Sunday, August 7, 2011

Bulan Ramadhan ini genaplah ulangtahun Perang Ramadhan 1393H (10 Ramadhan) ke 41






Tentera Mesir menggempur kubu Israel di Sinai

Aqsa Syarif: Ulang Tahun Operasi Badar - Perang Ramadhan 1393H (Perang Oktober 1973) - beberapa pengajaran

BULAN ini genaplah ulang tahun Perang Ramadhan 1393H (Perang Oktober 1973) yang ke 41. Peperangan yang bermula pada 6 hingga 24 Oktober ini mempunyai implikasi yang sangat besar. Perang yang juga dikenali sebagai perang Ramadhan kerana bermula pada 10 Ramadhan dan Perang Yom Kippur kerana jatuh pada hari kebesaran orang Yahudi ini telah merubah lanskap politik timur tengah seperti hari ini.

Peperangan ini adalah sebahagian dari usaha Mesir dan Syria untuk merebut kembali wilayah mereka yang dijajah oleh Israel dalam Perang enam hari pada tahun 1967 iaitu Semenanjung Sinai dan Tanah Tinggi Golan. Perang 6 hari juga menyebabkan Jalur Gaza, Baitul Maqdis timur dan Tebing Barat di kuasai oleh Israel sepenuhnya. Mengambil peluang dari Hari kebesaran orang Yahudi iaitu Yom Kippur, di mana sebahagian besar tentera Israel sedang bercuti, Mesir telah mengatur serangan mengejut. Keupayaan tentera Mesir untuk menembusi garisan Barlev yang dianggap kebal oleh pertahanan Israel benar-benar menjadi kejutan. Di masa yang sama tentera Syria megambil semula sebahagian dari Tanah tinggi Golan yang dikuasai Israel. Kejayaan tentera Mesir dan Syria tidak kekal lama kerana mereka terpaksa berundur ekoran serangan balas oleh Israel. Bahkan ketumbukan tentera ke tiga Mesir terkepung sepenuhnya dan bakal menghadapi kemusnahan. Israel juga mengalami kemusnahan yang besar dengan hampir 3,000 tenteranya terbunuh dan 9,000 mengalami kecederaan. Buat pertama kalinya di dalam sejarah Israel menerima hakikat bahawa ia sedang menghadapi satu peperangan yang sebenar, sedangkan konflik yang berlaku dengan negara-negara Arab sebelumnya hanyalah sebuah pertempuran. Di samping itu hampir 500 kereta kebal dan 200 pesawat udara tentera Israel berjaya dimusnahkan oleh tentera Mesir dan Syria. Mesir dan Syria menerima kemusnahan yang jauh lebih besar, namun kejayaan pada peringkat awal peperangan memberi satu suntikan kepada seluruh dunia Arab dan negara Islam terhadap kemampuan berhadapan dengan regim Zionis di medan peperangan.

Amerika Syarikat telah bersetuju sepenuhnya di dalam Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya resolusi 338 dilaksanakan iaitu gencatan senjata di antara kedua pihak. Ini adalah suatu yang jarang berlaku kerana Amerika telah terbukti sepanjang konflik timur tengah tidak akan memihak kepada keputusan Majlis Keselamatan atau Persidangan Agung PBB jika ia dilihat merugikan Israel. Bahkan acapkali AS akan menggunakan kuasa vetonya untuk membatalkan mana-mana resolusi yang diputuskan jika dianggap tidak memenuhi kepentingan strategik Israel. Dalam Perang Oktober 1973, AS mengambil pendirian yang sebaliknya. Ini ada berdasarkan kepada congakan bahawa Israel mungkin mengalami kekalahan dan terpaksa membuat beberapa konsesi yang menjejas kelangsungan negara zionis tersebut. Gencatan senjata ini bagaimanapun dicabuli oleh Israel yang terus mara sehingga ke Terusan Suez. Ini memaksa Majlis Keselamatan bersidang sehari selepas Resolusi 338 diluluskan. Resolusi 339 diluluskan untuk menguatkuasakan Resolusi 338. Motif sebenar Amerika terbongkar apabila pada 18 Oktober Presiden Nixon meluluskan peruntukan senjata tambahan kepada Israel disamping bantuan kewangan sebanyak USD 2.2 bilion. Keadaan ini telah menyebabkan Arab Saudi melakukan reaksi balas dengan mengurangkan pengeluaran petroluem sebanyak 5% sebulan kepada AS. Embargo ini kemudiannya di lanjutkan ke atas Netherland dan negara-negara lain mencetuskan krisis tenaga pada tahun 1973 yang menyaksikan ekonomi Amerika terjejas teruk. Ini adalah satu contoh bahawa negara-negara Arab mampu untuk menggunakan kuasa petrodollar untuk mencabar hegemoni politik AS di timur tengah.

Di masa yang sama AS telah menggunakan sitiasi perang Oktober untuk menghapuskan ancaman Mesir ke atas Israel. Oleh kerana objektif Mesir ialah untuk mendapatkan semula Semenanjung Sinai yang dikuasai oleh Israel, AS telah menjadikan ia sebagai umpan supaya Mesir bersetuju untuk berdamai dengan Israel. Presiden Sadat telah menyatakan persetujuannya untuk datang ke Baitul Maqdis dan mencari jalan perdamaian. Kehadiran Presiden Sadat ke Baitul Maqdis yang dikuasai Israel adalah satu isyarat pengiktirafan ke atas negara haram Israel. Perdana Menteri Israel, Menachem Begin telah mengambil peluang ini untuk memalukan Sadat dengan menyebut di dalam ucapannya Mengalu-alukan kedatangan Sadat ke Baitul Makdis, ibu negara Israel ’yang abadi’. Ucapan ini adalah merupakan satu tamparan kepada perjuangan pembebasan Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin. Ia adalah sesuatu yang mencalar maruah dunia Islam seluruhnya. Hasil dari rundingan diplomatik di antara Mesir dan Israel yang di’broker’ oleh AS akhirnya membuahkan Perjanjian Camp David pada tahun 1978. Perjanjian ini telah mengeluarkan Mesir dari persamaan (equation) yang menentukan hala tuju konflik di Timur Tengah khususnya yang berkaitan dengan pembebasan Bumi Palestin. Sehingga hari ini Mesir adalah terikat dengan perjanjian untuk tidak menjejaskan keselamatan Israel. Tindakan Mesir pada hari ini yang menutup sempadan di Rafah dan tidak membenarkan bantuan menyeberang ke Gaza yang dikepung Israel, bahkan menghalang rakyat Gaza masuk ke Mesir untuk mendapat rawatan adalah sebahagian dari memenuhi syarat Perjanjian Camp David tersebut.

6 Oktober adalah satu tarikh penting sehingga Mesir dan Syria memilihnya sebagai tarikh untuk menyambut hari kebangsaan kedua negara. Mesir turut memilih 6 Oktober sebagai hari angkatan Tentera Mesir. Pada 6 Oktober 1981, dalam perbarisan tentera sempena ulang tahun perang Oktober, Presiden Sadat mati ditembak kerana tindakannya berdamai dengan Israel dan mengiktiraf entiti haram tersebut dianggap suatu pengkhianatan kepada umat Islam dan agamanya.

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor

Pengerusi

Aqsa Syarif

Friday, August 5, 2011

Infaqlah untuk Misi Aqsa2Gaza2 yang akan berangkat pada bulan Ramadhan ini


Assalamualaikum,

Silalah menyumbang untuk misi Aqsa2Gaza2 anjuran Aqsa Syarif. 12 orang sukarelawan Aqsa Syarif akan berangkat ke Gaza untuk menyampaikan sumbangan bagi membiayai 12 buah projek dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1 juta. Janagn lepaskan peluang meningkatkan amal infaq (mengeluarkan harta pada jalan Allah) di bulan Ramadhan yang mana ganjaran pahalanya akan dilipat gandakan sehingga 700 kali!

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi Aqsa Syarif


Monday, August 1, 2011

Perutusan Khas Aqsa Syarif sempena Ramadhan 1432H

PERUTUSAN KHAS RAMADHAN AQSA SYARIF

Assalamualaikum wrt bth.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani. Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang telah menunjukkan jalan kebenaran dan cahaya Islam.

Aqsa Syarif mengucapkan tahniah kepada seluruh Islam kerana kita sedang bertamu di bulan Ramadhan yang agung. Bulan yang menjanjikan pelbagai ganjaran dan keistimewaan. Bulan di mana berlaku pelbagai peristiwa besar. Bulan yang menyatukan umat Islam ini tanpa mengira batas sempadan geografi, budaya dan bahasa. Bahkan Ramadhan menyatukan umat Islam untuk bersama melaksanakan syariat Allah iaitu menunaikan ibadah puasa dan berlumba-lumba untuk mencapai darjat taqwa yang disediakan bagi orang-orang yang ikhlas dan mengharapkan keampunan Allah semata-mata.

Sebagaimana Ramadhan menyatukan umat Islam, maka begitu jugalah Tanah Suci Baitul Maqdis adalah simbol penyatuan umat Islam diseantero dunia. Meskipun umat Islam berkumpul di Tanah Haram di Mekah untuk menunaikan haji saban tahun, namun tanah suci Baitul Maqdis yang berdiri padanya Masjid al-Aqsa membentuk ikatan yang mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Jika umat Islam disatukan di Mekah kerana manasik haji. Umat Islam di satukan oleh Masjid al-Aqsa oleh jihad untuk membebaskannya dari belenggu penjajahan. Masjid al-Aqsa menyatukan umat Islam pada minda dan perasaan meskipun mereka tidak pernah berkumpul secara fizikal sebagai mereka bolih sahaja melakukannya di musim haji di Mekah atau pada bila-bila masa sepanjang tahun ketika menunaikan umrah.

Begitulah umat Islam di seluruh dunia dirangkul oleh ikatan ‘syuur’ (perasaan) mendalam yang diterjemahkan dalam bentuk cinta dan rindu kepada kekaseh yang hanya bolih digapai dari jauh. Sedang hati orang-orang yang beriman terpaut hatinya pada masjid al-Aqsa dengan satu tekad dan iltizam untuk membebaskannya. Demikianlah setiap muslim memegang kemas akan pesan Rasulullah SAW kepada para sahabat “Ziarah dan solatlah di sana”. Halangan untuk berziarah dan solat di sana tidak pernah melunturkan cinta kepada al-Aqsa bahkan ia menggerakkan umat ini serentak untuk melaksanakan pesan yang berikutnya dari Rasulullah SAW “jika kamu terhalang, kirimkan minyak untuk lampu-lampunya”.

Didorong oleh rasa ‘hubb’ (cinta abadi terhadap Masjid al-aqsa) Aqsa Syarif telah mengerah segala kekuatan dan sokongan yang ada untuk menggerakkan misi bantuan ke Gaza untuk sekian kalinya. Aqsa Syarif bersempena dengan bulan Ramadhan ini akan mengirim sebuah misi besar yang akan dipikul oleh 12 orang pejuang-pejuang Aqsa Syarif. Dengan izin dan perancangan dari Allah SWT mereka insyaAllah akan memasuki Gaza yang berkah itu pada 20 Ogos (bertepatan 20 Ramadhan) dan akan berada di sana selama 8 hari. Mereka akan bersama-sama rakyat palestin pada sepertiga yang terakhir dari bulan Ramadhan, sepuluh malam terakhir yang terkandung padanya malam Lailatul Qadar.

Misi yang dinamakan misi Aqsa2Gaza2 ini adalah siri kedua misi memasuki Gaza yang melibatkan pejuang-pejuang Aqsa Syarif. Prof Madya Dr Zin kandar yang merupakan ketua misi VP5 @ Aqsa2Gaza yang berjaya memasuki Gaza pada bulan Oktober 2010, kini memikul kembali amanah yang berat ini untuk memasuki Gaza dalam misi yang diterajui sepenuhnya oleh Aqsa Syarif. Misi kami sekali ini juga istimewa kerana turut disertai oleh tiga orang anggota misi wanita. Mereka membawa amanah yang cukup besar di bawah inisiatif Rose2Rose (R2R) di mana wanita Palestin akan dihubungkan dengan wanita Malaysia bagi membantu menyediakan pusat-pusat komuniti untuk memperkasa wanita Palestin. Misi kali ini juga akan menziarahi Kelaurga miskin yang ditaja oleh Aqsa Syarif melalui kerjasama dengan Wafrah. Di samping itu misi ini akan membawa 1000 buah beg sekolah yang lengkap dengan buku-buku dan alat-alat tulis yang akan diagih-agihkan kepada kanak-kanak sekolah di Palestin.

Sebesar harapan Aqsa Syarif untuk membantu rakyat Palestin dalam kerangka menghayati pesan Rasulullah SAW ‘Kirimkan minyak untuk lampu-lampu masjid’ begitu jugalah besarnya harapan kepada sokongan umat Islam. Aqsa Syarif berdoa dengan baroqah bulan Ramadhan yang mana infaq (mengeluarkan harta untuk tujuan fisabilillah) adalah satu amalan utama di samping amalan-amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat, untuk membawa tidak kurang dari RM1 juta untuk melaksanakan semua projek-projek yang digariskan di atas.

Sempena bulan Ramadhan al-mubarak ini, Aqsa Syarif akan bersama-sama umat Islam mencontohi Rasulullah SAW dalam hal ketangkasan bersedeqah. Ibnu Abbas RA, berkata:

Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawannya pada bulan Ramadan ketika Jibril menemuinya. Jibril biasanya menemuinya setiap malam Ramadan, lalu tadarus al-Quran (dengan Nabi SAW). Sungguh Rasulullah ketika ditemui Jibril menjadi orang yang lebih bermurah hati dalam memberikan kebaikan, sehingga lebih banyak daripada tiupan angin. (Hadis Bukhari dan Muslim).

Marilah kita semua mengambil peluang ini untuk bersedeqah di bulan Ramadhan untuk membela dan mempertahankan tanah suci dan Masjid al-Aqsa. Cuma ada satu jalan sahaja buat masa ini untuk kita berperanan dengan berkesan untuk memikul tanggungjawab mempertahankan Masjid al-Aqsa iaitu dengan kita membantu saudara-saudara kita di Palestin untuk melakukan tanggungjawab ini bagi pihak seluruh umat Islam. Oleh kerana mempertahankan Masjid al-Aqsa ini adalah kewajipan yang akan ditanyakan oleh Allah ke atas setiap muslim, maka membantu umat Islam Paletsin tidak syak lagi menjadi kewajipan setiap kita yang bergelar muslim. Ayuh bersegeralah infaq untuk Palestin dan rebutlah pahala yang disediakan oleh Allah SWT. Ingatlah akan pesan Nabi SAW.

Sabda Rasulullah yang bermaksud, Jagalah kalian dari neraka, meskipun hanya dengan separuh kurma. (Hadis Bukhari).

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor

Pengerusi Aqsa Syarif

1 Ramadhan 1432H/1 Ogos 2011

Thursday, July 21, 2011

Teks Khutbah (23 Julai 2011) - Hubungan al-Quran dan Ramadhan

Assalamualaikum

dikongsikan teks khutbah utk rujukan khutbah yang akan disampaikan pada hari ini (23 Julai 2011) - di Masjid al-Kauthar Bandar Baru Bangi fasa 4

Dr Hafidzi Mohd Noor
Unit Teks khutbah
Pengerusi JK Transformasi Sosial
IKRAM Negeri Selangor
merangkap
Pengerusi Aqsa Syarif
------------------------------------------------------------


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian
Firman Allah dalam ayat 185 surah al-Baqarah :

شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِ‌ۚ فَمَن شَہِدَ مِنكُمُ ٱلشَّہۡرَ فَلۡيَصُمۡهُ‌ۖ وَمَن ڪَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ۬ فَعِدَّةٌ۬ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ‌ۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِڪُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِڪُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُڪۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُڪَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُمۡ وَلَعَلَّڪُمۡ تَشۡكُرُونَ

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.

Sidanhg Jumaat yang dirahmati Allah.

Kurang dari sepuluh hari dari hari ini insyaAllah kita akan berpeluang untuk menyambut kedatangan tetamu agung iaitu bulan Ramadhan yang kita nanti-nantikan. Bulan yang di dalamnya penuh dengan keberkatan dan pelbagai keistimewaan. Di dalamnya ada satu malam iaitu malam Lailatul qadar di mana nilai sesiapa yang beramal pada malam tersebut akan meraih pahala seperti beramal untuk seribu bulan. Ada pihak yang menterjemahkan seribu bulan seumpama 83 tahun, namun seribu bulan hanyalah satu gambaran tentang betapa besarnya pahala yang akan diperolehi oleh seseorang yang sebenarnya tidak mungkin diukur akan besarnya pahala yang bakal diperolehi. Penilaian sebenar hanya ada dalam ilmu Allah yang tidak mungkin dapat dijangkau oleh aqal kita yang lemah dan kerdil ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Ayat yang dibaca menunjukkan kaitan yang ada di antara bulan Ramadhan yang penuh baroqah itu dengan al-Quran. Mimbar Jumaat kali ini ingin menyentuh hubungan di antara al-Quran dan bulan Ramadhan, dan yang lebih penting lagi hubungan kita dengan Al-Quran. Kedudukan al-Quran itu begitu tinggi di sisi Allah sehingga Allah menurunkannya pada bulan Ramadhan. Ulama berpendapat apa yang dirujuk sebagai Nuzul Quran itu berlaku pada salah satu dari malam-malam di mana berlakunya Malam lailatul Qadar iaitu samada pada 21 atau 24 Ramadhan. Pendapat ini lebih kuat dari pandangan yang memutuskan nuzul Quran ialah pada 17 Ramadhan, meskipun ini bukanlah isu yang harus diperdebatkan kerana ada isu yang lebih besar untuk difikirkan iaitu tujuan al-Quran itu diturunkan. Pada malam nuzul Quran itu Allah SWT menurunkan keseluruhan al-Quran sekaligus di Baitul Izzah (di langit dunia). Dari sana Allah SWT menurunkan ayat-ayat al-Quran secara beransur-ansur selama 23 tahun (13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah – lalu ada ayat-ayat Makkiyah dan ada ayat-ayat Madaniyyah) menurut situasi atau peristiwa-peristiwa tertentu. Ini menunjukkan bahawa pengetahuan Allah tiada batasannya sehingga semua peristiwa yang dirakamkan di dalam al-Quran telah ditentukan berdasarkan hukum sebab dan akibat (qada’ dan qadar Allah SWT).

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Apakah kaitannya al-Quran dengan Ramadhan. Ayat yang dirujuk menjelaskan apakah makna al-Quran kepada manusia. Ia adalah Hudan (petunjuk). Petunjuk ini adalah seperti penunjuk jalan di dunia ini untuk menuju akhirat. Sesiapa yang tidak berpandukan kepada PETUNJUK ini maka pasti dia tidak akan sampai ke destinasi akhirat dengan selamat. Dia pasti akan sesat di dunia, Sesiapa yang sesat di dunia sudah tentu akan menemui kebahgiaan abadi di alam akhirat. PETUNJUK ini ditegaskan oleh Allah SWT amat jelas sehingga setiap PETUNJUK itu disertai dengan KETERANGAN-KETERANGAN. Ini bermakna setiap PETUNJUK di sepanjang perjalanan hidup di Dunia ini tidak pernah mengelirukan dan tidak mungkin menimbulkan salah tafsir atau silap pembacaan. Setiap PETUNJUK disediakan dengan panduan-panduan yang amat jelas sehingga kemungkinan seseorang itu tersalah jalan adalah nil atau 0%. Ia adalah ‘ERROR-PROOF’ dan ‘ALLOW FOR ZERO MARGIN FOR ERROR’.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Ini menunjukkan kepada kita sesiapa yang tersesat di dunia ini adalah bertanggungjawab penuh kepada segala tindakan dan pilihan yang ia buat. Simpang mana yang dia akan ambil dan jalan mana yang dia pilih adalah 100% pilihannya sendiri walaupun pelbagai amaran yang jelas telah dinyatakan pada setiap papan tanda PETUNJUK jalan tersebut. Sebab itu Islam ini tidak perlu paksaan. Allah membekalkan kepada manusia kemerdekaan berfikir supaya dengan kemerdekaan berfikir itu dia memilih berdasarkan kemampuan kognitifnya yang sempurna. Dia tidak perlu dipaksa untuk beriman kerana paksaan hanyalah merendahkan martabatnya sebagai insan yang merdeka jiwa raganya.

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 255:

لَآ إِكۡرَاهَ فِى ٱلدِّينِ‌ۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَىِّ‌ۚ فَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَا‌ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Seterusnya Allah SWT menegaskan Al-Quran itu adalah al-FURQAN iaitu pembeda di antara kebenaran dan kepalsuan. Al-Quran itu adalah neraca atau timbangan kepada manusia terhadap pilihan-pilihan hidupnya. Apakah dia akan menimbangkan dengan al-FURQAN atau menimbang dengan aqal semata-mata. Bahkan lebih dahsyat lagi jika timbangan seseorang itu adalah berdasarkan kehendak nafsunya. Di sinilah yang membezakan seorang yang benar-benar beriman dengan seorang yang tidak bulat keimanannya kepada Allah SWT.

أَفَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَـٰهَهُ ۥ هَوَٮٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلۡمٍ۬ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمۡعِهِۦ وَقَلۡبِهِۦ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِۦ غِشَـٰوَةً۬ فَمَن يَہۡدِيهِ مِنۢ بَعۡدِ ٱللَّهِ‌ۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipatuhinya dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap kufur ingkar) dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?

وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٍ۬ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُ ۥۤ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَـٰلاً۬ مُّبِينً۬ا

Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 36

Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Lalu bagaimana pada hari ini umat Islam masih lagi seolah-olah tercari-cari PANDUAN hidup yang amat jelas ini. Inilah yang disebut oleh Imam as-Syahid Hassan al-Banna R.H. di mana beliau mengatakan umat Islam pada hari ini seakan-akan hidup di dalam bilik yang gelap gelita. Sedangkan pada dinding terdapat switch lampu. Andaikata mereka membuat sedikit ikhtiar untuk memetik switch lampu tadi maka bilik tadi akan terang benderang. Mereka tidak lagi berlanggaran di antara satu sama lain dan tersadung kerana melanggar peralatan dan perabut yang terdapat di dalam bilik atau ruang kehidupan itu. Cahaya yang terang benderang itu ialah al-Quran. Inilah yang membezakan golongan kafir dan umat Islam pada hari ini. Imam al-Banna mengatakan orang-orang kafir tidak mempercayai al-Quran sedang umat Islam tidak mengetahuinya meski al-Quran itu sentiasa ada disisi mereka. Mereka sanjung al-Quran itu, mereka letakkan di tempat yang tinggi, mereka jadikan sebagai tangkal azimat untuk menyembuhkan penyakit dan pendinding kepada pelbagai gangguan tetapi mereka tidak pernah tahu apa yang terkandung di dalam al-Quran itu. Mereka tidak pernah mahu membacanya. Kalau dibacapun ia menjadi amalan turun temurun dan dibaca sekadar untuk mendapat keberkatan darinya. Tetapi mereka tidak pernah mahu mengambil tahu apa dia PANDUAN-PANDUAN yang terkandung di dalam al-Quran yang amat berguna bagi manusia dalam menjalani kehidupan di bumi ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Marilah kita bandingkan diri kita dengan generasi al-Quran (Jil al-Quran al-Farid) yang unik. Satu generasi yang pernah di lahirkan di kalangan manusia hasil didikan langsung dari Rasulullah SAW. Apabila baginda Nabi SAW wafat maka antara orang yang paling sedih ialah Ummu Aiman RA, pengasuh Nabi sejak dari kecil. Apabila ditanya oleh Abu Baqar As-Siddiq akan sebabnya beliau menangis. Maka dijawab oleh Ummu Aiman, apabila baginda wafat maka tidak ada lagi wahyu yang turun. Sedang ketika baginda SAW masih hidup setiap persoalan hidup akan dijawab oleh Allah SWT dengan turunnya ayat al-Quran. Lalu Abu Baqar mengatakan setiap kali aku berhadapan dengan persoalan hidup nescaya aku membaca al-Quran lalu aku menemui jawapannya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Inilah yang membezakan generasi pertama dengan generasi kita pada hari ini. Kita tidak membaca al-Quran dalam ertikata menghayati akan arahan-arahan dan PANDUAN yang digariskan dengan jelas di dalam al-Quran. Bahkan kita bukan sahaja tidak menghayatai apa yang terkandung di dalam al-Quran bahkan kita tidak lagi membacanya walaupun sekadar membaca sahaja. Mudah-mudahan kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak ini akan menjentik hati kita untuk kembali membaca Quran sebagai langkah pertama untuk memahaminya. Rasulullah SAW berpesan kepada para sahabat.

“Jadilah kamu golongan al-Halul murtahil. Kamu tahukah siapa dia golongan al-Halul murtahil iaitulah mereka yang singgah dan berlalu pergi. Mereka yang singgah dan berlalu pergi ini ialah mereka yang mengkhatamkan al-Quran lalu memulainya. Mereka yang melaluinya lalu mengkhatamkannya. Begitulah mereka berada dalam keadaan membaca al-Quran sehinggalah mereka menemui Allah SWT. Sebab itu para sahabat tenggelam di dalam menbaca dan menghayati makna al-Quran sehingga Nabi SAW terpaksa turun tangan melarang mereka daripada bersikap melampau. Lalu sunnah Nabi SAW menetapkan agar al-Quran itu dikhatamkan tidak lebih dari sebulan dan tidak kurang dari tiga hari. Bulan Ramadhan adalah bulan tilawah. Pastinya bulan Ramadhan kali ini member kita peluang untuk melaksanakan pesan Nabi SAW iaitu dengan membaca al-Quran dan mengkhatamkannya dalam tempuh sebulan Ramadhan. Betul lah bulan Ramadhan bulan latihan. Apa yang kita sangka amalan lazim di dalam bulan Ramadhan iaitu mengkhatamkan al-Quran rupa-rupanya adalah amalan lazim sepanjang hayat Rasulullah SAW dan para sahabatnya.

Bagaimana sibuk pun kita, tidak ada yang lebih sibuk dari Rasulullah SAW dan para sahabat. Mereka mengurus negara, menghadapi golongan munafik, berhadapan dengan konspirasi Yahudi, mereka menghadapi Empayar Rum dan Parsi, mereka sebuk memikirkan tentang masalah umat. Umar bin Abdul aziz, meskipun sibuk menyantuni rakyat tidak akan meninggalkan amalan membaca al-Quran. Beliau akan mengambil mashaf walaupun sekadar membaca dua atau tiga ayat. Beliau lalu menyebut agar aku tidak termasuk di kalangan mereka yang menjadikan al-Quran sebagai sesuatu yang ditinggalkan.

Sabda Rasulullah SAW

“Barangsiapa membaca satu ayat dari Kitabullah, maka ia memperoleh sepuluh kebaikan untuk setiap huruf. Barangsiapa mendengar kannya, maka ia akan memperoleh cahaya pada hari Kiamat.”

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Dr Hafidzi Mohd Noor

Pengerusi JK Transformasi Sosial

IKRAM Negeri Selangor

Thursday, July 14, 2011

Bersama Wakil Wafrah - jalinan kerjasama Aqsa Syarif menaja keluarga miskin Palestin di radio IKIM 14 Julai 9.40 pagi

Kuala Lumpur, 14 Julai 2011 - Aqsa Syarif Berhad telah diberi peluang untuk meng...isi slot Resolusi di radio IKIMfm pada 9.40 pagi tadi. Turut diundang ialah wakil-wakil dari The Welfare Association for Palestinian and Lebanese Families (WAFRAH) iaitu badan bukan kerajaan yang bekerjasama dengan Aqsa Syarif Berhad bagi projek penajaan keluarga miskin Palestin.

Aqsa Syarif Berhad diwakili Pengerusi, Dr Hafidzi Mohd Noor manakala WAFRAH diwakili Encik Wissam Taha selaku Timbalan Pengurus Besar merangkap Pengurus Pembangunan Sumber dan Encik Malek Barghout dari Unit Perhubungan Awam.

Slot yang ke udara selama 20 minit ini difokuskan kepada perbincangan mengenai situasi keluarga miskin Palestin di Gaza dan kem-kem pelarian Palestin di Lubnan serta cara-cara membantu mereka melalui WAFRAH dengan kerjasama Aqsa Syarif Berhad.

Turut hadir ialah Pengurus Besar Aqsa Syarif Berhad, Encik Muhamad Munawer Ismail. Sebelum meninggalkan konti IKIMfm, pihak Aqsa Syarif dan WAFRAH sempat bergambar dengan Pengarah Radio IKIMfm, En. Nik Roskiman dan penyampai-penyampai radio yang terlibat.

Aqsa Syarif Berhad mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak IKIMfm atas peluang yang diberikan ini.
See More

Wednesday, July 13, 2011

Pengerusi Aqsa Syarif di TV Hijrah (saluran Astro 114) Rabu 13 July jam 9.30 malam - apa sebenarnya isu Palestin

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang terus membuka ruang utk amal-amal pembebasan Palestin, Tanah suci dan Masjid al-Aqsa dikumandangkan di bumi tercinta ini.

Dengan penuh tawadhu dan syukur saya memaklumkan pengerusi Aqsa Syarif akan diberi peluang bersiaran di TV Hijrah (saluran astro 114) jam 9.30 malam ini (Rabu 13 July). isu yang akan dikupas ialah 'apa sebenranya yang berlaku di Palestin'

Mohon diuar-uarkan kerana Penegrusi Aqsa Syarif akan menyentuh isu pokok kenapa umat Islam wajib menyertai perjuangan membebaskan bumi al-Quds dan Masjid al-Aqsa.

Dr Hafidzi Mohd Noor

Ulasan Flotilla 2 dan peranan civil society Eropah dalam AGENDA Astro Awani - oleh Pengerusi Aqsa Syarif

assalamualaikum,

Perkongsian. Pengerusi Aqsa Syarif sebagai tetamu Astro Awani dalam ruangan AGENDA. mengulas ttg Flotilla 2 dan peranan civil society dan NGO Eropah dalam menghadapi Israel.



Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi
Aqsa Syarif
 

Lambaian-Islah. Powered By Blogger © 2009 Bombeli | Theme Design: ooruc