Assalamualaikum,
Berikut ialah rencana akhbar Utusan Malaysia yang memuatkan pandangan Dr Hafidzi terhadap isu Darfur - 21 Mac 2009
--------------------------------------------
Pendakwaan selektif ICC ke atas Presiden Sudan
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my
SEJAK Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap ke atas Presiden Sudan, Omar Hassan al-Bashir, pemimpin itu semakin mendapat sokongan di kalangan rakyat dan negara serantau.
Omar dituduh melakukan kejahatan perang dan kemanusiaan ke atas penduduk awam di wilayah bergolak Darfur sejak 2003. Menurut ICC, Omar memerintahkan tenteranya melenyapkan tiga kelompok etnik Darfur iaitu Fur, Masalit dan Zaghawa.
Tindakan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 2.7 juta orang penduduk Darfur diusir oleh kerajaan dari rumah masing-masing. Ia menyebabkan lebih 100,000 orang daripada mereka terkorban terutamanya kerana kelaparan.
Waran tangkap itu merupakan arahan pertama ICC ke atas seorang pemimpin yang masih memerintah.
Sesuatu yang jelas, pendakwaan ke atas Omar itu adalah bersifat selektif. Asas pendakwaan ICC hanya berpaksikan kepada persepsi bahawa beliau melakukan pembersihan etnik ke atas penduduk Darfur.
Sama ada Omar benar-benar terbabit dengan jenayah itu atau sebaliknya adalah sesuatu yang masih boleh diperdebatkan.
Sedangkan dalam masa yang sama, ICC seolah-olah menutup mata terhadap kejahatan tentera Israel ke atas penduduk Gaza di Palestin.
Sedangkan jenayah perang dan kemanusiaan yang dilakukan oleh Yahudi lebih dahsyat, terutamanya dalam perang selama 22 hari hujung tahun lalu.
Pembunuhan lebih 1,000 nyawa serta kemusnahan harta benda di wilayah Gaza secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa. Malangnya sehingga kini, tiada usaha untuk membawa pemimpin Israel ke muka pengadilan.
Ketidakadilan ICC daripada waran tangkap Omar juga disebut oleh bekas hakim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Prof. David Crane.
Crane sebelum ini pernah mengadili Presiden Liberia, Charles Taylor atas tuduhan kejahatan kemanusiaan.
Pakar dalam bidang undang-undang di Universiti Syracuse itu mengatakan prinsip-prinsip hukum yang dikeluarkan untuk mendakwa Omar juga menepati apa yang telah dilakukan oleh bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush.
Malah, kejahatan Bush dalam misi memerangi pengganas terutamanya di Afghanistan dan Iraq sebenarnya lebih terserlah. Justeru, mengapa Bush tidak turut didakwa?
Pendakwaan ke atas Omar sebenarnya tidak ubah seperti menyimbah minyak ke dalam api yang marak. Ia tidak akan menyelesaikan kemelut politik dan kemanusiaan yang berlaku di Darfur, sebaliknya menjadikan permasalahan semakin buruk.
Di kalangan penduduk Darfur sendiri menganggap dakwaan ICC itu sebagai permainan jahat kuasa-kuasa Barat.
Begitu juga dengan Liga Arab dan Kesatuan Afrika yang melihat dakwaan itu akan menjejaskan prospek damai yang dirintis oleh kedua-dua pihak.
Bertindak daripada waran tangkap itu juga, Sudan sudah mengusir sebanyak 13 agensi bantuan asing yang didakwa sebagai pengintip kepada ICC. Keadaan ini pastinya memberi kesan kepada pelarian Darfur yang mendapat bantuan secara langsung daripada agensi terbabit.
Menurut penganalisis negara-negara Islam, Dr. Hafidzi Mohd. Noor, konflik Darfur adalah isu yang sangat kompleks kerana ia melibatkan kepentingan politik puak yang bertelagah.
Permasalahan dirumitkan lagi dengan sikap ego perkauman di kalangan kumpulan etnik khususnya keturunan Arab Janjaweed yang mendapat sokongan kerajaan.
''Ini menyebabkan permusuhan yang semakin mendalam suku kaum Afrika yang rasa terpinggir dari arus pembangunan dan pembahagian ekonomi negara,'' katanya.
Kesempatan itu digunakan pula oleh kuasa-kuasa luar yang mempunyai kepentingan ekonomi di wilayah kaya-raya di Sudan.
Kehadiran AS, Kesatuan Eropah, Rusia dan China dengan kepentingan ekonomi masing-masing menyukarkan wujudnya keseimbangan politik di sana.
Selain Sudan, kuasa-kuasa luar ini juga bertapak di beberapa negara Afrika Timur lain seperti Eritrea, Somalia, Chad dan Ethiopia.
Ketidakstabilan politik dan keamanan memberikan keuntungan kepada kuasa luar untuk membolot kekayaan alam di rantau ini.
Mereka sama ada menyokong kerajaan atau secara tersembunyi membiayai pergerakan pemberontak termasuk dengan membekalkan senjata.
Kerana itu juga, bukanlah menghairankan apabila ada rejim yang mempunyai rekod kemanusiaan buruk di Afrika terus mendapat tajaan dari pihak asing.
Situasi itu tambah Hafidzi, berlanjutan sejak negara-negara Afrika merdeka daripada penjajah khususnya British, Perancis, Belgium, Portugis dan Itali.
''Kepentingan kuasa besar inilah menjadi halangan utama kepada usaha menamatkan pertikaian dan pergolakan di negara-negara Afrika termasuk di Darfur," katanya.
Ketika Kesatuan Afrika dilihat tidak mempunyai mekanisme khusus dalam penyelesaian konflik Darfur, tanggungjawab itu kini seharusnya digalas oleh pertubuhan-pertubuhan negara Islam.
Liga Arab dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) perlu memainkan peranan memandangkan konflik Darfur turut membabitkan umat Islam.
Namun bagi Liga Arab, pertubuhan itu pastinya tidak dapat memerdekakan diri daripada kepentingan bangsa Arab.
Pendirian mereka akan lebih melambangkan solidariti bangsa Arab. Maka, tidak hairanlah jika Liga Arab teragak-agak dan tidak bersungguh mengecam pembantaian penduduk Darfur oleh kumpulan Janjaweed dari etnik Arab.
Justeru, OIC kini menjadi satu-satunya pertubuhan Islam yang diharapkan untuk membawa penyelesaian yang adil.
Seperti yang ditekankan Hafidzi, Darfur seharusnya menjadi platform terbaik untuk OIC menjadi perantara kepada negara-negara Islam dan pendamai di antara puak yang bertelagah.
Untuk itu, OIC perlu mempunyai kehendak politik yang kuat untuk membantu salah sebuah negara anggota di benua Afrika itu.
Malangnya sehingga kini, OIC yang dipengerusikan oleh Senegal gagal mengemukakan sebarang inisiatif yang serius.
Keadaan ini tiada bezanya dengan pendirian OIC dalam kemelut politik dan kemanusiaan di beberapa buah negara Islam lain sebelum ini.
Paling ketara ujar Hafidzi, kegagalan dalam membela nasib rakyat Palestin daripada kezaliman tentera Yahudi. Begitu juga dengan konflik minoriti Islam di wilayah selatan di Thailand dan Filipina.
''Pencapaian OIC sebelum ini menjadi penanda aras kepada sejauh mana isu Darfur bakal ditangani oleh pertubuhan ini," katanya.
Justeru, hakikat itu membawa kepada realiti yang mana penduduk dan pemimpin di Darfur sendiri merupakan tonggak kepada penyelesaian konflik.
Penduduk dan pemimpin Darfur perlu ada kemahuan yang kuat untuk mengenepikan perbezaan kaum seterusnya menghormati antara satu sama lain.
Satu titik persamaan antara kaum perlu dicari dan penduduk Darfur sebenarnya memilikinya iaitu persaudaraan sesama umat Islam.
Sekiranya solidariti Islam itu dapat dieratkan, ia tidak mustahil menjadi jalan keluar kepada permasalahan yang sudah berlanjutan sekian lama itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment