakanda Mawardi. Anakanda Mawardi mendapat anugerah untuk tahfiz al Quran 30 Juzu'. Yang memberansangkan ialah jumlah hadiah terbesar adalah untuk pelajar-pelajar yang hafiz Quran berbanding dengan pencapaian cemerlang SPM, PMR dan UPSR. Bahkan hadiah yang diterima lebih besar dari pelajar IPT yang memperoleh CGPA 3.5.

Ini adalah satu petanda yang positif yang dipamerkan oleh PKPI untuk meletakkan pencapaian dari sudut penghayatan Islam sebagai pencapaian mengatasi kecemerlangan akademik semata-mata. Bahkan PKPI meletakkan syarat bagi pelajar cemerlang mereka hanya layak untuk dipertimbangkan untuk menerima hadiah jika memperoleh A untuk kertas Agama Islam.

Menyorot kembali pengalaman anakanda Mawardi ketika mengambil pengajian tahfiz, banyak kenangan dan pengalaman yang dilaluinya. Sebaik tamat tingkatan 3, kami telah mendaftarkan dia untuk mengikuti kelas tahfiz ar-Ridwah Ulu Kelang (MATAR). Dia duduk di sana selama setahun dan berjaya menghafaz sekurang-kurangnya 15 juzu'. Pada tahun berikutnya dia telah mendapat tempat di Ma'ahad Tahfiz Hira', Kelang (MTQ) dan alhamdulillah berjaya menamatkan 30 juzu' al Quran.

Semasa di MATAR, dia dan rakan-rakan sekolah tahfiznya seringkali dijemput untuk mengisi majlis-majlis tahlil dan yaasin anjuran masyarakat sekitar. Juga bila ada kematian, anak-anak tahfiz ini jugalah yang dijemput oleh mereka untuk solat jenazah. (termasuklah jenazah pelakon Hani Mukhsin di sembahyangkan di mesjid ar-Ridwan). Di sana dia mendapat pengalaman berharga bergaul dengan masyarakat yang datang dari pelbagai latar belakang dan status sosial.

Kini anakanda Mawardi berada di tingkatan 4, sekolah Hira'.

Semuga kejayaan ini mendorong anakanda Mawardi supaya terus berusaha untuk membina kepribadian muslim. Semuga hadiah dan insentif ini memberi motivasi untuk menghidupkan al- Quran di dalam jiwa anakanda. Abi dan umi akan terus memberi semangat kepada anakanda Qayyim, Mawardi dan Amin Husaini meraih kejayaan hidup di dunia dan lebih penting lagi di akhirat. Ameen Ya Rabb.

Abi dan Umi

Berita Gembira dari Aceh - anakanda Fitria Wulan Sari

Anakanda Wulan bersama Umi

Bersama keluarga makan-makan di Bangi


Wulan bersama teman-teman tadika dan guru-guru sewaktu bersekolah sementara di Sg Tangkas, Kajang ketika menjalani rawatan (gambar tahun 2006)


Assalamualaikum,

Semalam kami dapat berita yang memberansangkan tentang anak angkat kami di Aceh, anakanda Fitria Wulan Sari. Kami mendapat tahu dari keluarganya dia mendapat tempat yang pertama dalam kelas. Tahun lepas pada ujian akhir (ujian akhir di Indonesia adalah pada bulan Jun kerana tahun akademik bermula pada pertengahan tahun) anak ini mendapat 'juara' 2 (tempat ke dua dalam kelas). Semuga anak ini dan anak-anak yatim yang kami kenali (kini bernaung di Sekolah Al-Fityan, tajaan Kerajaan Kuwait untuk anak-anak yatim bencana tsunami Aceh tahun 2005) terus mencipta kejayaan dalam hidup mereka.

Anakanda Wulan pernah menjalani pembedahan tonsil di Malaysia dan sekali lagi pembedahan kerana jangkitan kuman pada telinganya yang menyebabkan dia menghadapi kesukaran mendengar. Kini anak ini dilaporkan sehat. Mudah-mudahan sokongan berterusan kepada anak-anak ini menjadi pendorong kepada mereka untuk bangkit dan berjaya meski ketiadaan orang tua dan dikelilingi oleh kemiskinan harta.

Anakanda Wulan katanya 'kepingin untuk bersekolah di Malaysia'. Bila ditanya apa hadiah yang diminta, jawabnya 'speda atau boneka besar'. InsyaAllah umi dan abi akan usahakan.

Sahabat-sahabat juga bermurah hati memberi sumbangan untuk kami hulurkan kepada anak-anak yang istimewa ini. Mudah-mudahan kiriman buku cerita, cokelat dan boneka pada mereka memberi motivasi dan semangat untuk terus berjaya dalam persekolahan mereka sebagai jaminan masa depan.

Umi Zuraidah, Abi Hafidzi dan abang-abang Qayyim, Mawardi dan Amin Husaini

Laporan Ceramah Nakbah di Surau Al-Amin, Bdr Tun Hussein Onn, Cheras pada 21 Jun 2008

Sedang menyampaikan ceramah

Lebih kurang 300 hadirin

60 TAHUN NAKBAH PALESTIN
" Derita Tiada Kesudahan "

Cheras, 21 Jun 2008, jam 8.00 malam – Surau Al Amin, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor telah menganjurkan suatu ceramah bersempena dengan 60 Tahun Nakbah Palestin yang bertajuk "60 Tahun Nakbah Palestin : Derita Tiada Kesudahan". Ceramah telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Profesor Madya Dr. Hafidzi Mohd Nor, Pengarah Palestine Centre Of Excellence ( PACE ).


Ceramah yang bermula dari jam 8.00 malam itu, berkisar kepada sejarah penaklukan (nakbah) oleh Yahudi di Palestin yang bermula pada tarikh 15 Mei 1948. Sehinggalah kini telah berlaku pelbagai peristiwa musibah yang telah dihadapi oleh ummat Palestin termasuklah pembunuhan, perogolan anita, penganiayaan, sekatan makanan dan sebagainya. Selama lebih 60 tahun berlalu namun penderitaan ummat Palestin msih belum berakhir.

Telah berlalu pelbagai ketetapan dan perjanjian yang telah diusahakan oleh pihak antarabangsa termasuklah oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Amerika Syarikat mahupun Negara-negara Arab, namu kesemuanya tidak pernah dipatuhi oleh Yahudi Israel. Sehinggalah munculnya kumpulan HAMAS yang telah membela kebajikan ummat Palestin tetapi turut dimusuhi oleh pihak-pihak yang menjadi talibarut zionis Yahudi. Pelbagai tekanan telah diterima oleh HAMAS bagi membela ummat Palestin sehinggalah kepada sekatan pelbagai bekalan makanan dan ubat-ubatan.


Kini setelah 60 tahun berlalu, nasih ummat Palestin masih belum berubah. Berikutan dengan itu pelbagai NGO Islam yang prihatin dengan nasib ummat Palestin di Malaysia telah mengambil ketetapan untuk memperingati tarikh 15 Mei setiap tahun sebagai tarikh memperingati penaklukan oleh Yahudi di tanah Palestin.


Ceramah yang dihadiri oleh seramai lebihkurang 300 orang jemaah surau telah berakhir sekitar jam 9.15 malam. Selepas solat Isya', kutipan derma turut dilakukan dan berjaya mengumpul sejumlah RM 3,650.00 serta berpuluh buku yang dibawa oleh Y.Bhg. Profesor Madya Dr. Hafidzi Mohd Nor habis dijual. Sebelum bersurai Y.Bhg. Profesor Madya Dr. Hafidzi Mohd Nor dan para jemaah telah dijamukan dengan hidangan nasi kurma daging yang telah disediakan oleh Jawatankuasa Logistik Dan Sajian Surau Al Amin.

- TAMAT -



****************************************
ZULKEFLI BIN AHMAD
IPC ISLAND PROPERTY CONSULTANTS SDN.BHD.
REGISTERED VALUER AND ESTATE AGENT V550/E1582
Tel : +603-8733 2355
Fax : +603-8733 2352
---------------------------------------------------------------------------------------------
Terima kaseh kpd sahabat saya Sdr Zulkifli Ahmad atas laporan ini. Semuga Allah SWT merahmati sahabat-sahabat semua

Malam itu Sdr Nazlee juga hadir memberi sokongan meski telah acapkali ikut menemani saya memberi ceramah. Saudara Abdul Hannan yang saya hargai juga hadir. Ust Zulfikri dari Aceh bersama anak kecilnya yang menjalani rawatan chemo kerana cancer juga ada bersama. Saya terharu, semua Allah memberikan kesembuhan dan mengurniakan istiqamah kepada kita semua. Ameen.

Dr Hafidzi Mohd Noor

Tuesday, June 24, 2008

Ceramah sempena 60 tahun Nakbah peringkat Negeri Kedah

Kain rentang di Dewan MPSP

Dr Hafidzi sebagai ahli panel di dewan MPSP


Sdr Khaled al Fayyad sedang berucap


Hadirin di dewan MPSP

Barisan penceramah (dari kanan - Cikgu Azmi, Tn Hj Mat Sabu, Naji, Naji az-zuhri, Dr Hafidzi dan Khaled Al Fayyad

Dr Hafidzi sedang berucap


Sdr Naji Az-Zuhri sedang menyampaikan ucapan


Hadirin yang membanjiri stadium


Cikgu Azmi sedang membacakan deklarasi

Assalamualaikum,

Pada 20 hb Jun 2008, saya telah dijemput untuk mengisi dua buah program sempena 60 tahun Nakbah anjuran Kerajaan Negeri Kedah. Pada pagi hari Jumaat tersebut sebaik sahaja sampai di Lapangan Terbang Kepala Batas, saya yang dijemput oleh Dr Asmat, aktivis JIM Kedah diminta untuk mengisi program ceramah di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Anak Bukit di Alor Piai. Program pagi itu sepatutnya di isi oleh seorang penceramah Palestin atau seorang ustaz dari Pattani, tetapi oleh kerana kesilapan komunikasi, kehadiran saya telah dimanfaatkan untuk memberi ceramah di sekitar tajuk Nakbah. Hadir sama di bahagian akhir ceramah ialah ADUN anak Bukit sendiri YB Hj Amiruddin Hamzah.

Selepas Solat Jumaat di Sungai Petani, saya mengisi forum Nakbah di Dewan Majlis Perbandaran Sungai Petani. Forum ini di pengerusikan oleh Cikgu Azmi Abdul Hamid (Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu) yang juga mengetuai gabungan NGO Kedah iaitu Wehdah. Ahli Panel yang lain ialah Yg Berbahagia Tn Hj Mat Sabu, Naib Presiden PAS dan juga seorang pelajar dari Palestin yang menuntut di USM, Khaled al Fayyad - ceramah beliau diterjemahkan oleh Cikgu Azmi. Hadir sama dalam forum ini ialah EXCO Pendidikan Kedah.

Pada sebelah malamnya di adakan forum Nakbah di Stadium Kulim. Lebih kurang 3,000 orang membanjiri stadium. Forum pada malam itu di pengerusikan oleh YB Hj Amiruddin. Ahli-ahli panel ialah saya sendiri, di ikuti oleh Naji az-Zuhri pelajar Palestin dari Gaza yang berucap dengan penuh semangat dan diterjemahkan pula oleh Ust Ridwan dengan berapi-api serta disambut dengan laungan takbir oleh hadirin. Ahli panel seterusnya ialah Tn Hj Mat Sabu dan ditutup dengan deklarasi Nakbah oleh Cikgu Azmi.

InsyaAllah, laporan lebih lengkap dan rasmi akan dikongsikan.

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah PACE

Wednesday, June 18, 2008

Buku baru terbitan PACE dan JIMedia sempena 60 tahun peristiwa nakbah


Alhamdulillah, buku ke-9 Siri Bebaskan Al-Aqsa dihantar cetak pagi tadi, insyaAllah siap Khamis ini dan mula dijual dalam program memperingati NAKBAH di Kedah Jumaat ini. Buku "Rejim Zionis Selepas 60 Tahun - Penjara Jadi Pusara" yang memuat kompilasi penulisan akhi Ir Megat Shariffudin, TYDP JIM Perak diterbitkan sebagai salah satu usaha PACE dan JIM untuk memperingati 60 tahun tragedi NAKBAH.

Tahniah kepada akhi Megat di atas penerbitan buku kompilasi penulisan beliau ini. Walaupun proses penerbitannya agak suntuk (manuskrip diterima pada 6 Jun), kami agak bertuah kerana 90% kerja-kerja asas penerbitan dilakukan oleh tenaga muda iaitu suntingan oleh akhi Azree Hanifah (penyunting muda berbakat) dan DTP serta output filem oleh Abdullah Mujahid (Karisma International). Akhi Abdullah Mujahid sedang berkerja sambil belajar dengan JIMedia dan ditempatkan di pejabat ana sehingga 7 Julai 2008.

Kata Pengantar buku ini ditulis oleh PM Dr Hafidzi
Wan Mohd Zukri Che Mat Zin (Abu Syamil)
JIMedia
Kata sambutan
Dengan nama Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Setinggi-tinggi kesyukuran di panjatkan ke hadrat Allah SWT dengan kehadiran buku yang berjudul ’60 tahun Nakbah: Dari penjara menjadi pusara”.hasil karya Sdr Ir Megat Syarifuddin. Kehadiran buku ini tepat pada masanya iaitu ketika seluruh dunia Islam memperingati peristiwa tragis yang menimpa saudara-saudara mereka di Palestin sejak 60 tahun yang lalu. Hati yang hiba bertambah walang apabila umat Islam yang bukan sedikit bilangannya di dunia hari ini, di samping negara-negara umat Islam yang mempunyai sumber kekayaan yang melimpah ruah seakan-akan tidak mempedulikan nasib mangsa-mangsa tragedi NAKBAH yang masih berlindung di khemah-khemah pelarian di beberapa negara di timur tengah termasuklah di tanah air mereka sendiri di Palestin.

Meskipun NAKBAH merupakan satu peristiwa tragis namun tidak ramai di kalangan masyarakat antarabangsa hatta umat Islam sekalipun yang peka dengan peristiwa tersebut. Berbeza dengan tragedi ’holocaust’ yang menimpa bangsa Yahudi di Eropah semasa perang dunia ke II (1939 – 1945) yang sering diperkatakan, bahkan di ulang-ulang oleh rejim Zionis dan sekutu-sekutunya untuk meraih simpati masyarakat antarabangsa demi menutup jenayah mereka terhadap rakyat Palestin, tidak ramai yang tahu apa itu peristiwa NAKBAH.

Peristiwa NAKBAH bermakna malapetaka yang berlaku kepada rakyat Palestin natijah dari konspirasi berterusan gerakan zionis yang bersekongkol dengan kuasa-kuasa barat yang ditunjangi oleh Great Britain dan seterusnya Amerika Syarikat. Natijah dari persekongkolan ini lahirlah entiti haram Israel pada 15 Mei 1948. Bendera ’Star of David’ Israel yang dikibarkan pada tarikh tersebut di Palestin melatari penderitaan 800,000 rakyat Palestin yang diusir dari tanah air mereka setelah pengganas-pengganas Yahudi yang dibiaya oleh barat melakukan pembunuhan kejam beramai-ramai melalui aksi-aksi terorisme ke atas penduduk Palestin.

Bermula dari detik tersebut rakyat Palestin yang terusir terus menjadi pelarian sejak 60 tahun yang lalu. Mereka terus menghuni kem-kem pelarian di Lubnan, Syria, Jordan, dan di Gaza sehingga kelahiran generasi yang ketiga dan terus menggantung harapan untuk kembali ke tanah air yang menjadi hak mereka seutuhnya tanpa pernah berputus asa. Kini jumlah pelarian Palestin sudah mencecah lebih dari 5 juta orang.

Di saat maruah rakyat Palestin dinodai dan hak mereka di rampas, Israel cuba menutup jenayah terkutuk dan keji mereka dengan mengistiharkan 15 Mei setiap tahun sebagai ’Hari Kemerdekaan Israel’ setelah menang dalam perjuangan yang mereka namakan ’perang kemerdekaan Israel’ (War of Independence). Hakikatnya 15 Mei adalah titik tolak kepada penderitaan bangsa Palestin yang tidak berkesudahan sejak 60 tahun lalu akibat kebiadaban rejim zionis yang bersifat kehaiwanan. Lebih biadap lagi apabila ia diraikan dengan acara-acara pesta dan di sambut pula di negara-negara barat seperti Amerika Syarikat, Australia, Kanada dan negara-negara Eropah yang lain. Bahkan pemimpin-pemimpin negara-negara barat tersebut menyampaikan ucapan tahniah dan membuat ucapan khas sempena hari ’kemerdekaan Israel’ dengan menggesa seluruh dunia membela dan mempertahankan negara Israel dari sebarang ancaman ke atas kewujudannya.

Pendapat umum masyarakat antarabangsa mengenai ulangtahun peristiwa 15 Mei perlu diubah demi menyelematkan dunia dari terus berada dalam bahaya agenda zionis yang tersembunyi. Seluruh dunia harus bangkit untuk membongkar pembohongan Israel yang terancang dan menyerlahkan peristiwa tragis NAKBAH yang sekian lama cuba disembunyikan. Adalah diharapkan buku yang mengumpulkan sejumlah rencana mengenai perjuangan rakyat Palestin sejak 60 tahun lalu, hasil karya Ir Megat Syarafuddin ... menjadi pencetus kepada satu agenda untuk memperingati peristiwa NAKBAH sekurang-kurangnya di kalangan rakyat Malaysia dan di peringkat serantau. Semuga buku ini menjadi pemangkin untuk menggerakkan usaha kesedaran yang berterusan di kalangan rakyat Malaysia terutama umat Islam untuk bersama membela rakyat Palestin untuk mendapatkan hak mereka semula dan membebaskan Baitul Maqdis dan Masjid al Aqsa dari penjajahan zegim zionis.

Akhir sekali tahniah diucapkan kepada Sdr Ir Megat Syarifuddin atas usaha gigih beliau. Saya mendoakan lebih banyak lagi karya mengenai Palestin yang akan beliau hasilkan sebagai susulan kepada buku ini. Semuga Allah memberkati usaha yang mulia ini.

Prof. Madya Dr. Hj Hafidzi Mohd. Noor
Pengarah
PACE
Palestine Centre of Excellence.

11 Jun 2008.
Perkembangan terkini!!
Alhamdulillah, pagi ni terima makluman daripada printer bahawa buku Penjara Jadi Pusara dah siap, lebih awal daripada janji printer masa hantar filem pagi Selasa 2 hari lepas... katanya hanya boleh siap lewat petang hari ni. Setelah berbincang dengan Team Penerbitan JIMedia dan pihak PACE, harga ditetapkan RM10. Akhi Nasir akan bawa buku ini ke Kedah petang nanti. Bagi warga JIM Kedah, bolehlah membeli buku ini esok. Begitu juga ahli JIM di sekitar KL-Selangor, bolehlah beli buku ini di pejabat JIM.

Berilah sokongan kepada penerbitan JIM.

Ahli JIM yang berminat untuk menerbitkan buku melalui JIMedia, bolehlah berhubung dengan ana atau Wan Am untuk perbincangan lanjut.

Akan terbit dalam masa terdekat: "KENALI DIRIMU" (Jun 2008) dan "SMART PUASA" (Julai 2008). Ana akan berkongsi maklumat mengenai projek SMART PUASA yang telah dimulakan tahun lepas lebih lanjut lepas ni.

Wassalam.

Abu Syamil
H/P 012-320 3434
Pej 03-6189 3434

Tuesday, June 17, 2008

Siri Kuliah Sejarah - Peristiwa Dahagi di Singapura (1915)

Askar-askar India Muslim dan melayu dijatuhkan hukuman tembak (firing squad) dalam peristiwa Dahagi kerana menyokong Khilafah Uthmaniah dan pertahan Palestin.

Assalamualaikum,

Saya ada mengisi siri-siri kuliah sejarah bulanan di beberapa buah mesjid di Selangor. Salah satu dari kuliah tersebut ialah 'Perihal sokongan ulama tanah air kepada Khilafah Uthmaniah'. Sebagai mukaddimah saya terangkan di mana kedudukan khalifah dalam sistem politik tertinggi umat Islam dan peranannya di dalam memayungi ummah. Saya jelaskan juga apakah bencana yang menimpa umat ini apabila khilafah terakhir, Khilafah Uthmaniyah luput pada tahun 1924. Di sentuh juga sepintas lalu mengenai usaha as-Syahid Imam Al-Banna dan program maratib-ul-amal untuk mengembalikan khilafah bermula dengan pembinaan syahsiah muslimah sehingga terbitnya ustiazatul alam (Islamic world order yang memayungi seluruh dunia).

Untuk siri yang pertama ini saya bongkar hubungan perjuangan umat Islam di Tanah Melayu dengan sistem khilafah yang berpusat di Istanbul. Saya jelaskan pada hadirin bahawa kita kena letakkan ulama-ulama pejuang yang selama ini dinobat sebagai pejuang nasionalis melayu kepada para mujahiddin yang gerak kerja dan perjuangannya bersifat global dan 'alami. Ini termasuklah peranan yang dimainkan oleh Dato' Bahaman, Tuk Gajah (Imam Perang Rasul), Mat Kilau, Tuk Janggut dan Tuk Ku Paloh.

Apabila pecah perang dunia pertama, Turki Uthmaniy terseret sama ke dalam kancah global ini demi mempertahankan kedaulatan wilayah Islam dari pencerobohan British dan Peranchis. Untuk menghadapi ancaman barat ini maka khilafah telah mengeluarkan pengistiharan Jihad-i-akbar pada bulan Nov 1914. Fatwa kewajipan jihad ini telah membangkitkan umat Islam di seluruh dunia termasuk di Tanah Melayu. Singapura yang merupakan pusat pentadbiran dan military base bagi British menempatkan juga askar-sakar India muslim dan melayu dalam pasukan British. Mereka akan dihantar ke tanah Arab untuk membantu 'revolusi Arab' menentang Turki Uthmani (Revolusi Arab ini dicetuskan oleh agen British T.E Lawrence atau terkenal dengan gelaran 'Lawrence of Arabia untuk mengusir Turki dari 'levant' termasuk Palestin). Askar melayu pula akan dihantar ke Afrika Timur untuk menggugat wilayah Islam seperti Somalia, Ethiopia, Eritrea, Sudan.

Seorang ulama tempatan bernama Ust Nurul Alam Syah dari Kampung Jawa, Singapura dan seorang saudagar Gujerat bernama Kassim ali telah meniup semangat jihad di kalangan tentera Islam supaya tidak patuh kepada arahan British dan sebaliknya memerangi mereka yang memusuhi Islam. Pada 15 February 1915 seramai 815 askar India Muslim dan 100 askar melayu telah menyerang kedudukan pasukan British, menyebabkan 33 orang askar British terkorban. British telah memohon bantuan dari TSN (Timbalan Setia Negeri) untuk mematahkan pemberontakan ini. Ini adalah satu episod malang di mana Tentera Setia Negeri telah digunakan untuk mengkhianati perjuangan umat Islam.

Peristiwa yang disebut sebagai 'Dahagi' (mutiny - atau pemberontakan) ini telah menyebabkan ramai askar-askar muslim dijatuhkan hukuman bunuh dengan 'firing squad'. Ust Nurul Alam dan Kassim Ali di hukum gantung.

Demikian secebis dari perjuangan umat ini yang tidak pernah diungkap dalam buku-buku sejarah rasmi negara kita. Atas kesedaran bahawa ada usaha untuk menafikan umat ini dari sejarah sebenarnya, saya akan berusaha untuk mengenengahkannya kembali melalui ucapan, ceramah dan penulisan buku insyaAllah.

Berikut saya akan kupas apakah kesan kebangkitan di Singapura ini kepada perjuangan ulama pejuang Tuk Janggut di Kelantan insyAllah.

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor

Monday, June 16, 2008

Ziarah Keluarga di Johor - 12 Jun 2008

Kak Minah dengan pos istimewa di depan rumahnya di Kg Melayu Majidee

Bergambar bersama Abg Tah dan Kak Chah


Abg Tah dan Kak Chah menikmati ketenangan hidup setelah persaraan


Bergambar bersama Pak Utih, Mak Utih dan Baby

Assalamualaikum,

Ketika menemani umi (Zuraidah) dan abi melakukan ekspedisi ke Kota Batu, Johor Lama, Allah SWT memberi peluang kepada kami menziarahi keluarga di Johor. Alhamdulillah setelah bersarapan lontong dan soto (dua jenis makanan fovourite Johor) kami ziarah ke rumah Kak Minah dan Pak Mat. Alhamdulillah Pak Mat nampaknya lebih sihat dan Kak Minah juga nampak ceria. Kami juga berbangga dengan pencapaian anakanda NurSyuhada yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelajaran sehingga diambil sebagai anak angkat UTM. Semuga cita-cita anakanda untuk menjadi peguam menjadi kenyataan insyaAllah.

Selepas itu kami bertandang pula ke rumah Abang Tah dan Kak Chah di Taman (lupa pulak nama!) dalam perjalanan ke Kota Tinggi. Kami sampai dalam pukul 11 pagi tetapi sempat makan tengah hari. Tak ada rezeki pula nak jengah cucu-cucu saudara Aiman dan Akilah. Katanya sebelah petang mereka datang. Semalamnya berjumpa dengan Omek semasa makan tengah hari dekat gerai makan sebelah Puteri Pacific Hotel tempat kami menginap. Masa tu jumpa juga dengan adek Cik Abu.

Setelah itu kami ke Johor Lama dan menalipon Cik Abu Bakar dan Kak Nab. Oleh kerana mereka sedang merancang untuk ke Perlis (Mama dapat kerja sebagai pensyarah di Politeknik Perlis - tahniah!!) maka kami bercadang untuk berjumpa di rumah Kak Endon/Abg Hassan sahaja. Oleh itu kami terus ke rumah Pak Utih/Mak Utih. Sampai-sampai aje dihidang dengan keledek goreng - cukup berselera kami makan. Sebelah petangnya sempat joging (brisk walking) dengan Pak Utih - jauh juga ada 3 ke 4 km rasanya ikut jalan ladang kelapa sawit. Makan malam pula cukup selera dengan lauk-lauk kampung - yang paling sedap ikan bilis goreng dengan bawang dan cili... Tahniah juga diucapkan kepada Boboy kerana mendapat tempat di Institiut Pertanian Bota, Perak. Semuga ankanda terus menempa kejayaan dalam pelajaran dan kehiudupan.

Selepas makan malam kami bertolak ke Bulit Pasir, Muar ke rumah Kak Endon/Abang Hassan. Sampai lebih kurang tengah malam, terus tidur. Cik Abu dan Kak Nab sampai lebih awal dan telah masuk tidur lebih dulu. Esoknya kami ramai-ramai bersarapan Mee rebus, lontong dan sate di bandar Muar. InsyaAllah gambar-gambar sedang sarapan di Muar akan diupload kemudian.

Setelah bersarapan kami terus ke hospital Melaka untuk menziarahi Abang M yang baru sahaja menjalani rawatan haemodyalisis. Beliau ditemani oleh anaknya Ayil. Nampak lebih ceria selepas menjalani rawatan haemodyalisis. Begitulah suratan takdir. InsyaAllah jika kita redha dengan ketetapan Allah, kehidupan kita akan lebih diberkati. Semuga apa jua musibah yang menimpa akan menghapuskan dosa kita. ameen (gambar bersama abang M juga akan di upload kemudian)

Jazakumullahukhairan kathira kepada semua abang-abang, kakak-kakak dan anak-anak saudara yang telah memberikan layanan baik dan menerima kunjungan kami walaupun dengan keadaan kesuntukan waktu dan dicelah kesibukan kalian.

Pak Su (Hafidzi)
Mak Su (Zuraidah)
Abg Qayyim

Umi (Zuraidah) menjadi pengarah Program Percambahan Minda Wanita Islam I - anjuran Wanita JIM Hulu Langat dan Wanita JIM Sepang

Umi (Hjh Zuraidah) menyampaikan cenderahati kpd Prof Madya Dr Najibah Mohd Zin

Kedua panel penceramah - Prof Madya Dr Najibah Md Zin dan Pen. Prof Dr Normi Abd Malek dengan moderator Pn Hjh Halimah Abdul Hamid



Peserta di meja pendaftaran




Program mendapat sambutan - lebih 20 kerusi terpaksa ditambah


YDP JIM Hulu Langat - Hj Riduan Harun dan YDP JIM Sepang - Prof Dr Mohd Ali Hassan hadir sehingga tamat program



Assalamualaikum wbt,

Alhamdulillah pada Ahad, 15 Jun 2008 telah berlangsunglah sudah Program Percambahan Minda Wanita Islam (1): Isu-isu Wanita dan Kekeluargaan Dalam Perundangan Islam di Kompleks PKNS, Bangi. Dua kertas kerja telah dibentangkan:
1. Peranan Undang-undang Keluarga Islam dalam Menjamin Kesejahteraan Berkeluarga
oleh Pen. Professor Dr Normi Abd Malek, UIA.
2. Perlaksanaan Perundangan Syariat Kekeluargaan Islam di Malaysia: Beberapa Kajian Kes
oleh Prof Madya Dr Najibah Mohd Zin juga dari UIA.
Seramai 115 orang peserta telah mendaftar secara rasmi. Penyertaan terdiri daripada wakil-wakil persatuan/NGO/Agensi Kerajaan dari sekitar Hulu Langat/Sepang antaranya FITRAH (Pers IbuTunggal), Pers Sukarelawan Dakwah/Hospital, Unit Mubalighat, Institusi Pengajian Tinggi, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pers2 Penduduk sekitar BBBangi serta lain-lain individu.

Topik pembentangan memang hangat dan berjaya menarik minat para peserta. Kedua-dua penceramah jemputan terpaksa menjawab sekitar 30 soalan yang diajukan. Walaupun program dihentikan pada jam 1:15 petang, penceramah masih sanggup menunggu sampai jam 2 ptg untuk berjumpa dengan peserta yang ingin mendapatkan keterangan lanjut. Bagi yang tidak sempat bertanya, sesi pembentangan ringkas ttg PAKSI-JIM oleh Pn Hjh Faridah Maludin juga telah memberikan arah kepada para peserta untuk mengajukan permasalahan mereka di masa yang akan datang.

Alhamdulillah 11 borang memohon keahlian JIM telah diterima.

InsyaAllah program yang dirangka dalam sedar kearah pencapaian RJIM2, 2.2.1 ini akan ada kesinambungannya dengan siri yang kedua. Mungkin akan bawa isu gejala sosial, murtad atau pun meneruskan lagi isu ini (Wanita & Keluarga)...


JZKK kepada:
Kedua-dua penceramah Dr Normi dan Dr Najibah
Pn Hjh Faridah Maludin (PAKSI-JIM)
PM Dr Roohaida Othman, TKW JIM Sgor yang telah sudi merasmikan majlis.
YDP JIMDHL Tn Hj Ridzuan Harun & YDP JIM Sepang Prof Mohd Ali Hassan yang sudi hadir sehingga akhir program
Pn Hjh Halimah Abd Hamid yang berjaya mengelolakan majlis dgn profesional sekali
Para dermawan
Semua para peserta
Akhir nya untuk semua JK Penganjur, Wanita JIM DHL & WJ Sepang, Semoga Allah menerima amal-amal kita dan terus membekalkan kita kekuatan dan pertolongan untuk menyambung usaha ini. Dikepilkan beberapa keping gambar untuk tatapan.

Zuraidah Kornain
Pengarah Program

Sunday, June 15, 2008

Ekspedisi Ke Johor Lama untuk projek penulisan 'Jejak Risalah di nusantara II'

Serpihan tembok kota batu, Kota Batu, Johor Lama

Abi dan Umi bergambar kenangan di tapak Kota Batu, Johor Lama


Umi Zuraidah bergambar bersama peluru rentaka pertahanan melayu

Benteng Kota Batu - pertahanan hadapan kubu

Gambaran artis serangan Portugis di Kota Batu


Pandangan pada salah satu sisi benteng


Makan pahlawan tanpa nama


Gambaran artis bamboo runcing pertahanan kota batu

Alhamdulillah, abi, umi dan abang Qayyim sempat menziarahi Kota Batu di Tanjung Batu, Johor Lama di celah-celah program kerja dan ziarah keluarga di Johor pada 13 Jun 2008. Kota Johor Lama ini letaknya di Teluk Sengat simpang ke kanan dalam perjalanan ke Desaru, Bandar Penawar dari Kota Tinggi, Johor.

Kota Johor Lama menyimpan sejarah perjuangan umat Islam di dalam menentang penjajahan barat Portugis. Kota ini adalah merupakan kesinambungan dari kesultanan Melaka dan pertahanan umat islam yang terus berjihad menolak penjajahan barat. ia didirikan oleh Sultan Alauddin Riayat Syah II (1524 - 1564) pada tahun 1540. Kota ini sekali lagi menjadi pusat pemerintahan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II (1570 - 1579). Pada zaman pemerintahan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah ini Portugis menggempur benteng Johor Lama sebanyak 2 kali iaitu pada tahu 1576 dan 1578 tetapi berjaya dipatahkan. Serangan besar-besaran Portugis dari Goa, India pada tahun 1587 akhirnya berjaya menawan Kota Batu dan memusnahkannya.

Ekspedisi dan gambar-gambar ini insyaAllah akan dimuatkan dalam buku 'Jejak Risalah di nusantara II - Gelombang Penjajahan Barat yang pertama'. Mohon doa agar ianya dapat disempurnakan dan diterbitkan dalam masa yang terdekat ini bersama "Jejak Risalah Nusantara IV - Dari Perang Aceh ke Perang Revolusi.



Tuesday, June 10, 2008

Israel cuba Ubah demografi BaitulMaqdis - Pandangan Pengarah PACE - Utusan Malaysia 11 Jun 2008

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL(wartawan utusan)

SELEPAS beberapa ketika agak sepi daripada sebarang isu yang menarik perhatian dunia, konflik di Asia Barat kembali tegang pada sambutan ulang tahun penyatuan Baitulmaqdis timur dan barat yang ke-41, 1 Jun lalu. Ia tercetus apabila Menteri Perumahan Israel, Zeev Boim mengumumkan kepada kabinet Israel dalam mesyuarat mingguannya untuk membina 884 buah apartmen bagi penduduk Yahudi. Penempatan baru itu bakal dibuka masing-masing 763 buah rumah di Pisgat Zeev, manakala 121 buah lagi di Har Homa yang merupakan penempatan pendatang Yahudi sejak Batulmaqdis timur ditawan pada Jun 1967.

Baitulmaqdis timur adalah wilayah yang diduduki Israel dan merupakan salah satu daripada tuntutan asasi Palestin ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis timur sebagai ibu negara. Perkembangan terbaru itu pastinya memberi implikasi yang besar kepada usaha rundingan damai yang sedang diatur sejak berlangsungnya Konferens Annapolis pada 27 November tahun lalu.

Lebih daripada itu, seperti yang dijelaskan oleh Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (Pace), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor, tindakan Israel tersebut adalah satu strategi terancang untuk menggagalkan usaha Palestin menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara, sekali gus menafikan pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat. ''Pembinaan penempatan itu juga dilakukan oleh Israel selepas mereka bersetuju untuk menghentikan pembangunan di kawasan tersebut dalam sekian banyak perjanjian damai dan resolusi yang dipersetujui secara bersama. Ini memberikan pengajaran yang penting kepada dunia bahawa Israel sebenarnya tidak boleh dipercayai dan akan melanggar apa jua syarat dan komitmen yang mereka pada mulanya persetujui," ujar beliau.

Menurut Hafidzi, dengan pembinaan lebih banyak unit apartmen di Baitulmaqdis timur, Israel secara sedar cuba untuk menggagalkan siri-siri perundingan damai yang telah dicapai sejak perjanjian Oslo 1993, Perjanjian Damai (Road Map) 2003 dan Konferens Annapolis (2007).
Dalam Perjanjian Damai 2003 misalnya, Israel bersetuju untuk membekukan semua projek pembinaan kediaman penduduk Yahudi di kawasan yang diduduki, namun mengecualikan Baitulmaqdis timur daripada perjanjian tersebut. Tindakan itu kerana Israel telah pun mengisytiharkan Baitulmaqdis timur sebagai ibu negara mereka yang disatukan bersama Baitulmaqdis barat dan dianggap abadi oleh negara Yahudi berkenaan.

Menilai perkembangan terbaru itu, Hafidzi menjelaskan, adalah penting untuk dunia mengetahui kedudukan Baitulmaqdis dalam konteks negara haram Israel yang diisytiharkan pada 1948 dan Tebing Barat yang dikuasai pada 1967. Kefahaman itu bagi memberi gambaran yang jelas dalam konflik terbaru yang tercetus kini seterusnya mempertahankan hak rakyat Palestin dan umat Islam ke atas tanah suci tersebut. Setelah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi 181 pada 1947, penduduk Yahudi berusaha untuk mengambil alih Baitulmaqdis meskipun kota itu diletakkan di bawah pentadbiran antarabangsa di bawah resolusi yang sama.
Namun, garisan The Rhodes Armistice yang diwujudkan oleh PBB pada tahun 1949 berjaya menghalang kemaraan Yahudi yang terhad hanya di sempadan Kota Lama (Old City) iaitu kawasan yang turut menempatkan Masjid al-Aqsa.

''Penaklukan Israel setahun kemudiannya membahagikan Baitulmaqdis barat yang dikuasai Israel dan Baitulmaqdis timur yang masih berada dalam wilayah Arab, manakala Kota Lama yang menempatkan Haram al-Sharif berada di antara kedua-dua Baitulmaqdis barat dan timur," katanya. Pada Jun 1967, Baitulmaqdis timur dan Kota Lama diduduki Israel, termasuklah keseluruhan Tebing Barat sehingga sempadan Jordan, Semenanjung Gaza yang bersebelahan dengan Mesir, Semenanjung Sinai dan Tanah Tinggi Golan (wilayah Syria).

Apabila Kerajaan Kebangsaan Palestin (PNA) menuntut hak ke atas Baitulmaqdis, yang dirujuk dalam tuntutan itu hanyalah Baitulmaqdis timur dan Kota Lama yang termasuk dalam lingkungannya. Ini bermakna apabila Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Yasser Arafat memperakui Resolusi 181 dan mengiktiraf Israel, rakyat Palestin akan kehilangan Baitulmaqdis barat dan tiada sebarang tuntutan lagi boleh dikemukakan ke atasnya.
Contoh yang paling ketara ialah Kedutaan AS yang dipindahkan dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis barat. Kedutaan tersebut dibina di atas tanah milik 19 keluarga Arab Muslim dan Kristian dengan tanah yang diwakafkan pada 1724 merupakan bahagian terbesar. Rekod daripada kerajaan mandat British menunjukkan, tanah tersebut disewa untuk di bina penempatan tentera dan hari ini, tanah yang sama disewa kepada AS oleh Israel. ''Apakah hak Israel menyewakan tanah yang telah dicuri daripada pemilik yang sebenar dan bagaimana pula kedudukan AS yang menyewa di atas tanah yang dicuri? "Dalam masa yang sama, waris tanah tersebut yang kini berjumlah 1,000 orang juga tidak mendapat apa-apa sewaan, apatah lagi pampasan dan keadaan ini secara terang- terangan menunjukkan Perjanjian Oslo yang diterima oleh Arafat adalah suatu pengkhianatan ke atas rakyat Palestin," jelasnya.

Seperkara yang wajar dilihat juga jelas Hafidzi, adakah dengan melepaskan tuntutan ke atas Baitulmaqdis barat, menjamin tuntutan Palestin ke atas Baitulmaqdis timur, Kota Lama dan Haram Al-Sharif? Jika ini merupakan syarat penerimaan, kemungkinan tawaran tersebut boleh dipertimbangkan walaupun ia tetap merupakan satu pengkhianatan. Namun, kenyataannya ujar beliau, Israel sama sekali tidak akan melepaskan Baitulmaqdis timur yang ditawan pada 1967, malah melaksanakan agenda bagi mengyahudikan Baitulmaqdis timur dengan membina perumahan Yahudi. Hari ini, Baitulmaqdis timur dikelilingi kawasan penempatan Yahudi dengan tembok keselamatan di dalamnya dibina bagi memisahkan Kota Lama dari Tebing Barat yang bakal diisytiharkan sebagai negara Palestin 'yang merdeka'.

Agenda jahat Zionis yang disokong oleh AS terbongkar apabila mereka bersetuju untuk menyerahkan lebih 95 peratus wilayah Tebing Barat kepada Palestin dengan baki kedudukan lima peratus wilayah lagi tidak dinyatakan. Bancian pada tahun 2005 menunjukkan penduduk Arab di Baitulmaqdis adalah kira-kira 250,000 orang berbanding 180,000 penduduk Yahudi

Thursday, June 5, 2008

Abi (Dr Hafidzi) berkhutbah di masjid Jame' Serdang

Mencuba mimbar sebelum berkhutbah

Abang Qayyim yang bertungkus lumus membantu jualan bersama Bilal dan adek Harith Roslizar (siapa nama - lupa pulak..)


Dr Ahmad Zainuddin - yang berusaha untuk mendapatkan slot khutbah. JZKK

Ahli Jamaah kelihatan membeli buku dan menderma - kelihatan Prof ahmad Said Sajap dari Fak Perhutanan turut memberi sokongan. JZKK

Dua bunting mengenai Palestin yang diletakkan pada laluan masuk ke masjid



Assalamualaikum,

Alhamdulillah, berkat usaha sahabat-sahabat slot khutbah telah berjaya disempurnakan di mesjid jame' Serdang pada hari Jumaat 23 Mei 2008. Khutbah ini adalah sempena ulang tahun tragedi Nakbah yang ke 60. Berikut ialah teks khutbah yang telah disediakan. (Terima kaseh tidak terhingga kepada akh Dr Ahmad Zainuddin kerana mengusahakan slot ini dan Prof Dr Mohd Amin Mohd Som kerana mengusahakan agar kutipan hari Jumaat tersebut dibahagi dua, sebahagian untuk tabung Palestin. Jazakallahukhairan kathira
-------------------------------------------------------------------------

Khutbah pertama

Isi khutbah pertama


Hari ini khatib hendak membawa perhatian sidang Jumaat kepada satu peristiwa besar yang menimpa umat ini pada abad yang lalu. Persitiwa tersebut dikenali sebagi Nakbah yang membawa maksud malapetaka besar. Secara rasminya kemuncak peristiwa Nakbah berlaku pada 15 Mei 1948. Pada petang 14 Mei 1948 bendera Union Jack diturunkan di Palestin dan sebagai gantinya berkibarlah bendera 'The Star of David' dan pada keesokkan harinya iaitu pada 15 Mei 1948 negara haram israel diistiharkan oleh perdana menterinya yang pertama David Ben Gurion.

Kenapa peristiwa Nakbah yang kini sudah memasuki ulang tahun ke 60 tahun ini wajar mendapat perhatian kita sebagai umat Islam. Sebabnya ialah kerana inilah tragedi kemanusiaan terburuk abad lalu yang direstui oleh ,asyarakat antarabangsa. Tragedi ini bukan sahaja dirancang oleh pertubuhan Zionis antarabangsa bahkan mendapat kelulusan rasmi dari kuasa-kuasa barat dan penaja kepada PBB iaitu British dan Amerika Syarikat. Tragedi Nakbah menyaksikan 800,000 rakyat Palestin diusir dari rumah-rumah dan tanah air mereka dan duduk merempat di khemah-khemah pelarian sehingga hari ini. Jumlah mereka kini sudah mencecah lebih dari 5 juta orang dan sehingga kini nasib mereka tidak mendapat sebarang pembelaan termasuklah dari negara-negara umat Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Jika ada di kalangan kita merasakan tragedi Nakbah ini tiada kena mengena dengan diri kita, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan pandangan hidup kita sebagai serorang muslim. Apakah asas kepada perkara ini?

Yang pertama inilah akibat dari leburnya konsep ummah dan digantikan dengan konsep negara bangsa 'nation state' yang dipaksakan oleh penjajahan ratusan tahun ke atas umat Islam. Umat ini diiktiraf oleh Al-Quran sebagai umat yang satu. Firman Allah SWT 'Sesungguhnya kamu ini adalah umat yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka hendaklah engkau menyembah akan Daku'. Di tempat yang lain Allah berfirman 'Sesungguhnya kamu adalah umat yang satu dan Aku adalah Tuhanmu , maka hendaklah engkau bertaqwa kepada Ku".....


Oleh kerana begitu mendalamnya konsep 'nation states' yang diperkenalkan oleh penjajah maka kita pada hari ini tidak lagi menganggap umat Islam di luar dari batas sempadan antarabangsa sebagai saudara yang wajib dibela dan dipertahankan. Bahkan kadang-kadang timbul pula sentimen merendah-rendahkan muslim di negara lain atau dari bangsa lain. Oleh kerana robohnya konsep umat ini, kesatuan umat Islam berjaya dipecahkan dan sememangnya itulah yang menjadi hasrat musuh-musuh Islam. Musuh Islam amat menyedari asas kepada kekuatan umat Islam bukan kekuatan ekonomi atau hasil mahsulnya tetapi kekuatan persaudaraan yang terbina di atas asas aqidah yang kukuh. Apabila aqidah berjaya dihakis dari jatidiri umat Islam, tidak ada lagi sisa kekuatan ukhuwah yang terbina di atasnya. Akhirnya mudahlah wilayah umat Islam dijajah satu persatu. Bahkan 'legacy' penjajahan itu berterusan apabila mereka melakarkan sempadan-sempadan politik yang 'artificial' sehingga wujudlah 67 negara bangsa yang kadang-kadang hanya dipisahkan oleh garisan lurus yang dilukis dengan pembaris seperti halnya Mesir dan Sudan, Libya, Tunisia, Maghribi, Mauritania, Chad, Somalia, Ethopia dan Eritrea.. Seperti halnya Jordan, Syria, Iraq dan bahkan Palestin. Seperti juga halnya Malaysia dan Indonesia yang dipisahkan di peringkat awal lagi oleh satu garisan lurus yang merentas Selat Melaka pada tahun 1824 hasil persetujuan British dan Belanda. Justeru negara Islam yang jumlahnya 67 buah dan menempatkan 1.6 billion umat Islam tidak mampu membela saudara seagamanya di Palestin. Hakikatnya Palestin di kelilingi oleh negara-negara Arab-Islam yang kaya raya dengan hasil petroluemnya tetapi seolah-olah mandul tidak dapat berbuat apa-apa.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Ketidakpedulian umat Islam terhadap saudaranya di Palestin lebih parah dari sekadar kegagalan memenuhi tuntutan ukhuwah. Sebabnya ialah bumi Palestin bukan sekadar satu dari wilayah umat Islam yang dikuasai oleh musuh, tetapi lebih penting dari itu ia adalah tanah suci umat Islam. Mungkin umat Islam terlupa bahawa kita punya tiga tanah suci dan bukan dua. Di samping Makkatul mukarramah dan Madinatul munawarah, kita punya tanah suci yang ketiga iaitu BaitulMaqdis di mana terletaknya masjid al Aqsa. Ia menjadi transit atau tempat persinggahan Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa
Isra dan Mikraj. Ia mengisyaratkan Baitul Maqdis mempunyai makna yang cukup besar bari Rasulullah SAW dan bagi umat Islam. Di samping itu masjid al Aqsa itu sendiri mempunyai pelbagai kelebihan lewat hadis-hadis yang berkaitan. Bersembahyang di masjid al Aqsa menjanjikan pahala sehingga lima ratus kali lipat berbanding bersembahyang di tempat yang lain.

Solat di Masjidil Haram adalah sama dengan 100,000 kali solat (ditempat lain), dan solat di masjid ku (di Madinah) adalah sama dengan solat 1000 kali, dan solat di Baitul Maqdis adalah sama dengan 500 kali solat. (Riwayat at-Tabarani)


Masjid al Aqsa juga merupakan kiblat pertama umat Islam sebagaimana yang dinyatakan berikut

Al-Hazimi mengemukakan satu riwayat daripada al-Barra' bin `Azib:
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان أول ما قدم المدينة نزل على أجداده من الأنصار وأنه صلى قبل بيت المقدس ستة عشر شهرا أو سبعة عشر شهرا.

Daripada al-Barra' bin `Azib bahawa perkara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. apabila sampai di Madinah ialah menemui datuk neneknya dari kalangan Ansar dan baginda bersembahyang mengadap ke arah Baitul Maqdis selama 16 bulan atau 17 bulan

Rasulullah SAW juga menganjurkan agar umat Islam menziarahi masjid al Aqsa dan bersama dalam menguruskannya.

Abdullah ibn umar bertanya pada Rasulullah SAW "Ya Rasulullah, terangkan kpd kami hukum menziarahi BaitulMaqdis. "Jawab Rasulullah SAW, Ziarah dan solatlah di sana. Sekiranya tidak mungkin (ziarah dan solat) maka kirimkanlah minyak untuk lampu-lampu (bagi menerangi masjid) – Sahih Bukhari

Jika membiayai pengurusan masjid manjadi tanggungjawab seluruh umat Islam apatah lagi tanggungjawab untuk membebaskannya dari penaklukan dan cengkaman musuh. Lantaran itu Sy Umar al Kahttab RA telah mengistiharkan Baitul Maqdis yang melengkari masjid al Aqsa sebagai tanah wakaf umat Islam yang wajib dipertahankan sepanjang zaman sebaik sahaja menerima kunci kota tersebut setalh ianya dibuka dan dibebaskan dari cengkaman kerajaan Rom timur (Byzantium).

Isi khutbah kedua

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Peristiwa Nakbah yang telah dirancang sejak tahun 1897, disususli dengan penaklukan British ke atas Palestin pada tahun 1917, direstui oleh Parlimen British melalui lobi yahudi yang mengizinkan bangsa Yahudi untuk memasuki Palestin sebagaimana yang termaktub dalam deklarasi Balfour 1917, dan pembahagian Palestin kepada negara Arab dan Yahudi oleh resolusi PBB 181 pada tahun 1947 dan pencerobohan pengganas-pengganas Yahudi yang merampas tanah air rakyat Palestin pada tahun 1948 sebenarnya adalah titik hitam kepada penderitaan yang berlanjutan sehingga kini. Pengistiharan negara haram Israel pada tahun 1948 telah membuka laluan kepada penaklukan seluruh bumi Palestin pada tahun 1967. Pada tahun tersebut Baitul Maqdis timur di mana terletaknya masjid al aaqsa, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza diduduki oleh Israel. Masjid Al-Aqsa terus dikepung dan dikuasai oleh yahudi zionis sehingga ke hari ini. Mereka telah melakukan pelbagai rancangan jahat untuk meruntuhkan masjid tersebut termasuklah dengan peristiwa pembakaran masjid pada 21 Ogos 1969 dan meletakkan bahan letupan di bawah binaan masjid. Di samping itu mereka juga menggali terowong di bawah masjid serta mendirikan kuil (synagogue) sementara di bawah permukaan masjid. Kesemua peristiwa ini gagal untuk menggerakkan dhamir umat Islam untuk berjuang bersungguh-sungguh untuk membebaskan tanah sucinya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Salahuddin al Ayubbi ketika Baitul Maqdis dikuasai oleh kaum salibiyyah.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Apa yang lebih mengecewakan lagi ialah sikap pemimpin-pemimpin negara umat Islam terhadap isu Palestin. Di saat ini ketika rakyat Palestin di Gaza menghadapi kepungan paling dahsyat sehingga sampai ke tahap membunuh, pemimpin negara-negara Islam diam membisu seribu bahasa. Rakyat Gaza berhadapan dengan sekatan bahan api, bekalan elektrik di potong, tidak ada barangan yang boleh di bawa masuk atau keluar, terputus bekalan ubat-ubatan, makanan dan keperluan asas yang lain, bahkan bekalan klorin untuk merawat air minuman juga dinafikan kepada mereka. Hari ini pesakit-pesakit meninggal semata-mata kerana hospital tiada bekalan elektrik dan tidak dapat membekalkan ubat-ubat untuk peyakit kronik seperti pesakit buah pinggang, kencing manis dan kanser. Ini tidak termasuk rakyat Palestin yang dibunuh oleh tentera Israel yang melancarkan serangan demi serangan ke atas penduduk awam. Bilangan orang awam yang terbunuh akibat serangan peluru berpandu dan bedilan meriam Israel untuk tiga bulan yang pertama pada tahun 2008 sahaja telah mencecah 300 orang. Dalam keadaan yang begitu kritikal apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara umat Islam? Apabila penduduk Gaza merobohkan tembok sempadan di Rafah, Mesir untuk mendapatkan bekalan makanan dan keperluan mereka, Hosni Mubarak, Presiden Mesir telah mengarahkan agar sempadan tersebut ditutup atas arahan Israel. Di masa penduduk Gaza berhadapan dengan tragedi ini. Raja Abdullah dari Arab Saudi telah menerima kunjungan dari Presiden Bush dan diberikan pula pelbagai hadiah istimewa termasuk beberapa ekor kuda dari baka jenis yang terbaik yang dimiliki oleh keluarga di raja Saud.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Kita juga amat kesal dengan sikap pemimpin di negara ini yang tidak sensitif dengan penderitaan rakyat Palestin. Kerajaan Malaysia telah mengambil keputusan untuk mengundang pasukan bolasepak Chelsea untuk beraksi di Malaysia. NGO-NGO Islam telah mengemukakan bantahan ke atas kunjungan tersebut kerana pasukan Chelsea turut dianggotai oleh dua orang rakyat Israel. Malah salah seorang pemian yang merupakan rakyat Israel adalah bekas anggota tentera Israel IDF (Israeli Defense Force). Alasan yang diberikan ialah sukan tidak boleh dicampur adukkan dengan politik.


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Kita ingin mengingatkan seluruh umat Islam, isu yang berkaitan dengan permasalahan bumi Palestin bukan isu politik tetapi ia adalah isu yang berkait langsung dengan akidah umat Islam. Apakah jawapan yang bakal kita berikan nanti di hadapan Allah SWT, apabila umat Islam bersorak meraikan pemain bolasepak Israel yang beraski di padang bola dan di masa yang sama membiarkan saudara-saudara seagamanya dizalimi, dianiaya, dibiarkan mati kebuluran bahkan dibunuh dengan kejam oleh rejim zionis Yahudi?

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Kekecewaan dan rasa dukacita kita terhadap keborokan sebahagian umat Islam dan pemimpin-pemimpinnya terubat apabila kita teringat kepada hadis Rasulullah SAW yang memberi khabar gembira tentang satu kelompok yang terus berjuang dan mereka tidak mungkin dikalahkan oleh musuh-musuh mereka sehinggalah Allah memberi kemanangan kepada mereka. Apabila sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW di manakah mereka itu, dijawab oleh Nabi 'mereka itu berada di Baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis'. Maka sidang Jumaat yang dirahmati Allah, istiqamahnya para pejuang di Palestin pada hari ini dalam mempertahankan tanah suci umat islam adalah gambaran dari kebenaran kata-kata Rasulullah SAW. Semuga kita semua termasuk dalam golongan yang bersama berjuang untuk membebaskan bumi Palestin, tanah suci umat Islam dari penjajahan musuh. Ameen Ya Rabuul Alaamin

Teks khutbah disediakan oleh Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah PACE
Palestine Centre of Excellence

Abang Qayyim menyertai LEADers sebagai fasi

Peserta LEADeRs (lelaki) bergambar ramai. Abg Qayyim berdiri paling kiri

Assalamualaikum,


Berikut adalah berita yang berkaitan dengan program LEADeRs yang disertai oleh abang Qayyim sebagai fasi
Setiawangsa, 5 jun 2008, seramai 76 peserta program LEADeRs 2008 telah bersama-sama bersetuju dengan menyatakan " ISA zalim…dan ISA seharusnya dihapuskan. Persetujuan itu dibuat setelah mendengar luahan dan perkongsian sebenar isteri tahanan ISA yang tidak asing lagi iaitu Cikgu Norlaila. Para peserta juga telah menandatangani POSKAD bantahan ISA dan surat ISA kepada Pihak yang sewajarnya. Kesemua peserta dan juga para urusetia telah diberi Button/badge " Malaysia Bebas Dari ISA " sebagai tanda sokongan kepada usaha murni ini...
Program yang diadakan selama 3 hari 2 malam itu adalah sebuah program latihan ekstensif asas da'wah dan Kepimpinan remaja soleh atau lebih dikenali sebagai LEADeRs yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Remaja JIM Pusat ( JKPR ) . Program LEADeRs ini telah dihadiri oleh 8 buah negeri dari seluruh malaysia.

Sebanyak 13 sesi Slot Pengisian, 7 Tazkirah, dan 2 kuliyyah telah dilalui oleh semua peserta LEADeRs. Program yang dirasmikan oleh yang berbahagia Presiden JIM Tuan Hj Zaid Bin Kamarudin merupakan program tahunan JKPR dan ianya disertai oleh peserta yang berada di tingkatan 4.

Alhamdulillah, berkat bantuan dan redha dari Allah swt, program telah berjalan dengan lancar. Pihak penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program kepimpinan dan asas dakwah ini
AMANAH INI BUKAN HAK MILIK , TAPI ANUGERAH "
Mohd Ha ( Fiz + Mid ) = Bai = Biha Fiza
SUA Karisma Nasional
 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc