Thursday, May 31, 2012


Sedutan dari Buku Jejak Risalah Di Nusantara Jilid V - Perang Aceh (1873 - 1913) dan Peranan Snouck Hurgronje di bawah tajuk Tjut Nyak Dien - Sosok Srikandi Aceh- Terbitan JIMedia 2007


Sesungguhnya Aceh mempunyai tradisi kepahlawan wanitanya yang amat membanggakan. Sejak zaman melawan Portugis lagi, serikandi Aceh telah menunjukkan rekod perjuangan yang sewajarnya dicatat dengan tinta emas. Laksamana Kemala Malahayati telah mengumpulkan sekitar 2,000 ‘inong bale’ (wanita-wanita yang suaminya syahid) untuk mempertahankan pesisiran pantai Aceh dari armada Belanda pimpinan Croulis dan Frederick De Houtman pada tahun 1006H (1599M).[1] Beliau juga merupakan cekap dalam bidang diplomasi sehingga dilantik sultan untul menjadi wakil negara menerima Sir James Lancaster utusan Ratu Inggeris, Queen Elizabeth I (pemerintahan 1591 – 1603) pada 5 Jun 1602.[2]

rumah tradisi cut
Replika rumah Cut Nyak Dien yang dibangunkan semula setelah di bakar Belanda. Rumah ini menempatkan bahan-bahan dokumentasi mengenai perjuangan Teuku Umar/Cut Nyak Dien yang dibawa pulang dari belanda.

Aceh juga terkenal sebagai negara umat Islam yang pernah menobatkan empat orang ratu sebagai pimpinan tertinggi negara pada kurun ke 17. Mereka ialah Ratu Tajul Alam Safiatuddin (1641 – 1675), Ratu Nur Alam Nakiatuddin (1675 – 1678), Ratu Zakiatuddin Inayat Syah (1678 – 1688) dan Ratu Kamalat Syah (1688 – 1699).[3] Perlantikan ratu ini telah menimbulkan perbahasan ilmiah. Namun mereka memimpin di bawah penasihatan ulama.[4] Di antara penasihat Ratu-ratu tersebut ialah Syeikh Nuruddin ar Raniry dan Syeikh Abdul Rauf Sinkili, tokoh ulama yang juga amat dikenali dan dihormati dalam tadisi pembelajaran pengajian kitab di Semenanjung Malaysia. Ratu-ratu ini bukan sahaja dinobatkan atas perkiraan politik, tetapi atas dasar kemampuan administratif dan kepimpinan mereka. Ratu Zakiatuddin umpamanya menguasai lima bahasa iaitu Belanda, Sepanyol, Arab, Hindi dan Aceh.[5] Di samping itu 16 wanita pernah duduk dalam Majlis Mahkamah Rakyat (Parlimen Aceh) dari tahun 1641 – 1675. Semua contoh-contoh kepimpinan ini berlaku 300 tahun sebelum pejuang-pejuang hak wanita dan golongan feminis cuba mempejuangkan hak mereka untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dalam masyarakat.[6]

Tidak syak lagi wanita Aceh adalah peniup semangat jihad umat Islam Aceh.[7] Nukilan Prof HAMKA dalam bukunya ‘Ghirah dan tantangannya terhadap Islam’ menyimpulkan hakikat ini. Tercatat dalam catatan Zentgraaf sebuah rumah pernah digeledah oleh soldadu Belanda. Di halaman terdapat seorang wanita sedang menumbuk padi. Bila diajukan soalan kepada wanita tersebut, ‘di rumah ada laki-laki?’. Jawab wanita itu ‘Semua laki-laki ke hutan ‘bermuslimin’ (jihad diertikan sebagai Islam di Aceh). Mereka tidak berpuas hati dan memeriksa rumah dan mendapati ada seorang lelaki sedang bersembunyi di bawah katil. Lelaki itu di ke bawah dan wanita tadi diherdik. ‘Tadi kamu bilang tidak ada lelaki’, Yang ini apa?’. Maka jawab wanita itu ‘Sudah saya bilang semua laki-laki ke hutan, bermuslimin. Dia tidak pergi maka dia bukan laki-laki!”[8]


[1] H. Ainal Mardhiah Aly, op. cit., hlm. 286. Sejak dari Sultan Al Kahhar, Aceh telah menghantar banyak ekspedisi untuk memerangi Portugis di Selat Melaka. Ramai dari pahlawan Aceh gugur syahid, meninggalkan isteri ’inong bale’ (balu syuhada). Pada zaman pemerintahan Sultan Saidil Mukammil Alaudin Riayat Syah (1589 – 1604) dibentuklah sebuah armada ’inong bale’ yang dipimpin oleh Laksamana Malahayati. Seorang wanita Belanda Marie Van Zuchtelen dalam bukunya Vrouwelijke Admiral Malahayati memuji beliau dan 2,000 pasukan inong balenya yang tangkas dan berani. Teuku Laksamana Malahayati juga adalah seorang Kepala Barisan Pengawal Istana, Panglima Jawatan Rahsia dan Panglima Protokol Pemerintah merangkap fungsi diplomatik di zaman Sultan Alauddin Riayat Syah.
[2] Ibid., hlm. 286. Teuku Laksamana Malahayati juga adalah seorang Kepala Barisan Pengawal Istana, Panglima Jawatan Rahsia dan Panglima Protokol Pemerintah merangkap fungsi diplomatik di zaman Sultan Alauddin Riayat Syah.
[3] A. Hasjmy, 59 Tahun Aceh Merdeka di Bawah Pemerentahan Ratu, Penerbitan Bulan Bintang, Jakarta, 1977.
[4] Pemerentahan raja perempuan di Aceh adalah satu bentuk susunan yang jarang berlaku di dunia Islam. Ratu Safiatuddin diangkat menjadi raja apabila Sultan Iskandar Tsani ’Alauddin Moghayat Shah mangkat pada tahun 1641 tanpa meninggalkan seorang putera. Ratu Safiatuddin adalah permaisuri kepada Sultan Iskandar Tsani. Dari sudut hukum, As Syeikh Nuruddin ar Raniry menjelaskan bahawa tidak ada larangan yang tegas untuk merajakan seorang perempuan asalkan ’ahlul halli wal’ aqdi’ iaitu ahli-ahli mesyuarat kerajaan diajak bermesyuarat sebelum sesuatu keputusan diambil menyangkut kepentingan negara. Cuma satu perkara sahaja yang tidak boleh dipegang oleh Sultan perempuan iaitu menjadi wali-hakim (mewalikan pernikahan). Lihat HAMKA, Sejarah Umat Islam, Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1980, hlm. 576 – 577. Syeikh Abdul Rauf Sinkili yang dilantik oleh Ratu Tajul Alam Safiatuddin sebagai Mufti dan Qadhi Malik al Adhil juga dipertanyakan tentang kedudukan wanita sebagai sultan. Beliau tidak memberikan jawapan yang jelas tentang persoalan ini. Di dalam kitabnya Mi’rab al Tullab, ketika membahaskan tentang syarat-syarat menjadi hakim (penguasa) as Sinkili sengaja tidak memasukkan lelaki sebagai syarat. Bagaimanapun apabila Syeikh Abdul Rauf Sinkili meninggal dunia, sultanah yang terakhir, Ratu Kamalat Syah dimakzulkan (diturunkan) berdasarkan fatwa ketua mufti Mekah yang memutuskan syariat tidak membenarkan perempuan menjadi pemimpin kerajaan Islam. Lihat H.M. Hasbi Amiruddin, Perjuangan Ulama Aceh di Tengah Konflik, CENINNETS Press, Yogyakarta,  2004, hlm. 46 – 47.
[5] Teuku H. Ainal Mardhiah Aly, op. cit., hlm. 294
[6] Ibid., hlm. 288 – 289. Teuku H. Ainal Mardhiah Aly memberikan senarai 14 orang dari anggota legislatif wanita semasa pemerintahan Ratu Safiatuddin; iaitu Si Nyak Bunga, Si Halifah, Si Sarah, Maimunah, Siti Cahaya, Mahkiah, Si Nyak Puan, Nadisah, Si Nyak Ti Cahya, Si Nyak Bunga (dua orang anggota legislatif memiliki nama yang sama; pen.), Si Habibah, Umi Puan, Siti Awan dan Umi Nyak Angka.
[7] Menurut Zentgraaf, lelaki dan wanita Aceh berjuang kerana kepentingan negerinya dan agama yang tidak kalah gagahnya dengan tokoh-tokoh perang terkenal bangsa Belanda. Dan pemimpin-perang Belanda yang pernah berperang di seluruh kepulauan Indonesia mengakui bahawa tidak ada satu bangsa yang begitu gagah berani dan fanatik dalam peperangan kecuali bangsa Aceh. Wanita-wanitanya mempunyai keberanian yang melebihi wanita-wanita Belanda. Lihat H.C. Zentgraaf, Atjeh, hlm. 1 dan 63. Dirujuk oleh M.H. Gayo, op. cit., hlm. 258.
[8] HAMKA,  Dan Tantangan Terhadap Islam, Pustaka Melayu Baru, Kuala Lumpur, 1983, hlm. 15.

Lapu-Lapu adalah hero sebenar dalam episod Ferdinand Magellan


Lukisan imaginatif Raja Lapulapu ketika berdepan dengan Magellan.Sumber: Mactan Shrine Painting (Carl Frances Morano Diaman) en.wikipedia.org/wiki/Mactan_isla

Sedutan dari manuskrip Jejak Risalah di Nusantara jilid II - Conquistidor (Sepanyol dan Portugis)

Kapal-kapal Magellan belayar dari San Lucar, Sepanyol pada 20 September, 1519. Setelah menyusuri Benua Afrika sehingga Tanjung Pengharapan, kapal-kapal Magellan belayar ke barat dan mengelilingi Amerika Selatan melalui Selat yang sempit dan merbahaya yang beliau namakan ’Selat Magellan’. Kemudian Magellan merentas Lautan Pasifik selama empat bulan sebelum berjumpa dengan daratan (Pulau Samar) yang beliau namakan Kepulauan St Lazarus, berhenti di Pulau-pulau kecil Homonhon sebelum mendarat di Limasawa, sebuah pulau kecil di selatan Leyte. Di Limasawa, Magellan mengadakan upacara sembahyang Katolik yang pertama di Filipina pada 31 Mac, 1521. Dari Limasawa, Magellan meneruskan usaha penjelajahan dan penyebaran agama Kristian di pulau-pulau sekitar. Magellan sampai di Cebu pada 1 April di mana  dia menjalin hubungan yang baik dengan ketua suku, Humabon. Magellan Berjaya membaptis 800 orang suku Cebuanos bersama Humabon, isteri dan anak perempuannya.[1] Dengan mengkristiankan mereka, Magellan telah menjadikan Cebu sebagai vassalage (jajahan takluk Sepanyol). Di masa yang sama Raja Lapulapu di pulau Mactan yang merupakan musuh Humabon, enggan menyerahkan kedaulatannya kepada Sepanyol. Raja Lapulapu memilih untuk mempertahankan kemerdekaan dan negerinya. Lalu berlakulah pertempuran yang pertama dengan penjajah Sepanyol di Kepulauan Filipina. Meskipun tentera Sepanyol bersenjatakan musket (senapang), perisai dan baju besi, mereka ditewaskan oleh penduduk tempatan dalam pertempuran Mactan yang masyhur pada 27 April, 1521. Ferdinand Magellan sendiri terbunuh di tangan raja Lapulapu. Rombongan Magellan kemudian meneruskan pelayaran tanpa Ferdinand Magellan.
Satu persoalan yang menjadi perbahasan ialah tentang Raja Lapulapu. Tiada kepastian tentang identi beliau sebagai muslim. Namun yang menarik ialah Raja Lapulapu adalah satu-satunya pemimpin suku yang tidak mahu tunduk kepada Sepanyol. Penentangan yang dipilih oleh Raja Lapulapu mengundang satu persoalan tentang pegangan beliau. Biasanya ada sesuatu yang mendorong mana-mana pemimpin untuk menentang penguasaan bangsa asing, apatah lagi jika ada unsur-unsur paksaan untuk menganut sesuatu agama dan menuntut ketaatan kepada bangsa asing tersebut. Mengambil kira kebanyakkan ketua suku di Kepulauan Filipina ketika itu beragama pagan (atau yang disebut oleh orang-orang barat sebagai heathen), maka Magellan tidak menghadapi sebarang penentangan ketika membaptis mereka kepada agama Katolik. Namun Raja Lapulapu memilih untuk menolak kedaulatan Spain dan enggan dibaptis kepada agama Kristian.[2] Penentangan Lapulapu disampaikan sendiri oleh seorang ketua suku bernama Zula
” On Friday, April 26, Zula a chief of the Island of Mactan, sent out one of his sons to present two goats to the Captain general and to say that he would send him all that he had promised, but that he had not been able to send it to him because of the other cheif Cilapulapu, who refused to obey the King of Spagnia...The captain sent a message to the effect that if they would obey the king of Spagnia, recognised the Christian king as their soveriegn and pay tribute, he would be their friends, but if they wished otherwise, they should wait to see how our lances wounded.[3] (Pada hari Jumaat, 26 April, Zula, ketua suku di Pulau Mactan mengutus seorang dari dua anaknya untuk mempersembah dua ekor kambing kepada Captain General (Magellan) dan untuk memberitahu bahawa dia akan persembahkan semua yang dijanjikan, tetapi hasratnya terhalang kerana seorang ketua suku Cilapulapu enggan tunduk kepada Raja Sepanyol... Captain (Magellan) menegaskan di dalam perutusannya jika mereka tunduk kepada Raja Sepanyol, mengiktiraf Raja Kristian tersebut sebagai ketua dan menyerahkan hadiah sebagai bukti ketundukan, maka beliau bersedia untuk menjadi sekutu mereka, tetapi jika sebaliknya, maka mereka patut tahu bagaimana pedang kami melukakan.)

Kesah peperangan Mactan dicatat oleh Pigafetta yang menyertai ekspedisi Magellan sebagai jurutulis. Ferdinand Magellan yang cuba untuk menundukkan Raja Lapulapu merancang untuk melancarkan serangan ke atas Pulau Mactan. Kapal Magellan tidak dapat menghampiri pantai kerana batu karang. Kedudukan kapal yang jauh dari pantai menyebabkan meriam tidak dapat digunakan untuk menembak sasaran musuh di darat. Ferdinand Magellan mengambil keputusan menggempur musuh dengan 48 askar Sepanyol dengan menggunakan perahu untuk mendarat. Tanpa diduga Magellan terpaksa berhadapan dengan 1,500 pejuang yang diketuai oleh Raja Lapulapu.[4] Sebelum melancarkan serangan Magellan telah member peluang terakhir kepada Raja Lapulapu untuk tunduk kepada kekuasaan Sepanyol, tetapi dijawab tegas oleh Raja Lapulapu.

“Saya tidak tunduk pada mana-mana raja dan tidak akan membayar ufti kepada mana-mana jua kuasa. Jika musuh kami ada tombak, kami juga mempunyai tombak daripada buluh dan kayu pancang yang disalai hingga keras”[5]

Ketika Magellan meredah air pada paras betis, askar-askar Sepanyol diserang oleh pejuang-pejuang Mactan dengan gagah berani. Meskipun mereka terpaksa berdepan dengan askar Sepanyol yang bersenjatakan
musket (senapang) dan lengkap dengan pakaian besi, ia tidak melemahkan semangat pejuang. Mereka menggunakan panah untuk mencederakan askar-askar Sepanyol pada bahagian kaki mereka yang terdedah. Apabila bertarung secara berdepan mereka menggunakan senjata yang dinamakan kampilan, sejenis pedang panjang yang banyak digunakan oleh pejuang-pejuang tempatan. Magellan berjaya menembusi penempatan pejuang dan membakar beberapa puluh rumah di pesisiran pantai. Keadaan ini menimbulkan kemarahan dan menaikkan semangat pejuang untuk menghapuskan askar-askar penceroboh Sepanyol. Mereka terus bertarung dengan gagah berani. Raja Lapulapu sendiri berdepan dengan Ferdinand Magellan dan berjaya mencederakannya. Akhirnya Magellan dibunuh oleh pejuang Mactan dan saki-baki askar Sepanyol berundur ke kapal mereka setelah Kapten-general mereka tewas. Tawaran-tawaran harta kepada Raja Lapulapu untuk ditukar dengan mayat Magellan ditolak. Mayat Magellan gagal untuk ditebus dan sehingga hari ini tidak diketahui di mana kuburnya.[6]
Pertempuran di antara Paja Lapulapu dan Ferdinand Magellan adalah sanggahan pertama bangsa Filipina, samada mereka mewakili Moro (muslim) atau tidak ke atas penjajahan barat yang diterajui oleh Sepanyol. Peristiwa penting ini wajar diingati oleh bangsa Filipina hari ini kerana ia melambangkan keberanian untuk mempertahankan maruah bangsa dari diperbudak oleh sebuah kuasa asing yang angkuh.[7] Lapulapu tidak merasa gentar dengan kehebatan senjata Sepanyol, seperti yang diulas dengan begitu tepat oleh Professor sejarah Filipina, Theodoro A. Agonci dan Oscar M. Alfonso:

Lapulapu’s fight against Magellan was the first successful Filipino armed resistance against Spanish aggression. Lapulapu instinctively felt that the coming of the Spaniards could mean subjugation and the loss of freedom. In resisting the Spaniards, Lapulapu defended the rights of his people to live without interference from others. A lesser man than Lapulapu might have easily been daunted by the superior weapons of the Spaniards. Instead Lapulapu taught the lesson that in dealing with foreigners, Filipinos need not have a feeling of inferiority or awe, and should not be submissive.”[8] (“Perlawanan Lapulapu menentang Magellan adalah penentangan bersenjata orang Filipino yang pertama sekali  berjaya melawan agresi Sepanyol. Lapulapu secara naluri dapat merasakan kedatangan orang-orang Sepanyol boleh membawa maksud ketundukan dan kehilangan kemerdekaan. Dalam melawan orang-orang Sepanyol, Lapulapu mempertahankan hak rakyatnya untuk hidup tanpa campurtangan orang lain. Orang lain yang berjiwa kerdil dengan mudah akan merasa takut dengan senjata Sepanyol yang hebat. Sebaliknya Lapulapu memberi satu pengajaran di dalam menghadapi orang asing, orang Filipino tidak seharusnya merasa lemah atau kagum, dan tidak sepatutnya tunduk (kepada kuasa asing”).

Sebenarnya penemuan Filipina oleh Magellan memberi implikasi kepada saingan dua kuasa maritim Eropah; Sepanyol dan Portugis. Dua dekad yang pertama pada kurun ke 16 ditandai oleh perbalahan di antara Sepanyol dan Portugis di dalam menetapkan hak penguasaan tanah jajahan berdasarkan Perjanjian Tordesillas pada tahun 1494. Penerokaan Ferdinand Magellan ke Kepulauan Filipina pada tahun 1521 membawa pertikaian baru kerana batas sempadan wilayah penguasaan Portugis-Sepanyol tidak diketahui secara tepat. Batas sempadan yang diperkira jatuh sekitar ‘kepulauan rempah’ menjadikan Brunei (Borneo), kepulauan Filipina dan Maluku menjadi rebutan Sepanyol dan Portugis.[9]


[1] Teodore A Agoncillo and Milagros C. Guerrero. History of the Filipino people, R.P. Garcia Publishing Co. Quezon City, 1970, hlm 77.
[2] Menurut tradisi lisan Sulu, Lapulapu adalah seorang ketua kaum muslim, dan juga dikenali dengan gelaran ’Kaliph Pulaka’. Masyarakat Moro di Selatan Filipina menganggap Lapulapu adalah seorang muslim dari suku etnik Tausag. Carlos Calao, seorang penyair berbangsa China-Sepanyol menulis dalam puisi beliau Que Dios Le Perdone (bahasa Sepanyol ’Semuga Tuhan mengampuni beliau’) sebagai ’Cali Pulacu’. Raja Lapulapu diangkat sebagai pahlawan Nasional pertama Filipina yang menentang penjajah asing. Nama beliau begitu harum sehingga statusnya sebagai National Hero diabadikan dalam bentuk tugu (statue) di Pulau Cebu dan menamakan Bandar Opon di Cebu sebagai Lapu-lapu City. Bahkan Korea Selatan menghadiahkan sebuah tugu Lapulapu pada tahun 2005 dan ditegakkan di Rizal Park di Manila. Imej Lapulapu turut menghiasi logo rasmi Polis Kebangsaan Filipina dan pernah menghiasi duit syiling 1 centavo Filipina yang beredar dari tahun 1967 – 1974. Semasa Sesi pertama persidangan Kongres ke 14 Filipina, Senator Richard Gordon memperkenalkan satu bil mencadangkan supaya 27 April diistiharkan sebagai cuti umum sempena Adlaw ni Lapu-Lapu (Hari memperingati Lapu-Lapu). Dr Camilo Osias, seorang pengarang dan pendidik bangsa Filipina berkata “Kepada orang Filipina batu peringatan itu bukan sahaja patut mengingatkan kepada pemimpin angkatan yang bersejarah itu bahkan juga patut mengingatkan kepada tentangan bersenjata nenek moyang kita menentang penjajahan asing yang pertama kalinya Berjaya. Lihat ‘Philippine History Unwritten’, Philippine Forum, Manila, 1936, dirujuk oleh Gregorio F. Zaide, op. cit., hlm. 172.


[3] H. De la Costa, S. J. Readings in Philippine History: Selected historical texts presented with a commentary, The Bookmark, Inc, Manila, 1965, hlm 16.
[4] Ketika Magellan menyerang Mactan, terdapat bersama-sama sekutunya Raja Humabon dan 1,000 orang-orang Cebu. Namun dengan bongkaknya Magellan menyuruh Humabon dan pahlawan-pahlawannya menunggu di dalam perahu dan melihat sendiri keberanian orang-orang Eropah berperang. Lihat Gregorio F. Zaide, op. cit., hlm. 170.
[5] Ibid., hlm. 170.
[6] Raja Humabon menghantar utusan untuk menebus mayat Magellan, tetapi telah ditolak oleh Raja Lapulapu. Pigafetta menulis, “Mereka menjawab utusan itu dengan memberitahu bahawa mereka tidak akan menyerahkan mayat orang yang seperti Magellan itu, sebagaimana yang kami sangkakan, dan mereka tidak akan menyerahkannya walaupun diberi semua harta kekayaan di dunia, dan bahawa mereka berniat hendak menyimpan jenazahnya sebagai satu kenang-kenangan. Lihat  Blair and Robertson, Jilid XXXIII, hlm. 183, juga lihat Gregorio F. Zaide, op. cit., hlm. 172.
[7] Menurut Gregorio F. Zaide, kesah keberanian Magellan seperti yang ditulis oleh Pigafetta perlu dibaca dengan hati-hati, kerana nyata sekali dia menulis dari segi pendapat orang Eropah dan dengan itu akan cuba menutup kekalahan Magellan. Berapa banyak juga huraian atau propaganda yang ditulis oleh penulis-penulis barat tidak dapat menyembunyikan faktor sejarah bahawa penyerangan orang Sepanyol ke atas pulau Mactan itu adalah satu kegagalan dan bahawa Lapulapu, dengan mengalahkan Magellan, patut diberi kemasyuran sebagai seorang perwira. Lihat Gregorio F. Zaide, op. cit., hlm. 170 – 171.
[8] Teodoro A. Agonci and Oscar M. Alfonso, A Short History Of the Filipino People, The University of Philippines, 1961, hlm. 69
[9] Dalam usaha untuk merealisasikan tuntutan Sepanyol ke atas ‘jajahan miliknya’, maka Charles I telah menghantar tiga ekspedisi pada tahun 1525, 1526 dan 1527 dengan instruksi untuk membina pusat perniagaan dan kubu pertahanan Sepanyol di kepulauan rempah, China dan Jepun. Ekspedisi ini telah menemui kegagalan kerana masalah kewangan sehingga memaksa Sepanyol untuk membuat perjanjian dengan Portugis. Perjanjian yang dinamakan perjanjian Zaragoza (Sepanyol) pada 22 April 1529 memberi sumber kewangan yang diperlukan oleh Sepanyol. Perjanjian ini juga bertujuan untuk menetapkan sempadan wilayah penguasaan di antara Portugis dan Sepanyol. Sempadan ini ditetapkan pada garis 297 ½ league ke timur Maluku. Portugis mendapat hak wilayah ke barat garis ini dan Sepanyol ke timur dari garis tersebut. Kerana tidak mempunyai maklumat yang tepat tentang kedudukan garis sempadan tersebut, Sepanyol telah menjual haknya di Maluku kepada Portugis dengan harga 350,000 Ducats, tanpa menyedari bahawa ia sememang berada dalam wilayah Portugis dan kemudian menuntut hak ke atas Filipina yang juga berada di dalam hak penguasaan Portugis. Lihat Teodoro A Agoncillo and  Milagros C. Guerrero. op. cit., hlm 77 – 78.

Friday, May 11, 2012


Cadangan Teks Khutbah Jumaat utk bulan Mei 2012 - Ulang tahun an-Nakbah

Teks khutbah sempena ulangtahun an-Nakbah
اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ لَهُ مَا فِى السَّمَوَاتِ وَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِى الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيْمُ الْخَبِيْرُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.
HARI ini khatib hendak membawa perhatian sidang Jumaat kepada satu peristiwa besar yang menimpa umat ini pada abad yang lalu. Persitiwa tersebut dikenali sebagi Nakbah yang membawa maksud malapetaka besar. Secara rasminya kemuncak peristiwa Nakbah berlaku pada 15 Mei 1948. Pada petang 14 Mei 1948 bendera Union Jack diturunkan di Palestin dan sebagai gantinya berkibarlah bendera 'The Star of David' dan pada keesokkan harinya iaitu pada 15 Mei 1948 negara haram israel diistiharkan oleh perdana menterinya yang pertama David Ben Gurion.
Kenapa peristiwa Nakbah yang kini sudah memasuki ulang tahun ke 63 ini wajar mendapat perhatian kita sebagai umat Islam. Sebabnya ialah kerana inilah tragedi kemanusiaan terburuk abad lalu yang direstui oleh masyarakat antarabangsa. Tragedi ini bukan sahaja dirancang oleh pertubuhan Zionis antarabangsa bahkan mendapat kelulusan rasmi dari kuasa-kuasa barat dan penaja kepada PBB iaitu British dan Amerika Syarikat. Tragedi Nakbah menyaksikan 800,000 rakyat Palestin diusir dari rumah-rumah dan tanah air mereka dan duduk di khemah-khemah pelarian sehingga hari ini. Jumlah mereka kini sudah mencecah lebih dari 5 juta orang dan sehingga kini mereka tidak mendapat sebarang pembelaan termasuklah dari negara-negara umat Islam.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Jika ada di kalangan kita merasakan tragedi Nakbah ini tiada kena mengena dengan diri kita, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan pandangan hidup kita sebagai seorang muslim. Apakah asas kepada perkara ini?
Yang pertama inilah akibat dari leburnya konsep ummah dan digantikan dengan konsep negara bangsa 'nation state' yang dipaksakan oleh penjajahan ratusan tahun ke atas umat Islam. Umat ini diiktiraf oleh Al-Quran sebagai umat yang satu. Firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya ayat 92 'Sesungguhnya kamu ini adalah umat yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka hendaklah engkau menyembah akan Daku'.
إِنَّ هَـٰذِهِۦۤ أُمَّتُكُمۡ أُمَّةً۬ وَٲحِدَةً۬ وَأَنَا۟ رَبُّڪُمۡ فَٱعۡبُدُونِ
Di tempat yang lain Allah berfirman 'Sesungguhnya kamu adalah umat yang satu dan Aku adalah Tuhanmu , maka hendaklah engkau bertaqwa kepada Ku"..... Surah al-Mukminun ayat 52
وَإِنَّ هَـٰذِهِۦۤ أُمَّتُكُمۡ أُمَّةً۬ وَٲحِدَةً۬ وَأَنَا۟ رَبُّڪُمۡ فَٱتَّقُونِ
Oleh kerana begitu mendalamnya konsep 'nation states' yang diperkenalkan oleh penjajah maka kita pada hari ini tidak lagi menganggap umat Islam di luar dari batas sempadan antarabangsa sebagai saudara yang wajib dibela dan dipertahankan. Bahkan kadang-kadang timbul pula sentimen merendah-rendahkan muslim di negara lain atau dari bangsa lain. Oleh kerana robohnya konsep umat ini, kesatuan umat Islam berjaya dipecahkan dan sememangnya itulah yang menjadi hasrat musuh-musuh Islam. Musuh Islam amat menyedari asas kepada kekuatan umat Islam bukan kekuatan ekonomi atau hasil mahsulnya tetapi kekuatan persaudaraan yang terbina di atas asas aqidah yang kukuh. Apabila aqidah berjaya dihakis dari jatidiri umat Islam, tidak ada lagi sisa kekuatan ukhuwah yang terbina di atasnya. Akhirnya mudahlah wilayah umat Islam dijajah satu persatu. Bahkan 'legacy' penjajahan itu berterusan apabila mereka melakarkan sempadan-sempadan politik yang palsu sehingga wujudlah 50 negara Islam yg merdeka dan 19 negara lain yang bergabung bersama wilayah bukan Islam. Negara-negara Islam ini hanya dipisahkan oleh garisan lurus yang dilukis dengan pembaris seperti halnya Mesir dan Sudan, Libya, Tunisia, Maghribi, Mauritania, Chad, Somalia, Ethopia dan Eritrea.. Seperti halnya Jordan, Syria, Iraq dan bahkan Palestin. Seperti juga halnya Malaysia dan Indonesia yang dipisahkan di peringkat awal lagi oleh satu garisan lurus yang merentas Selat Melaka pada tahun 1824 hasil persetujuan British dan Belanda. Justeru negara Islam yang jumlahnya 69 buah dan menempatkan 1.6 billion umat Islam tidak mampu membela saudara seagamanya di Palestin. Hakikatnya Palestin di kelilingi oleh negara-negara Arab-Islam yang kaya raya dengan hasil petroluemnya tetapi seolah-olah mandul tidak dapat berbuat apa-apa.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Ketidakpedulian umat Islam terhadap saudaranya di Palestin lebih parah dari sekadar kegagalan memenuhi tuntutan ukhuwah. Sebabnya ialah bumi Palestin bukan sekadar satu dari wilayah umat Islam yang dikuasai oleh musuh, tetapi lebih penting dari itu ia adalah tanah suci umat Islam. Mungkin umat Islam terlupa bahawa kita punya tiga tanah suci dan bukan dua. Di samping Makkatul mukarramah dan Madinatul munawarah, kita punya tanah suci yang ketiga iaitu BaitulMaqdis di mana terletaknya masjid al Aqsa. Ia menjadi transit atau tempat persinggahan Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Isra dan Mikraj. Ia mengisyaratkan Baitul Maqdis mempunyai makna yang cukup besar bagi Rasulullah SAW dan bagi umat Islam. Di samping itu masjid al Aqsa itu sendiri mempunyai pelbagai kelebihan berdasarkan hadis-hadis yang berkaitan. Bersembahyang di masjid al Aqsa menjanjikan pahala sehingga lima ratus kali lipat berbanding bersembahyang di tempat yang lain.
Solat di Masjidil Haram adalah sama dengan 100,000 kali solat (ditempat lain), dan solat di masjid ku (di Madinah) adalah sama dengan solat 1000 kali, dan solat di Baitul Maqdis adalah sama dengan 500 kali solat. (Riwayat at-Tabarani).
Masjid al Aqsa juga merupakan kiblat pertama umat Islam sebagaimana yang dinyatakan berikut
Al-Hazimi mengemukakan satu riwayat daripada al-Barra' bin `Azib: Daripada al-Barra' bin `Azib bahawa perkara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. apabila sampai di Madinah ialah menemui datuk neneknya dari kalangan Ansar dan baginda bersembahyang mengadap ke arah Baitul Maqdis selama 16 bulan atau 17 bulan
Rasulullah SAW juga menganjurkan agar umat Islam menziarahi masjid al Aqsa dan bersama dalam menguruskannya.
Abdullah ibn umar bertanya pada Rasulullah SAW "Ya Rasulullah, terangkan kpd kami hukum menziarahi BaitulMaqdis. "Jawab Rasulullah SAW, Ziarah dan solatlah di sana. Sekiranya tidak mungkin (ziarah dan solat) maka kirimkanlah minyak untuk lampu-lampu (bagi menerangi masjid) – Sahih Bukhari
Jika membiayai pengurusan masjid manjadi tanggungjawab seluruh umat Islam apatah lagi tanggungjawab untuk membebaskannya dari penaklukan dan cengkaman musuh. Lantaran itu Sy Umar al Kahttab RA telah mengistiharkan Baitul Maqdis yang melengkari masjid al Aqsa sebagai tanah wakaf umat Islam yang wajib dipertahankan sepanjang zaman sebaik sahaja menerima kunci kota tersebut setalh ianya dibuka dan dibebaskan dari cengkaman kerajaan Rom timur (Byzantium).
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Peristiwa Nakbah yang telah dirancang sejak tahun 1897, disususli dengan penaklukan British ke atas Palestin pada tahun 1917, direstui oleh Parlimen British melalui lobi yahudi yang mengizinkan bangsa Yahudi untuk memasuki Palestin sebagaimana yang termaktub dalam deklarasi Balfour 1917, dan pembahagian Palestin kepada negara Arab dan Yahudi oleh resolusi PBB 181 pada tahun 1947 dan pencerobohan pengganas-pengganas Yahudi yang merampas tanah air rakyat Palestin pada tahun 1948 sebenarnya adalah titik hitam kepada penderitaan yang berlanjutan sehingga kini. Pengistiharan negara haram Israel pada tahun 1948 telah membuka laluan kepada penaklukan seluruh bumi Palestin pada tahun 1967. Pada tahun tersebut Baitul Maqdis timur di mana terletaknya masjid al aaqsa, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza diduduki oleh Israel. Masjid Al-Aqsa terus dikepung dan dikuasai oleh yahudi zionis sehingga ke hari ini. Mereka telah melakukan pelbagai rancangan jahat untuk meruntuhkan masjid tersebut termasuklah dengan peristiwa pembakaran masjid pada 21 Ogos 1969 dan meletakkan bahan letupan di bawah binaan masjid. Di samping itu mereka juga menggali terowong di bawah masjid serta mendirikan kuil (synagogue) sementara di bawah permukaan masjid. Kesemua peristiwa ini gagal untuk menggerakkan dhamir umat Islam untuk berjuang bersungguh-sungguh untuk membebaskan tanah sucinya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Salahuddin al Ayubbi ketika Baitul Maqdis dikuasai oleh kaum salibiyyah.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Apa yang lebih mengecewakan lagi ialah sikap pemimpin-pemimpin negara umat Islam terhadap isu Palestin. Di saat ini ketika rakyat Palestin di Gaza menghadapi kepungan paling dahsyat sehingga sampai ke tahap membunuh, pemimpin negara-negara Islam diam membisu seribu bahasa. Rakyat Gaza berhadapan dengan sekatan bahan api, bekalan elektrik di potong, tidak ada barangan yang boleh di bawa masuk atau keluar, terputus bekalan ubat-ubatan, makanan dan keperluan asas yang lain, bahkan bekalan klorin untuk merawat air minuman juga dinafikan kepada mereka. Hari ini pesakit-pesakit meninggal semata-mata kerana hospital tiada bekalan elektrik dan tidak dapat membekalkan ubat-ubat untuk peyakit kronik seperti pesakit buah pinggang, kencing manis dan kanser. Ini tidak termasuk rakyat Palestin yang dibunuh oleh tentera Israel yang melancarkan serangan demi serangan ke atas penduduk awam. Bilangan orang awam yang terbunuh akibat serangan peluru berpandu dan bedilan meriam Israel untuk bulan April tahun ini sahaja telah mencecah puluhan orang, termasuk kanak-kanak dan orang tua yang tidak berdaya. Dalam keadaan yang begitu kritikal apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara umat Islam?
Walaubagaimanapun janji Allah itu benar. Tidak ada sesuatupun kehendak Allah yang bolih disekat. Kita menyaksikan hari ini bagaimana regim-regim negara Arab yang mengkhianati saudara-saudara seagama di Palestin ditumbangkan oleh rakyatnya satu persatu. Regim Hosni Mubarak yang telah menindas rakyatnya selama lebih dari 30 tahun dan mewarisi satu pemerintahan yang melaksanakan dasar Amerika Syarikat dan melindungi Israel akhirnya dijatuhkan dengan penuh penghinaan. Kembalinya gerakan Ikhwan Muslimin yang telah memimpin umat Islam selama lebih 80 tahun di Mesir tetapi ditindas selama ini adalah berita yang amat menggembirakan umat Islam seluruh dunia. Ikhwan Muslimin yang berada di barisan hadapan mempertahankan negara Palestin sejak perang 1948 insyaAllah akan kembali memimpin umat ini untuk mengembalikan baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa kepada umat ini.
Abu Hurayrah menyampaikan dari Rasulullah SAW, “Sebahagian dari umatku tidak akan berhenti berjihad di pintu-pintu Dimashq (Damsyik) dan di pintu-pintu al-Quds (palestin) dan di sekelilingnya. Pengkhianatan dan pembelotan bagi sesiapa yang berkhianat tidak akan menyakiti mereka sedikitpun. Mereka akan tetap menang, mempertahan kebenaran sehingga saat datangnya kiamat”
Riwayat At-Tabarani
Allah SWT adalah adalah sebaik-baik perancang. ”Mereka merancang dan Allah merancang dan Allah adalah sebaik-baik perancang” Surah al-Imran ayat 54
وَمَڪَرُواْ وَمَڪَرَ ٱللَّهُ‌ۖ وَٱللَّهُ خَيۡرُ ٱلۡمَـٰكِرِينَ
Manusia tidak dapat mengatasi perancangan Allah. Turki adalah satu contoh yang amat jelas. Musuh-musuh Islam menjatuhkan Khilafah Uthmaniah dan meletakkan Mustafa Kamal Attatuk untuk menegakkan sistem pemerintahan sekular yang anti Islam. Mereka mahu memastikan khilafah Islam yang pernah menaungi dunia Islam ini tidak akan bangkit lagi. Justeru apabila Israel berdiri pada tahun 1948, Turki adalah antara negara yang paling awal mengiktirafnya. Turki menjadi sekutu paling kuat Israel. Tetapi apa yang berlaku. Bibit-bibit tarbiyah imaniah yang disemai oleh Syeikh Badiuzaman Syed Nursi akhirnya melahirkan pemimpin-pemimpin islam yang kembali meletakkan asas-asas Islam dalam pemerintahan. Dengan penuh hikmah Raccip Tayyep Erdogan menggunakan hubungan diplomatik yang wujud di antara negaranya dan israel untuk menekan dan mengugut israel. Bahkan Turki kini menjadi negara yang menerajui usaha-usaha memecahkan tembok kematian yang dibina oleh israel untuk menjerut rakyat Palestin di Gaza dengan misi-misi kemanusiaan Mavi Marmara, Land Convoy dan Flotilla 2 yang dijangka akan berlayar ke Gaza pada bulan Jun ini.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Kita ingin mengingatkan seluruh umat Islam, isu yang berkaitan dengan permasalahan bumi Palestin bukan isu politik tetapi ia adalah isu yang berkait langsung dengan akidah umat Islam. Apakah jawapan yang bakal kita berikan nanti di hadapan Allah SWT, apabila umat Islam membiarkan saudara-saudara seagamanya dizalimi, dianiaya, dibiarkan mati kebuluran bahkan dibunuh dengan kejam oleh rejim zionis Yahudi? Kekecewaan dan rasa dukacita kita terhadap kebobrokan sebahagian umat Islam dan pemimpin-pemimpinnya terubat apabila kita teringat kepada hadis Rasulullah SAW yang memberi khabar gembira dari sebegitu banyak hadis. Di antaranya:
Nahik Ibn Surim al-sakuni menyampaikan dari Rasulullah SAW “Kamu akan memerangi golongan kafir sehingga sebahagian kamu yang tinggal akan berperang di Sungai Jordan, kamu di sebelah timur (Jordan pada hari ini) dan mereka di sebelah barat (Palestin yang terjajah)”
Dari Ibn Hajar al-Asqalani
Muadz bin Jabal menyampaikan dari Rasulullah SAW “Allah Maha Besar akan member kamu kekuatan untuk menawan as-Syams (Palestin) selepas kewafatanku.Orang laki-laki dan wanita akan bertahan di sana sampai kiamat. Sesiapa di kalangan kamu yang memilih salah satu dari pantai-pantai as-Syams (termasuk Gaza) atau Baitul Maqdis adalah mereka itu berada di dalam jihad sehingga hari pengadilan.”
Rasulullah SAW mengatakan berhubung penghuni Tanah suci (al-Quds), “Mereka dan isteri-isteri mereka, anak-anak mereka dan hamba (pembantu-pembantu mereka – lelaki dan perempuan) adalah di dalam ‘ribat (pengawal pada kubu) pada jalan Allah”
At-Tabarani
Muawiyah bin Abi Sufyan menyampaikan dari Rasulullah SAW, “Ada di kalangan umat ku yang sentiasa berada di atas al-haq. Tiada sesiapa yang menentang mereka akan menyakiti mereka sehingga datangnya kiamat” Para sahabat bertanya ‘Di mana mereka itu”? Rasulullah SAW menjawab, “Mereka berada di Baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis”
Iman Ahmad
Hadis-hadis yang terbit dari lidah Rasulullah SAW adalah satu bukti bahawa apa yang berlaku pada hari ini adalah satu kebenaran yang telahpun disusun oleh Allah SWT. Kita pada hari ini amat beruntung kerana para sahabat hanya mendengar beritanya dari rasulullah SAW sedang kita menyaksikan dengan mata kepala kita sendiri. Alangkah ruginya jika kita tidak mengambil sebanyak manfaat dari peristiwa ini untuk menyuburkan iman kita dan keyakinan kita untuk berjuang pada jalan Allah?
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.
Teks khutbah disediakan oleh Aqsa Syarif
15 Mei 2012 (Sempena Bulan Naqbah)
Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi Aqsa Syarif
 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc