Wednesday, April 1, 2009

Kenyataan PACE - 'Land Day' 30 Mac di Palestin dan seruan boikot sempena kempen BDS



Assalamualaikum,
(Maaf kerana terlalu lama tidak update blog ini)

Land Day atau 'Hari Tanah' Palestin bermula pada 30 Mac, 1977 apabila tentera zionis menyerang orang awam Palestin yang berdemonstrasi untuk membantah rampasan tanah secara berleluasa di Galilee, utara 'Israel' atau lebih tepat lagi wilayah Palestin yang dijajah sejak 1948. Pada hari tersebut, tentera zionis membunuh enam orang Palestin, mencederakan 96 orang dan menahan dan memenjarakan kira-kira 300 orang. Seluruh bangsa Palestin di dalam 'Israel', Tebing Barat, Gaza dan mereka yang berada di khemah-khemah pelarian di negara-negara Arab mengistiharkan hari tersebut sebagai Land Day atau 'Hari Tanah' untuk mengingati kehilangan tanah rakyat Palestin yang masih berlaku untuk meluaskan lagi negara haram Israel.

Kini setelah 32 tahun, regim zionis terus rakus merampas tanah-tanah milik orang Palestin samada di Tebing Barat, Baitul Maqdis Timur dan di negara haram Israel sendiri. Bahkan perjanjian Oslo 1993 yang kononnya menjanjikan sebuah wilayah Palestin yang merdeka berasaskan resolusi PBB 242 1967 terus dicabuli sendiri oleh regim zionis apabila terus merampas tanah rakyat Palestin dan merobohkan kediamam mereka bagi membina lebih banyak penempatan haram Yahudi. Penipuan-penipuan yang berselindung disebalik perjanjian damai terus berlaku sehingga kini. Ini termasuklah merancakkan aktiviti pembinaan penempatan Yahudi di Ma'ale Adoumin di Tebing Barat sebaik sahaja Konferens Annapolis selesai pada tahun 2007.

Rampasan tanah ini juga berlaku akibat pembinaan tembok pemisah di sepanjang Tebing Barat yang menyebabkan 45% dari tanah rakyat Palestin kini berada di dalam wilayah negara haram Israel. Tembok pemisah ini menyebabkan rakyat Palestin kehilangan tanah-tanah pertanian mereka, telaga air bahkan rumah kediaman. Kadar keciciran di kalangan pelajar sekolah juga amat tinggi kerana perjalanan ke sekolahb terhalang oleh tembok.

Pada tarikh yang sama iaitu 30 Mac 2009, kempen BDS (Boycott, Divestment and Sanctions) atau 'Boikot, Mengalihkan pelaburan dan Sekatan' dilancarkan bersempena dengan seruan World Social Forum di Belem, Brazil yang menyeru seluruh dunia memboikot produk, dan institusi Israel. Kempen boikot Israel adalah sangat penting dan menjadi sebahagian dari perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin dan mengembalikan hak rakyat Palestin termasuk hak untuk pulang ke negara mereka seperti yang dijamin oleh piagam dan resolusi-resolusi PBB. Dalam keadaan rakyat Palestin terus dikepung dan dipenjarakan di Gaza maka BDS merupakan satu seruan yang wajib untuk disambut oleh seluruh masyarakat antarabangsa bagi menamatkan kepungan Israel.

PACE menyeru semua pihak yang cintakan kedamaian dan menghormati prinsip hak asasi manusia supaya berganding bahu sempena Land Day dan kempen BDS dengan menyemarakkan kempen kesedaran melalui pelbagai pendekatan terutama sebaran am dan media massa. PACE juga mengalu-alukan rakyat Malaysia yang terus menunjukkan solidariti yang membanggakan bersama rakyat Palestin yang menjadi sasaran serangan biadap Israel di Gaza dari 29 Disember 2008 sehingga 23 Januari 2009 dengan menyahut seruan boikot ke atas barangan yang menyokong Israel. Kini usaha ini menjadi sebahagian dari kempen BDS yang dilancarkan di seluruh dunia.

Seruan PACE ialah supaya rakyat Malaysia terus menyebarkan kesedaran ini kepada semua pihak agar pelanggaran hak asasi ke atas rakyat Palestin yang begitu menjolok mata oleh zionis Israel dapat diakhiri.

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah
PACE (Pusat Kecemerlangan Palestin)

0 comments:

 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc